Monday, November 2, 2009

CERPEN- SALAM TERAKHIR BUATMU HANI

Suasana di wad lima Hospital Slim River seperti di hari-hari sebelumnya. Sunyi dan membosankan. Azura, siswi semester enam dari Fakulti Seni dan Muzik UPSI masih terbaring lesu di atas katil pesakit. Badannya yang dahulu berisi kini kian susut di mamah derita. Wajahnya yang dahulunya putih kemerahan kini kian pucat kekuningan. Pipinya kelihatan cengkung. Air matanya bagaikan aliran sungai yang mengalir lesu ke muara sungai yang berliku. Biarpun dia cuba menelan dugaan ini, namun air matanya tidak henti mengalir bila mengenangkan penyakit misteri yang dihidapinya itu bagaikan suatu petanda akan bermulanya suatu perjalanan yang abadi.
“Pihak hospital masih mengesan punca penyakit dan sedang berusaha untuk mengubati penyakit awak. Berdoalah agar penyakit awak ini cepat sembuh. Jika sudah sembuh, bolehlah awak menyambung semula pengajian awak yang tertangguh” lembut ungkapan Dr Nurul Syuhada, pegawai perubatan yang masih muda dan sering memberi semangat kepadanya. Ungkapan tersebut umpama titisan embun pagi di hujung dedaun yang merimbun.
”Saya faham doktor...err...” kata-kata tersebut tersekat di kerongkong. Dia terbatuk-batuk dan matanya bergenang air mata. Pegawai perubatan itu menggosok belakang badannya yang tinggal rangka.
”Jangan banyak bercakap, awak berehatlah” lembut ungkapan pegawai perubatan itu. Dia membelai lembut rambut Azura. Mata Azura berkaca-kaca dan akhirnya menitis membasahi pipi.
Azura hanya mampu mengangguk dengan pandangan mata yang berkaca-kaca. Hatinya tersentuh bila insan yang ditunggunya selama ini belum juga tiba. Teringin benar untuk dia menatap wajah Hani, teman sekolejnya biarpun hanya untuk seketika. Namun Hani yang dinantinya masih juga belum kunjung tiba. Hatinya menjadi sebak untuk mengucapkan salam terakhir kepada teman yang begitu dirinduinya. Hatinya begitu meruntun untuk menatap wajah Hani, entah mengapa dia sendiri kurang pasti.
”Ingin benar rasaku untuk mengucapkan salam kepada Hani demi suatu pemergian yang tidak pernahku rancang” desis hatinya. Namun temannya masih belum kunjung tiba. Azura memalingkan wajahnya ke sisi. Sepi dan kosong. Jururawat silih berganti bertugas di wad tersebut namun wajah-wajah manis itu tidak langsung menghiburkan hatinya yang gulana. Fikirannya berkecamuk memikirkan Hani. Air matanya sudah lama kering umpama tebing sungai Bill di sebelah rumah Encik Ahmad bin Zainal di kaki Banjaran Titiwangsa yang kemuncaknya nampak berbalam.
”Mungkin dia sibuk dengan kuliah, peperiksaan akhir cuma tinggal dua bulan sahaja lagi” terngiang-ngiang suara Hana, temannya yang saban waktu menemaninya. Dia menoleh memandang wajah sahabatnya itu dengan pandangan sayu. Bibirnya hanya mampu mengukir senyuman yang tawar. Dia faham Hana hanya ingin menghiburkan hatinya dengan alasan begitu. Hana memicit-micit kakinya perlahan. Terasa ada keiklasan sentuhan sahabatnya itu.
Jam sudah hampir lapan malam. Hana memohon diri untuk kembali ke Kolej Za’ba, kolej yang terletak di sebelah kanan laluan menuju ke Poton City. Waktu melawat sudah habis. Kawan-kawan yang lain seperti Safinaz, Zuraini, Suhaimi dan Shahroni telah kembali ke kolej kediaman. Mereka kerap juga datang menziarahinya setiap hujung minggu. Begitu juga barisan felo dan pengetua kolej tidak putus-putus datang dan memberi semangat kepadanya. Namun di sebalik senyumannya yang dipermaniskan itu hatinya diterjah perbagai persoalan mengapakah kawan yang seorang itu masih juga belum datang?” desis hatinya.
”Mungkin dia akan datang esok” terngiang-ngiang suara Hana memujuk hatinya. Dia tersenyum pahit mendengar alasan begitu. Namun Hana tahu alasan begitu sukar diterima Azura, sahabatnya. Tangan Hana digenggamnya erat. Dia cuba bersuara namun suaranya seakan tersekat di kerongkong. Hanya air matanya sahaja yang bisa berbicara.
”Sampaikan salam teristimewa buat Hani” terucap juga lafaz tersebut dari bibir Azura. Matanya berkaca-kaca. Hana memeluk Azura dengan linangan air mata yang tertahan.
”Sabarlah Zura, usah difikirkan sangat tentang Hani. Nanti ana minta juga-juga agar dia datang melawat awak” bisik Hana dan mengesat air mata yang tertumpah. Pandangan mereka tertaut dan pandangan Hana kian kabur dan akhirnya dia memeluk tubuh sahabatnya yang kian susut itu. Dua sahabat itu menangis berpelukan dengan nada sendu.
”Zura minta sangat-sangat untuk Hani datang. Ada ungkapan yang ingin Zura katakan kepadanya”
”Hana akan pujuk agar dia datang juga-juga. Kalau boleh Hana akan bawa dia ke sini”
”Bagaimana jika Hani tidak mahu datang?”
”Hani mesti datang”
”Mudah-mudahan...” ujar Azura dalam suara tersekat di kerongkong. Dia terbatuk-batuk. Seorang jururawat datang mendapatkan Azura yang masih terbatuk-batuk. Dalam keadaan membongkok, jururawat itu mengesat cecair dari mulut Azura.
”Ya Allah! Darah! ” Azura menjerit. Azura terus terbatuk-batuk. Suaranya tersekat, nafasnya tercungap-cungap. Matanya memandang ke atas. Suasana cemas seketika. Jururawat melambai tangannya kepada seorang lagi jururawat dan bercakap-cakap sesuatu dan jururawat itu bergegas menuju ke meja telefon dan menghubungi seseorang.
”Ya Allah, ampunilah dosaku, ampunilah dosa sahabatku Hani...Berilah rahmatMu kepada sahabatku itu” Azura akhirnya kembali bersuara dalam suara bergetar. Nafasnya kian tercunggap. Matanya berkaca-kaca dan pandangan matanya kian kabur.
”Zura maafkan awak, Hani”
”Walaupun kemaafan ini tidak pernah dipinta namun Zura rela memaafkan apa yang sudah berlaku”
”Zura sayang padamu Hani...Zura sudah tidak tahan lagi menanggung penderitaan ini. Sakit Zura kian parah, dan mungkin pemergian ku ini tak dapat ditahan lagi” Azura bersuara perlahan dengan suara bergetar. Bagaikan ternampak di ruang matanya wajah sahabatnya Hani. Mereka pernah bersama semenjak semester satu lagi. Azura cuba menyentuh wajah sahabatnya itu namun wajah yang dirinduinya itu hilang secara tiba-tiba. Azura melaung memanggil nama Hani namun sahabatnya itu hilang entah di mana. Nafas Azura kian tercunggap. Dadanya terasa sakit dan ngilu. Darah merah membuak keluar dari mulut dan lubang hidungnya. Azura terbatuk lagi dan darah merah makin banyak membuak dari mulutnya. Beberapa orang jururawat dan doktor kelihatan sibuk memberi pertolongan cemas kepadanya. Pandangan mata Azura kian kabur dan hanya nampak bayang-bayang lembaga berwarna putih merawatnya. Ada suara di telinganya mengajarnya mengucap. Azura mengangguk tanda faham namun terasa dia di tolak di atas troli menuju ke suatu tempat yang dia sendiri tidak tahu ke mana?
”Mana Hani?” desis hatinya.
”Hani, maafkan Zura. Bukankah kita sering berbincang tentang pelajaran di bawah wakaf di tepi tasek Proton yang permai? Bukankah kita selalu berbicara tentang alam dan Ketuhanan bersama Ustaz Rosli dan Ustazah Bazliah di Surau Al Falah? Bukankah kita selalu bertadarus Al Quran bersama Ustaz Sadadi dan Ustaz Fauzi selepas Solat Tarawih dalam bulan Ramadan?”
”Hani, mengapakah awak masih berkecil hati kepadaku? Jika kerana siswa bernama Ahmad Suhairi yang kacak itu, aku sanggup serahkannya kepadamu. Hani, aku sayang pada mu lebih daripada cintaku pada Suhairi. Hani, terimalah salamku yang terakhir ini..." Azura terbatuk lagi. Darah merah membuak melalui mulut dan hidungnya. Dadanya terasa perit dan ngilu.
"Ya Allah! sakitnya dadaku. Hapuskanlah deritaku ini..Lailahaillallah Muhammadarrasulullah...”terucap kalimah suci di bibirnya. Seorang perempuan muda berlari termengah-mengah mendapatkan troli yang ditolak oleh dua orang jururawat bersama pegawai perubatan. Perempuan muda itu memeluk pesakit yang berada di atas troli di hadapan pintu dewan bedah.
”Zura, maafkan Hani. Hanilah yang bersalah. Hanilah yang memasukkan racun dalam minumanmu. Hani cemburu kerana Suhairi memilihmu, Zura. Hani berdosa! Maafkan Hani..” Namun pesakit yang dipeluk itu sudah tidak bernyawa lagi.