Sunday, July 3, 2011

ANTARA ANYER DAN JAKARTA

Debur ombak bersilih ke pantai dan angin malam berhembus membelai wajahnya yang ayu. Di dada langit sang rambulan megah terapung di atas mahligai dan memancarkan cahayanya yang gemilang. Sesekali Amyra Syuhada meraupkan rambutnya dan matanya merenung jauh ke tengah lautan yang luas terhampar. Di sisinya duduk seorang lelaki yang baharu sahaja dikenalinya. Tutur bicara lelaki itu begitu lembut dan bersopan. Personaliti lelaki itu begitu mempersonakan. Sesekali Amyra Syuhada melirik wajah lelaki itu yang masih setia menanti jawapan daripadanya. Entah mengapa ayat-ayat cinta yang diucapkan lelaki itu walaupun dia tahu inilah pertama kali mereka bertemu di lobi Marbella hotel Anyer, Jakarta.
“Bagaimana neng? Sudikah menerima kehadiran Ir sebagai kekasih?” lembut suara lelaki itu. Amyra Syuhada tersenyum. Wajah lelaki itu yang iras penyanyi terkenal Faizal Tahir dipandangnya. Tiada jawapan dari bibir gadis itu. Dia bangun dan mengatur langkah. Debur ombak masih setia menghempas ke pantai. Sang rambulan bagaikan tersenyum melihat mereka berdua. Lelaki itu turut melangkah di sisi Amyra Syuhada. Angin malam yang berhembus membawa lagu-lagu cinta dan lembut menyapa tebing istana pasir yang megah berdiri di gigi pantai.
“Tentu Myra tidak menyangka Ir mencurahkan rasa cinta pada pertemuan pertama ini. Terus terang Ir katakan cinta Ir adalah cinta pandang pertama. Percayalah kata-kata Ir ini” Lembut suara Irfan Hidayat menusuk jauh ke sudut hati. Amyra Syuhada masih membisu. Hanya senyuman terpamer di wajahnya yang ayu. Sesekali gadis itu mendongakkan wajahnya yang ayu ke dada langit dan berjuta bintang bagaikan bermain mata dalam kerdipan indah mempersona.
“Ir…” suara Amyra Syuhada merdu terdengar. Pemuda itu menoleh memandang wajah ayu yang baru dikenalinya. Perkenalan mereka secara tidak sengaja. Irfan Hidayat yang baru lepas mengadakan perbincangan perniagaan dengan rakan kongsinya Mas Joko di Marbella hotel Anyer ingin segera pulang ke rumahnya di bahagian timur Jakarta. Dalam keadaan tergesa-gesa hendak ke mobilnya, dia terlanggar seorang gadis di situ. Buku dan beg tangan gadis itu bersepah di lantai lobi hotel. Gadis dan lelaki itu secara spontan tunduk memungut buku dan beg tangan yang bersepah di lantai. Mata mereka bertentangan dan lama. Lidah Amyra Syuhada menjadi kelu dan tunduk malu direnung begitu. Dia kalah dengan pandangan redup lelaki itu. Entah mengapa pandangan mata lelaki itu bagaikan memukau dan pintu kota cintanya bagaikan diketuk bertalu-talu. Percutiannya ke pantai Anyer Jakarta adalah untuk mengubat hati laranya kerana baru kematian kekasihnya dalam kemalangan jalanraya. Di hotel itulah Amyra Syuhada menyiapkan tugasan pejabat kerana bimbang kerja menjadi bertimbun apabila kembali bertugas nanti. Malah, dia telah berjanji di hadapan Dato’ Suhairy, Ketua Pengarah Eksekutif Samak Properties Sdn. Bhd sebelum cutinya diluluskan dahulu.
“Saya tidak mahu dengar masalah peribadi awak. Saya mahu tugas awak sebagai Penolong Pengarah di syarikat ini berjalan seperti yang dirancang. Pandai-pandai awaklah hendak menyiapkan tugas semasa bercuti” bergema suara Dato Suhairy semasa meluluskan cuti yang dipohonnya minggu yang lalu. Malah, ramai kakitangan syarikat merasa cukup gerun untuk berjumpa Ketua Pengarah Eksekutif Samak Properties jika tiada perkara yang benar-benar mustahak. Melihat wajah Dato’ Suhairy yang serius ramai pekerja syarikat menjadi demam tidak kebah!
“Maaf Neng…Saya ngak sengaja” itulah kata-kata pertama yang diucapkan lelaki itu sambil tersenyum. Kumisnya yang menggoda menghiasi bibirnya yang kelihatan basah dan lembut. Aroma minyak wangi yang dipakai lelaki itu lembut dan membelai sifat kewanitaannya.
“Bagaimana ya? Sudikah Myra menerima cinta Ir ini?” suara lelaki itu memutuskan imbauan gadis itu. Langkah gadis itu terhenti. Amyra Syuhada menoleh memandang wajah pemuda itu. Lelaki itu tersenyum dengan senyuman yang mengetarkan jiwa.
“Ir…Benarkah apa yang Ir ucapkan itu?” Bergetar suara Amyra Syuhada. Suaranya yang merdu itu merapung di atas alunan ombak laut di pantai Anyer yang landai memanjang. Di dada langit berjuta bintang merelakan dua insan di dalam senario percintaan.
“Sesungguhnya begitu. Ir cinta padamu sepenuh hatiku. Entah mengapa kuntum-kuntum cinta kian berkembang menjadi jambangan yang indah memekar. Syukur sekali takdir menemukan kita pada malam yang indah ini. Bukankah cinta yang mulus tidak pernah mengenal erti sempadan negara?” Lunak bicara Irfan Hidayat. Senyumannya tidak lekang di bibir.
“Ohh Ir... Myra sebenarnya tidak tahu apa yang harus diucapkan. Adakah ini suatu realiti atau sebuah pesona mimpi? Myra takut menghadapinya. Bagi Myra, cinta umpama dahan merimbun dihinggapi sekawan lebah”
“Bukankah sang lebah itu mengumpul semanis madu?”
“Hendaknya begitu Ir. Namun…
“Namun apa? Myra membuat Ir menjadi bingung sekali” Ujar Irfan Hidayat berjenaka. Amyra Syuhada ketawa. “Namun adakalanya dahan merimbun kembali sepi bila sang lebah terbang mencari dahan pengganti”
“Come on Myra sayangku…Kenapa berbicara sedemikian?”
“Entahlah Ir…Myra sendiri sukar mengerti…”
“Apa Myra sudah mempunyai pacar di Malaysia?” Bergetar soalan pemuda itu. Suaranya merapung di atas alunan ombak dan pecah berderai mendebur ke pantai. Pantai Anyer begitu indah dalam cuaca malam dan sang rambulan tersenyum bercahaya. Di dada langit bintang-bintang bermain mata dalam kerdipan yang indah mempersona.
“Ir…Antara Anyer dan Jakarta, kita sudah jatuh cinta. Mungkinkah cinta kita akan kekal untuk selamanya?” Bergetar suara Amyra Syuhada yang wajahnya iras wajah Lisa Surihani pelakon remaja yang sedang meniti ke kemuncak kegemilangan.
“Syukur Alhamdulillah. Cinta kita sudah bersemi. Biarkan pantai Anyer ini menyatukan cinta kita dalam suatu ikatan pernikahan yang abadi….” Irfan Hidayat tunduk dan memohon izin untuk menyarung sebentuk cincin permata delima di jari manis kekasih yang tercinta. Amyra Syuhada tersenyum dalam kilauan cincin permata dilimpahi cahaya sang rambulan yang tersenyum dan bintang-bintang bersorakan di angkasaraya.
Pagi itu Amyra Syuhada sudah siap berpakaian. Kebaya moden bewarna merah yang dipakainya nampak begitu anggun sekali dalam cahaya pagi yang gemilang. Bayu pagi terasa lembut berhembus dan pantai Anyer terus menggamit dirinya untuk terus berkasih dengan Irfan Hidayat yang tampan bergaya. Tidak terasa sudah tiga malam mereka bermadu asmara. Alangkah indahnya ayat-ayat cinta yang menyapa kuntum-kuntum kasih yang berkembangan di taman Inderaloka.
Telefon bimbit Amyra Syuhada berdering. Dia tersenyum senang. Dia menjawab panggilan kekasih yang mulai bertahta di hati. Merdu terdengar suara Irfan Hidayat yang sedang memandu mobil dari rumahnya di timur Jakarta. Hari ini Irfan Hidayat akan menemukan Amyra Syuhada dengan keluarganya yang sudah sedia menanti. Hati Amyra Syuhada berdetik kebimbangan kerana suara Irfan Hidayat begitu ceria dan nada ketawanya berbeza sekali. Malah, Irfan Hidayat begitu bersungguh melahirkan hasrat hati untuk melansungkan pernikahan dalam pakaian pengantin bewarna putih di pagi itu juga. Degupan jantung Amyra Syuhada seakan terhenti apabila mendengar dentuman kuat dan suara jeritan meminta tolong daripada gagang telefon yang masih di cuping telinga. Amyra Syuhada bergegas menuruni hotel. Di luar hotel kelihatan pekerja hotel bercakap-cakap dan menunjukkan ke arah kemalangan ngeri yang berlaku berhampiran hotel Marbella Anyer. Amyra Syuhada terus berlari ke arah orang awam yang menghampiri kawasan kemalangan. Terdengar suara rintihan meminta tolong dari dalam mobil yang remuk. Amyra Syuhada meraung memanggil nama kekasihnya yang berbaju putih . Irfan Hidayat tersenyum memandang Amyra Syuhada yang berkali-kali menyebut khalimah syahadah di cuping telinganya. Darah merah kian membuak dan membasahi pakaian putih Irfan Hidayat yang tersepit di tempat duduknya. Suara Irfan Hidayatnya kian lemah dan akhirnya terpadam setelah terucap khalimah syahadah dari bibirnya… Irfan Hidayat telah pergi untuk selamanya. Pasukan medic yang tiba dengan ambulan tidak sempat menyelamatkan lelaki itu yang tersepit dalam mobilnya yang remuk akibat kemalangan ngeri dengan pacuan empat roda berhampiran hotel Marbella Anyer.
Namun peristiwa sedih itu sudah setahun berlalu. Kini, Amyra Syuhada kembali semula ke pantai Anyer Jakarta. Kenangan indah bersama arwah kekasihnya masih mekar di dalam lipatan memorinya. Hanya cincin permata delima pemberian Irfan Hidayat masih tersarung di jari manisnya. Mata Amyra Syuhada kelihatan berkaca-kaca. Dalam linangan air mata dia merenung deburan ombak di gigi pantai Anyer dengan hati terluka.
“Antara Anyer dan Jakarta, kisah cinta tiga malam akan aku ingat selamanya. Al-Fatihah untukmu kekasihku yang tercinta". Bergetar suara Amyra Syuhada dengan linangan air mata. Air mata itu menitis di gigi ombak yang setia mendebur pantai Anyer di remang senja yang suram.

1 comment:

  1. sedih ny cerita nie..T_T huhuuuuu~ tapi best ANTARA ANYER DAN JAKARTA...

    ReplyDelete