Monday, August 24, 2009

CERPEN-SEKAM DI HATINYA MASIH MEMBARA

Jam di dinding menunjukkan angka 2.40 pagi. Irna Syahira masih belum melelapkan matanya. Puas dicuba, namun matanya masih juga belum lena. Dia cuba memusingkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan namun matanya masih lagi terbuka. Entah mengapa dia sendiri kurang pasti. Suaminya yang baru dinikahi tiga bulan yang lalu sudah nyenyak dalam dengkur nipis. Wajah suaminya dipandang lama. Nampak kacak dan jauh lebih muda daripadanya. Entah mengapa wajah ini yang dipilihnya untuk menjadi teman hidup setelah rumah tangganya yang dahulu mengalami kehancuran.
“Hancur? Hmm...Biarkanlah! Mungkin jodoh aku dengan suami terdahulu sudah ditakdirkan begitu” bisik hatinya. Di ruang matanya masih terbayang wajah anak-anaknya yang masih kecil meruntun rindunya. Sayang, anak-anaknya itu berada jauh di Kelantan dalam jagaan bekas suaminya yang sudahpun beristeri muda.
“Isteri muda? Memang itulah yang dirancang Faruq dahulu. Malah, dia bermati-matian bersumpah di hadapanku bahawa hubungannya dengan gadis itu hanyalah sebagai kawan sepejabat dan tidak lebih daripada itu” bisik hatinya yang membungkam.
“Memang dasar lelaki giang! Tidak pernah kering nafsunya! Apa yang dia tidak dapat daripada aku dahulu? Duit ringgit? Malahan segala-galanya!...” hatinya terus bertingkah. Sehingga kini, hutang kad kredit yang diguna oleh bekas suaminya dahulu masih lagi ditanggungnya. Setiap hujung bulan hatinya menjadi lemas apabila menerima panggilan telefon dari pihak bank mengingatkannya sebagai pemegang kad kredit tersebut agar membuat pembayaran secepat mungkin. Pernah suatu masa dahulu pihak bank bercadang untuk mengisytiharkannya sebagai bankrap namun setelah dirayu, pihak bank bersetuju memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan hutang-hutang tersebut.
“Abang, barang-barang yang abang beli ini bayarlah dengan duit abang sendiri ya?” suara Irna kedengaran lunak. Namun, suaminya yang berada di sisi kaunter bayaran menghamburkan kata-kata sinis.
“Gunalah kad kredit! Itupun tidak boleh fikir? Bengap!” suara suaminya kedengaran mendengus.
“Kad kredit Irna? Bukankah sudah banyak yang abang gunakan. Tak terbayar nanti!” suara Irna kedengaran bergetar. Wajahnya kelihatan merah menahan emosi.
”Pandai-pandai awaklah! Kalau berkira sangat simpan balik baju yang aku beli itu!” suaminya bersuara sinis.
”Mana boleh simpan balik bang! Sudah terlambat! Casher dah kira dan keluarkan resit pembayaran. Abang bayar dengan duit abang ye?” suara Irna kedengaran memujuk. Casher di kanter bayaran pasaraya itu pura-pura tidak dengar apa yang ditengkarkan pasangan suami isteri tersebut.
”Awak ni tak faham ke? Guna saja kad kredit awak tu! Dengan suamipun nak berkira! Entah-entah belanja jantan lain tidak pula berkira!” jerkah suaminya dengan kuat. Irna Syahira tergamam. Dengan wajah tebal, dia mengeluarkan kad kredit dari beg duitnya dan menyerahkan kepada casher di kaunter bayaran yang menyambutnya dengan wajah selamba. Suaminya mencapai bungkusan baju-baju baru yang dibelinya dan berlalu dari situ. Irna Syahira tunduk menandatangani resit pembayaran.
”Tensionnya aku! Setiap kali beli keperluannya akan guna kad kredit aku! Duitnya jangan haraplah! Macam tangkai jering!” bisik Irna di dalam hati. Kelibat suaminya sudah hilang di hadapan. Pelanggan-pelanggan pasaraya kelihatan berbondong-bondong keluar masuk ke pasaraya tersebut.
”Aku tahu awak sudah ada jantan lain!..Awak sememangnya betina curang!” suara suaminya bagaikan sembilu tajam. Irna Syahira terkedu. Dia mengurut-urutkan dadanya. Jauh di dalam hatinya terasa pedih. Hatinya bagaikan disiat-siat dengan kata-kata kasar begitu pada suatu malam di rumah mereka di Kuala Terangganu.
”Abang! Apa yang abang cakapkan ini? Bila masanya Irna menduakan abang? Demi Allah dan Nabi Muhammad tidak pernah langsung terlintas dalam hati ini untuk menduakan abang!” suara Irna Syahira bergetar membela diri. Matanya kelihatan berkaca-kaca dan pandangannya menjadi kabur. Namun pembelaannya tidak sampai ke mana bila penampar Faruq yang perus itu singgah di pipinya. Irna Syahira jatuh terjelepok. Darah merah menitis ke lantai. Angin malam keras menampar wajah Faruq yang mencuka.
“ Usah berpura-pura Irna! Aku tahu segala-galanya! Malah, awak kerap membuat hubungan sulit dengan jantan lain di belakang aku, bukan?” jerkah Faruq dengan suara meninggi. Tuduhan sebagai isteri curang oleh suaminya bagaikan dahan kayu yang sekah dari pohon yang tinggi jatuh menghempap atas kepalanya.
”Abang!...Sampai hati menuduh Irna begitu!” Irna Syahira menjerit. Suaranya kedengaran bergema dalam bilik utama rumah teres dua tingkat itu.
”Ahh! Betina sundal! Tidak pernah puas dengan jantan!” jerkah suaminya. Suaranya kedengaran bergema! Di tingkat bawah, pembantu rumah warga Indonesia kelihatan mengurut-urutkan dadanya. Jauh dalam hatinya merasa simpati pada Irna Syahira yang begitu baik dengannya. Kadang-kadang dialah yang memujuk majikannya yang menangis tersedu-sedu apabila kerap bergaduh dengan suaminya. Malah, dia pula seakan kaunselor rumah tangga memujuk majikannya setiap kali berlaku pertengkaran begitu.
“Cukuplah abang! Dah berkali-kali Irna minta janganlah abang percayakan amalan karut abang itu. Amalan begitu syirik dan berdosa besar!” kedengaran suara Irna membela dirinya. Memang sejak akhir-akhir ini suaminya sering bertengkar dan menuduhnya begitu semenjak dia mengamalkan ilmu hitam yang dipelajari daripada seseorang. Malahan, suaminya bermati-matian cuba mempertahankan ilmu hitam yang dipelajarinya sebagai pemberi pertunjuk kepadanya. Kononnya, dengan amalan tersebut, suaminya boleh mengetahui dengan siapa isterinya kerap berjumpa dan dengan siapa pula isterinya kerap keluar makan tengahari sewaktu rehat di pejabat. Biarpun sudah berbuih mulut Irna Syahira menafikan, namun Faruq kian galak pula menuduh isterinya curang!
“Mungkinkah ini satu helah Faruq untuk menutup kecurangannya bermadu kasih dengan seorang gadis jelita di pejabatnya?” soal Irna Syahira dalam hati. Baru sahaja Irna Syahira ingin membuka mulut untuk bertanyakan gosip hubungan suaminya dengan gadis muda sepejabatnya, suaminya laju melangkah keluar dari bilik utama di tingkat atas rumah tersebut dan seketika kemudian kedengaran deruman kereta keluar membelah kegelapan malam. Irna Syahira menyembamkan wajahnya ke bantal di atas katil dalam tangisan yang memanjang. Hatinya benar-benar pedih dengan tuduhan liar suaminya itu.
Imbauannya terhenti bila suami yang baru dinikahinya itu berdengkur kuat. Dengan perlahan Irna Syahira bangun dari pembaringan itu dan berjalan keluar dari bilik utama di tingkat atas rumah teres dua tingkat di Puchong Jaya. Dia melangkah menuruni anak tangga dan berjalan ke ruang tamu. Irna Syahira melabuhkan punggungnya atas sofa. Suasana hening dinihari itu terganggu oleh bunyi motorsikal yang berlari kencang di hadapan rumahnya. Suasana kembali hening semula. Irna Syahira bangun dari sofa itu dan berjalan ke arah pintu. Daun pintu dibukanya. Angin malam membelai lembut wajahnya yang iras pelakun Erra Fazira. Irna Syahira melangkah keluar ke halaman rumah. Dia mendongakkan wajahnya seketika ke dada langit dan kelihatan bintang-bintang bergemerlapan menghiasi dada angkasa. Rambutnya yang lurus itu terbuai-buai di hujungnya dibelai sang bayu yang berhembus. Entah mengapa, bersenandunglah nostalgia lama di sudut memorinya.
“Abang apa khabar? Maafkan Irna kerana menganggu abang di waktu malam begini” suaranya kedengaran bergetar pada suatu malam. Suara seorang kenalan lamanya bernama Azwan yang dipanggilnya abang. Persahabatan mereka sebagai kawan biasa sudah lama. Dia mendapat tahu Azwan sudahpun beristeri dan belum dikurniakan cahayamata. Walaupun sudah lama tidak berhubungan namun Azwan masih mesra melayaninya sebagai kawan lama. Entah mengapa wajah Azwan timbul di ruang matanya daripada ramai rakan-rakannya yang lain.
“Irna tak dapat tidur kerana rindukan abang” suara Irna Syahira kedengaran bergetar. Dia melangkah menuju ke jendela bilik dan memandang kegelapan malam. Semenjak hari itu suara Azwanlah yang dapat mententeramkan jiwanya yang sedang berkecamuk! Azwanlah tempat dia mengadu. Azwanlah tempat dia bertukar-tukar fikiran setelah diceraikan Faruq. Namun, Azwan adalah lelaki mulus yang tidak pernah mengambil kesempatan atas dirinya. Bermula sebagai sahabat lama dan tempat mengadu masalah, kini tanpa diduganya telah bertukar menjadi seorang kekasih. Azwan pernah memintanya datang ke rumah dan diperkenalkan kepada isterinya. Azura, isteri Azwan yang bertubuh tinggi lampai menerima kedatangannya dengan wajah ceria. Wujud keserasian dalam persahabatan antara dia dengan Azura. Malah pernah dia bersama Azura berjalan dari satu pintu kedai ke satu pintu kedai di Bandar Kuala Trengganu dan minum bersama tanpa kehadiran Azwan.
Titisan embun jantan mulai menitis di atas kepala. Irna Syahira tersedar dari lamunannya. Dia melangkah masuk semula ke dalam rumah teres dua tingkat itu. Dia melangkah ke ruangan dapur. Dia menyediakan segelas susu panas dan duduk di meja makan. Susu yang masih panas itu diminumnya perlahan. Fikirannya masih teringatkan Azwan yang pernah menjadi kekasihnya suatu masa dahulu.
”Mungkinkah Azwan masih ingatkan aku? Ahh!! Aku yang menyebabkan perpisahan ini! Salahkah aku memutuskan ikatan kasih dengan dia? Aku tidak sanggup melukakan hati Azura, insan sejenis denganku” bisik Irna Syahira pada diri sendiri. Peringkat awal percintaan mereka, Azwan tidak sanggup menerima kehadirannya sebagai kekasih, namun akhirnya bersetuju dengan syarat isterinya Azura melerakan perhubungan mereka. Irna Syahira sedar Azwan begitu iklas dalam percintaan mereka.
”Irna umpama sekumpulan lebah yang hinggap sekejap di dahan kayu sebelum terbang semula” suara Azwan kedengaran pada suatu petang di tepi sungai Seberang Takir, Kuala Trengganu.
”Percayalah abang! Irna bukan begitu! Irna berjanji tidak akan meninggalkan abang untuk selamanya. Abanglah kekasih Irna yang terakhir. Tiada lelaki lain selepas abang! Percayalah” suara Irna kedengaran bergetar. Azwan memandang lama ke dalam bola mata Irna Sharina mencari sinar keiklasan. Irna Syahira tunduk malu-malu bila direnung begitu.
”Benarkah begitu?” soal Azwan perlahan. Di bawah wakaf tidak jauh dari situ kelihatan pengakap-pengakap sekolah rendah sedang mengadakan perbincangan yang diawasi guru-guru pembimbing.
”Abang masih sangsi pada cinta suci Irna?” soal Irna Sharira dengan suara bergetar. Wajah Azwan dipandangnya mencari jawapan. Azwan mengeluh perlahan. Dia bangun dan melangkah ke gigi sungai yang sedikit bergelombang ditiup bayu petang.
”Entahlah! Ramai yang berjanji begitu, dan akhirnya memungkirinya” suara Azwan kedengaran perlahan. Deru motorboat perahu tambang yang membawa penumpang ke Bandar Kuala Trengganu dari Seberang Takir memecah keheningan petang.
”Irna bukan sekumpulan lebah sebarangan, Sekali hinggap di dahan cinta, akan kekal untuk selamanya. Percayalah pada Irna” suara Irna Syahira seakan merayu. Wajah Azwan yang iras pelakun Rosyam Noor itu dipandangnya dengan pandangan redup.
”Abang percaya pada Irna. Walaupun begitu, bergantung juga pada keizinan Azura, isteri abang” suara Azwan kedengaran bergetar. Terpamer senyuman di wajahnya.
”Terima kasih abang kerana masih ada kepercayaan pada Irna. Irna berjanji akan berterus terang pada Kak Zura suatu masa yang sesuai nanti. Jika Kak Zura beri kebenaran, Irna akan jadi isteri kedua abang. Irna akan jadi hamba yang paling setia pada abang untuk selamanya” janji Irna Syahira dengan suara bergetar.
Namun jauh di sudut hatinya merasa masih ada api dendam yang membara pada Faruq, bekas suaminya dahulu. Pernah dia besumpah untuk membuktikan pada Faruq bahawa dia juga boleh mencari ganti suami yang masih teruna sebagai balasan kepada perbuatan Faruq yang menikahi gadis jelita sepejabat dengannya.
”Buktikanlah jika ada anak teruna yang sudi menikahi awak! Sudahlah! Agaknya awak bermimpi di siang hari!” suara Faruq kedengaran sinis dan menyakitkan hati. Hatinya kian membengkak dan berdenyut-denyut! Suara sinis Faruq benar-benar mencabar maruah dirinya.
”Akak...Sudikah jika kami perkenalkan akak dengan seseorang? Manalah tahu jika ada jodoh, akak kahwinlah dengan lelaki muda itu” usek adik sepupunya pada suatu malam di meja makan.
”Berkenalanlah dahulu, Irna. Lelaki itu masih bujang dan kaya pula” sampuk emak saudaranya sambil tersenyum.
”Namanya Syed Azizudeen, anak kenalan Makcik. Lelaki itu seorang usahawan muda dari Melaka” suara emak saudaranya kedengaran mesra. Bapa saudaranya hanya tersenyum memandang wajah Irna Syahira yang ayu itu.
”Ini peluang awak untuk membuktikan pada Faruq, bekas suami awak dahulu. Jika dia boleh nikah anak dara, awak juga boleh nikah anak teruna!” bisikan hatinya dan menggegarkan urat sarafnya. Ternyata sekam membara yang hampir padam mulai bernyala semula. Ternyata dendamnya pada Faruq, bekas suaminya itu masih lagi membara!
” Jangan! Awak akan melukakan hati Azwan! Bukankah awak sudah berjanji akan setia kepadanya?” jerit batinnya membantah.
”Ahh! Pedulikan Azwan! Bukankah dia sudah beristeri? Sanggupkah awak melukakan hati Azura, kaum sejenis awak?” soal hatinya kembali dengan congah.
”Astagfirullah! Jangan begitu Irna! Lupakah awak pada Azwan yang banyak membantu ketika awak diceraikan dulu? Dialah tempat awak mengadu jika ada masalah. Jangan awak lupakan janji setia awak kepada Azwan! Bukankah isterinya, Azura sudah memberi kebenaran untuk awak menikahi suaminya Azwan?” soal batinnya kembali. Namun soalan batinnya itu tenggelam bila hatinya yang terbakar itu terus menjerit.
”Ahh! Tinggalkan Azwan!...Dia bukannya berharta! Pedulikan dia! Awak terima saja tawaran berkenalan dengan anak teruna ini. Lagipun dia seorang usahawan yang berjaya! Hidup awak akan terbela kerana kekayaannya. Semua kehendak awak dapat dipenuhinya. Paling penting, awak buktikan kepada Faruq, ada lagi anak teruna yang mahu menikahi awak!” hatinya terus bertingkah. Manik-manik peluh mulai kelihatan di hujung hidungnya yang mancung itu. Semua mata masih tertumpu kepada Irna Syahira. Mereka bagaikan tidak sabar lagi menanti jawapan.
”Err...Bolehlah! Kalau ada jodoh dengan lelaki bujang apa salahnya? Lagi pun Irna belum ada kekasih lagi sekarang ini...” ujar Irna Syahira dan tersenyum. Di luar rumah, titis-titis air hujan mulai turun menjadi lebat. Sesekali cahaya kilat menerangi angkasa dan guruh berdentuman membelah angkasa yang kelam di dada malam.

Tuesday, August 18, 2009

CERPEN- KUNTUM-KUNTUM MAWAR MERAH DI PAGAR CINTA

Hujan renyai-renyai kini bertukar menjadi lebat. Cuaca panas yang pengap di dalam bilik itu kini bertukar menjadi lembab. Tempiasan air hujan dari cucur atap rumah teres tiga bilik di Taman Sentosa Tanjung Malim itu kian galak menerjah ke wajahnya yang kelihatan masih muda. Namun tempiasan air hujan itu tidak langsung dihiraukannya. Dia masih terus berteleku di jendela. Fikirannya menerawang jauh melepasi lapisan langit ketujuh!
”Ibu, tutup jendela! hujan lebat!” jerit anak lelakinya yang berusia tujuh tahun. Jeritan Haidar membuatkan Shareena tersedar dari lamunannya. Dengan spontan daun jendela itu ditutupnya. Shareena menoleh memandang anak sulongnya yang masih berunifom sekolah. Entah bila bas sekolah yang di naiki anaknya itu melewati hadapan rumahnya, dia sendiri tidak pasti.
”Ibu tidak sedar hujan turun?” soal Haidar penuh kehairanan. Shareena tersenyum memandang wajah anak sulongnya. Tangannya meraup rambut anaknya ke belakang membuang titisan air hujan. Dia mencapai tuala bersih di sisi katil dan mengesat rambut anaknya. Shareena tersenyum memandang wajah anak sulongnya. Jauh di sudut hati dia merasa amat bahagia mempunyai anak seperti Haidar yang petah berkata-kata walaupun usianya masih muda menjagung.
”Haidar pergi tukar baju, mandi dan pakai pakaian kering yang ada dalam almari pakaian. Nanti boleh makan bersama ibu” perintah Shareena. Dia melangkah ke arah ruangan dapur. Sempat juga dia menjengah sebentar ke dalam bilik belakang. Hatinya merasa lega bila melihat dua orang lagi anaknya masih nyenyak tidur. Hairey berusia empat tahun sudah disuapkan nasi sementara Haimey yang berusia lapan bulan sudahpun menyusu. Shareena menyendukkan nasi yang masih panas ke dalam pinggan. Aroma ayam masak kicap yang dimasaknya memenuhi ruangan dapur. Itulah menu kegemaran anaknya, Haidar. Malah, itulah juga menu kegemaran bekas suaminya suatu masa dahulu.
”Bekas suami? Ahh!..Biarkanlah! Buat apa aku masih ingatkan dia? Buat rengat sahaja! Bukankah dia sudah meninggalkan aku beberapa bulan yang lalu? ” bisik hati Shareena dengan wajah mencuka. Air matanya sudah banyak tertumpah dalam mempertahankan mahligai rumah tangga yang dibina atas pilihan keluarga. Kini segalanya sudah mumur. Dia yang sudah disahkan sebagai ibu tunggal oleh Mahkamah Syariah, malah sudah melangkaui tempoh edah tiga kali suci. Walaupun begitu, belum lagi terlintas di hatinya untuk mencari pengganti. Dia juga berjanji pada diri sendiri untuk tidak menangis lagi.
”Abang...Sha minta abang ubah perangai yang kerap keluar malam. Abang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Kesian pada Haidar, dia selalu bertanya abang pergi ke mana setiap malam?” Shareena cuba memberi nasihat pada suaminya pada suatu malam. Namun suaminya yang sudah siap berpakaian terus membisu. Malah, kehadirannya di dalam bilik utama rumah itu seolah-olah tidak pernah dirasai kewujudannya. Tanpa menjawab dan memandang ke wajah Shareena, suaminya mencapai kunci kereta dan mula melangkah ke arah pintu.
”Abang!..Kalau abang sudah bosan pada Sha, cakaplah! Janganlah anak-anak yang tidak berdosa itu dihukum!” suara Shareena kedengaran bergema. Suaminya yang mula melangkah ke arah pintu terhenti. Wajahnya mulai merah menyinga. Bola matanya tersembul meratahi wajah Shareena yang gobar itu.
”Awak boleh tidak tolong diam? Bingit telinga aku! Ikut suka akulah hendak ke mana!. Awak tidak ada hak mengongkong aku, faham!” jerkah suaminya dengan congah. wajahnya kelihatan merah padam.
”Sha bukan berniat mengongkong abang...Setiap malam abang keluar rumah dan baliknya dinihari. Sha minta abang fikirlah, Abang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Kalau abang sudah tidak sayangkan Sha lagi, Sha boleh terima hakikat tersebut. Cuma Sha minta abang fikirkanlah masa depan anak-anak kita yang masih kecil itu” suara Shareena kedengaran bergetar. Wajahnya mulai kemerahan menahan emosi.
”Sha! Bukankah aku sudah cakap tadi! Jangan mengongkong kebebasan aku! Aku hendak keluar ke mana? keluar dengan siapa? Balik jam berapa? Tolong jangan ambil tahu, boleh?” jerkah suaminya yang perus. Serentak itu satu hayunan penampar hinggap di pipi kiri Shareena. Haidar dan Hairey meluru memeluk ibunya yang tersungkur di lantai. Kedua anak yang masih kecil itu menangis ketakutan.
”Sampai hati abang memukul Sha begini! Kalau abang sudah ada perempuan lain cakaplah bang! Jangan menghukum Sha begini!” suara Shareena tersekat di kerongkong. Suaminya melangkah keluar dengan dentuman daun pintu yang ditarik kuat. Terasa bagaikan gugur jantung Shareena. Dia yang masih terjelepok di atas lantai dengan linangan air mata. Darah merah dari mulutnya menitis ke lantai. Sejak peristiwa malam itu, suaminya tidak pulang lagi ke rumah. Puas sudah dia cuba menghubung telefon bimbit suaminya namun tidak mendapat jawapan. Betapa luluh hatinya dua minggu selepas peristiwa itu bila menerima mesej dari suaminya melalui sistem pesanan ringkas (sms); dia telah ceraikan dengan talak satu!
”Sedapnya Ibu!” Haidar berkata dengan girangnya. Shareena tersedar dari lamunannya. Dia tersenyum menyembunyikan luka di hatinya yang berdarah.
”Makan perlahan-lahan. Jangan gelojoh!” ujar Shareena berwajah ceria. Seboleh mungkin perasaan anak-anaknya perlu dijaga. Dia tidak mahu anak-anaknya yang masih muda menjagung itu tahu betapa deritanya dia dalam menempuhi saat-saat perpisahan begini. Kalau boleh dia hendak sentiasa tersenyum dan ketawa biarpun batinnya terseksa.
”Lepas makan, jangan lupa pergi mengaji” Shareena memberi arahan. Haidar terus menyuap nasi ke mulut dengan begitu berselera sekali. Dua kali tambah nasinya. Shareena tersenyum puas!
”Ibu, tadi ustaz di sekolah ajar cara-cara bersembahyang berjemaah. Haidar teringin sangat hendak sembahyang berjemaah di masjid dengan Papa. Kalau Papa ada, tentu boleh bawa Haidar ke masjid macam Azim dan Mirul” Haidar berkata dalam nada ceria. Namun keriangan di wajahnya itu tidak lama. Senyuman di wajahnya bertukar menjadi mendung. Suapannya terhenti. Haidar membasuh tangan dan berlari ke dalam bilik. Daun pintu bilik dikunci dari dalam. Shareena terpingga-pingga seketika. Segera dia membasuh tangan dan meluru ke arah pintu bilik anak sulongnya. Shareena mengetuk daun pintu.
”Haidar! Mengapa tidak habiskan nasi di atas meja? Mari keluar sayang. Tak baik tau membiarkan rezeki begitu!” Shareena terus memujuk. Namun tiada kedengaran suara Haidar. Shareena terus memujuk anak sulongnya. Namun Haidar terus membisu.
”Nanti Haidar keluar makan ya? Jangan bazirkan makanan begitu, Tuhan marah!” Shareena terus memujuk. Tidak lama selepas itu Haidar keluar dari dalam bilik. Matanya kelihatan merah berkaca-kaca. Shareena memeluk tubuh anak sulongnya. Air mata Haidar membasahi pipi.
”Maafkan Haidar, Ibu. Haidar nak jadi macam kawan-kawan. Ramai bersembahyang berjemaah dengan abah mereka di masjid. Mengapa Papa tinggalkan kita, Ibu?” soalan Haidar bagaikan sembilu menusuk kalbu. Air mata Shareena kian membasahi pipinya yang kian cengkung itu.
“Sabarlah sayang. Nanti Papa bawa Haidar bersembahyang di masjid” pujuk Shareena dengan suara bergetar. Tangannya terus mengusap rambut anak sulongnya itu.
“Papa bukan ada di sini! Papa sudah tidak sayangkan Haidar lagi!” Haidar bersuara dalam sendu. Air matanya terus membasahi pipi.
”Siapa cakap Papa tidak sayangkan Haidar? Papa masih sayang Haidar, Papa sayangkan Hairey, Papa sayangkan Haimey” pujuk Shareena dengan suara lunak. Matanya kelihatan berkaca-kaca. Tangannya masih mengusap rambut anak sulongnya dengan belaian mesra.
”Ibu bohong! Kalau Papa sayangkan Haidar, mengapa Papa tidak balik ke rumah? Mengapa Papa pukul Ibu? Haidar lihat Ibu selalu menangis waktu malam. Papa jahat!” Haidar bercakap dengan nada kuat dan bergema. Shareena terkedu mendengar Haidar berkata begitu. Bola mata Haidar dipandangnya lama. Ada keiklasan dalam ungkapan anaknya itu. Shareena sedar Haidar sudah membesar dan sudah faham apa yang berlaku berhubung keretakan rumah tangga yang dialaminya.
”Haidar, Ibu dengan Papa tidak boleh tinggal serumah macam dulu lagi. Papa sudah ceraikan Ibu” Shareena bercakap dalam nada tersekat-sekat. Dia sedar, Haidar sudah besar dan sudah mengerti apa yang sedang ditanggunginya. Dia lebih suka berterus terang dengan anak sulongnya, biarpun usia anaknya masih muda menjagung.
”Haidar benci Papa! Haidar boleh hidup tanpa Papa! Haidar nak belajar jadi orang pandai! Haidar nak masuk universiti! Haidar akan jaga Ibu sampai hari kiamat!” jerit Haidar dan memeluk Ibunya. Shareena merangkul tubuh Haidar. Pecahlah tangisan dua beranak itu umpama pecahnya empangan Ma’arif yang memusnahkan kerajaan Saba’yang masyhur pada zaman Nabi Sulaiman dahulu.
Di luar, terdengar ada orang mengetuk daun pintu. Shareena merungkai pelukkannya. Dia mengesat air matanya dengan kertas tisu. Kemudian dia meluru ke pintu. Seorang pekerja syarikat penghantaran cepat sudah tercegat di pintu. Di tangannya ada satu jambangan bunga. Shareena menandatangani slip penghantaran. Jambangan bunga itu di sambutnya. Shareena tersenyum tawar memandang tulisan pada sekeping kad yang kerap diterimanya di pejabat. Malah, kawan-kawan sepejabat terutama Zuraidah yang curiah selalu menyindirnya.
Tulisan pada kad jambangan bunga masih bergema dalam kepalanya. ”Sha, Yus tahu Sha sedang bercuti. Terimalah jambangan bunga ini sebagai tanda ingatan yang mulus dari Yus”. Shareena meletakkan jambangan bunga di atas meja ruang tamu. Haidar membelek-belek jambangan bunga di atas meja.
”Siapa kirim jambangan bunga ini Ibu?” soal Haidar ingin tahu. Matanya masih lekat pada jambangan bunga di atas meja.
”Entahlah Haidar. Biarlah di situ!.. Ibu tidak pernah minta semua pemberian ini” balas Shareena perlahan. Dalam kepalanya sudah terbayang wajah Encik Yusri, Pegawai Perhubungan Pelanggan yang juga bertugas sepejabat dengannya. Encik Yusri, berkulit putih, kacak dan berusia di awal empat puluhan. Malahan Encik Yusri jugalah yang sering memberi pelbagai cendera hati dan mengambil berat tentang dirinya.
”Mungkin Encik Yus itu benar-benar cintakan awak, Sha” Zuraida memberikan pendapatnya semasa keluar makan tengahari bersama Shareena di Gerai Kak Pah di Medan Selera Tanjung Malim.
”Tiada maknanya, Zu! Bukankah Encik Yus itu sudah berkeluarga dan sudah mempunyai anak?” soal Shareena dalam nada meninggi. Zuraida tersenyum. Dia melirik wajah Shareena yang mulai kemerahan menahan emosi.
”Apa salahnya jika niatnya baik?” balas Zuraida menduga hati sahabatnya itu. Shareena mencebekkan wajahnya.
”Ahh! Aku rasa dugal. Orang lelaki semuanya sama sahaja! Lembut gigi daripada lidah jika belum dapat. Jika sudah dapat, lain pula ayatnya...”jawab Shareena sinis.
”Benar kata awak. Orang lelaki, mana kira itu semua? Jika hati sudah cinta, status dirinya mudah terlupa! Giang!” balas Zuraidah sinis. Pelayan Gerai Kak Pah membawa makanan yang dipesan; nasi campur berlaukkan ikan kembung dan ikan keli bakar, air asam, masak tempoyak ikan patin, masak lemak nenas ikan masin dan pajeri terung. Tidak lupa sambal belacan dan sayur periya goreng ikan bilis. Rasanya begitu menyelerakan! Sebab itulah Gerai Kak Pah begitu popular bagi penggemar nasi campur di Pekan Tanjung Malim.
”Aku akui Encik Yus itu memang baik. Wajahnya juga kacak. Malah dia sering mengambil berat tentang diri aku. Tapi susahlah Zu! Aku tidak sanggup bermadu dan melukakan hati kaum sejenis. Ayat-ayat cinta yang diungkapkan Encik Yus benar-benar membuatkan aku menjadi buntu!” suara Shareena tersekat di kerongkong.
”Awak ni ada-ada sahaja alasan. Kalau sudah jatuh cinta terima sahajalah Encik Yus sebagai pengganti!” usek Zuraidah dan ketawa.
Di meja sebelah, kelihatan Dr Joelati bersama Dr Roskam, pensyarah Jabatan Seni UPSI sedang menjamah kuew-tiaw kerang special. Sesekali sempat juga Dr Joelati mengusek dan mengenyitkan matanya pada Shareena yang berwajah ayu itu.
”Hai Dr Joe, lebih afdal jika Dr Joe kenyit mata pada isteri di rumah” balas Shareena dengan sinis. Dr Joelati terbatuk-batuk. Dr Roskam menggelengkan kepalanya melihat gelagat kawannya itu yang berkumis menggoda dan sudah mula bertukar warna. Seketika kemudian berderailah ketawa dua orang pensyarah itu. Shareena dan Zuraidah turut ketawa dan ketawa mereka berbaur bersama.
”Entahlah Zu!...Hati aku ini masih tertutup lagi untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki dalam hidup ini. Mungkin esok atau lusa hati aku akan terbuka, siapa tahu?” balas Shareena dalam nada perlahan. Zuraidah terus menyudu nasi campur ke mulutnya.
”Aku dengar bukan sahaja Encik Yus jatuh cinta pada awak, malah ramai lagi yang ingin masuk melamar, termasuklah seorang anggota keselamatan. Betulkah begitu, Sha?” soal Zuraidah dalam nada mengusek.
”Mana ada! Macamlah aku ini artis popular yang menjadi rebutan ramai. Merapeklah awak ini Zu!” balas Shareena dan ketawa. Nostalgia indah itu terputus bila telefon bimbit Shareena yang terletak di atas meja berdetik beberapa kali. Shareena membaca sms yang tertera.
”Sha sayang, Abang menyesal kerana mengabaikan Sha dan anak-anak. Abang mengaku abang deder. Maafkanlah abang. Abang sedang dalam perjalanan balik ke rumah. Kita ke Mahkamah Syariah untuk proses nikah semula. I miss you so much”. Shareena tergamam. Imbasan wajah bekas suaminya yang perus itu tenggelam timbul berselang seli wajah kacak Encik Yusri. Kepalanya menjadi pengeng secara tiba-tiba. Dia benar-benar berada di persimpangan jalan yang berliku. Pandangan matanya menjadi berpinar.
Di pintu pagar, terdengar hon kereta dibunyikan. Haidar meluru ke arah pintu. Seorang lelaki di usia awal empat puluhan melangkah keluar dari dalam kereta. Penampilannya begitu bergaya. Lelaki itu tersenyum memandang Shareena yang berdiri di hadapan pintu. Di tangan kanannya ada sekuntum mawar merah lalu dihulurkan kepada Shareena.
”Encik Yus? Err...Apa ertinya pemberian ini?” soal Shareena dengan suara bergetar. Di seberang jalan kelihatan bekas suami Shareena baru sahaja sampai dan melangkah turun dari kereta. Dia juga turut melambaikan tangannya ke arah Shareena. Di tangannya juga kelihatan sekuntum mawar merah. Pandangan mata Shareena menjadi gelap. Dia terjelepok di hadapan pintu. Di dada langit, mentari bersaga mulai dilitupi mendung kelabu yang berarak perlahan dihembusi sang bayu.


GLOSARI

Afdal - Terbaik
Berpinar -penglihatan mata berkunang-kunang
Congah- Angkuh
Curiah- Peramah
Deder- Lalai
Dugal- Rasa loya
Giang- lelaki yang miang
Gobar – Sedih hati
Mulus- Tulus iklas
Mumur- Hancur lebur
Pengap- menyesakkan nafas
Pengeng-Berasa pening kepala yang amat sangat
Rengat- Sakit hati
Perus- bengis dan kasar
Teleku- Bertelekan dengan siku

Monday, August 17, 2009

UPSI HIDUPKAN KEGEMILANGAN SASTERA ERA SITC

Terbit Dalam Warta Kampus Julai 2009

Sultan Idris Training College (SITC) sememangnya terkenal sebagai institusi perguruan Melayu awal 1920-an yang melahirkan ramai tokoh pengarang yang menggunakan pena meniupkan semangat nasionalisme.
Menyedari hakikat perlunya ada kesinambungan memperkasakan aktiviti sastera di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), pada 8 hingga 10 Jun lalu, Kursi Tun Abdul Ghafar Baba dan Institut Kajian Integrasi Nasional menganjurkan Bengkel Penulisan Kreatif di universiti berkenaan.
Bengkel dihadiri seramai 30 peserta yang berminat dalam penulisan kreatif dari beberapa agensi kerajaan, institut pendidikan guru, sekolah malah kakitangan UPSI memperlihatkan minat mendalam mereka untuk menjadi penulis kreatif.
Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Profesor Dato’ Dr Zainal Kling, berkata objektif bengkel penulisan kreatif tersebut adalah bagi memberi pengetahuan berhubung perkembangan sastera dan peranan golongan penulis dalam menyebarkan kesenian kepada masyarakat.
“Bengkel Penulisan Kreatif yang dianjurkan ini juga untuk menyebarkan pengetahuan berhubung teknik-teknik penulisan yang berkesan dan kreatif”, katanya.
Penulis dan sarjana tersohor dari UPSI, Profesor Dato’ Dr Mohd Yusof Hasan yang menghasilkan lebih 100 artikel dan 300 kertas kerja memberi ceramah berhubung penulisan dan pembinaan minda, teknik menghasilkan artikel berkualiti, dan analisis karya agung.
Ketua Jabatan Seni, Fakulti Seni dan Muzik, Dr Mohd Johari Ab.Hamid atau nama penanya Izzah Joelati dalam penulisan kreatif memberi ceramahnya berhubung teknik penulisan novel, pengembangan idea dalam penulisan, dan bacaan hasil karya. Beliau pernah seorang novel remaja seperti Janji Kita (2006) dan Menjaring Mimpi (2007) terbitan Buku Prima Alaf 21.
Ceramah `Teknik Penulisan Cerpen’ oleh Cik Hasrina Baharum, pensyarah dari Fakulti Bahasa UPSI. Antara cerpen yang dihasilkannya ialah Harga Sebungkus Nasi Lemak (Warta Kampus UPSI,2009), Kembalinya Seorang Pejuang (Pelita Bahasa,2008), Menggapai Impian (Dewan Siswa,2008), Di Mana Kau Cinta (Jendela Selatan,DBP Wilayah Selatan,2008).
Ghazali Din atau nama penanya Ihsan Noorzali menyampaikan ceramah berhubung `Penulisan Buletin Jabatan dan Teknik Penulisan Puisi’. Antara karya puisinya yang diterbitkan antologi puisi Danau Di Dadaku (2007-perseorangan), Merindu Alam (DBP, 2008-perseorangan). Kira-kira 200 puisi puisi beliau tersiar di pelbagai media tanah air termasuk antologi puisi bersama, akhbar, majalah dan dijadikan lagu puisi dan nasyid.
Ghazali yang pernah memenangi hadiah utama Hadiah Sastera Utusan –Public Bank pada tahun 1996 dan hadiah utama Hadiah Sastera Utusan-Exxon Mobil tahun 2004 turut menyentuh pengalamannya dalam menghasil puisi sejak tahun 1983.
Manakala wakil GAPENA, Tuan Haji Hamzah bin Hamdani turut dijemput untuk memberi ceramahnya bertajuk `Teknik Penerbitan dan Editing’ .
Majlis perasmian penutup Bengkel Penulisan Kreatif disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Mohd Mustamam Abdul Karim.
Ketika berucap beliau berkata menyedari akan sumbangan besar Allahyarham Za’ba dalam bidang penulisan semasa menjadi ketua Pejabat Karang Mengarang ketika zaman Sultan Idris Training College (SITC) suatu masa dahulu, maka pihak pengurusan universiti menyokong hasrat Kursi Tun Abdul Ghafar Baba di bawah Penyandangnya, Profesor Dato’ Dr Zainal Kling untuk menganjurkan bengkel berkenaan.
“ Melalui program ini pasti akan lahir lebih ramai penulis-penulis muda yang bakal mewarnakan dunia penulisan dalam negara dan peringkat antarabangsa. Adalah diharapkan para penulis muda yang dilatih di UPSI ini akan terus berkarya dan selitkanlah konsep 1 Malaysia dalam karya demi negara tercinta”, katanya.
Bagi peserta, Zaihanim Zainal Abidin, guru Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya Selangor berpendapat bengkel berkenaan banyak beri pendedahan kepada penulis muda untuk berkarya. Walaupun sudah menulis lebih daripada 25 novel popular, Zaihanim masih gigih untuk menimba pengetahuan berhubung penulisan kreatif. Antara novel terlaris karya beliau yang sudah berada dalam pasaran adalah Emel Untuk Balqis, Rahsia Yang Terindah, Garis-Garis Duka, Memburu Kasih, Tanah, Seperti Dulu, Aku Dan Duniaku, Mat Ro, dan Erti Sebuah Pengorbanan.
Bagi peserta Tengku Raudhah Tengku Razman, dari Pejabat Naib Canselor UPSI minatnya yang mendalam dalam karya kreatif menyebabkan beliau antara pembeli setia novel-novel popular yang baru berada dalam pasaran.
Beliau yang mendapat galakan daripada Naib Canselor untuk menambah ilmu penulisan agar dapat diaplikasi dalam tugas seharian di pejabat, berkata, setelah mengikuti bengkel penulisan kreatif menimbulkan keazaman untuk menghasilkan karya kreatif yang bercirikan 1 Malaysia suatu hari nanti.
Nurul Shazlina Mohd Sharif berkata bengkel itu banyak memberi ilmu berhubung teknik-tenik penulisan yang berkesan.
“Insya-Allah, selepas ini saya akan mula menulis dan akan menghubungi pembimbing tenaga pengajar dari UPSI untuk mendapat lagi bimbingan dalam bidang penulisan kreatif”, katanya.
Bagi pesara guru, Bashariah Mohd Sharif dari Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor melalui bengkel banyak memberi dorongan kepadanya untuk menulis pengalamannya sebagai guru selama lebih 30 tahun.
“Allahyarham ayah saya adalah seorang guru lepasan SITC dan beliau banyak menulis. Saya berazam untuk mengikuti jejaknya di sini dengan menulis karya yang ada hubungannya dengan perjuangan dan pengorbanan para guru dalam memartabatkan anak bangsa”, katanya.
Pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan Sarawak, Muhaimi Suhaili berazam menggunakan ilmu yang dipelajari di UPSI sebagai permulaan untuk berjinak-jinak dengan penulisan kreatif.
“Dunia penulisan kreatif begitu indah untuk diterokai. Karya kreatif dapat menzahirkan naluri yang terpendam berhubung sesuatu penceritaan berkaitan kehidupan masyarakat”, katanya.
Majlis penutupan bengkel disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Mohd Mustamam Abd Karim, pada 10 Jun 2009.
Ketika berucap beliau berkata menyedari akan sumbangan Allahyarham Za’ba dalam bidang penulisan semasa menjadi ketua Pejabat Karang Mengarang ketika zaman Sultan Idris Training College (SITC) satu ketika dahulu, maka pihak Pengurusan Universiti menyokong hasrat Pejabat Kursi Tun Abdul Ghafar Baba di bawah Penyandangnya, Profesor Datuk Dr Zainal Kling menganjurkan bengkel Penulisan Kreatif bagi melahirkan lebih ramai penulis-penulis muda yang akan mewarnai dunia penulisan kreatif negara dan peringkat antarabangsa.
“ Saya juga berharap penulis muda yang mendapat bimbingan di UPSI ini akan terus berkarya dan sensitif dengan konsep 1 Malaysia dalam karya demi aspirasi kepimpinan negara kita”, katanya.