Thursday, October 1, 2009

CERPEN-SEBENTUK CINCIN DI JARI MANISNYA

Malam masih muda. Kenderaan bersimpang siur keluar dan masuk ke Taman Bernam Baru, taman perumahan ’elite’ yang terletak di Tanjung Malim. Di taman itulah terletaknya rumah sewa Aireen Fifi, siswi semester tiga dari Fakulti Sains Sukan. Siswi itu berwajah ayu dan menyewa bersama rakan-rakan siswinya berjumlah sepuluh orang. Malam itu, hanya tinggal tiga orang sahaja siswi di rumah sewa rumah teres tiga tingkat. Teman-teman siswi yang lain sibuk dengan kuliah atau membuat rujukan di perpustakaan Tuanku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Aireen Fifi tinggal keseorangan di dalam bilik di tingkat tiga rumah sewa itu. Dua lagi rakannya mungkin berada di dalam bilik masing-masing di tingkat bawah. Siswi itu memerhati suasana malam dari koridor rumah tersebut. Angin malam lembut membelai wajahnya dan rambutnya yang lurus di paras bahu itu terbuai-buai dihembus sang bayu.
Fikiran Aireen Fifi terbayangkan peristiwa petang tadi di mana dia tercegat berdiri di celah kesibukan siswa dan siswi yang baru tiba dengan bas Universiti sebelum waktu Mahgrib untuk menghadiri kuliah pada sebelah malam. Daniel Haji Zainuddin, siswa kacak yang berada di semester enam program pendidikan bimbingan dan kaunseling dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia sudah hilang daripada pandangan matanya. Aireen Fifi yakin siswa kacak itu sedang mencari kekasihnya bernama Farah Diana binti Ahmad Tajudeen, siswi semester empat program pendidikan matematik dari Fakulti Sains dan Teknologi. Mungkin juga siswi itu sudah kembali ke kolej kediaman Za’ba yang terletak kolej Sultan Azlan Shah di Proton City.
Aireen Fifi mengatur langkah menuju ke arah kereta Produa Kelisa bewarna keemasan miliknya yang terletak di parkir kereta berhampiran pondok pengawal keselamatan. Siswi itu terus pulang ke rumah sewanya tidak jauh dari Kampus Sultan Abdul Jalil Shah. Rumah teres tiga tingkat yang disewanya bersama rakan-rakan siswi yang lain pada kadar RM1,500.00 sebulan; tidak termasuk bayaran elektrik dan air. Jiran sebelah rumahnya bernama Encik Nasir yang juga seorang felo kediaman luar kampus mempunyai wajah yang mirip penyanyi Mawi begitu mesra sekali dengan mereka.
Tidak seperti kebanyakkan teman siswinya yang lain, Aireen Fifi merasa lebih selesa tinggal di luar berbanding tinggal di kolej kediaman Za’ba. Siswi itu mengakui tinggal di luar memberikannya kebebasan yang diingininya.
“Kebebasan? Apakah kalau tinggal di kolej kediaman kita tidak bebas?” soal Farah Diana yang juga Ahli Jawatankuasa Kolej Za’ba kepada Aireen Fifi pada suatu hari yang cerah. Siswi itu dahulunya terpaksa tinggal selama dua semester di kolej itu hanya tersenyum sinis sambil melontarkan kata-kata pedas yang dianggap oleh Farah sebagai kurang berasas.
“Memang benar! Sesiapa yang tinggal di kolej kediaman tidak merasa bebas. Rasa dunia ini gelap dan terkongkong. Banyak aktiviti kolej yang perlu diikuti. Kita datang ke Universiti ini untuk belajar dan memperolehi segulung ijazah. Kita datang ke sini bukan untuk melakukan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah dan boleh menjejaskan prestasi dalam peperiksaan akhir semester!” ujar Aireen Fifi dengan nada kasar. Dia merasa puas dapat meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Farah Diana tersenyum memandang wajah Aireen Fifi yang mulai merah padam menahan emosi. Sememangnya sudah ramai rakan siswi dan siswa yang sudah masak benar dengan perangai siswi berkulit hitam manis itu. Siswi itu mudah panas baran dan ada kalanya bersikap ’gedik’ mengada-ngada.
“Salah pendapat kau tu Fifi” lembut suara Farah Diana cuba menenangkan emosi siswa berkulit hitam manis itu.
“Mengapa pula salah?” soal Aireen Fifi dengan suara meninggi. Suaranya yang nyaring itu kedengaran bergema-gema di dalam bilik.
“Semasa di kolejlah kita berpeluang untuk menggilap ciri-ciri kepimpinan yang ada dengan bantuan felo dan pengetua kolej yang berwibawa” lembut suara Farah Diana mengajukan pendapatnya. Bola mata Aireen Fifi yang tersembul besar dan wajah menyinga itu dipandangnya.
“Kau sajalah yang gilap..Moga-moga kau jadi Perdana Menteri suatu hari nanti” balas Aireen Fifi dengan congah.
“Jangan cakap begitu. Bukankah setiap kita adalah adalah pemimpin? Bukankah di dalam Al-Quran Surah Al-An’am Allah telah berfirman yang maksudnya: Dan Dialah iaitu Tuhan yang menjadikan kamu pemimpin-pemimpin di atas muka bumi ini” ujar Farah dengan lembut. Siswi itu tersenyum sinis mendengar kata-kata Farah Diana yang lebih senior daripadanya.
“Ala...Sudahlah!! Semua orang tahu kau memang gila nak jadi pemimpin pelajar” balas Aireen Fifi dengan congah.
”Katalah apa yang kau hendak kata. Bukan sakitpun” balas Farah Diana dengan nada perlahan. Dia menggelengkan kepala. Siswi itu merah padam wajahnya.
“Aku boring betul! Banyak sangat aktiviti kolej sehingga kehilangan masa untuk belajar” balas Aireen Fifi mendengus. Angin panas yang bertiup menampar keras ke wajahnya. Debu-debu yang ditiup angin panas berterbangan dan memedihkan mata.
”Kau tidak boleh kata begitu. Bukankah aktiviti yang dirangka di peringkat kolej kediaman banyak faedahnya kepada kita semua?” soal Farah Diana. Wajah siswi itu dipandangnya dengan pandangan yang redup.
“Piirah!! Kalau gagal dalam peperiksaan bolehkah aktiviti kolej membantu menaikkan semula PNGK kita?” soal Aireen Fifi dengan nada sinis. Farah Diana hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kau sepatutnya tidak boleh berfikiran sempit sebegitu” balas Farah Diana kembali.
”Okey! Buktikanlah jika apa yang aku sebutkan tadi itu salah?” soal siswi itu dengan nada tinggi. Farah Diana menarik nafas seketika. Matanya dipejamkan bagaikan mencari ilham.
“Ramai pemimpin pelajar yang aktif dalam aktiviti kolej kediaman namun mereka tetap cemerlang dalam peperiksaan” ujar Farah Diana tenang. Aireen Fifi mencebekkan mukanya. Dari raut wajahnya tergambar dia kurang yakin dengan kata-kata Farah Diana itu.
“Kita ada contoh yang boleh kau fikirkan bersama” lunak suara Farah Diana menikam gegendang telinga Aireen Fifi.
“Betul ke ada?...”soal Aireen Fifi dengan sinis. Wajah Farah Diana seiras pelakun remaja Fauziah Gous itu dipandangnya secara menyeluruh.
“Kau lihat sahaja prestasi siswi bermana Rodziah binti Anuar, mantan Ketua Blok B. Begitu juga Siti Hawa binti Ahmad Naib Ketua Blok. Siti Samehah binti Daud Naib Setiausaha. AJK Blok yang lain seperti Aminah binti Yusoff , Norkamsiah binti Abdul Karim, Siti Hajar binti Len, Nazatulshima binti Kamarulzaman, Norhatina binti Abu Bakar, Nurazimah binti Idris, Geetha a/p Subramaniam, Fara binti Molah, Farah Hana binti Tajul Ariffin, Komila Anak Diyu dan Hayatul Khairiah binti Mohd Zaki. Walaupun aktif di peringkat blok, namun prestasi pelajaran mereka tetap cemerlang” balas Farah Diana dengan yakinkannya. Jauh dalam hatinya terasa suatu kepuasan bila dapat menyebut nama rakan-rakan siswi dalam barisan kepimpinan pelajar peringkat kolej kediaman.
“Ada sesiapa lagi ke?” soal Aireen seakan berminat ingin tahu.
“Kau juga boleh lihat prestasi pemimpin pelapis terdiri daripada Monalisa binti Alias Noradia binti Sidik Ahmed, Siti Khadijah binti Saad, Rusniza binti Abdul Hamid, Nurul Huda binti Abdul Hamid, Nurul Huda binti Juwaini, Nurul Shahida binti Mohd Zain, Nik Fauziahana binti Nik Hassan, Naimah binti Abu Bakar, Angela Anak Girim, Adisia binti Agustinus, Khairul Najwa binti Ahmad dan Farhana binti Mohd Hussin. Mereka semuanya mendapat PNGK 3.60 dan ke atas” ujar Farah dengan bersungguh-sungguh.
“Siapa lagi?” soal siswi itu secara spontan. Dia teruja mendengar nama-nama pemimpin pelapis yang disebutkan Farah Diana. Ternyata banyak perkembangan peringkat kolej kediaman yang tidak diketahuinya. Terdetik rasa penyesalan jauh di sudut hatinya.
“Ada seorang lagi pemimpin pelajar berwibawa bernama Rosnani binti Sarewan” balas Farah Diana dan tersenyum. Wajah Aireen Fifi nampak mulai berubah, tidak ketegang tadi.
”Rosnani? Mana satu ni?” soal Aireen Fifi kembali. Tangannya menggaru-garu kepalanya. Rasa kekesalan tergambar di wajahnya.
”Itulah kau. Bukan hendak bercampur semasa dalam aktiviti kolej. Siswi ini walaupun sudah berkahwin dan sekarang sedang sarat mengandung anak pertama namun tetap aktif dengan pelbagai aktiviti kolej” balas Farah Diana dengan lancarnya.
”Apa istimewanya?” soal Aireen Fifi seperti orang bodoh.
“Rosnani ini dengan perutnya yang memboyot itu sanggup bersama rombongan pemimpin pelajar ke Pinang Tunggal, di Kepala Batas Pulau Pinang untuk berbincang berhubung program motivasi pelajar di kawasan tersebut”
”Sampai begitu sekali..?” soal siswi itu dengan mulut melopong.
“Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti, namun Rosnani tetap mengekalkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan akhir semester. Khabarnya dia mendapat PNGK 3.80 dan bakal menerima pingat emas Tuanku Canselor pada konvokesyen kelak” Farah Diana berkata penuh semangat. Aireen Fifi terdiam seketika.
“Mungkin ada benarnya kata-kata Farah ini” bisik siswi itu di dalam hati.
“Awak kena ingat Fifi. Paling penting ialah diri kita sendiri. Kalau kita bijak membahagikan masa antara belajar dan aktiviti kolej kita pasti akan berjaya. Hanya orang-orang yang berfikiran positif dan beriltizam tinggi sahaja yang akan berjaya dengan cemerlang. Sebaliknya orang-orang yang berfikiran negatif akan menemui kegagalan dalam hidup” ujar Farah Diana dengan yakin. Siswi berkulit hitam manis itu merasakan dirinya sudah kalah dalam ”debat” akhirnya kembali semula kepada sifat ego nya.
“Ah! Sudahlah!!! Muak aku mendengarnya! Kalau kau dah suka sangat tinggal di kolej Za’ba, kau tinggallah sampai kiamat! Aku? Sorry beb!” Aireen Fifi mendengus kasar. Farah tersenyum dan akhirnya berkata dengan nada lembut memujuk.
“ Fifi, kita ini orang Islam...Tidak baik bercakap dengan nada kasar begitu. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: Sesungguhnya Allah amat suka sifat berlembut pada semua perkara”. Lembut sekali penjelasan Farah. Aireen Fifi terdiam.
“ Aku sebenarnya merasa lebih enjoy jika tinggal di luar. Aku merasa bebas...Kalau hendak balik jam berapa? Hendak keluar dengan siapa? Tiada siapapun ambil peduli” ujarnya kembali. Farah Diana merenung wajah Aireen Fifi. Nampak cantik dan lincah siswi ini.
“Fifi….sebagai siswi, kita perlu menjaga nama baik Universiti ini. Bukankah Universiti ini dibina atas titisan darah dan air mata golongan pendidik dari seluruh negara? Bukankah mereka bekorban apa sahaja demi menjadikan tempat kita belajar sekarang ini sebagai sebuah Universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan. Bukankah mereka ini telah berjasa kepada dunia pendidikan. Kita patut berterima kasih dan jangan menghampakan harapan mereka. Kita juga mesti menjaga imej kita sebagai bakal pendidik yang akan mewarnakan masa depan negara selaras dengan Konsep 1 Malaysia” ujar Farah Diana dengan tenang.
“ Ah sudahlah! Aku tidak perlukan penceramah di sini…Apa yang aku buat aku tanggung sendiri! Malah, aku tidak pernah berhutang budi pada sesiapapun termasuk Daniel!” balas siswi itu dengan nada congah.
“Daniel?!!...Mengapa pula dia?” soal Farah Diana kehairanan. Ramai kalangan siswa dan siswi kolej kediaman sudah mengetahui antara Farah Diana dan Daniel sudah ada ikatan cinta yang mulus.
”Lihat cincin ini. Cantik tak? Kalau awak nak tahu cincin ini pemberian Daniel yang sudah menjadi milikku” balas Aireen Fifi dengan angkuhnya. Hatinya merasa puas kerana dapat menyiram air ke atas bara cinta yang hangat menyala.
”Benarkah begitu?” soal Farah Diana dengan suara tersekat di kerongkong. Namun pertanyaan itu tidak dijawab. Aireen Fifi berlalu meninggalkan Farah Diana umpama askar yang tewas dalam medan peperangan. Farah Diana sedar antara dia dan siswi berkulit hitam manis itu kurang sefahaman, lebih-lebih lagi apabila siswi itu mula menaruh hati kepada Daniel, siswa kacak berkumis nipis yang nampak menggoda. Masih terbayang di ruang mata Farah Diana sebentuk cincin di jari manis siswi berkulit hitam manis.
”Benarkah cincin itu pemberian Daniel?” Ahh! Tidak mungkin!” Jantungnya berdegup kencang. Manik-manik peluh mulai kelihatan di hujung hidungnya yang mancung itu.