Sunday, July 3, 2011

ANTARA ANYER DAN JAKARTA

Debur ombak bersilih ke pantai dan angin malam berhembus membelai wajahnya yang ayu. Di dada langit sang rambulan megah terapung di atas mahligai dan memancarkan cahayanya yang gemilang. Sesekali Amyra Syuhada meraupkan rambutnya dan matanya merenung jauh ke tengah lautan yang luas terhampar. Di sisinya duduk seorang lelaki yang baharu sahaja dikenalinya. Tutur bicara lelaki itu begitu lembut dan bersopan. Personaliti lelaki itu begitu mempersonakan. Sesekali Amyra Syuhada melirik wajah lelaki itu yang masih setia menanti jawapan daripadanya. Entah mengapa ayat-ayat cinta yang diucapkan lelaki itu walaupun dia tahu inilah pertama kali mereka bertemu di lobi Marbella hotel Anyer, Jakarta.
“Bagaimana neng? Sudikah menerima kehadiran Ir sebagai kekasih?” lembut suara lelaki itu. Amyra Syuhada tersenyum. Wajah lelaki itu yang iras penyanyi terkenal Faizal Tahir dipandangnya. Tiada jawapan dari bibir gadis itu. Dia bangun dan mengatur langkah. Debur ombak masih setia menghempas ke pantai. Sang rambulan bagaikan tersenyum melihat mereka berdua. Lelaki itu turut melangkah di sisi Amyra Syuhada. Angin malam yang berhembus membawa lagu-lagu cinta dan lembut menyapa tebing istana pasir yang megah berdiri di gigi pantai.
“Tentu Myra tidak menyangka Ir mencurahkan rasa cinta pada pertemuan pertama ini. Terus terang Ir katakan cinta Ir adalah cinta pandang pertama. Percayalah kata-kata Ir ini” Lembut suara Irfan Hidayat menusuk jauh ke sudut hati. Amyra Syuhada masih membisu. Hanya senyuman terpamer di wajahnya yang ayu. Sesekali gadis itu mendongakkan wajahnya yang ayu ke dada langit dan berjuta bintang bagaikan bermain mata dalam kerdipan indah mempersona.
“Ir…” suara Amyra Syuhada merdu terdengar. Pemuda itu menoleh memandang wajah ayu yang baru dikenalinya. Perkenalan mereka secara tidak sengaja. Irfan Hidayat yang baru lepas mengadakan perbincangan perniagaan dengan rakan kongsinya Mas Joko di Marbella hotel Anyer ingin segera pulang ke rumahnya di bahagian timur Jakarta. Dalam keadaan tergesa-gesa hendak ke mobilnya, dia terlanggar seorang gadis di situ. Buku dan beg tangan gadis itu bersepah di lantai lobi hotel. Gadis dan lelaki itu secara spontan tunduk memungut buku dan beg tangan yang bersepah di lantai. Mata mereka bertentangan dan lama. Lidah Amyra Syuhada menjadi kelu dan tunduk malu direnung begitu. Dia kalah dengan pandangan redup lelaki itu. Entah mengapa pandangan mata lelaki itu bagaikan memukau dan pintu kota cintanya bagaikan diketuk bertalu-talu. Percutiannya ke pantai Anyer Jakarta adalah untuk mengubat hati laranya kerana baru kematian kekasihnya dalam kemalangan jalanraya. Di hotel itulah Amyra Syuhada menyiapkan tugasan pejabat kerana bimbang kerja menjadi bertimbun apabila kembali bertugas nanti. Malah, dia telah berjanji di hadapan Dato’ Suhairy, Ketua Pengarah Eksekutif Samak Properties Sdn. Bhd sebelum cutinya diluluskan dahulu.
“Saya tidak mahu dengar masalah peribadi awak. Saya mahu tugas awak sebagai Penolong Pengarah di syarikat ini berjalan seperti yang dirancang. Pandai-pandai awaklah hendak menyiapkan tugas semasa bercuti” bergema suara Dato Suhairy semasa meluluskan cuti yang dipohonnya minggu yang lalu. Malah, ramai kakitangan syarikat merasa cukup gerun untuk berjumpa Ketua Pengarah Eksekutif Samak Properties jika tiada perkara yang benar-benar mustahak. Melihat wajah Dato’ Suhairy yang serius ramai pekerja syarikat menjadi demam tidak kebah!
“Maaf Neng…Saya ngak sengaja” itulah kata-kata pertama yang diucapkan lelaki itu sambil tersenyum. Kumisnya yang menggoda menghiasi bibirnya yang kelihatan basah dan lembut. Aroma minyak wangi yang dipakai lelaki itu lembut dan membelai sifat kewanitaannya.
“Bagaimana ya? Sudikah Myra menerima cinta Ir ini?” suara lelaki itu memutuskan imbauan gadis itu. Langkah gadis itu terhenti. Amyra Syuhada menoleh memandang wajah pemuda itu. Lelaki itu tersenyum dengan senyuman yang mengetarkan jiwa.
“Ir…Benarkah apa yang Ir ucapkan itu?” Bergetar suara Amyra Syuhada. Suaranya yang merdu itu merapung di atas alunan ombak laut di pantai Anyer yang landai memanjang. Di dada langit berjuta bintang merelakan dua insan di dalam senario percintaan.
“Sesungguhnya begitu. Ir cinta padamu sepenuh hatiku. Entah mengapa kuntum-kuntum cinta kian berkembang menjadi jambangan yang indah memekar. Syukur sekali takdir menemukan kita pada malam yang indah ini. Bukankah cinta yang mulus tidak pernah mengenal erti sempadan negara?” Lunak bicara Irfan Hidayat. Senyumannya tidak lekang di bibir.
“Ohh Ir... Myra sebenarnya tidak tahu apa yang harus diucapkan. Adakah ini suatu realiti atau sebuah pesona mimpi? Myra takut menghadapinya. Bagi Myra, cinta umpama dahan merimbun dihinggapi sekawan lebah”
“Bukankah sang lebah itu mengumpul semanis madu?”
“Hendaknya begitu Ir. Namun…
“Namun apa? Myra membuat Ir menjadi bingung sekali” Ujar Irfan Hidayat berjenaka. Amyra Syuhada ketawa. “Namun adakalanya dahan merimbun kembali sepi bila sang lebah terbang mencari dahan pengganti”
“Come on Myra sayangku…Kenapa berbicara sedemikian?”
“Entahlah Ir…Myra sendiri sukar mengerti…”
“Apa Myra sudah mempunyai pacar di Malaysia?” Bergetar soalan pemuda itu. Suaranya merapung di atas alunan ombak dan pecah berderai mendebur ke pantai. Pantai Anyer begitu indah dalam cuaca malam dan sang rambulan tersenyum bercahaya. Di dada langit bintang-bintang bermain mata dalam kerdipan yang indah mempersona.
“Ir…Antara Anyer dan Jakarta, kita sudah jatuh cinta. Mungkinkah cinta kita akan kekal untuk selamanya?” Bergetar suara Amyra Syuhada yang wajahnya iras wajah Lisa Surihani pelakon remaja yang sedang meniti ke kemuncak kegemilangan.
“Syukur Alhamdulillah. Cinta kita sudah bersemi. Biarkan pantai Anyer ini menyatukan cinta kita dalam suatu ikatan pernikahan yang abadi….” Irfan Hidayat tunduk dan memohon izin untuk menyarung sebentuk cincin permata delima di jari manis kekasih yang tercinta. Amyra Syuhada tersenyum dalam kilauan cincin permata dilimpahi cahaya sang rambulan yang tersenyum dan bintang-bintang bersorakan di angkasaraya.
Pagi itu Amyra Syuhada sudah siap berpakaian. Kebaya moden bewarna merah yang dipakainya nampak begitu anggun sekali dalam cahaya pagi yang gemilang. Bayu pagi terasa lembut berhembus dan pantai Anyer terus menggamit dirinya untuk terus berkasih dengan Irfan Hidayat yang tampan bergaya. Tidak terasa sudah tiga malam mereka bermadu asmara. Alangkah indahnya ayat-ayat cinta yang menyapa kuntum-kuntum kasih yang berkembangan di taman Inderaloka.
Telefon bimbit Amyra Syuhada berdering. Dia tersenyum senang. Dia menjawab panggilan kekasih yang mulai bertahta di hati. Merdu terdengar suara Irfan Hidayat yang sedang memandu mobil dari rumahnya di timur Jakarta. Hari ini Irfan Hidayat akan menemukan Amyra Syuhada dengan keluarganya yang sudah sedia menanti. Hati Amyra Syuhada berdetik kebimbangan kerana suara Irfan Hidayat begitu ceria dan nada ketawanya berbeza sekali. Malah, Irfan Hidayat begitu bersungguh melahirkan hasrat hati untuk melansungkan pernikahan dalam pakaian pengantin bewarna putih di pagi itu juga. Degupan jantung Amyra Syuhada seakan terhenti apabila mendengar dentuman kuat dan suara jeritan meminta tolong daripada gagang telefon yang masih di cuping telinga. Amyra Syuhada bergegas menuruni hotel. Di luar hotel kelihatan pekerja hotel bercakap-cakap dan menunjukkan ke arah kemalangan ngeri yang berlaku berhampiran hotel Marbella Anyer. Amyra Syuhada terus berlari ke arah orang awam yang menghampiri kawasan kemalangan. Terdengar suara rintihan meminta tolong dari dalam mobil yang remuk. Amyra Syuhada meraung memanggil nama kekasihnya yang berbaju putih . Irfan Hidayat tersenyum memandang Amyra Syuhada yang berkali-kali menyebut khalimah syahadah di cuping telinganya. Darah merah kian membuak dan membasahi pakaian putih Irfan Hidayat yang tersepit di tempat duduknya. Suara Irfan Hidayatnya kian lemah dan akhirnya terpadam setelah terucap khalimah syahadah dari bibirnya… Irfan Hidayat telah pergi untuk selamanya. Pasukan medic yang tiba dengan ambulan tidak sempat menyelamatkan lelaki itu yang tersepit dalam mobilnya yang remuk akibat kemalangan ngeri dengan pacuan empat roda berhampiran hotel Marbella Anyer.
Namun peristiwa sedih itu sudah setahun berlalu. Kini, Amyra Syuhada kembali semula ke pantai Anyer Jakarta. Kenangan indah bersama arwah kekasihnya masih mekar di dalam lipatan memorinya. Hanya cincin permata delima pemberian Irfan Hidayat masih tersarung di jari manisnya. Mata Amyra Syuhada kelihatan berkaca-kaca. Dalam linangan air mata dia merenung deburan ombak di gigi pantai Anyer dengan hati terluka.
“Antara Anyer dan Jakarta, kisah cinta tiga malam akan aku ingat selamanya. Al-Fatihah untukmu kekasihku yang tercinta". Bergetar suara Amyra Syuhada dengan linangan air mata. Air mata itu menitis di gigi ombak yang setia mendebur pantai Anyer di remang senja yang suram.

Saturday, June 18, 2011

DEALOVA

Di dada langit bulan mengambang melimpahkan cahayanya yang gemilang. Bayu malam yang dingin berhembus membelai wajahnya yang kusam. Sesekali kelihatan dia bercakap sendirian. Namun tidak jelas apa yang diucapkannya itu. Dia sering tersenyum dan ketawa. Kadangkala dia meraup rambutnya yang lurus itu ke belakang. Matanya yang kuyu itu merenung jauh ke tengah lautan yang luas terhampar. Dalam cahaya bulan mengambang di dada langit itu kelihatan samar-samar kapal dagang nun jauh ke tengah lautan belayar menuju ke suatu destinasi. Debur ombak yang menghempas ke pantai bagaikan irama merdu yang menggamit rindunya pada seseorang. Namun orang yang dirinduinya telah tiada di sisi.
“Sha! Alangkah indahnya malam ini jika kau berada di sisiku” bisiknya perlahan. Namun suaranya yang bergetar itu merapung di udara dan pecah berderai di atas permukaan dada laut yang bergelombang. Namun riak gelombang air laut itu tidaklah sama seperti alunan gelombang di hatinya yang meruntun rindu pada kekasihnya yang berwajah ayu. Kekasih yang dirinduinya itu sudahpun kembali menyambung pengajiannya di Bristol University di United Kingdom. Hanya keluhan menjadi nyanyian rindu menemaninya di kala sepi. Alanglah indahnya saat-saat manis ketika bersama kekasihnya itu. Bagaikan terbayang lirikan mata kekasihnya dan senyuman manis dari wajah yang menggoda.
“Bersabarlah sayang… Sha pergi tidak lama. Nanti bila cuti semester Sha akan pulang menemui Riz atau…”
“Atau apa Sha?...
“Riz datanglah menemui Sha di sana. UK bukannya jauh benar”
“Riz akan merinduimu sepanjang waktu”
“Benarkah kata-katamu itu Riz? Sha rasa amat bahagia. Tuhan telah menemukan Sha dengan kekasih yang setia. Sha cinta Riz untuk selamanya”
“Benarkah apa yang Sha ucapkan itu?”
Namun imbauan indah bersama kekasihnya terputus bila segerombolan motorsikal berlari kencang membingitkan telinga. Rizwan yang berbaju putih berlari ke tepi jalan. Dia menggelengkan kepalanya melihat gelagat anak-anak muda yang leka dengan dunia rempit yang melemaskan!
Rizwan Ardany menarik nafas dalam-dalam dengan matanya terpejam seketika. Debur ombak yang menghempas pantai Batu Feringgi bagaikan mendebur sekeping hati yang sunyi. Terasa jauh benar Rizwan berjalan. Pelbagai kenderaan ditumpanginya hanya untuk ke pantai itu yang menjadi tempat pertemuan bermadu kasih bersama Shazana kekasihnya suatu masa dahulu. Dalam cahaya sang purnama pada malam yang gemilang kelihatan di gigi pantai sepasang kekasih berjalan bergandingan bahu dan ayat-ayat cinta lembut menyapa batas-batas rindu yang mekar berbunga. Daun-daun kelapa meliuk lintuk mengikut arah tiupan sang bayu yang membelai wajah kekasih yang memadu asmara di pantai irama. Shazana tersenyum melirik wajah Rizwan Ardany yang berjawatan penolong pengarah di Gumpong Properties Sdn Bhd.
“Riz, benarkah apa yang kau ucapkan itu? Sha menjadi lemas dan kian tenggelam dalam lautan rindu yang dalam” lembut kata-kata Shazana pada suatu petang yang permai. Bola mata Rizwan Ardany yang kacak itu dipandangnya mencari segugus jawapan. Namun tiada jawapan dari bibir pemuda itu. Pandangan mata mereka bertaut dan lama. Jauh di sudut hati gadis berwajah ayu itu merasa begitu terpesona memandang kelembutan renungan sepasang mata pemuda itu yang kini sudah menjadi kekasihnya. Dia merasa amat bahagia menjadi seorang perindu yang sukar diungkapkan dengan kata-kata dari lidah tidak bertulang.
”Sha, apakah kau masih meragui mulusnya cintaku ini? Jika dapat aku ingin menjadi mimpi terindah dalam tidurmu. Jika mampu aku ingin menjadi sesuatu yang mungkin boleh kau rindu” lembut suara Rizwan Ardany pada gegendang telinga gadis itu. Gadis berwajah ayu itu terpejam matanya seketika mendengar kata-kata mulus kekasihnya itu. Dia bagaikan kelemasan dalam debur ombak yang meruntum rindu yang menghempas ke pantai.
”Oh! Alangkah indahnya kata-kata mu itu. Kitalah sepasang kekasih yang paling bahagia di dunia ini. Sha sayangku...Cintakan Riz pada mu adalah mulus untuk selamanya...Tanpa dirimu alangkah sepinya diriku ini. Oh Sha...Bayangan wajah manismu seakan nyanyian yang memanggil rinduku padamu. Sha..kau seperti bayu malam yang dingin dan mesra” Gadis berwajah ayu itu terpejam matanya seketika mendengar kata-kata mulus kekasihnya itu.
”Hmm...”Shazana merenung ke dalam mata kekasihnya seakan mencari kepastian.
”Sha...Aku ingin menjadi sesuatu yang selalu kau sentuh. Aku ingin kau tahu bahawa aku sering memujamu”
”Ohh...”
”Sha tanpa dirimu, alangkah sepinya waktu yang merantai sekeping hati” Bibir Rizwan terus merintih. Baju putih yang dipakainya sudah ditanggalkan. Kini dia tidak lagi berbaju. Rambutnya yang panjang dan tidak terurus diraup ke belakang berkali-kali. Dia ketawa terkikik...Bayangan wajah Shazana, kekasih yang amat dirinduinya berada di mana-mana. Namun apalah dayanya, Shazana yang dirindui kini sudah menjadi isteri orang. Hatinya berdarah mendengar berita itu dari seorang kawan. Puas dia cuba menghubungi Shazana namun kekasihnya itu tetap membisu. Dia amat kecewa dengan tindakan Shazana melupakan janji setia yang sering diungkapkan. Batas-batas cinta yang dibina bersama Shazana roboh juga akhirnya.
Tanpa disedarinya dua lembaga berbadan tegap berjalan laju menuju ke arahnya. Seorang lagi masih di bahagian pemandu sebuah kereta yang berhenti di seberang jalan.
”Jangan lari!...Kami anggota polis. Ikut kami balik ke hospital. Awak masih sakit dan perlukan rawatan...” suara garau seseorang anggota polis memutuskan kenangan pemuda itu. Rizwan Ardany menoleh ke sisinya. Dua orang anggota polis bersama jururawat dan pembantu Hospital Bahagia sudah berada di sisinya. Pemuda itu terkikik ketawa. Tangannya meraup rambutnya yang kusam. Debur ombak tidak lagi menghiburkan hatinya yang lara. Semua kenangan manis bersama kekasihnya dahulu hancur berderai umpama robohnya istana pasir di gigi pantai. Dia menghulurkan tangan kepada anggota polis. Anggota polis itu menggari tangannya. Jururawat dan pembantu perubatan mengiringi pemuda itu ke arah van Hospital Bahagia yang sedia menanti di seberang jalan. Di dada langit, awan kelabu kian berarak menutupi sang rambulan yang kian samar cahayanya.