Thursday, July 18, 2013

MUHAMMAD AMIRUL HAFIZ

Tanggal 7 Ogos 1995, akulah insan yang paling gembira sekali di dunia ini. Pada tarikh tersebut tepat jam 7.00 pagi aku mendapat khabar gembira daripada seorang jururawat bertugas di wad bersalin Hospital Sungai Petani Kedah.
“Isteri encik selamat melahirkan bayi lelaki”, ujar jururawat tersebut sambil tersenyum. Aku meraup wajahku sambil mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Ah! Alangkah gembiranya hatiku ini bagaikan melabung tinggi di langit membiru!. Tiga orang anak perempuanku Nur Izzaty, Nurul Nashrah dan Nur Asyikin yang masih kecil turut gembira mendapat adik lelaki. Wajah bayi lelaki tersebut begitu comel dan putih kemerahan. Aku sempat azan di telinga kanannya. Isteriku tersenyum sambil menitiskan air mata gembira. Bayi lelaki tersebut aku namakan sebagai Muhammad Amirul Hafiz.
[Lagu “Intanku Liana” oleh A.Ramli]
Muhammad Amirul Hafiz membesar dengan penuh kasih sayang. Keletahnya yang suka bersalam dan mencium tangan sesiapa sahaja amat disenangi jiran tetangga. Isteriku kerap juga bawa Muhammad Amirul Hafiz yang berusia tiga tahun ke Surau Al-Mukminin Taman Delima Sungai Petani Kedah jika ada kelas agama untuk kaum ibu bimbingan Ustaz Mahmud. Muhammad Amirul Hafiz selalu diletakkan sebelah Ustaz Mahmud ketika ustaz mengajar agama. Begitulah sayangnya Ustaz Mahmud kepada anakku. Tidak lama selepas itu isteriku hamil lagi. Isteriku selamat melahirkan bayi lelaki kedua. Bayi tersebut aku namakan sebagai Muhammad Amir Faiz yang dipanggil “Adik” dan Muhammad Amirul Hafiz dipanggil “Abang”. Semasa “Abang” bersekolah darjah satu di Sekolah Rendah Tengku Ismail Taman Delima, aku dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pendaftar dan bertukar ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim. Dengan hati yang berat aku meninggalkan isteri dan anak-anakku untuk melapor diri di UPSI pada 1 Februari 2002 . Setahun kemudian aku membawa keluargaku berpindah ke Tanjung Malim. Anak-anakku bersekolah rendah hingga menengah di Sekolah Methodist Tanjung Malim. Hidupku bahagia bersama isteri dan anak-anakku.
[Lagu Rafeah Buang & Omar Suwita “Suka Sama Suka” ]
Ku kira panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari. “Abang” mulai diserang demam panas sehari sebelum mendaftar diri ke tingkatan empat di Sekolah Teknik di Slim River. Seminggu berlalu aku terkejut apabila “Abang” membawa pulang semua pakaiannya balik ke rumah. “Abang” kata dia dua kali demam malam ketika di asrama. “Abang” pujuk aku agar usahakan untuk ditukarkan semula ke sekolah lamanya di Tanjung Malim. Setelah berusaha akhirnya “Abang” dapat bertukar semula ke Sekolah lamanya di Tanjung Malim. Semenjak itu aku mula berulang ke Klinik Syifa membawa “Abang” yang kerap diserang demam panas waktu malam. Demam “Abang” sembuh hanya untuk beberapa hari sahaja dan akan kembali semula demam pada hari berikutnya. Doktor Klinik Syifa merujuk “Abang” ke Pusat Kesihatan Tanjung Malim. “Abang” dimasukkan ke wad Hospital Slim River selama tiga hari. Pihak hospital Slim River merujuk “Abang” ke Hospital Permaisuri Bainun Ipoh Perak. “Abang” dimasukkan ke wad selama 10 hari. Doktor pakar merujuk kes “Abang” ke Hospital HUKM. “Abang” dimasukkan ke wad HUKM pada 6 Ogos 2011 bersamaan 3 Ramadhan 1432H. Doktor pakar HUKM minta kebenaran aku untuk diambil sum-sum tulang “Abang” untuk dianalisis mengesan punca penyakit. Sempat “Abang” memotong kek hari lahirnya ke-16 pada 7 Ogos 2011 di katil pesakit. “Abang” jamah sedikit kek tersebut dan selebihnya diberi kepada jururawat yang merawatnya. Selepas sum-sum tulang diambil keadaan abang kian tenat apabila kedua buah pinggangnya gagal berfungsi. “Abang” diberi rawatan hymodialysis. Dalam nafasnya yang tercungap-cungap itu “Abang” diserang pula sawan yang belum pernah dialaminya sebelum ini. “Abang” koma seketika. Setelah sedar dari komanya, “Abang” menangis ingin pulang ke Tanjung Malim. Betapa remuknya hatiku mendengar tangisan “Abang” itu. Oleh kerana keadaan “Abang” kian kritikal “abang” dimasukkan ke wad ICU dengan memakai topeng oksigen. Tiga hari “Abang”dikeluarkan dari wad ICU ke wad Highly Defency Unit. Aku dan isteri menemani “Abang” selama 14 hari “Abang” dirawat di HUKM. Kami sempat Solat Tarawikh, membaca Surah Yassin, melelapkan mata ala kadar, dan bersahur di Surau HUKM yang terletak di tingkat satu. Ada kalanya kami sempat juga berbuka puasa di sisi “Abang” di wad. Pada malam 19 Ramadhan “Abang” beria-ia benar minta aku dan isteriku menunggunya di wad. Malam itu, nafas “Abang” nampak tercunggap-cunggap. Pagi 20 Ogos 2011 bersamaan 20 Ramadhan aku sempat bagi “Abang” minum air Yassin yang dibacakan Ustaz Rashid dari Darul Syifa Balakong Kuala Lumpur yang datang merawatnya di wad. “Abang” juga tidak kering lidahnya mengucap dua Khalimah Syahadah dan berselawat nabi. “Abang” menyatakan hasratnya untuk menunaikan Umrah bersamaku jika sembuh sakitnya. Hatiku diserang kebimbangan apabila Doktor pakar yang merawat “Abang” maklumkan keadaan kesihatan “Abang” kian kritikal hari itu. “Abang” diserang sawan lagi dan koma. Doktor memohon izin untuk bius dan menggunakan alat bantuan pernafasan untuk menyelamatkan “Abang” yang kritikal. Namun keadaan tekanan darah “Abang” kian menurun. Doktor pakar membenarkan kami sekeluarga dan guru kelasnya Cikgu Kamaruddin beserta isteri berada di sisi “Abang” yang sedang kritikal. Isteri, anak-anakku membaca Surah Yassin dan aku tahlil Syahadah di telinga “Abang” yang sedang koma itu. Akhirnya pada jam 4.00 petang 20 Ramadhan 1432H bersamaan 20 Ogos 2011 “Abang” telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 16 tahun. Kami mengalirkan air mata kesedihan. Jenazah “Abang” dimandi, dikafan dan sembahyangkan di rumah mayat HUKM. Aku lihat wajah jenazah “Abang” bagaikan tersenyum dan iras wajahnya bersih seperti masih bayi dahulu. Aku sempat mengupah ibadah haji untuk arwah “Abang” selepas dia kembali ke Rahmatullah. Hanya bacaan Surah Yassin, tahlil dan doa ku panjatkan kepada Ilahi mengiringi suatu perjalanan yang abadi. Al-Fatihah untuk anakku Al-Marhum Muhammad Amirul Hafiz.
[Lagu Uji Rashid “Kali terakhir ku lihat wajahmu”]