Saturday, February 27, 2010

CERPEN- DI DADA LAUT KUALA BAGAN TIANG

Angin yang berdesau membawa titik-titik hujan. Sesekali kilat sabung menyabung dan guruh berdentuman menggegarkan angkasa. Bangunan sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar tetap teguh, seteguh semangat tenaga pendidiknya yang bertugas demi kemajuan pendidikan negara bangsa.
Jam di dinding menunjukkan pukul 6.50 petang. Pelajar-pelajar sekolah sesi petang sudah lama meninggalkan bilik darjah. Lampu-lampu sudah dipadamkan kecuali lampu di bilik guru masih terang benderang. Guru-guru sesi petang mulai meninggalkan perkarangan sekolah namun tidak bagi guru lelaki itu. Dia masih tekun menulis laporan berhubung kes pelajar sekolah yang ditangkapnya tadi kerana ponteng untuk diserahkan kepada pengetua.
”Cikgu, datang cepat! Ada pelajar ponteng sekolah dalam belukar tepi ladang kelapa sawit” bergema suara seseorang di hujung telefon bimbitnya. Guru lelaki itu bergegas meninggalkan sekolah dengan keretanya jam 2.15 petang menuju ke tempat yang dinyatakan sebentar tadi. Dia berjaya menangkap lima orang pelajar lelaki tingkatan dua dan empat yang ponteng sekolah. Dengan bersusah payah dia membawa semua pelajar yang ditangkapnya kembali semula ke sekolah. Dia terus membawa pelajar-pelajar tersebut ke sebuah bilik yang sering digunakannya untuk kaunseling pelajar. Sebagai guru disiplin sekolah, masalah disiplin pelajar benar-benar merisaukan guru tersebut. Semua pelajar di sekolah itu tahu guru itu amat tegas dalam masalah disiplin pelajar, Malah dia amat pantang jika dimaklumkan ada pelajar ponteng ataupun sengaja lewat sampai di sekolah. Lebih membuatkan dia 'terbakar' jika ada antara pelajar datang ke sekolah dengan rambut panjang berserabai dan kasut comot berlumpur.
”Apa alasan kamu semua ponteng sekolah? Adakah kamu hendak bagi tahu saya rumah kamu jauh dari sekolah? Atau kamu hendak kata kamu terpaksa meredah jalan berlumpur untuk ke sekolah setiap hari?” soal cikgu itu dengan nada keras. Pelajar-pelajar yang ditangkap itu menikus dan menundukkan kepala. Mereka tidak berani bertentang mata dengan guru tersebut. Guru disiplin itu merasa seakan lemas dalam lautan bila lima pelajar yang ditangkapnya itu adalah dari sekolahnya. Lebih menyedihkan bila kedua daripada murid itu masih dalam tingkatan empat sains dan menjadi harapan negara untuk menjulang maruah anak bangsa di mata dunia.
”Kita mahu lebih ramai warga Malaysia seperti angkasawan negara Dr Sheikh Muzaffar Shukur dan Mejar Dr Faiz Khalid. Kita mahu lebih ramai mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa” suara nyaring pengetua sekolah itu kedengaran membakar semangat dalam perhimpunan pagi itu masih lagi terngiang-ngiang di telinganya. Cikgu lelaki itu menarik nafas. Tangannya menyapu kepalanya yang separuh botak dan nampak berkilat itu.
”Apa nak jadi dengan pelajar sekarang tak tahulah. Mereka bagaikan layang-layang putus tali. Mereka sudah hilang jatidiri. Bagaimanakah anak bangsa kita hendak bangun seperti bangsa Jepun yang telah melonjak kembali maruah bangsa selepas kalah teruk dalam Peperangan Dunia Kedua?” soal cikgu itu kepada kawannya Cikgu Ismail Abdul Rahman yang baru masuk ke bilik guru. Cikgu Ismail menggeleng-gelengkan kepalanya apabila dimaklumkan beberapa orang pelajar ditangkap kerana ponteng sekolah. Di tangan cikgu Ismail kelihatan fail pertandingan debat anjuran pihak Kementerian Pelajaran.
”Mungkin pelajar sekarang merasa selesa dalam kehidupan dan manja dengan persekitaran pembelajaran. Mereka tidak seperti kita dahulu, cikgu Dali” ujar Cikgu Ismail kembali. Dia membuka fail dan memasukkan data-data yang baru di-access dari internet. Hati cikgu Ismail mekar membunga untuk dia mengulangi detik-detik manis bila diumumkan sebagai johan debat peringkat kementerian tahun lalu. Jauh di sudut hatinya terdetik hasrat untuk menjulang kembali piala debat yang pernah dimenanginya itu. Namun imbauan guru itu yang bakal menggenggam segulung ijazah Ph.D dari UPSI terhenti dipancung kata-kata guru disiplin.
”Kita akan tetap berusaha untuk kemajuan anak bangsa. Okeylah Cikgu Ismail, saya balik dulu” ujar cikgu Dali dan menyapu kepalanya yang nampak berkilat itu dengan tapak tangannya. Dia keluar dari bilik guru menuju ke parkir kereta di hujung bangunan. Matanya terasa letih dan berat. Beban tugas sebagai guru disiplin sekolah amat memenatkan. Dua tiga kali dia menguap keletihan. Cikgu Dali memandu keretanya dalam hujan renyai-renyai meninggalkan perkarangan sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang yang sudah lengang itu. Seperti biasa, dialah antara guru terakhir yang meninggalkan perkarangan sekolah pada petang Jumaat itu.
”Jauh di sudut hati, aku merasa puas. Semua tugas yang aku lakukan adalah iklas demi mendidik anak bangsa” bisik hatinya terapung bangga. Dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Trans Krian, cikgu Dali menguap beberapa kali.
Selepas Solat Isyak berjemaah di Masjid dan makan malam, Cikgu Dali melangkahkan kaki menuju ke dalam bilik tidur utama yang berhawa dingin itu. Matanya terasa amat berat sekali. Pertanyaan isterinya yang sedang mengemas meja makan didengarnya jauh dan sayup. Isterinya tidak merasa kecil hati biarpun suaminya tidak menjawab apa yang ditanya. Dia faham suaminya keletihan dan ingin berehat. Dalam bilik, Cikgu Dali membaringkan tubuhnya yang kepenatan. Matanya kian berat dan akhirnya terlelap di pembaringan yang bertilam empuk.
Dali merasa dirinya bagaikan dibuai alunan ombak laut Selat Melaka. Bajunya yang comot berlumpur itu tidak diendahkannya. Bunyi enjin motorboat yang menikam gegendang telinga tidak pernah dihiraukannya. Dia sudah lali dengan bunyi bising begitu. Angin malam terasa dingin menggigit tubuhnya yang kurus itu. Tadinya, dia masih nyenyak tidur di serambi rumah dan dikejutkan suara Rabi, abang tengahnya untuk bersama turun ke laut. Dali menggosok-gosok mata dan menguap tanda masih mengantuk. Namun sebagai anak nelayan di Kuala Bagan Tiang, Dali bangun juga dalam keterpaksaan dia berjalan terhoyong hayang menuju ke arah dapur rumah untuk membasuh muka. Dali mengesat wajah dengan tuala lusuh yang tersidai di beranda. Rabi sudah membelah kegelapan malam. Dia menjinjing bakul berisi bekal ala kadar dengan tong plastik bewarna hitam. Dali bergegas membuntut abangnya yang sudah jauh di hadapan. Jalan agak becak diredahinya seperti biasa. Dalam dinihari itu Dali menguap lagi cuba melawan rasa mengantuk yang kian menjadi-jadi.
”Hoi Dali!...Cepatlah! Nanti bising pula Pek Heng!” suara Rabi kedengaran sayup di hadapan menikam gegendang telinganya. Dali berlari anak mendapatkan abangnya yang tidak lagi menoleh ke belakang. Tong plastik bewarna biru dijinjingnya di atas kepala.
”Abang Bee! Jangan laju sangat jalan tu! Tunggulah!...” jerit Dali yang masih terus berlari anak. Suaranya bergema dalam hutan jeruju yang berduri dan memagari pokok-pokok kedabu dan berembang yang berbuah lebat di kiri kanan jalan batas ban yang dilaluinya itu. Entah apa malangnya, kaki Dali tergeleceh ke dalam becak dan dia tersungkur jatuh ke tanah yang basah.
”Gedebab! ” bunyi benda berat jatuh ke dalam lumpur. Rabi yang tadinya kencang melangkah menoleh sebentar ke adiknya di belakang. Kedengaran suaranya menyumpah-yumpah adiknya. Dali yang sudah comot berlumpur itu bangun gopoh gapah mencapai tong plastik yang terpelanting ke sisi.
”Apa lu lambat ini hari? Nanti motorboat terkandas atas beting. Air laut sudah mula surut!” suara keras Pek Heng dalam pelat cina yang masih pekat. Rabi tidak menjawab. Wajahnya merah ditengking begitu. Dia menjeling adiknya yang tercungap-cungap berlari dengan berwajah comot berlumpur. Pek Heng hanya menjeling pemuda berusia 18 tahun itu. Rabi memberi isyarat kepada awak-awak agar tali yang menambat motorboat itu di buka. Seketika kemudian, enjin motorboat dihidupkan. Bunyi enjin motorboat itu memecah keheningan dinihari. Memang suatu kelaziman bagi Pek Heng, peraih ikan dan tuanpunya motorboat itu akan datang bawa tong berisi diesel dan menyerahkan kepada Rabi, yang sudah lama bekerja sebagai tekong motorboat itu. Rabi memeriksa bilangan awak-awak yang sudah berada dalam motorboat yang kelihatan sudah uzur itu.
Bunyi enjin motormotorboat itu memekakkan anak telinga. Gemanya umpama tembakan mesingun German dalam peperangan Dunia Kedua. Bunyi motorboat itu menerjah dan menerobosi hutan bakau dan kayu api-api di tebing sungai menuju ke kuala Bagan Tiang untuk ke laut lepas. Sebagai tekong berpengalaman, Rabi sedar dia perlu segera keluar dari kuala sungai itu. Jika terlewat, motorboat itu akan terkandas di atas beting lumpur. Hatinya masih menyumpah adiknya yang tadinya berjalan terhegeh-hegeh menyebabkan Pek Heng sudah memarahinya. Rabi faham kemarahan Pek Heng adalah suatu bencana. Jika kerap dimarahi, mungkin menjejaskan upahnya sebagai tekong motorboat. Rabi tidak pernah menjawab jika dimarahi Pek Heng. Pek Heng adalah majikannya. Melawan majikan buruk padah yang menimpa! Rabi memahami hakikat hubungan antara tuan dan pekerja. Rabi amat patuh pada apa sahaja arahan yang diberikan Pek Heng.
”Kenapa pula abang takut dimarahi Pek Heng? Apa nak ditakutkan? Rezeki kita bukan di tangannya!” Dali mengusek abangnya pada suatu malam di rumahnya selepas makan malam.
”Awak cakap senanglah! Aku yang selalu kena marah dengan Pek Heng, awak apa tahu?” suara Rabi kedengaran meninggi. Radzi, abang sulung dan masih bujang itu terkikih-kikih ketawa memandang Rabi yang mencuka wajahnya. Pak Hassan, ayah mereka masih belum pulang dari surau Haji Shaari kerana ada majlis bacaan Surah Yassin dan doa selamat Wa Sin, jiran sekampung akan ke tanah suci pada minggu hadapan.
”Haa..Tuang petrol lagi ke dalam bara api!. Biar api itu menyambar dan membakar diri!” sinis kata-kata abang sulungnya dan ketawa terkikik-kikik. Dia bangun berjalan ke muka pintu dan turun ke halaman rumah serta hilang dalam kegelapan malam. Mungkin juga Radzi ke rumah bapa saudaranya Mat Tabu tidak jauh dari situ atau ke rumah Babu untuk berbual kosong bersama Piee, Lee Indu, atau Mat Amen yang cekap menangkap ketam batu dalam lubang di dalam hutan jeruju.
Rabi tersentak dari lamunannya. Bunyi enjin motorboat itu masih memekakkan gegendang telinga. Suasana alam kelihatan mulai cerah dan pemandangan laut waktu subuh memang mempersonakan. Rabi teringat adiknya, Dali adalah pelajar Institut Iqbal dalam tingkatan enam atas di Bandar Bahru, Kedah. Dali sering membacakan sajak lautan di waktu subuh karya Zaihasra sehingga timbul minatnya ingin tahu. Bila ditanya, adiknya itu hanya berkata "Biarlah rahsia!..." Rabi terdiam tidak bertanya lagi. Dia tidak pernah rasa kecil hati atas sikap adiknya itu. Dia hanya mahukan adiknya itu memenuhi harapan keluarga dan menyambung pengajian ke peringkat universiti.
”Ini kerja jadi nelayan hanya hobi di hujung minggu. Nanti bila keluar universiti aku nak jadi pendidik yang hebat. Jika dapat, aku hendak jadi guru besar suatu masa nanti” suara Dali kedengaran memecah keheningan malam dalam rumah papan beratapkan daun nipah itu.
”Kalau dah jadi guru besar janganlah lupakan anak bangsa pula” usek Radzi, abang sulungnya. Tangannya memegang "cuban" alatan yang diperbuat daripada buluh untuk menjahit pukat udang yang tercarik. Memang Radzi tidak suka bekerja di bawah Pek Heng, tidak seperti adiknya, Rabi. Radzi tidak mahu dikongkong oleh orang tengah bangsa asing. "Pantang!" katanya. Dia lebih senang bekerja sendiri menjaring udang sirin untuk dibuat belacan. Pernah beberapa kali dia mengajak adiknya Rabi untuk bekerja bersamanya, namun Rabi tetap menolak. Rabi lebih senang bekerja sebagai tekong di bawah Pek Heng.
”Jangan esok saya sudah jadi guru besar, abang Bee masih jadi kuli Pek Heng lagi. Tak ada hasrat untuk merdekakan diri ke? Sampai ke tualah jadi kuli orang!..hahaha!..” Dali ketawa berdekah-dekah.
”Ala!...Masa awak dah jadi guru besar nanti, aku sudah jadi usahawan yang berjaya. Aku akan eksport hasil laut ke luar negara!” balas Rabi penuh bersemangat. Radzi, ketawa berdekah-dekah dan menggelengkan kepalanya.
”Nak jadi usahawan apa ke benda? Untuk jadi usahawan tidak cukup hanya dengan berangan-angan kosong. Perlu ada ilmu dan kesungguhan. Kapal angkasa "Challengger" Amerika Syarikat tidak akan meluncur naik ke angkasa hanya dengan angan-angan kosong!” sindir abang sulungnya. Wajah Rabi kelihatan merah padam menahan emosi. Radzi ketawa berdekah-dekah geli hati. Dia sedar adik tengahnya hanya berangan-angan kosong. Dia tahu benar perangai Rabi seorang yang pemboros. Upah yang diterima sebagai tekong motorboat dibelanjakan dengan menonton wayang gambar di panggung Kapitol atau Cathay di Parit Buntar. Kalau panggung wayang itu penuh, Rabi dengan kawan-kawannya seperti Mat Kambing, Adam, Grodiang, Said Man Tehmiang, Pakcik, Mat Belacak, Saad buntal, Lee Bek Bek dan Mat Raja Indu akan menyeberangi Sungai Krian untuk menonton wayang gambar Hindi di panggung wayang Li Wha di Bandar Bahru. Baliknya dari Parit Buntar dengan bas merah terakhir dan singgah makan mee rebus Haji Saad di Bagan Tiang. Imbauan nostalgia Rabi terputus. Motorboat yang dipandunya itu gagah membelah ombak menuju destinasi berhampiran kuala Sungai Udang. Di bahagian hadapan beberapa orang awak-awak sudah bangun tidur dengan wajah manyau. Ada yang membasuh muka dan ada yang mula mengunyah bekal yang di bawa.
”Hoi Dali!..Apa nak jadi ni? Asyek dok menegreloh lagi?...bangunlah! Hari dah pagi!” suara garau itu mengejutkan Dali yang terlelap. Dali membuka matanya memandang ke arah kawannya yang bersuarau garau.
”Apalah Albert!...kacau orang nak tidur la! Ingatkan orang kaya macam awak dah tak mahu jadi nelayan lagi” suara Dali menyindir Jamil Don kawannya yang masih belajar di Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang. Jamil Don sudah lali dipanggil dengan gelaran "Albert de Souza" itu sudah melekat dengan namanya semenjak dia di sekolah teknik Pulau Pinang tetapi cabut balik ke kampung tak sampai seminggu belajar di sekolah itu!
“Tak tahan!...Hari-hari kena cakap bahasa orang putih. Aku mana faham? Verb tak faham! Past tense dan future tense masih teraba-raba! Sebab itulah aku digelar Albert De Souza oleh kawan-kawan aku di sana” ujar Jamil Don berjenaka. Awak-awak yang mengunyah bekal yang dibawa ketawa terkikik-kikik. Ada juga yang terlupa bawa bekal, terpaksalah membeli secara berhutang daripada Pak Chin Bongkok yang menjaja kueh dan nasi lemak pada nelayan-nelayan yang akan turun ke laut.
”Apa apa susahnya bahasa Inggeris? Past tense bagi yang dah lepas, present tense bagi perkara semasa dan future tense bagi akan datang. Kacanglah!” ujar Dali dan ketawa terkikik-kikik. Angin laut yang segar itu bagaikan menerbangkan rambutnya ke belakang. Sesekali dia menguap melepaskan rasa mengantuk yang masih menyelubungi diri. Dali bangun dan berjalan terhoyong hayang ke belakang mototboat membuang air kecil ke dalam laut. Namun air laut sudah sedia masin walaupun tanpa pertambahan air seninya. Dali mengelepar kegelian seketika. Rabi yang masih memegang kayu kemudi tidak menghiraukan kelakuan adiknya itu. Setelah membersihkan diri, Dali berjalan semula ke bahagian hadapan motorboat mendapatkan Jamil Don yang masih tersengeh memandang wajah Dali seiras wajah Os pelawak terkenal.
”Macamana? Betul ke apa yang aku cakap tadi?” soal Dali dengan agak kuat. Namun suaranya dihanyutkan angin laut ke belakang.
”Awak cakap senanglah, aku ni yang tension!” Jamil "Albert De Souza" cuba membela diri. Rambutnya yang lurus itu terbuai-buai diterbangkan angin. Di ufuk timur, kelihatan cahaya mentari pagi mulai menampakan diri dan melimpahkan cahayanya yang gemilang!
“Kalau awak tak sanggup hadapi cabaran macam mana bangsa Melayu hendak maju? Bahasa Inggeris amat penting untuk perhubungan antarabangsa. Melalui bahasa Inggeris kita gali ilmu mereka. Kita bukan hendak jadi mereka. Ilmu yang kita tuntut akan dapat memajukan negara kita ikut budaya kita sendiri. Orang Jepun maju kerana mengambil ilmu dari barat dan membuat inovasi. Sekarang orang asing terpaksa datang belajar bahasa Jepun jika mahu belajar dan maju seperti mereka” ujar Dali bersemangat. Pak Kadi, Yeh Pak Non, Fuad Mat Tok Leh, Asin Maktam, Zul Tok Cop, Mat Wa Rakyah, Mail Ndak Som, Halim Pain, Mit Gelong, Daud Harun, Ali Man Pendek, Fuad Don, Pa Pain, Cop Puru dan Cin Kodot terlompong mulutnya mendengar Dali bercerita.
”Haa..dengarlah temberang si Dali tu!...Dia baru nak ambil STP hujung tahun ini. Entah lulus entah kantoi!” Sindir abang Dollah Cheche dari belakang. Semua orang ketawa mendengar sindiran lelaki berusia awal 40an itu.
”Apalah abang Dollah...Saya cuma nak bagi semangat pada adik-adik ini yang masih muda usianya. Hanya dengan pelajaran sahaja bangsa Melayu kita boleh maju” ujar Dali bersemangat. Enjin Motorboat sudah dimatikan dan sudah melabuhkan sauhnya. Angin laut yang berhembus terasa segar menyelinap ke dalam rongga paru-paru. Dali bangun dan mengeliat seketika. Matanya memandang perahu nelayan pantai yang bertaburan di dada laut menebarkan pukat untuk mencari rezeki buat keluarga.
”Bangsa kita susah hendak maju. Ramai yang masih dengki mendengki!" ujar abang Dollah sambil menghembus asap rokok daun di bibirnya yang kelihatan kehitaman.
"Kita buangkan hasat dan dengki! Kita majukan bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah!.." ujar Dali dengan penuh semangat. Terasa urat sarafnya bergegar bila membicarakan nasib anak bangsa.
"Orang muda yang terpelajar macam awaklah boleh beri semangat kepada anak-anak muda bangsa kita untuk tidak terlalai terhadap masa depan negara! Bukan begitu Rabi?” soal abang Dollah bersemangat. Rabi hanya tersengeh bila abang Dollah menandang wajahnya.
”Semangat sahaja tidak cukup, abang Dollah! Kita perlukan ilmu dan teknologi agar bangsa kita boleh maju dan disegani masyarakat antarabangsa suatu hari nanti” ujar Dali lebih bersemangat. Dia meraup rambutnya yang separuh kerinting itu. Bayu laut yang nyaman itu lembut membelai wajah remajanya.
”Cakap orang nelayan macam kita ini siapalah yang hendak dengar? Kita ibarat melukut di tepi gantang. Bertambah tidak kurang tak terasa” sinis suara abang Dollah.
”Kita tak boleh anggap begitu abang Dollah...Semua kita ada peranannya dalam pertumbuhan ekonomi negara” ujar Dali berjenaka.
”Pandailah awak!. Memang layak kalau awak masuk universiti suatu hari nanti. Kami doa moga awak berjaya dalam mengejar cita-cita. Awaklah wakil kami nanti dalam memperjuangkan nasib nelayan” ujar abang Dollah kembali. Matanya kelihatan bercahaya, mengharap nasib nelayan seperti dirinya akan terbela.
”Golongan nelayan macam kita kena bersatu di bawah Persatuan Nelayan. Baru nasib kita akan terbela” ujar Dali bersemangat.
“Persatuan nelayan memerlukan pemimpin macam awak Dali. Kena ada pelajaran tidaklah kita berada di bawah orang tengah yang menindas macam Pek Heng” balas abang Dollah ketawa. Matanya melirik ke wajah Rabi.
“Jangan kutuk Pek Heng...Nanti ada orang marah pula” usek Jamil "Albert De Souza" dan ketawa. Semua awak-awak ketawa dan mata mereka memandang ke arah Rabi.
“Oii...Kalau tak sindir aku tak senang duduk ke? Aku campak ke laut baru tahu!” jerit Rabi dari belakang motorboat. Semua ketawa terbahak-bahak.
”Awak harus terima kenyataan Rabi. Memang betul apa yang dicakap mereka. Takkan selamanya awak bergantung hidup di bawah Pek Heng? Mana jati diri kita sebagai bangsa yang merdeka?” ujar abang Dollah sinis. Rabi secara berseloroh meluru ke arah mereka. Tolak menolak berlaku dan ramai yang akhirnya terjatuh ke dalam laut. Ketawa mereka berbaur bersama.
Dali dan awak-awak sudah berada di dada laut. Masing-masing dengan tong plastik yang diikat di pinggang. Mereka leka mencari siput pahat bewarna putih dan mahal harganya dalam pasaran. Kulitnya yang tajam boleh melukakan jari jemari jika tidak memakai sarung tangan. Dali duduk di atas sekeping papan dan kakinya melonjak ke belakang dan tangannya lincah mencari siput pahat dan siput itu bagaikan berterbangan masuk dalam tong plastik tersebut. Memang Dali mempunyai kemahiran begitu yang sukar ditandingi sesiapa!
”Banyak dapat?” soal Dali kepada Jamil "Albert De Souza". Jamil "Albert De Souza" hanya tersengeh memandangnya. Dada laut kelihatan sedikit bergelombang dan air laut kian surut. Burung-burung camar terbang rendah di atas dada laut menangkap anak-anak udang yang melompat.
”Adalah sikit-sikit” balas Jamil "Albert De Souza" dengan suara bergetar. Mungkin dia sedikit kesejukan berada di dalam laut yang airnya separas dada semasa duduk di atas sekeping papan.
”Nanti awak buatlah cerpen bertajuk menangkap siput pahat di laut” ujar Dali dan ketawa. Jamil "Albert De Souza" turut ketawa. Ketawa mereka berbaur bersama. Di hujung sana kelihatan Mit Gelong menciluk siput pahat rakannya Mail Ndak Som yang menoleh sebentar ke arah Dali dan Jamil "Albert De Souza" yang sedang ketawa. Mail Ndak Som menuduh Mit Gelong menciluk siput pahatnya. Riuh dan gamat bunyinya pertengkaran dua sahabat itu.
”Siapa nak baca cerpen itu? Menangkap siput pahat di laut apalah nilai komersialnya?” soal Jamil "Albert De Souza". Dali yang bertopi rumput itu tersengeh memandang wajah rakannya itu yang mulai kemerahan dipanah sinaran mentari yang kian meninggi.
”Awak jangan lupa pula! Catatkan kerja nelayan macam kita ini sebagai kerja yang mulia. Walaupun kita hanya tangkap siput pahat tetapi kita tetap berusaha mencari rezeki yang halal! Kita tidak mencuri atau menipu orang” balas abang Dollah dari sebelah kiri mereka dan ketawa.
”Betul apa yang dikatakan abang Dollah. Jamil, awak jangan lupa. Catatan amat penting dalam membina maruah bangsa. Lihatlah tamadun China. Semua peristiwa penting dicatat oleh pencatat yang dilantik oleh Maharaja. Kini catatan itu telah menjadi bahan kajian sejarah negara tersebut.” balas Dali bersemangat. Tangannya lincah memasukkan siput pahat ke dalam tong plastik bewarna biru.
”Benar kata awak tu. Selain Ma Huan, Ibn Batutta, dan Vasco da Gama juga mencatatkan penemuan yang ditemui semasa singgah dalam pelayaran. Jika ada catatan sejarah berhubung sesuatu peristiwa dalam negara hubungilah Jabatan Arkib Negara agar manuskrip yang berharga akan terus terpelihara” ujar Dali dan ketawa terkikik.
“Abang! Bangun! Mengapa ketawa dalam tidur ni? Abang mengigau ke?” soal isterinya dengan suara serak. Dali yang terjaga dari tidurnya mengurut dadanya seketika.
”Abang mimpi nostalgia di dada laut Kuala Bagan Tiang rupanya...” bergema suara parau guru itu.
”Itulah abang, tidur tak cuci kaki” rengek suara isterinya. Dali bangun menuju ke bilik air mengangkat wudu’ untuk solat tahajut. Di luar angin malam terus berhembus umpama angin laut Kuala Bagan Tiang yang masih menderu kerinduan pada Dali bin Hassan, anak nelayan yang pernah kembara di dadanya dan kini berjaya sebagai pendidik cemerlang dalam mendidik anak bangsa di negara tercinta!

Tuesday, February 9, 2010

CERPEN- MERISIK KHABAR DIRIMU SUHAIDA

Malam kian larut melabuhkan tirainya. Titisan embun jantan kian galak menitis dan membasahi dedaun yang merimbun di sudut halaman. Dedaun rambutan gading yang kekuningan berdesiran gugur menyembah ke bumi. Dentingan jam antik di dinding rumah itu kedengaran menandakan pukul 3 pagi. Namun mata Suhairi masih belum juga mahu lena. Walaupun puas mencuba untuk melelapkan matanya namun bayangan wajah seseorang kian meruntun rindunya yang masih membara. Suhairi bangun dan berteleku seketika di birai katil. Matanya memandang ke sisi mencari seseorang namun semuanya kosong seperti jiwanya yang ketandusan di persada cinta.
”Cinta? Ahh! Apalah ertinya cintaku ini? Bukankah dia sudah meninggalkan aku untuk bersama kekasih barunya? Walaupun berat hatiku untuk melepaskannya namun aku tidak terdaya mempertahankan ikatan pernikahan yang dibina atas dasar cinta. Ahh! Biarkanlah! Biarkanlah dia terus memburu bayangan rindu. Walaupun dia sudah tidak setia pada ungkapan cinta namun aku tetap setia padanya hingga ke akhir hayat” suara Suhairi kedengaran bergema. Di luar kedengaran angin malam kian menderu. Titis-titis kasar air hujan menimpa bumbung rumah satu persatu. Suhairi mengatur langkah ke arah jendela. Daun jendela itu dikuaknya perlahan. Angin malam yang membawa titis-titis air hujan menerobos masuk ke dalam bilik dan menampar keras wajahnya yang tidak terurus itu. Jambang dan kumisnya tidak lagi dicukur rapi seperti dahulu. Malah, makan minumnya tidak lagi menentu. Wajahnya kian cengkung dan badannya kian kurus merangka. Matanya memerhati ke luar jendela yang hitam pekat dan langit tidak berbintang. Kegelapan malam itu samalah seperti gelapnya harapan untuk melihat Suhaida, bekas isterinya itu sudi merujuk semula kepadanya.
”Ahh!...tergamak kau meninggalkan diriku? Bukankah aku selalu memuja dirimu? Bukankah cintaku begitu mulus terhadap mu?” soal Suhairi seolah-olah bekas isterinya itu berada di hadapannya. Namun Suhairi tersedar kembali, dia hanya bercakap seorang diri. Di luar, bunyi sang kodok kian bersahutan. Hujan kian menderu. Suhairi menutup kembali daun jendela. Dia meraup rambutnya yang berserabai. Dengan longlai dia melangkah semula ke arah katilnya yang terletak di penjuru bilik. Hujan kian menderu dan sesekali cahaya kilat menerangi angkasa dan diikuti dentuman guruh membelah angkasa. Mata kuyu Suhairi tidak lepas memandang gambar persandingannya yang terpamer di atas meja berhampiran katil. Alangkah bahagianya dia pada saat itu. Suhaida begitu manja padanya. Tutur katanya begitu manis umpama madu. Malah ada di kalangan kawan-kawan sering memuji, kononnya merekalah umpama sepasang merpati sejoli yang terbang bersama dan hinggap di dahan meranti. Tiap detik yang berlalu bagaikan tidak pernah terasa jemu. Sinar kebahagiaan rumah tangga yang baru dibina atas dasar cinta benar cinta kian melimpahi diri. Tutur kata dan gurau senda pasangan yang baru melayari bahtera rumah tangga terasa lembut menyelinap ke dalam kalbu. Ahh! ”Alangkah bahagianya pada saat itu” bisik Suhairi dan tersenyum. Wajahnya yang ceria itu bertukar menjadi mendung kelabu. Kemesraan suami isteri itu tidak lama. Suhaida sudah mula berubah hati. Suhaida kini bukan Suhaida yang manja seperti dahulu lagi. Suhaida kini sudah mulai membenci Suhairi. Biarpun pelbagai usaha dan perbincangan keluarga kedua belah pihak pernah diusahakan Suhairi namun Suhaida tetap membenci Suhairi . Malah, Suhaida telah nekad lari dari rumah. Mulai detik itu tinggallah Suhairi sendirian di rumah itu yang ibarat syurga suatu masa dahulu. Hidupnya kini tidak lagi menentu. Dia termenung berpanjangan kerana kehilangan tempat bermanja. Biarpun puas dipujuk rayu namun Suhaida tetap enggan kembali ke sisinya. Suhairi menjerit memanggil nama Suhaida berkali-kali. Namun Suhaida masih tiada di sisi. Suhairi menghempaskan diri ke atas katil. Dia terkapar-kapar dalam kelemasan umpama di lambung ombak kerinduan terhadap Suhaida, bekas isterinya yang paling dicintainya itu. Namun dia tidak terdaya menghalang perpisahan yang dipinta. Perpisahan itu menjadikan dirinya kian tidak menentu. Dia sering diburu mimpi sedih di dalam tidur dan juga di dalam jaga. Prestasi kerjanya sebagai pegawai pemasaran juga kian merosot. Banyak projek terlepas kepada syarikat lain. Laporan pemasaran gagal disiapkannya. Oleh itu tidak hairanlah mengapa Suhairi sering ditegur oleh ketua pegawai eksekutifnya dalam menyuarat pengurusan syarikat.
”Encik Suhairi ada di mana? Laporan pemasaran sudah siap ke? Datuk hendak jumpa Encik Suhairi sekarang juga!” bergema suara Tengku Safinaz, Pembantu Khas kepada Datuk Helmi, Pengarah Urusan Gumpong Holding Sdn Bhd.
”Katakan pada Datuk, saya kurang sihat. Saya ambil emergency leave hari ini” suara Suhairi kedengaran bergetar di hujung telefon bimbit. Suhairi terus mematikan telefon bimbitnya. Wajah Datuk Helmi yang perus itu menjelma di ruang matanya menyebabkan jantungnya berdegup kencang. Suhairi bagaikan ingin lari jauh dari situ namun rindunya pada Suhaida menghalang niatnya itu. Rindunya pada Suhaida terasa kian mencengkam jiwanya yang bercelaru.
”Rindu Sue pada abang umpama sekawan lebah yang hinggap di dahan meranti” lembut suara Suhaida pada pendengaran Suhairi. Suhairi melirik ke wajah isterinya yang ayu itu.
”Benarkah begitu Sue?” soal Suhairi dengan suara bergetar.
”Sue rela menghambakan diri ini hanya untuk abang tersayang. Sue benar-benar rindukan abang” terngiang-ngiang suara Suhaida di cuping telinga Suhairi pada suatu malam yang sunyi. Suhairi terasa bagaikan berenang di lautan madu. Setiap tutur kata Suhaida itu umpama ombak bermadu dan alangkah manisnya terasa tutur kata isterinya itu yang lembut menyelinap ke dalam kalbu.
”Tidaklah lebah itu akan terbang mencari dahan yang lebih rendang?” soal Suhairi sambil melirik ke dalam bola mata isterinya mencari segugus jawapan.
”Abang! Lebah ini lebah yang setia. Sekali lebah itu hinggap dia akan terus di situ untuk selamanya”
”Benarkah begitu?”
”Abang! Bukankah Sue sudah cakapkan berkali-kali. Cinta Sue hanya untuk abang seorang. Bukankah Sue ini isteri abang? Mengapa pula Sue harus meninggalkan abang? Bukankah rumah tangga ini kita bina atas dasar cinta di langit ke tujuh? Apa abang masih meragui kesetiaan Sue selama ini?” soal Suhaida dalam nada manja. Suhairi terasa dia tenggelam lagi ke dasar lautan madu. Kata-kata Suhaida yang lembut itu bagaikan suatu hamparan samudera yang membiru. Debur ombaknya menghempas lembut di pantai cintanya saban waktu. Namun itu hanyalah nostalgia indah yang tidak mungkin akan berulang lagi. Suhaida kini bukan Suhaida yang dahulu lagi. Suhaida yang dirinduinya tiada lagi di sisi. Suhairi mengeluh dan meraup rambutnya yang tidak terurus itu. Dia mengatur langkah menyusuri siar kaki di tepi tasek Proton yang permai itu hanya untuk mencari kedamaian di hati. Di tengah tasek kelihatan airnya berombak kecil ditiup sang bayu. Keadaan itu samalah seperti jiwanya yang bergelora semenjak berlakunya perpisahan dengan bekas isterinya itu. Perpisahan itu menjadikan keadaan Suhairi menjadi tidak menentu dalam menempuhi jalan hidupnya yang kian berliku.
”Lupakan apa yang berlaku. Tidak guna awak kesalkan lagi. Perpisahan sudahpun berlaku” nasihat Zuraini Haji Wanda, teman rapat Suhairi pada suatu petang di bawah wakaf di tepi tasek Proton yang permai. Zuraini sering menemani Suhairi ketika lelaki ini memerlukan seorang teman untuk berkongsi masalah yang mencengkam diri. Perkenalan mereka sudah terjalin agak lama malah Zuraini juga sering mendengar masalah Suhaida yang juga sahabatnya. Suhaida pernah menceritakan kepadanya yang dia pernah terlanjur bersama kekasihnya itu. Sebab itulah dia meminta agar dirinya dilepaskan dari ikatan pernikahan beberapa bulan yang lalu. Puas sudah Zuraini menasihati Suhaida agar bertaubat dan mempertahankan rumah tangganya namun Suhaida masih berkeras mahu juga berpisah dengan suaminya.
”Apa Sue tidak pernah bertanyakan tentang diriku? Tiadakah salam tiadakah pesan? Tahukah dia sehingga kini aku masih lagi merindui dirinya?” soal Suhairi dengan suara tersekat di kerongkong. Wajah Zuraini yang iras pelakon Rita Rudaini itu dipandangnya mencari jawapan. Namun Zuraini hanya menjungkitkan bahunya. Suhairi mengeluh dan menggelengkan kepalanya. Di siar kaki kelihatan beberapa orang siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris sedang berjoging dan ada yang berbual-bual di bawah wakaf di tepi tasek yang indah pemandangannya. Di ufuk barat mentari bersaga mulai bersembunyi di sebalik awan kelabu yang berarak ke arah kemuncak banjaran Titiwangsa yang membiru.
”Aku masih mencintai Suhaida sepenuh hatiku. Wajahnya tetap bermain di ruang mataku ini setiap waktu” bergetar suara Suhairi ketika melafaskan kata-kata itu. Zuraini menggelengkan kepalanya. Dia tahu Suhairi menyesal kerana melepaskan talak terhadap Suhaida. Namun sebagai lelaki tentu Suhairi merasa dayus jika tidak melepaskan isterinya yang sudah terlanjur dan bersungguh-sungguh benar meminta agar dirinya dilepaskan untuk hidup di samping kekasih barunya. Kisah keretakan rumah tangga sahabatnya itu bermula apabila Suhaida berkenalan dan jatuh cinta pada seorang lelaki yang dikenalinya melalui internet. Walaupun pada peringkat awal perkenalan, Suhaida menganggap lelaki itu sebagai kenalan biasa namun hari demi hari perhubungan mereka bertukar menjadi sepasang kekasih yang tidak dapat dipisahkan lagi. Sering juga lelaki itu datang ke tempat kerja Suhaida di Bill Properties Sdn Bhd. Ada kalanya lelaki itu menjemput Suhaida keluar makan tengahari bersama. Tidak sekadar itu, banyak pemberian yang mahal dihadiahkan kepada Suhaida, kononnya sebagai tanda ingatan atas dasar persahabatan. Akhirnya persahabatan Suhaida bersama lelaki itu telah bertukar menjadi sepasang kekasih. Kisah percintaan ini sampai juga pada pengetahuan Suhairi dan sudahpun menasihati isterinya agar memutuskan perhubungan sulit tersebut namun isterinya itu masih berkeras ingin meneruskan perhubungan dengan lelaki itu.
”Abang tidak boleh mengongkong Sue begini! Abang tidak boleh menyekat kebebasan Sue hendak berkawan dengan siapa. Kerja Sue memerlukan Sue melayan setiap pelanggan syarikat. Adakalanya Sue perlu keluar makan dengan pelanggan demi untuk kejayaan syarikat. Sue buat semua ini untuk kerjaya Sue! Kalau nak harapkan Abang Hmm...entahlah!” sinis nada suara Suhaida. Tiada lagi kelembutan dalam nada percakannya.
”Apa wang yang abang bagi selama ini tidak cukup, Sue?” soal Suhairi dengan suara bergetar.
”Berapalah sangat yang abang bagi? Nak beli lipstik pun tak cukup!” sinis ungkapan isterinya dengan congah.
”Sue cakap saja berapa yang Sue perlukan. Abang janji abang boleh beri. Tolonglah jangan rapat sangat dengan pemuda itu. Abang sayang pada Sue” Suhairi seakan merayu simpati. Wajah isterinya yang kemerahan menahan emosi itu dipandangnya.
”Abang jangan memfitnah Sue ya! Suka hati Sue lah nak berkawan dengan siapa! Abang jangan mengongkong kebebasan sue pula! Bosanlah kalau begini!” nyaring suara Suhaida dan kedengaran bergema dalam bilik tidur utama. Dia mencapai kunci kereta dan menderumkan keretanya dari rumah itu. Sejak kejadian itu Suhaida tidak lagi kembali ke rumah. Puas juga Suhairi menghubungi Suhaida melalui tetefon bimbit namun gagal. Suhairi mencari di merata tempat namun tidak bertemu. Malah, Zuraini, teman sepejabat isterinya menyatakan Suhaida sudah tidak lagi masuk bertugas lebih seminggu. Suhairi menjadi buntu!
Akhirnya Suhairi menerima sms daripada Suhaida. Suhaida meminta agar dia dilepaskan dari ikatan pernikahan. Suhairi pada mulanya tidak mahu memenuhi permintaan isterinya namun tewas juga apabila didesak berkali-kali.
”Cubalah awak lupakan Sue. Tiada gunanya awak mencintai dirinya lagi. Bukankah dia sudah awak ceraikan? Biarkan dia mabuk berkasih dengan kekasih barunya dari Kelantan” balas Zuraini setelah agak lama Suhairi membisu. Suhairi menoleh memandang wajah Zuraini dengan pandangan mata yang berkaca-kaca.
”Aku tidak terdaya untuk melupakan Sue. Biarpun terjadi perpisahan antara aku dengan dia namun bayangan wajahnya masih menjelma di ruangan mataku tiap waktu” balas Suhairi sambil mengesat air matanya yang tertumpah. Hati Zuraini tersentuh melihat lelaki kacak itu mengalirkan air mata yang membasahi pipinya yang kian cengkung itu. Zuraini faham jiwa Suhairi benar-benar tersiksa kerana terpaksa berpisah dengan Suhaida, isterinya yang paling dicintainya itu.
”Setiap malam aku sukar melelapkan mata. Setiap detik aku berada dalam kegelisahan yang berpanjangan. Aku bagaikan tercari-cari di mana bayangan wajah Sue...Aku benar-benar gelisah! Aku bagaikan tercari-cari ke mana hilangnya harga diri ini kerana masih mencintai dan mengharapkan Sue kembali semula ke sisiku ini. Aku sedar Sue sudahpun melupakan diriku ini. Sue sudah mungkir janji akan setia pada ku hingga ke hujung nyawa” serak suara Suhairi meluahkan isi hati yang terbuku selama ini. Zuraini terdiam. Wajah lelaki yang iras wajah penyanyi terkenal Faizal Tahir dipandangnya secara menyeluruh. Terdetik juga rasa simpati pada duda muda yang juga teman rapatnya sekian lama. Malah dialah yang menjadi pengapit ketika Suhaida yang berasal dari Johor Bahru itu berkahwin dengan Suhairi beberapa tahun yang lalu. Walaupun dia pernah menaruh hati terhadap Suhairi namun dia mengalah bila mengetahui Suhairi telah memilih Suhaida sebagai pasangan hidupnya.
”Bagaimana keadaan Sue sekarang? Dia sihat?” soal Suhairi yang menyentuh tangan Zuraini yang ketika itu sedang mengelamun jauh. Zuraini terperanjat bila Suhairi menyentuh tangannya.
”Err...Apa yang awak tanya tadi?” soal Zuraini kembali. Degup jantungnya bertambah kencang bila tangannya disentuhi lelaki yang pernah dicintai. Bola mata Suhairi dipandangnya dan pandangan mereka bertaut seketika. Suhairi tersenyum memandang wajah Zuraini yang ayu dalam rembang petang.
”Awak mengelamun ke? Aku tanya tadi bagaimana keadaan Sue? Dia sihat ke?” soal Suhairi dengan nada perlahan. Entah mengapa bayangan wajah Suhaida, bekas isterinya yang mirip wajah pelakon terkenal Fasha Sandha berada di mana-mana. Dia akui cintanya terhadap Suhaida terlalu mendalam umpama dalamnya lautan samudera yang terhampar membiru.
”Merisik khabar Sue rupanya! Sue sihat dan dia ceria. Khabarnya dia sibuk buat persiapan untuk pernikahan dengan kekasihnya itu. Mungkin awak juga akan dijemputnya nanti.
“Apa? Jadi juga mereka kahwin? Awak cakap biar betul Zu!” suara Suhairi tersekat-sekat dan bergetar.
“Betul! Sue akan kahwin tak lama lagi. Walau apapun tabahkan hati awak dalam menempuh dugaan ini. Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah” ujar Zuraini dengan nada perlahan. Suhairi memandang ke dalam bola mata Zuraini. Ada api cinta yang masih menyala di dalamnya. Suhairi tahu Zuraini ada menaruh hati kepadanya. Namun bagi Suhairi, api cinta untuk perempuan lain tidak mungkin akan menyala lagi dalam dirinya. Dia hanya mencintai Suhaida untuk selamanya. Itulah ketetapan hatinya yang tidak boleh dirungkaikan lagi. Entah mengapa hatinya yang gundah menjadi ceria semula bila mendengar khabar tentang Suhaida. Bagi Suhairi, Suhaida adalah penawar rindunya biarpun hatinya masih luka dan berdarah.
“Zu!...Terima kasih kerana awak sudi menjadi pendengar setia masalah yang aku hadapi ini. Aku jadi tidak menentu kerana Suhaida! Malamku suram, kasihku gelap, aku kegelisahan mencari-cari ke mana perginya harga diri ini! Aku tewas juga dalam mempertahankan mahligai cinta yang dibina di langit ke tujuh” terucap juga kalimat itu dari bibirnya. Zuraini sebak mendengar kata-kata Suhairi. Jika boleh ingin dia membaluti luka di hati Suhairi yang masih berdarah. Zuraini tunduk mengesat air matanya yang mulai tertumpah. Matanya kelihatan merah dan berkaca-kaca.
“Zu!..Hanya melalui awaklah aku dapat merisik khabar tentang Suhaida, insan yang paling aku cintai...Terus terang aku katakan aku hampiri diri Suhaida setiap hari bersama luka di hati” balas Suhairi dengan suara bergetar. Dia kemudiannya bangun dari bawah wakaf di tepi tasek Proton dan melangkah ke arah siar kaki. Zuraini juga bangun dan mengikutinya dari belakang. Suhairi menghadapkan wajahnya ke arah puncak banjaran Titiwangsa yang nampak berbalam pada cuaca petang yang kian suram.