Sunday, May 9, 2010

CERPEN-MAHLIGAI MU DARI AIRMATA KU

Hairy memandang ke luar jendela. Di dada langit kelihatan awan mendung memenuhi ruang angkasa. Seperti hari semalam, awan mendung yang berarak di dada langit menjanjikan hujan lebat yang menyirami bandaraya Kuala Lumpur. Hairy sedar dalam musim hujan sebegini akan menambahkan lagi sesaknya jalanraya dengan kenderaan berjujut menuju ke arah pusat bandar. Kesesakkan sebegini adalah lumrah bagi penghuni kotaraya yang acapkali terperangkap dengan trafic jam berjam lamanya. Hairy yang masih duduk di kerusi empuk Penolong Pengarah kelihatan bangun dan berjalan ke luar bilik buat seketika. Dia menoleh sebentar ke arah ruang pejabat yang sudah kosong. Mungkin ramai kakitangannya sudah pulang dan ada yang bersesak-sesak menaiki komuter di stesyen komuter yang tidak jauh dari Menara TM. Hairy berjalan semula menuju ke arah meja dan melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Fail-fail yang belum disemak kelihatan tersusun di sudut kiri mejanya. Hairy meletakkan tapak tangannya di belakang kepala buat seketika. Dia memusingkan kerusinya ke belakang. Dari cermin pejabatnya dia memandang ke luar pejabat. Di luar hujan mencurah lebat membasahi bandaraya Kuala Lumpur, bumi bertuah.
”Bertuah? Memang Kuala Lumpur bandaraya bertuah namun tidak bagi diriku” desis hati Hairy. Jauh di sudut hatinya terasa luka lama kian berdarah kembali. Berita dari seorang sahabat yang diterimanya petang tadi mengguris luka di hatinya.
”Atikah akan melangsungkan perkahwinan dua hari lagi” terngiang-ngiang suara Burhan, sahabatnya melalui telefon.
”Jadi juga Atikah berkahwin?. Sampai hati dia...”
”Bersabarlah, mungkin awak akan mendapat pengganti yang lebih baik dari Atikah” suara Burhan seakan memujuk.
”Tidak mungkin ada insan lain yang dapat menggantikan Atikah. Walaupun dia melukakan hatiku namun aku tetap sayang padanya” bergetar suara Hairy. Setitis air matanya kelihatan jatuh di pipi.
”Maaf Encik Hairy. Encik Ahmad Zainal minta Encik Hairy buat pembetulan semula dalam laporan ini. Jika sudah sempurna minta serah kembali. Encik Ahmad Zainal akan menyerahkan laporan ini kepada Dato’ CEO esok pagi” lembut suara Zunita, Pembantu Khas kepada En Ahmad Zainal Timbalan Pengarah Gumpong Properties Sdn Bhd. Hairy mengesat matanya yang kelihatan berkaca-kaca dengan kertas tisu. Hairy cuma mengangguk tanda faham apa yang dicakapkan pembantu khas Timbalan Pengarah. Zunita yang masih bujang dan berseluar ketat melangkah keluar dari bilik tersebut. Aroma minyak wangi yang dipakai Zunita lembut menyentuh deria hidung Hairy. Namun keharuman aroma minyak wangi tersebut seakan tidak memberi kesan pada naluri Hairy. Fikirannya masih terbayang wajah Atikah bekas kekasihnya yang akan melalui gerbang perkahwinan tidak lama lagi.
”Ati...Izinkan diriku meluahkan rasa. Hati Hairy benar-benar terguris kerana Ati telah memilih lelaki lain sebagai kekasih setelah lama kita bercinta” bisik Hairy perlahan. Terasa seakan Atikah berada di hadapannya ketika itu. Seakan ternampak Atikah yang berwajah ayu itu bangun dan berjalan menuju ke tebing sungai Bill yang mengalir jernih. Bunga-bunga yang mekar berkembang di pesisir tebing sungai yang mengalir itu memekarkan perasaan cintanya pada gadis itu yang disemai sekian lama.
”Hairy, maafkan Ati kerana perpisahan ini. Anggaplah jodoh kita ditakdirkan tiada. Ati doakan agar Hairy dapat mencari pengganti yang lebih cantik dari Ati...” lembut suara Atikah menikam gegendang telinga pemuda itu.
”Ati..Lupakah janji Ati selama ini? Bukankah kita umpama sepasang unggas yang terbang bersama di tengah sawah padi yang terhampar menghijau?” soal Hairy dengan suara bergetar. Hairy berjalan menghampiri gadis bertubuh langsing dan berkulit putih itu dari belakang. Atikah memalingkan wajahnya yang ayu itu ke arah Hairy. Pandangan mata mereka bertaut seketika. Atikah menggelengkan wajahnya beberapa kali.
”Hairy, maafkan Ati kerana terpaksa memutuskan percintaan ini. Ati rasa wujud ketidak serasian antara kita. Kita hanya merancang Tuhan menentu segalanya. Ati harap sangat agar Hairy terimalah kenyataan ini” lembut suara Atikah.
”Ati, maafkanlah Hairy andainya kau terasa hati. Izinkanlah Hairy paparkan apa yang terbuku di dalam hati ini. Janganlah Ati memutuskan tali cinta kita. Dari dulu lagi telah Hairy katakan berkali-kali Hairy benar-benar cintakan Ati untuk selamanya” tersekat-sekat suara Hairy. Matanya memandang wajah gadis itu dengan pandangan yang redup.
”Hairy...cubalah fahami apa yang Ati ungkapkan. Anggaplah sudah tiada jodoh antara kita. Ati harap Hairy boleh terima perpisahan ini dengan hati yang rela” lembut suara Atikah. Namun ungkapan gadis itu seakan tersekat dan sukar sampai ke lubuk hati pemuda itu.
”Ati...Mengapa perpisahan yang dipinta? Apakah salah Hairy? Hairy tidak pernah menyangka Ati sanggup berpaling tadah setelah lamanya kita bercinta” bergetar suara Hairy. Dia tunduk dan matanya kelihatan berkaca-kaca. Hembusan bayu yang nyaman pada petang itu tidak lagi mententeramkan jiwanya yang gulana.
”Hairy, Ati minta maaf atas perpisahan ini.” ujar gadis itu sambil menundukkan wajahnya. Sepasang pepatung bewarna kebiruan yang terbang di atas gigi air sungai tidak langsung menarik perhatian Hairy. Pemuda itu menarik nafas dalam-dalam. Matanya dipejamkan seketika. Hatinya begitu meruntun untuk cuba menahan tembok mahligai cinta yang kian condong untuk rebah menyembah bumi.
”Ati...Hairy tidak pernah menyangka dalam diam-diam Ati sudah mempunyai kekasih baru. Di manakah nilai kesetiaan yang sering Ati ucapkan?” soal Hairy dengan suara tersekat di kerongkong. Sesekali tangannya meraup rambutnya yang lurus ke belakang. Di hujung sebelah sana kelihatan sepasang kekasih sedang memadu kasih di atas batu.
”Hairy sedar Hairy tidak punya apa-apa. Hairy doakan agar Ati bahagia bersama si dia insan yang kau cinta. Hairy tidak boleh memaksa Ati terus mencintai diriku ini” ujar pemuda itu dengan suara terputus-putus. Gadis itu terus membisu. Sesekali dia mengesat air mata yang tertumpah dengan kertas tisu.
”Ati...Percintaan kita tak sampai ke mana cuma setakat di bibir saja” begitu sendu ungkapan Hairy memecah keheningan alam. Hanya bunyi aliran sungai yang jernih yang menjadi saksi.
”Sedarkah mahligai yang Ati akan bina bersama kekasih baru adalah dari air mata sepiku” ujar Hairy dengan suara bergetar. Wajah gadis itu dipandangnya dengan pandangan yang redup. Namun gadis itu terus membisu.
”Sedarkah Ati betapa hancurnya hatiku ini untuk menerima perpisahan yang tidak ku minta?. Terasa sukar untukku melupakan janji-janji manismu dan saat romantis. Kau mintaku supaya setia namun akhirnya kau yang berubah". ujar Hairy kembali. Gadis itu menghulurkan tangannya dengan pandangan yang berkaca-kaca.
”Hairy...Maafkan Ati kerana melukakan hatimu. Ati sedar Ati yang bersalah. Ati mengaku Atilah insan yang memungkiri janji setia. Maafkan Ati. Anggaplah antara kita sebagai kawan biasa. Sudah ditakdirkan tiada jodoh antara kita” tersekat-sekat suara gadis itu. Atikah melangkah meninggalkan Hairy tanpa menoleh lagi ke belakang. Seorang pemuda kacak berdiri dan membuka pintu kereta Honda Accord warna hitam berkilat. Atikah mengesat air mata. Dalam matanya yang masih berkaca-kaca dia tersenyum melirik ke wajah kekasih barunya. Sebelum kereta itu merangkak meninggalkan tempat itu sempat Atikah menoleh pandangannya ke arah Hairy yang masih termanggu di atas bongkah batu di tebing Sungai Bill. Tiada lagi lambaian mesra dari Hairy seperti dahulu. Atikah telah nekad. Dia membuat keputusan untuk memilih kekasih baru yang menjanjikannya sebuah mahligai yang indah di langit ketujuh.
"Biarlah ku humbankan cintaku pada Hairi ke dalam sungai itu. Biarlah cintaku itu terus hanyut bersama aliran air sungai yang mengalir lesu" desis hatinya dengan congah.
”Maaf Encik Hairy...Jam sudah pukul 11.30 malam. Encik belum pulang?” soalan pegawai keselamatan Gumpong Properties memutuskan imbauan pegawai itu.
”Ha’a...Dah jam 11.30 malam? Saya banyak kerja sampai terlupa hendak balik” jawab Hairy dengan suara bergetar. Pengawal keselamatan beredar meninggalkan bilik Penolong Pengarah untuk membuat pemeriksaan di bahagian lain pula.
”Oh Tuhanku tabahkan hatiku. Oh Tuhanku temukanlah aku dengan ketenangan jiwa. Biarlah kekasihku membina mahligainya dari air mataku". Bisik Hairy perlahan. Dengan longlai dia melangkah meninggalkan pejabatnya seumpama hanyutnya sekuntum puspa yang gugur di tengah sungai yang mengalir lesu.

Saturday, April 3, 2010

CERPEN- SEMANIS CINTA BUAH PALA

Matahari memancar dengan teriknya di atas kepala. Angin laut yang berhembus tidak langsung mengurangkan hawa rengas yang meresahkan. Kenderaan bertali arus dan kian berjujut di lampu isyarat berhampiran bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR)Pulau Pinang. Bangunan setinggi 63 tingkat itu merupakan mercu tanda bagi Pulau Mutiara yang membiru air lautnya sejak berzaman. Di situ juga terletaknya pusat membeli belah dan Pusat Pentadbiran Kerajaan. Orang ramai kelihatan menapak di siar kaki bangunan itu dan ada yang leka memerhati barang-barang yang dipamerkan di deretan kedai di situ. Pelancong-pelancong asing yang hanya berpakaian panas kelihatan mengambil gambar pemandangan bangunan KOMTAR yang tinggi mengawan. Pelayan-pelayan restoran Kassim Nasi Kandar bersebelahan bangunan KOMTAR kelihatan sibuk melayan pelanggan-pelanggan yang datang menjamu selera. Beraneka lauk pauk dan aroma kari yang sedang dipanaskan di atas dapur membangkitkan selera.
Di siar kaki kelihatan seorang gadis bertubuh tinggi lampai berkulit putih gebu di samping seorang temannya. Gadis itu berwajah ayu dan memakai jeans biru berbaju putih berbintik hitam mengatur langkah di sisi pemuda bertubuh tinggi dan berkaca mata hitam. Pasangan yang masih muda itu menyusuri kaki lima kedai-kedai bersebelahan bangunan KOMTAR yang menjual beraneka jenis barangan. Hari minggu di awal bulan begini memang kelihatan sibuk. Tuan punya premis perniagaan sibuk melayan pelanggan-pelanggan yang datang daripada pelbagai bangsa. Fauzana singgah sebentar di sebuah kedai yang menjual jeruk buah-buahan. Pelayan kedai itu seorang gadis berbangsa Cina berkulit putih kuning melayan mereka dengan wajah ceria. Pelayan itu menghulur jeruk buah-buahan beraneka jenis untuk dirasai terlebih dahulu. Fauzana amat pantang jika jumpa jeruk buah-buahan. Kecur air liornya memandang jeruk buah-buahan yang tempatkan di dalam besen plastik besar berwarna biru. Ada jeruk mangga muda, kelubi, buah pala, cermai, kedondong, betik muda, salak, jambu batu, dan asam jawa. Rasanya masam-masam manis. Geli hatinya melihat wajah Zarul yang kemasaman bila menjamah buah kelubi yang masih baru dibuat jeruk. Cina pelayan hanya ketawa melihat kelakuan Zarul begitu. Setelah membayar harga jeruk yang dibeli, mereka menyusuri dari pintu ke pintu kedai-kedai yang terdapat di situ.
Tiba-tiba seorang lelaki berbadan tegap menarik bahu Zarul dari belakang. Zarul terhoyong hayang dan hampir tersungkur ke belakang direntap begitu. Dengan pantas dia membuka langkah seni silat Serimau Hitam untuk mempertahankan diri. Suasana menjadi kecoh. Orang awam yang berada di situ bertempiaran lari. Suasana kecoh kemudiannya bertukar menjadi ceria. Berderailah ketawa antara lelaki itu.
”Hoi Zarul!...Awak nak pukul aku ke? Aku Helmilah!..hahaha!” lelaki itu ketawa berdekah-dekah. Orang ramai yang bertempiaran lari tadi kelihatan ada yang mengurutkan dada. Tidak kurang pula yang tersenyum. Ada yang menggelengkan kepala.
”Hoi tak guna betul awak! Memeranjatkan aku aje! Nasib baik tak kena penyepak sulung aku ini!” balas Zarul dengan kuat. Kemudian berderailah ketawa lelaki itu dan memeluk sahabatnya yang berbadan sasa itu.
”Sorry beb! Aku bergurau saja tadi...Ingat kot awak gelabah habis! Tak sangka buka langkah silat pula!” ujar lelaki itu ketawa terkikik sambil menumbuk bahu sahabatnya itu. Sepasang pelancong yang lalu di situ memerhatikan dua sahabat itu yang sedang ketawa dengan seribu tanda tanya. Pelancong itu ketawa dan menggelengkan kepala bila melihat dua sahabat itu bergelak mesra.
”Dalam keadaan emergency begini semua yang ada di dada berguna belaka! Hehe” balas Zarul kembali. Mereka mula melangkah di siar kaki sambil berbual mesra. Fauzana hanya tersenyum melihat gelagat dia orang sahabat itu yang sudah lama tidak bersua muka itu.
”Awak hendak ke mana?” tanya lelaki itu yang memakai jeans biru dan baju t berwarna biru gelap kepada Zarul.
”Aku? Tak ke mana-mana...Cuma window shopping di sini” jawab Zarul mesra.
“Dah ada special nampak?” lelaki itu separuh berbisek ke telinga Zarul. Zarul ketawa dan menjeling wajah Fauzana yang nampak ayu itu.
“Oh! Lupa nak kenalkan. Ini Fauzana, siswi USM. Zana ini kawan lama Zarul masa USM dahulu..Nama dia Helmi. Di kalangan siswa dan siswi USM dia dikenali dengan nama Mi bedal! ” ujar Zarul dan ketawa terkikik-kikik.
“Ke situ pula awak ni! Jangan sebut lagi nama Mi bedal...Itu cerita lama. Malulah!” balas lelaki itu dengan gaya jarinya ke mulut.
”Kenapa pula digelar begitu?” soal Fauzana dan tersenyum. Wajah lelaki yang sebaya Zarul itu dipandangnya penuh tanda tanya.
”Apa tidaknya?...Semua makanan yang ada dalam bilik asrama tanpa kira siapa punya dibedalnya! Selera makannya tetap sama tanpa mengira waktu!” balas Zarul dan ketawa.
”Oh! Begitu..hehe” Fauzana ketawa dan ketawa mereka berbaur bersama.
”Itu cerita lama...sekarang tak begitu lagi” ujar lelaki itu membela diri. Matahari masih terik di atas kepala namun orang ramai masih kelihatan ramai yang bersimpang siur di siar kaki tersebut. Penjaja-penjaja berbangsa Cina kelihatan sibuk melayan pelanggan yang singgah di gerai dan juga kereta sorong untuk membeli barangan dan buah-buahan yang mereka jual itu.
”Lama tak jumpa, sekarang awak di mana?” soal Zarul yang masih berjalan di sisinya.
”Aku masih di Telok Bahang. Berniaga apa yang patut...Lainlah awak pegawai tinggi Jabatan Perikanan” jawab lelaki itu kembali.
”Eh! Mana tahu ni?” soal Zarul dengan nada terperanjat.
”Penang bukan luas manapun! Semua cerita awak dalam kocek akulah..hehe” gurau lelaki itu dengan suara garau. Dia terbatuk-batuk seketika.
”Siapa beri tahu?” soal Zarul kembali. Cermin mata hitam yang dipakainya di angkat ke atas kepala.
”Ala..Kawan-kawan kita juga. Rifaie dan Shahroni. Aku jumpa mereka di gerai nasi kandar Line- Clear minggu lepas” jawab lelaki itu kembali. Sememangnya pergaulan mereka memang rapat semasa di USM. Pelbagai peristiwa menjadi lipatan nostalgia yang indah.
”Sebut Line-Clear, lama aku tak pekena nasi kandar. Perut dah lapar ni. Marilah aku belanja” Zarul mengajak kawannya itu dan menoleh memandang wajah Fauzana. Terasa kecur air liurnya bila terbayangkan keenakkan nasi kandar Line-Clear yang menjadi bualan umum itu.
”Tak mengganggu ke?” soal sahabatnya kembali. Dia melihat jam tangan yang dipakainya. Jam menunjukkan angka satu tengahari.
“Apa pula menganggu? Kita ini bukankah sahabat karib?” balas Zarul dan ketawa.
”Orang sedang berdua-duan begini...Nanti ganggu pula mood percintaan” usek kawannya itu dan ketawa. Fauzana hanya tersenyum mendengar usekan kawan Zarul itu. Kelakar juga kawan si Zarul ini, bisik hatinya.
”Mood percintaan hanya waktu petang atau malam sahaja. Itupun jika berada di tepi pantai bukannya di restoran mamak!” balas Zarul berjenaka.
"Oh begitu? Ini maknanya cinta awak ini semanis cinta buah pala?"
"Mengapa pula cinta buah pala?"
"Buah pala bukan boleh makan banyak sangat. Jika makan banyak nanti akan gatal kerongkong" ujar Helmi dan terkikik ketawa.
"Ada-ada saja awak ini. Tak logik langsung!." balas Zarul
"Betul juga kata Helmi..Cinta kita semanis buah pala. Kitapun bukan selalu sangat dating...kalau kerap dating tiadapula manisnya" ujar Fauzana tersenyum.
"Tengok! Kekasih awak lebih matang dari awak. Aku setuju benar apa yang disebutkannya itu. Jangan dok bertelagah lagilah...Jomlah kita ke sana! Kita pekena nasi kandar panas-panas! Kali ini biar aku belanja” ujar Helmi dan melangkah laju ke arah gerai nasi kandar Line-Clear yang mendapat liputan media suatu masa dahulu. Zarul dan Fauzana mengekori dari belakang.
”Jangan susah-susah! Aku yang belanja” balas Zarul bertingkah dengan kawannya itu. Fauzana hanya mendengar dua orang sahabat lama itu berbual. Dia terus menapak di belakang Zarul di siar kaki tersebut. Orang ramai masih berpusu di siar kaki kedai-kedai tersebut.
”Okeylah awak belanja tetapi izinkan aku yang membayarnya” balas kawanya itu sambil tersenyum. Ada-ada sahaja kaletah dua sahabat lama yang baru sahaja bertemu, bisik hati Fauzana.
”Pandai awak kenakan aku?” ujar Zarul kembali.
”Bukan begitu...Aku nak bayar balik makanan awak yang aku bedal dahulu” ujar Helmi berjenaka.
”Awak nak bayar balik? Banyak tu! Empat puluh hari hari dan empat puluh malampun belum tentu habisnya” usek Zarul dan berderai lagi ketawa mereka bersama. Seorang penjaja buah pala begitu leka memandang gelagat pasangan kekasih itu bersama sahabatnya. Dua ekor lalat dan lebah buah kelihatan berterbangan di sekeliling mulutnya yang separuh terlopong.

Sunday, March 28, 2010

CERPEN- BENIH TERTUMPAH DI KUTAN SUNGAI

Perkampungan Kutan Sungai bagaikan tersenyum menerima fajar pagi yang gemilang. Air sungai yang jernih bertukar menjadi berkeladak selepas hujan lebat malam tadi. Lopak-lopak air kelihatan bergenang di atas tanah merah yang lembab. Keheningan pagi yang damai itu tergganggu dek sang kodok yang bersahutan di dalam semak di tebing sungai. Buah-buah pauh yang masih muda lebat bergantungan di tebing sungai. Titisan embun menitis lembut di hujung dedaun yang menghijau. Pohon rambutan gading dan jambu air yang berbuah lebat nampak mencelah di sebalik dedaun yang merimbun. Kicauan beburung menceriakan lagi suasana pagi yang gemilang. Sesekali kedengaran kokokan ayam jantan nyaring dan bersahutan. Pokok-pokok kelapa berjajaran di tebing sungai dan dedaunnya melambai-lambai ditiup sang bayu begitu indah menaungi perkampungan Kutan Sungai dalam daerah Wakaf Bharu yang permai.
Siti Esah, ibu muda kepada seorang orang anak perempuan baru sahaja menyediakan sarapan pagi untuk suaminya. Namun suaminya masih lagi belum bangun walaupun sudah berkali-kali dikejutkan. Dia faham benar akan perangai suaminya yang pantang benar jika dikejutkan di awal pagi begitu. Wan Suwarni, anak sulungnya yang hampir berusia dua tahun masih nyenyak tidur. Suaminya yang berbadan sasa masih lagi dalam dengkur nipis mungkin kepenatan oleh tugasnya sebagai tukang rumah. Sejak akhir-akhir ini tempahan untuk mendirikan rumah di kampung seberang begitu banyak sekali. Kadang-kadang sampai tidak menang tangan, kata suaminya. Sesekali Siti Esah membelai perutnya yang memboyot. Dia sedar kandungannya sudah cukup bulan namun belum ada lagi tandanya untuk dia melahirkan anak keduanya.
”Ojak sudah bangun, Esah?” soal mertuanya yang sudah berada di halaman. Wajah mertuanya, Wan Besah binti Wan Sulaiman nampak bersih dalam cuaca pagi yang gemilang. Rumah mertuanya hanya bersebelahan sahaja dengan rumahnya di perkampungan yang permai.
”Belum lagi. Selepas solat subuh tadi abang Ojak tertidur balik” ujarnya dengan mesra. Dia tersenyum menerima kunjungan mertuanya yang melabuhkan punggungnya pada kerusi di bawah pokok pauh yang berbuah lebat.
”Ojak tak kerjakah hari ini?” soal mertuanya kembali. Kerisauan tergambar di wajahnya. Daun-daun pokok pauh berserakan dipukul ribut pada malam tadi. Siti Esah melangkah menuruni anak tangga dan berjalan mendapatkan mertuanya. Terbit rasa simpati di dalam hati mertuanya melihat keadaan perut menantunya yang memboyot. Seekor ayam kampung kelihatan mencakar-cakar tanah dan anak-anak ayam berdecit di kaki ibunya.
”Mana ayah, Ma? Esah tak nampakpun kelibat ayah sejak subuh tadi?” soal Siti Esah kembali. Dia melabuhkan punggungnya pada kerusi di sisi mertuanya.
”Ayah kamu? Hmm...Subuh pagi lagi dia sudah keluar menghantar barang yang dipesan orang kampung seberang” balas mertuanya kembali. Siti Esah menggosok-gosok perutnya yang memboyot. Jauh di sudut hatinya, Siti Esah akui ayah mertuanya, Wan Sulaiman bin Wan Salleh atau lebih di kenali sebagai Tok We Sleme Keto Tolok memang rajin orangnya. Gelaran yang diberikan oleh penduduk kampung itu adalah kerana ayah mertuanya itu rajin bekerja sebagai penghantar perabut yang ditempah di sekitar kawasan kampung dengan menggunakan kereta sorong bertayar dua yang direkanya sendiri. Mengingatkan betapa kreatif ayah mertuanya, Siti Esah tersenyum sendirian.
”Mengapa kamu ini Esah? Ma lihat kamu senyum sorang-sorang! Tak baik orang perempuan yang sedang sarat mengandung tersenyum sendirian tanpa sebab!” nasihat mertuanya dengan wajah kebimbangan. Bayu pagi lembut berhembus dan membelai wajah mereka berdua.
”Tak ada apalah Ma. Esah cuma tersenyum bila terdengar orang kampung gelar ayah Tok We Sleme Keto Tolok” balas Siti Esah kembali dalam loghat Kelantan. Terpamer senyuman di wajahnya yang ayu.
”Biarlah apa orang kampung nak gelar ayah kamu. Bukannya boleh jatuh miskin kalau dia digelar begitu! Ayah kamu itu rajin bekerja orangnya. Semua orang kampung suka berkawan dengan dia. Dia pula tidak panas baran” balas mertuanya sambil ketawa. Di wajahnya tergambar sinar kasih sayang sebagai seorang isteri yang setia. Siti Esah tersenyum memandang wajah mertuanya yang berseri.
”Abang Ojak pun begitu juga Ma. Selama ini dialah yang bersusah payah bekerja untuk menyara kami anak beranak” balas Siti Esah kembali. Matanya kelihatan berkaca-kaca. Tangan kanannya masih menggosok-gosok perutnya yang memboyot. Kadang-kadang dia terasa ngilu bila bayi yang dikandungannya itu menendang-nendang perutnya. Suaminya hanya ketawa bila dia mengadu hal itu beberapa hari yang lalu.
”Mungkin bayi kita nanti akan menjadi seorang pahlawan pembela bangsa” bisik suaminya kembali.
”Bagaimana pula jika bayi perempuan?” soal Siti Esah dengan suara manja. Matanya galak melirik ke wajah suaminya yang berkulit hitam manis.
”Jika perempuan abang nak namakan bayi tersebut Wan Nurul Hidayu. Semoga dia akan menjadi sri kandi pembela bangsa dan mengharumkan nama negara” ujar suaminya kembali dalam ketawanya yang berdekah-dekah. Siti Esah tersenyum bila suara suaminya masih terngiang-ngiang lagi di telinganya. Melihat dia senyum sendirian, mertuanya bangun dan mencium pipi menantunya.
“Baguslah begitu. Ma selalu mendoakan agar hidup kamu sekeluarga akan bahagia sehingga ke akhir hayat” ujar mertuanya dengan lembut. Kata-kata mertuanya menyentuh ke dalam kalbu. Siti Esah bangun dan memeluk mertuanya. Air matanya tidak dapat ditahan lagi. Dia menangis teresak-esak di bahu mertuanya. Mertuanya hanya menggosok-gosok belakang menantunya itu dengan penuh kasih sayang. Mertuanya hanya menggelengkan kepala bila memikirkan hati menantunya itu begitu mudah tersentuh lebih-lebih lagi dalam keadaan perutnya yang memboyot begitu.
Mertuanya mengesat air mata Siti Esah yang tertumpah dengan kain maduwarah di kepalanya. Siti Esah sempat menoleh ke muka pintu rumahnya. Kelihatan suaminya yang berbadan sasa itu berdiri sambil menggosok-gosokkan matanya. Suaminya menguap seketika. Mungkin dia masih terasa mengantuk lagi di pagi yang bening itu. Dia hanya memerhati isteri dan emaknya itu yang masih berbual di halaman. Namun tiada sepatah perkataanpun yang terbit dari mulutnya. Suaminya mencapai sehelai tuala yang tergantung di dinding rumah dan turun ke tanah untuk mandi di perigi yang terletak hanya beberapa ela di belakang rumah. Setelah kelibat suaminya tidak lagi kelihatan, Siti Esah menoleh semula ke arah mertuanya yang bersuara dalam loghat Kelantan dengan nada kebimbangan.
“Barang-barang untuk bersalin sudah kamu disediakan?” soal mertuanya dalam nada kerisauan.
”Tak apalah Ma. Abang Ojak kata nanti dia beli apa yang patut. Barang keperluan bersalin dahulu masih boleh diguna” balas Siti Esah dengan suara serak. Entah mengapa hatinya tersentuh dengan pertanyaan tersebut. Cepat-cepat Siti Esah mengesat air mata yang tertumpah dengan kain madu warah. Dia menoleh ke arah suaminya yang sedang mandi di perigi.
Air perigi yang dingin itu disiramkan ke tubuhnya. Razak merasa segar kembali bila air perigi yang jernih itu menyirami tubuhnya beberapa kali. Dia mencapai sabun mandi dan menggosok ke seluruh tubuhnya yang kelihatan sasa. Sang Kodok masih kedengaran bersahutan tidak jauh dari perigi. Sesekali kedengaran kokokan ayam yang nyaring dalam cuaca pagi yang hening. Langit yang membiru itu mulai kelihatan cerah dengan sinar mentari pagi mulai menampakkan diri. Razak melangkah menuju ke rumah. Hari ini dia perlu awal ke kampung seberang. Tempahan untuk menyiapkan rumah banyak yang diterimanya. Dia tersenyum puas. Mungkin ini adalah rezeki Tuhan kepadanya. Lebih-lebih lagi isterinya yang berwajah ayu itu kini sedang sarat mengandung anak kedua.
“Abang balik makan tengahari ini?” soal isterinya dengan mesra. Razak masih menyudu meehoon goreng dan menghirup kopi hitam pekat yang ditumbuk sendiri.
”Mungkin tak balik. Banyak kerja yang hendak disiapkan. Kalau lewat tuan rumah bising pula!” Razak bersuara dengan suara garau. Sesekali dia menjeling keadaan perut isterinya yang memboyot. Terdetik rasa simpati di dalam hatinya.
”Barang-barang dapur banyak dah habis. Nanti masa hendak balik abang beli ya?” balas Siti Esah dengan suara serak.
”Ha’a..Nanti abang belikan. Ada apa-apa lagi yang hendak dipesan?” soal Razak kembali. Suaranya kedengaran bergema dalam rumah.
”Kalau ada jeruk buah kedondong muda abang belikanlah. Teringin pula Esah nak rasa” ujarnya mesra. Terasa kecur air liornya membayangkan enaknya rasa jeruk kedondong muda.
”Hai! Sudah hampir nak bersalin pun masih mengidam lagi ke?” gurau suaminya kembali. Suara ketawa mereka berdua memecah kesunyian pagi. Wan Suwarni, anak sulong mereka yang hampir berusia dua tahun itu masih nyenyak tidur di atas tilam. Nampak botol susu yang sudah kering masih berada di sisinya. Razak bangun dan berjalan merapati anak sulongnya yang masih nyenyak. Dia tunduk dan mencium lembut pipi anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Di dinding bilik terpamer foto Razak dalam pakaian hitam persatuan Seni Silat Gayung Patani.
”Mudah-mudahan anak kita ini akan menjadi Sri Kandi pahlawan bangsa” ujar Razak penuh semangat. Terasa darah pahlawan menggegar urat sarafnya. Siti Esah melirik wajah suaminya yang berkumis tebal.
”Bagaimana jika anak yang bakal lahir perempuan juga?” bergetar suara Siti Esah. Telapak tangan kanannya menggosok perutnya yang memboyot. Razak tersenyum melirik wajah isterinya.
”Biar lelaki atau perempuan akan abang perturunkan segala ilmu persilatan untuk menjadikan mereka pendekar terbilang dan mengharumkan nama negara” bergema suara Razak penuh semangat.
”Amin! Moga benih yang tertumpah di Kutan Sungai akan menjadi Srikandi bangsa yang banyak berjasa” ujar Siti Esah sambil meraup tangannya ke wajah. Razak sempat membisekkan sesuatu ke telinga isterinya. Siti Esah sedikit terteranjat dan sepantas kilat jari jemarinya sempat mencubit rusuk suaminya. Razak melolong kesakitan dengan suara tertahan. Siti Esah ketawa dan ketawa mereka berbaur bersama. Razak mencium pipi isterinya dan melangkah menuruni anak tangga. Sempat dia menyalakan api rokok dan menyedut asap dalam-dalam. Asap rokok berkepul keluar melalui lubang hidungnya. Dia berjalan menuju ke arah emaknya yang masih duduk di kerusi di bawah pokok pauh yang berbuah lebat itu. Mereka bercakap-cakap seketika dalam loghat Kelantan. Beberapa orang kampung yang lalu di situ mengangkat tangan kepadanya. Dia membalas lambaian mereka dengan wajah ceria. Kemudian dia mencapai motorsikal dan bergerak perlahan di jalan kampung itu menuju ke kampung seberang. Pokok-pokok kayu yang tinggi masih memayungi perkampungan itu. Di ufuk timur matahari pagi mula memancarkan cahayanya yang gemilang menyirami perkampungan Kutan Sungai yang permai.

Monday, March 22, 2010

CERPEN- DALAMNYA SAMUDERA CINTA

Pohon merendang yang kekuningan kian condong di tebing sungai. Dahan dan ranting yang merapuh mulai ditumbuhi pucuk-pucuk muda yang menghijau. Daun-daun tua yang kekuningan silih berguguran ditiup sang bayu. Daun-daun itu dihanyutkan arus yang mengalir ke jeram sungai yang berbatu. Seekor ikan kelisa melompat tinggi menyambar seekor rama-rama yang hinggap pada dedaun kekuningan di ranting pohon yang menjulai ke tengah sungai. Dedaun yang gugur itu terus hanyut berbaur arus air yang mengalir menuruni jeram berbatu menuju ke pusaran lubuk yang dalam. Daun kuning itu berpusar ligat dan akhirnya hilang ditelan pusaran air ke dasar sungai yang kelam. Gadis muda itu yang dari tadinya duduk termenung di atas batang pohon tumbang hanya memandang ke arah pusaran air dengan pandangan yang kosong. Hatinya bagaikan berdetik akan nasib malang yang menimpa dirinya yang sudah bertahun. Dia tunduk mengesatkan air matanya yang tertumpah. Tiba-tiba kepalanya menjadi pengeng. Pandangan matanya berpinar. Kepalanya yang pengeng itu terasa kian berdenyut. Entah mengapa cahaya yang menerangi hidupnya selama ini terpadam dihembus sang badai yang menggila. Dengan longlai gadis muda itu bangun dan mengatur langkah meninggalkan tebing sungai itu menuju ke arah keretanya. Kereta bewarna kelabu itu kelihatan bergerak perlahan meninggalkan tebing sungai Inki yang terletak di kaki Banjaran Titiwangsa di dada senja yang kian suram.
Pagi Isnin menjelma lagi. Namun pagi itu tidak secerah hari semalam. Angkasa pekan Tanjung Malim kelihatan mendung menandakan hari hendak hujan. Mentari pagi bagaikan malu menampakan dirinya di sebalik awan yang kelabu. Kereta Proton Pesona yang dipandu seorang gadis muda kelihatan memasuki pintu utama Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengawal keselamatan yang bertugas kelihatan segak dalam uniform bewarna biru gelap, mengangkat tangan kepada pemandu kereta itu. Seorang lagi pengawal keselamatan mencatat sesuatu pada fail yang berada di tangannya. Memang menjadi kelaziman untuk setiap pengawal keselamatan yang bertugas akan mengawasi setiap kenderaan yang keluar masuk ke dalam kawasan universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan.
Kereta Proton Persona berwarna kelabu itu bergerak perlahan melintasi padang universiti yang menghijau saujana mata memandang. Gadis itu kemudiannya membelok keretanya ke sebelah kiri di persimpangan bangunan Suluh Budiman yang menjadi mercu tanda universiti itu sejak berzaman. Kereta itu bergerak perlahan di hadapan bangunan Canselori dan kemudian membeluk ke sebelah kanan melintasi bangunan Bitara Siswa menuju ke arah kompleks Malim Sarjana yang megah berdiri. Di siar kaki di sebelah kiri jalan, kelihatan para pelajar universiti yang kemas berpakaian mula menapak antara bangunan ke bangunan menuju ke dewan kuliah meskipun hari masih pagi. Daun-daun tembusu yang kekuningan kelihatan berguguran ditiup sang bayu pagi. Di dada langit awan mendung masih lagi meliputi angkasa universiti yang tersohor dalam melahirkan para pendidik cemerlang demi anak bangsa di bawah konsep 1 Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.
Setelah meletakkan keretanya pada parkir yang tersedia, gadis muda itu mulai melangkah keluar dari dalam keretanya. Dia mengatur langkah menuju ke arah lif di dalam bangunan. Tidak lama kemudian, kelihatan dia melangkah keluar dari pintu lif di tingkat tiga dan kemudian melangkah perlahan menuju ke arah mesin perakam waktu kedatangan. Dia swift kad pekerja di mesin itu dan mengatur langkah menuju ke arah biliknya. Sempat dia mengucapkan salam kepada beberapa orang pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang juga tiba sama waktu dengannya. Dia kemudian membuka pintu bilik dan swich-on lampu dan penghawa dingin di dalam bilik itu. Dia berjalan semula ke arah mejanya dan melabuhkan punggungnya pada kerusi berwarna biru. Dia menyandarkan tubuhnya pada kerusi itu. Beg tangan kulit diletakkan di sisi. Terdengar keluhan perlahan dari bibirnya. Dia melontarkan kembali pandangannya ke luar bilik melalui cermin tingkap yang separuh terbuka. Di atas mejanya terdampar buku-buku teks bersama nota-nota kuliah yang berserakkan. Suasana begitu samalah seperti fikirannya yang kian buntu dan bercelaru. Malam tadi, setelah pulang dari tebing sungai Inki dia agak sukar untuk melelapkan matanya tidak seperti malam-malam sebelumnya. Entah mengapa wajah-wajah kelam sering menjelma dan mengetuk pintu hatinya yang suram. Dia tersenyum pahit di sebalik wajahnya yang ayu.
”Ahh! Mengapakah masih wujud lagi bayangan jingga dalam hidupku ini?” bisiknya perlahan. Terdengar keluhan nipis dari bibirnya. Dahinya kelihatan mula berkerut. Jari jemarinya memicit-micit kepalanya yang mulai pengeng. Semakin lama semakin berdenyut dan mencengkam. Di luar bangunan, titis-titis kasar air hujan mulai menitis dan menderu menjadi lebat. Angin berdesau kencang menerbangkan daun-daun pokok yang ditanam menghiasi bangunan fakulti. Sesekali, kelihatan kilat sabung menyabung dan guruh berdentuman membelah angkasa. Pengeng kepalanya mulai reda. Dengan longlai dia berjalan menuju semula ke arah kerusi setelah menutup tingkap kaca yang tadinya separuh terbuka. Dia terus menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Pelbagai persoalan demi persoalan kembali menerjah ke dalam lubuk hatinya yang gulana. Biarpun selama ini hatinya sudah terkunci mati, namun entah kenapa kehadiran insan-insan yang tidak diundang ini bagaikan menggoncang kembali keputusan yang sudah dibuatnya dahulu. Sebagai gadis yang masih muda, terasa sukar baginya untuk menolak naluri kewanitaannya yang ingin mencintai dan dicintai oleh insan bernama lelaki. Namun batinnya bagaikan menjerit untuk tidak mengizinkan kehadiran mana-mana lelaki dari cuba menghampiri pintu hatinya yang sudah lama menyepi. Dia bagaikan berada di persimpangan yang berliku, antara melayan kehendak naluri atau melayani rintihan batin yang terseksa. Dia mengeluh lagi!
Hawa dingin air-condition yang terpasang di dalam bilik itu bagaikan membeku sekeping hati yang sudah mati. Dengan longlai, dia bangun dan mencapai buku dan nota-nota kuliah yang berserakkan di atas meja. Dia menyusun kembali di atas rak buku di sudut bilik. Dia melangkah semula ke arah meja dan melabuhkan punggungnya pada kerusi itu. Wajahnya yang layu itu dihadapkan ke arah komputer yang sedia terpasang. Terdengar lembut di cuping telinganya lagu I love you nyanyian Celine Dion dan bait-bait lagu itu yang mempunyai roh begitu menyentuh kalbu.
”Ahh! Tidak mungkin aku dilamar cinta! Bukankah cintaku begitu mulus pada seseorang?” hatinya terus bertingkah. Dengan perlahan tangannya mencapai potret yang sedia berada di sebelah kanan mejanya. Potret itu ditatapinya. Pandangan matanya mulai berkaca-kaca.
”Ya! Cintaku hanya untuk Zarul” bisik hatinya kembali. Masih terbayang di ruang matanya sekujur tubuh kaku tanpa kepala yang dikebumikan beberapa tahun yang lalu. Jasad itu kononnya jenazah tunangnya yang lemas di telan gelombang yang menggila. Biarpun puas dipujuk, namun hatinya tetap menolak jenazah itu bukanlah Zarul. Hatinya begitu luluh untuk menerima kenyataan tersebut. Entah berapa banyak mana air matanya yang tertumpah!
”Alangkah indahnya saat manis bersama Zarul. Biarpun dia pernah melukakan hatiku namun aku sudah memaafkannya...”bisiknya perlahan.
”Jika dapat, ingin aku putar kembali detik indah tersebut, namun apakan dayaku...” rintih hatinya.
Masih terbayang di ruang matanya, wajah lelaki kacak berusia di awal 30an yang tersenyum kepadanya.
"Terima kasih Zana kerana membalas cintaku ini. Youlah kekasih awal dan akhir. Youlah segalanya. Tiada insan lain selain you, oh my sweet heart. You terlalu special dalam hidupku ini” lembut bicaranya meluahkan isi hati yang menusuk kalbu. Fauzana teruja mendengar butir bicaranya yang romantik itu.
”Entahlah...Tertewas juga walaupun telah Zana cuba mempertahankan kota cinta ini daripada ditakluki insan bernama lelaki. Zana terkulai juga di persada cinta". Ujarnya perlahan. Matanya kelihatan berkaca-kaca dan setitis air mata jernih mengalir perlahan di pipinya. Fauzana tersenyum dalam keharuan yang mencengkam jiwa. Walaupun dikesat namun air matanya tertumpah lagi. Zarul mengesat lembut air mata gadis itu yang tertumpah.
”Kita akan bahagia my dear.. Kita akan bina mahligai cinta di langit ke tujuh. kita akan ukir nama kita di dada langit. Kita akan bersatu dalam ikatan cinta yang mulus. Percayalah sayangku..cintaku sedalam samudera. ” ujar Zarul sambil menatap wajah gadis itu yang ayu dengan penuh kasih sayang. Fauzana tersenyum. Matanya kelihatan berkaca-kaca.
”Zarul...” suaranya tersekat di kerongkong.
”Benarkah Zarul tidak akan mempermainkan cinta Zana? Benarkah apa yang Zarul ucapkan itu? Benarkah Zarul akan setia untuk selamanya?” Suara Fauzana kembali tersekat-sekat. Bola mata pemuda itu direnungnya lama. Ada kelembutan dalam pandangan matanya yang redup itu. Fauzana kelemasan dalam renungan matanya yang memukau.
”That true, Zana...”Gagah kedengaran suaranya.
”believe me please..” lembut dan meyakinkan. Jika Zana pernah dikecewakan cinta sebelum ini tidak semestinya kekecewaan itu akan berulang kembali. You must learn from the past to improve the future” Bicara Zarul kedengaran lembut. Tutur bicaranya umpama air terjun di Teluk Bahang yang sejuk dan jernih mengalir. Fauzana mengangguk dan tersenyum. Dia yakin pada ungkapan pemuda itu.
”Zarul…”Zana bersuara perlahan. Bayu pergunungan yang dingin lembut membelai wajah mereka. Mata mereka bertaut dan lama.
“Hmm…”Zarul bersuara. Pandangan matanya redup meraup lembut wajah gadis itu.
“Apakah jaminan Zarul tidak akan menduakan cinta Zana ini?” Soal Fauzana kembali. Wajah Zarul di renungnya lama mencari kepastian. Suasana hening seketika. Gadis itu sabar menanti jawapan dari bibir siswa berkumis subur yang nampak menggoda itu.
”I bersumpah sayang….I bersumpah dengan jiwa yang berada di badan ini...I tidak akan menduakan cinta kita....Cinta kita untuk selamanya....Percayalah sayangku” luhur dan syahdu tutur bicaranya. Bicara itu meresap jauh ke dalam jiwa siswi itu yang mulus. Siswi itu terpejam seketika. Tanpa disedarinya dia menyandarkan kepalanya lembut ke bahu siswa itu. Dia tewas dalam ungkapan cinta siswa itu.
”Benarkah begitu sayang?” Soal Zana kembali. Matanya redup dan kelihatan berkaca-kaca itu mencari kepastian. Lirikan matanya bagaikan meraup wajah siswa itu. Bola mata siswa itu yang redup ditenungnya lama dengan pandangan mata yang tidak berkedip.
”I bersumpah sayang!...Hanya you seorang yang bertahta dalam hati ini” Zarul menyusun bicara dengan lancarnya. Dia mengangkat tangannya separas bahu seakan bersumpah.
”Zana percaya kepada Zarul sepenuhnya....”ujar Zana perlahan. Dia tunduk dan mengesat air mata yang tertumpah itu. Belum pernah dia mengalami suasana begitu. Semasa belajar di kolej matrikulasi Melaka dahulu dia masih mentah. Walaupun ada yang mencuba untuk memiliki cintanya itu namun hatinya terkunci mati. Dia membulatkan tekad untuk mendapat keputusan cemerlang untuk diterima masuk penyambung pengajian di universiti ini. Dia merasa puas kerana berjaya juga menjadi pelajar di universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan itu.
”Percayalah sayang....kita akan menjadi sepasang kekasih yang setia dari dunia hingga ke pintu Syurga!..” ujar Zarul tenang. Dia memandang wajah siswi itu yang tunduk mengesat lagi air matanya yang tertumpah.
“Pintu Syurga?..”Zana mengangkat kembali wajahnya dan pandangan mereka bersatu.
”That true!...Bukankah cinta kita cinta yang agung?...Bukankah kerjaya yang bakal kita bina sebagai pendidik adalah pekerjaan yang mulia di sisi agama?...Hanya orang ikhlas dalam amalannya sahaja layak memasuki mana-mana pintu Syurga di akhirat kelak dengan izin Allah” ujar Zarul bin Haji Zainuddin, siswa kacak berkumis subur itu.
”Ohh! Zana, I love you so much my dear” lembut ungkapan cinta daripada bibir siswa itu. Dia tenang menanti ungkapan cinta dari siswi berwajah jelita itu yang menguntum senyuman memandangnya.
Namun tiada siapa menduga, tragedi yang tragis telah memisahkan mereka berdua. Perpisahan itu adalah untuk selamanya! Hujan lebat yang menggila, ombak setinggi gunung menyebabkan bot yang sewa itu terbalik dan mereka terhumban ke dalam laut yang bergelora. Zarul terpisah dan akhirnya hilang terus dari pandangan mata.
”Mungkinkah Zarul ditelan gelombang yang mengganas?” soal hatinya yang membungkam. Dia bersyukur kerana sempat berpaut pada tong diesel dari bot yang karam. Gelombang terus mengganas, hujan terus menggila, angin berdesau kencang. Tangannya yang masih berpaut pada tong putih terasa ditarik seseorang.
”Mungkinkah Zarul yang menarik aku? Ahh! Aku tidak ingat apa-apa” bisik hatinya. Dia cuma tersedar bila berada di atas katil empuk di dalam bilik tidur tetamu dalam sebuah kapal dagang Jepun yang kebetulan lalu di perairan laut yang bergelora. Dia kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Maritem Malaysia yang kemudiannya mengejarkannya ke hospital.
”Ahh! Tidak mungkin!”
”Itu bukan jenazah Zarul!” jeritnya dengan suara tersekat di kerongkong. Sejak tragedi malang itu dia hilang kewarasan diri. Berbulan-bulan lamanya dia meracau dan menjerit memanggil Zarul, tunangannya yang paling dicintai. Lama juga dia dirawat di hospital besar Pulau Pinang akibat trauma tragedi malang yang menimpa.
Namun syukurlah, dia berjaya dipulihkan sepenuhnya. Sekumpulan doktor pakar psychiatric dari hospital Pulau Pinang menjalankan pelbagai usaha rawatan untuk memulihkan semula ingatannya. Setelah ingatannya kembali pulih, dia mula meratap akan kehilangan orang yang paling disayanginya. Puas Mama dan Abahnya memujuk namun bayangan Zarul berada di mana-mana. Dengan usaha pak imam dan ahli kariyah yang membaca surah Yasin tujuh malam berturut-turut memohon pertolongan Allah, semangatnya kembali pulih kembali. Dia sudah boleh menerima hakikat tunangannya sudah tiada lagi di sampingnya. Hanya potret Zarul yang menjadi penawar rindunya yang masih membara. Potret itu dikucupnya lama dengan linangan air mata. Dengan perlahan, dia meletakkan kembali potret itu di penjuru meja. Dia mencapai tisu dan mengesat air matanya yang tertumpah. Walaupun dia pernah berjanji untuk tidak mahu menangis lagi, namun apalah dayanya. Sebagai seorang perempuan yang masih muda, hatinya begitu mudah tersentuh bila wajah insan yang paling dicintainya itu muncul kembali menyapa memori. Walaupun dia sudah pasrah kepada kehendak takdir, namun jauh di sudut hatinya kerap berdoa agar diberi kekuatan oleh Ilahi untuk menempuhi hari-hari mendatang yang entah bagaimana.

Monday, March 8, 2010

CERPEN- BERMULANYA SUATU PENDAKIAN

Kokokkan ayam jantan yang bersahutan memecah keheningan subuh di perkampungan yang permai. Titisan embun di hujung dedaun merimbun lembut menitis dan membasahi bumi. Segaris fajar yang mulai menyinsing diiringi pula hembusan sang bayu di suasana subuh yang syahdu. Dari jauh kedengaran suara muazin melaungkan azan, mendayu dan menusuk kalbu. Seorang lelaki tua berserban putih kelihatan menunggang motorsikal menuju ke arah jalan masjid yang tidak jauh dari situ. Kelihatan juga seorang lelaki separuh umur baru keluar dari pintu hadapan rumahnya. Dia juga mulai menapak menuju ke arah masjid. Lopak-lopak di jalan yang masih digenangi air hujan dilangkahi dengan cermat. Malam tadi hujan turun dengan lebatnya. Daun-daun rambutan kelihatan berserakan di halaman rumah. Semalam, di halaman rumah itulah terdirinya khemah-khemah kenduri dan selaku tuan rumah, Haji Kasimin dan isterinya Hajah Siti Markonah kelihatan mesra menyambut para tetamu yang datang ke majlis kenduri perkahwinan anak perempuan mereka yang kini bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bandar Batu Pahat. Memang menjadi tradisi masyarakat kampung di Parit Kasih, majlis kenduri kendara dibuat secara bergotong royong. Malah, kenduri khatam Al-Quran dan majlis berkhatan juga dibuat secara besar-besaran. Pada sebelah malamnya diadakan majlis tahlil yang dihadiri penduduk kampung dan tidak ketinggalan juga majlis rewang yang dikendalikan oleh persatuan pemuda kampung memeriahkan lagi suasana perkampungan yang permai.
Halaman rumah Haji Kasimin mulai reda dengan tetamu yang pulang menjelang senja. Begitu juga rakan-rakan pengantin sudah mulai meninggalkan rumah itu pada lewat petang. Khemah-khemah, kerusi meja dan pinggan mangkuk sudahpun diangkut dengan lori untuk disimpan semula di dalam setor di belakang masjid.
Pagi itu, di ruangan dapur rumah Pak Haji Kasimin kelihatan seorang perempuan muda sibuk menyiapkan sarapan pagi. Azureen, guru muda yang semalamnya baru menjadi raja sehari kini sedang sibuk menyediakan sarapan pagi. Aroma masakkannya membangkitkan selera sesiapa sahaja yang melewati jalan kampung di hadapan rumah dua tingkat itu. Di atas meja makan sudah siap dibancuh air koko dan wap nipis kelihatan melintuk naik ke udara. Suasana pagi yang nyaman itu diserikan dengan lagu-lagu merdu dari radio Era yang berkumandang memecah keheningan pagi. Seorang perempuan separuh umur melangkah turun dari tingkat atas rumah tersebut. Wajahnya kelihatan bersih setelah selesai menunaikan solat subuh.
“Hezri sudah bangun?” soal perempuan itu mesra. Azureen yang sedang menggoreng meehoon menoleh sebentar ke arah ibunya. Terpamer senyuman dari bibirnya. Wajahnya kelihatan ayu dalam cuaca pagi yang gemilang.
“Sudah. Selepas solat subuh berjemaah tadi abang tertidur balik” balas Azureen tersenyum. Sinar kebahagian tergambar di wajahnya. Inai masih merah di jarinya. Azureen menabur bawang goreng, hirisan cili, dan daun bawang yang sudah dipotong ke atas meehon goreng yang masih panas. Kemudian, Azureen menggoreng telur mata kerbau satu persatu di dalam kuali yang berasingan dan di letakkan di atas meja. Melihat semuanya sudah sedia tersusun, dia tersenyum puas!
“Hezri letih barang kali?” soal ibunya kembali. Wajah Azureen dipandangnya menanti jawapan.
”Abah belum pulang dari masjid? Mengapa lambat hari ini, Ma?” soal Azureen sambil menolak daun jendela. Bayu pagi yang segar lembut membelai wajahnya yang ayu. Ibunya tersenyum melihat anak perempuannya itu menanggalkan tudung kepala dan mengirai rambutnya yang masih basah di tepi jendela.
”Sekejap lagi baliklah Abah kamu. Dia mana pernah tinggal solat subuh berjemaah” balas ibunya mesra. Malam tadi rasanya dia tidak meminta Azureen bangun awal untuk menyiapkan sarapan pagi. Namun, syukurlah! Azureen sendiri merasa tanggungjawabnya sebagai seorang isteri yang baru melangkah ke alam rumah tangga. Dia bagun awal untuk menyediakan sarapan buat suami dan keluarga.
”Bagaimana kamu, Azureen?” soal ibunya kembali. Namun soalan ibunya tenggelam oleh lagu merdu nyanyian Ilyana.
”Bagaimana apa pula ni Mama?” soal Azureen kehairanan. Dia kurang jelas maksud soalan ibunya itu. Ibunya cuma tersenyum seribu makna!
”Mama ingin berpesan...Pandai-pandailah kamu menjaga hati suami kamu itu. Ingat! Syurga di tapak kaki suami” suara ibunya kedengaran mesra dan bersifat mengajari. Azureen ketawa. Tudung kepala dipakainya semula setelah rambutnya yang basah sudah terasa kering.
”Insya-ALLAH Ma! Azureen akan lakukan yang terbaik buat suami”. Senyumannya yang manis terpamer di wajahnya yang ayu itu.
”Mama doakan kamu selamat menempuh hidup berumah tangga. Jangan lupa solat berjemaah. Taati perintah suami. Gembirakanlah hatinya pada setiap masa” pesan ibunya dengan lembut. Seketika kemudian ibunya membisikkan sesuatu di telinga Azureen. Berderaikah ketawa mereka dua beranak. Dari ruang tengah kedengaran seseorang berjalan menuju ke arah mereka yang masih ketawa di dapur.
”Eh! Apa yang diketawakan ini? Gamat benar bunyinya!” Haji Kasimin bersuara dengan nada ceria. Dua beranak yang sedang ketawa itu menoleh memandang wajahnya. Haji Kasimin nampak segak dalam baju melayu cekak musang berwarna putih dan kain pelikat kotak-kotak berwarna biru tua. Haji Kasimin menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya atas kerusi itu yang menghadap meja makan.
”Ehh! Mana boleh bagi tahu! Ini rahsia orang perempuanlah!” balas isterinya sambil menampar manja ke bahu suaminya. Haji Kasimin ketawa memandang wajah isterinya. Kemudian memandang wajah anak perempuannya yang baru semalam menjadi raja sehari.
”Ooo! Rahsia ye? Takkan sedikitpun tidak boleh cerita?” soal Haji Kasimin berjenaka. Bayu pagi yang berhembus terasa segar melalui jendela dapur yang terbuka.
”Mana boleh abah! Kalau cerita tidaklah menjadi rahsia lagi!” balas Azureen dan ketawa. Dia menuang air koko ke dalam cawan yang tersedia di atas meja.
”Ooo rahsia ye?...Tidak mengapa! Nanti abah pakat dengan Hezri. Kami juga ada rahsia...haa tahulah!” balas Haji Kasimin berjenaka.
“Kalau semua orang sudah berahsia macam mana hendak tahu?” balas Hezri yang muncul dari belakang. Dia nampak segak dalam pakaian baju Melayu cekak musang berwarna hijau pucuk pisang. Hezri tunduk bersalam dan mencium tangan mertuanya. Azureen tunduk bersalaman dengan suaminya. Hezri tersenyum memandang wajah isterinya yang nampak ayu dalam cuaca pagi yang gemilang.
“Kita lupakan dahulu rahsia perempuan, boleh?. Sekarang mari kita bongkar apa yang ada di atas meja” ujar Haji Kasimin dan ketawa. Ketawa mereka berbaur bersama. Haji Kasimin menyudu meehoon goreng ke mulutnya.
”Di kedai mana beli meehoon goreng ini?” soal Haji Kasimin kembali. Dia meletakkan kembali sudu dan garpu di sisi pinggan. Isteri dan anak perempuannya berpandangan sesama sendiri.
”Mengapa abah? Tak sedapkah?” soal Azureen kehairanan. Rasa hairan di hati. Tidak pernah pula abahnya berkelakuan sedemikian rupa. Hezri memandang wajah mertuanya dengan seribu persoalan. Suasana yang tadinya ceria dan diselangseli dengan gelak ketawa kini bertukar menjadi tegang. Semua mata memandang ke arah Haji Kasimin dengan penuh tandatanya.
”Adakah meehoon yang aku sediakan ini kurang sedap?” desis hati Azureen. Wajahnya kemerahan dengan pandangannya yang berkaca-kaca. Haji Kasimin terbatuk-batuk seketika. Dia menghirup perlahan koko panas di dalam cawan. Suasana menjadi hening seketika. Haji Kasimin bangun meninggalkan meja makan. Dia berjalan mundar mandir berhampiran meja makan dengan wajah mencuka. Haji Kasimin mengeluh seketika. Dia duduk semula pada kerusi menghadap pinggan yang berisi meehoon goreng yang baru sedikit dijamahnya. Semua mata tertumpu pada Haji Kasimin. Kelakuannya begitu menimbulkan tandatanya!
”Abah pantang sekali jika jumpa meehoon begini!...”ujar Haji Kasimin dengan wajah serius. Semua yang berada di meja makan berpandangan sesama sendiri.
”Kenapa pula abah? Meehoon ini tak sedapkah?” soal Azureen dengan suara bergetar. Air matanya mulai kelihatan bergenang.
” Di kedai mana kamu beli meehoon goreng ini?” soal Haji Kasimin dengan suara meninggi. Dia memandang wajah Azureen dengan pandangan yang tajam. Isterinya cuma menggeleng-gelengkan kepala.
”Maaf abah! Azureen yang masak sendiri. Maaflah jika kurang sedap..Azureen bersuara dengan nada sebak. Air matanya jatuh ke pipi.
”Ooo!...Azureen yang masak meehoon goreng ini? Abah amat pantang sekali!” Haji Kasimin berkata dengan wajah serius.
”Azureen mengaku abah, Azureen jarang masuk ke dapur. Selama ini Mama yang masak. Mungkin sebab itu rasa masakan Azureen kurang sedap. Maafkan Azureen abah.. Maafkan Azureen Mama! Abang maafkan Azu!...” Azureen sebak. Air matanya kian laju mengalir di pipi.
”Bukankah Abah sudah cakap tadi?...Abah amat pantang sekali jika jumpa meehoon begini!...Meehoon ini terlalu sedap!..hehe” ketawa Haji Kasimin memecah suasana. Semua yang berada di meja makan kelihatan mengurutkan dada.
”Awak ni abang Aji! Kalau tak bergurau begini tak bolehkah? Kasihan Azureen! Subuh-subuh lagi dah bangun dan masak meehoon goreng ini tahu? Awak ini buat terperanjat saja!” balas isterinya dengan wajah mencebek. Sempat jarinya mencubit rusuk suaminya. Haji Kasimin melolong kesakitan. Azureen yang sudah berendam air mata tersenyum memandang abahnya. Pagi-pagi lagi sudah kena main!
”Amboi Azureen! Melawakpun tak boleh? Abah sengaja nak menimbulkan suasana suspen tadi. Memang sedaplah masakkan Azureen! Jarang-jarang abah rasa begini. Meehon goreng apa ini haa? Ada taraf masakkan hotel lima bintang ni!..hehe” Haji Kasimin ketawa. Semua yang berada di meja makan ketawa.
”Saya juga mulanya hairan juga abah. Masakkan sebegini sedap abah pula kata begitu” balas Hezri dan ketawa. Sempat dia melirik ke wajah Azureen, isterinya yang berwajah ayu yang masih mengesat air mata.
”Abah ni jahat tau! Sampai hati usek Azureen begini!...”rengek perempuan muda itu. Haji Kasimin bangun menghulurkan tangannya memohon maaf. Akhirnya semua ahli keluarga ketawa dan ketawa mereka berbaur bersama.
“Abah masa muda dahulu memang pelakun teater yang tersohor! Hendak menjadi pelakun jangan malu! Bagilah watak apapun abah boleh lakunkan!” ujar Haji Kasimin dengan penuh semangat.
”Masa dah berlalu abang Aji. Usahlah dikenangkan lagi kisah silam awak tu!” balas isterinya sinis.
”Alaa! Berguraupun tak boleh?” balas Haji Kasimin berseloroh. Dia terus menyudu meehoon goreng ke mulutnya. Begitu berselera sekali Haji Kasimin menyudu meehon goreng. Sampai tiga kali tambahnya!.
”Udahlah tu Abang Aji! Cukuplah! kita ni dah tua buatlah perangai macam orang tua. Baru semalam kita terima menantu. Mungkin tak lama lagi kita akan menimang cucu pula!” balas Hajah Siti Markonah menasihati suaminya. Haji Kasimin tersenyum. Dia bangun dengan wajah ceria. Di ruang matanya seakan ternampak seorang cucu yang comel berlari manja dan memeluk dirinya.
“Cucu? Eh! Bila kita nak menimang cucu? Tak sabar pula rasanya!” suara Haji Kasimin kedengaran bergema. Hajah Markonah tersenyum memandang wajah suaminya. Jauh di sudut hatinya kian berbunga. Dia juga bagaikan tidak sabar untuk menimang seorang cucu. Hezri merasakan dirinya bagaikan seorang pendaki gunung Everest yang tinggi mengawan. Dalam dirinya terasa suatu gegaran yang sukar diungkapkan. Dia melirik ke wajah isterinya yang tunduk dan tersipu malu!

Wednesday, March 3, 2010

CERPEN-IZINKANKU LAYARI BAHTERA CINTA MU

Bulan yang samar di dada langit mulai dilitupi awan kelabu. Angin malam yang menderu terasa keras menampar wajahnya yang cengkung. Jambang dan kumis Aiman tidak terurus. Malah, makan minumnya tidak lagi menentu. Matanya yang kuyu kemerahan leka memandang potret persandingannya yang yang tersusun rapi di atas meja di ruang tamu. Bibirnya yang dahulu tidak lekang dengan senyuman kini bagaikan sebatang sungai yang mati. Aiman menjadi pemburu bayang dan rindunya kian meruntun pada insan yang paling disayanginya. Namun insan itu telah pergi untuk selamanya. Sesekali dia meraup rambutnya yang berserabai. Dia kelihatan resah umpama padamnya api pelita di malam yang gulita. Rasa rindu pada arwah isterinya kian mencengkam jiwa.
”Ya Allah...Tempatkanlah roh isteriku bersama roh para solehin!..Ya Allah..rinduku tidak pernah susut pada dirinya bagaikan nyanyian yang sering memanggil rinduku padanya saban waktu!..”suara Aiman kedengaran bergetar. Air matanya mengalir di pipi dan akhirnya jatuh ke lantai menjadi hamparan permaidani hitam yang menyelubungi hidupnya yang sepi.
Di luar kedengaran angin malam kian menderu bersama titik-titik hujan yang menimpa bimbung rumahnya. Tiba-tiba Aiman terdengar daun pintu rumahnya diketuk seseorang dan cuping telinganya terdengar suara seseorang memberi salam. Dengan suara bergetar dia menjawab salam. Aiman bangun dari sofa dan berjalan menuju ke arah pintu yang tertutup. Tangan kanannya meraup rambutnya yang berserabai ke belakang. Angin malam dari jendela yang terbuka menampar keras wajahnya. Fikirannya ligat berfikir siapakah gerangan yang datang ke rumahnya waktu malam begitu? Daun pintu dikuaknya perlahan. Angin malam kian keras menampar wajahnya yang cengkung. Langkah Aiman terhenti. Matanya terpaku seketika. Tetamu yang sudah bertahun tidak ditemuinya kini tercegat berdiri di hadapan pintu. Tetamu itu tersenyum manis memandang ke wajahnya. Aiman membalas senyuman tersebut. Terasa hambar senyumannya. Dengan perlahan Aiman merapati tetamu itu lalu tunduk mencium tangan kedua tetamu yang mulia itu.
”Mama!...Abah!...Jemputlah masuk” pelawa Aiman dengan suara bergetar. Sesekali jarinya meraup rambutnya yang berserabai.
”Aiman sihat? Kami hanya singgah sebentar sahaja untuk bertanyakan khabar” suara ibu mertuanya kedengaran mesra. Tetamu itu melangkah masuk ke ruang tamu. Buah tangan yang dibawa diletakkan di atas meja. Walaupun wajah tetamu itu kelihatan ceria namun jauh di sudut hati merasa gundah. Aiman yang berada di hadapan mereka bukanlah menantu yang dikenali dahulu. Aiman sudah banyak berubah. Aiman kelihatan kurus merangka dan wajah tidak terurus. Jambang dan kumisnya tidak bercukur. Rambutnya panjang dan nampak berserabai. Tetamu itu duduk di atas sofa dan Aiman menutup kembali daun pintu dan berjalan menuju ke arah tetamu. Di luar hujan kian mencurah.
”Mama dan Abah dari mana?” bergetar suara Aiman. Matanya yang kuyu itu mencuri pandang wajah seorang tetamu yang memakai purdah dan nampak malu-malu.
“Sebenarnya kami dalam perjalanan dari airport mengambil anak Pakngah Hamid yang tinggal di Parit Sulong. Pakngah Hamid tidak dapat datang menjemput anaknya yang cuti belajar kerana uzur. Teringat pula pada Aiman, jadi kami terus singgah ke mari” suara Haji Ahmad Tajuddeen, bapa mertua Aiman kedengaran mesra. Mama Shidah berkerut dahinya memandang keadaan Aiman yang tidak terurus itu. Mama Shidah sedar kehidupan menantunya menjadi begitu semenjak kematian isterinya dua tahun yang lalu. Sebuah lori yang sarat dengan muatan hilang kawalan dan telah melanggar kereta yang dipandu Azureen Diana dari belakang. Kereta Proton Waja yang dipandu Azureen Diana yang bertugas sebagai seorang guru itu remuk dan buku-buku sekolah bertaburan di atas jalanraya. Orang awam yang berada di tempat kemalangan bertungkus lumus berusaha untuk memberi pertolongan. Tubuh Azureen Diana yang tersepit dalam kereta yang remuk itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Menurut seorang guru yang berada di tempat kemalangan, bacaan Al-Quran dari CD kereta yang remuk itu masih lagi jelas kedengaran. Azureen Diana yang cedera parah dikejarkan ke hospital kerajaan yang berhampiran namun Azureen Diana telah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah tiga hari dirawat dalam wad ICU. Betapa luluh hati Aiman kerana isterinya yang paling dicintainya itu telah kembali untuk selamanya.
”Aiman...Ini anak saudara abah yang juga sepupu arwah Azureen Diana isterimu. Dia baru sahaja pulang dari menyambung pengajian dari Jordan” suara Haji Ahmad Tajuddeen garau kedengaran. Mama Shidah meminta izin untuk membuka hijab yang dipakai gadis itu. Aiman terkedu memandang wajah gadis itu yang mirip wajah arwah isterinya. Degupan jantung Aiman menjadi kencang! Peluh sejuk membasahi dahinya.
”Azureen?!...Azu kah ini? Mengapa Azu tinggalkan abang?” Aiman menjerit dengan suara tersekat di kerongkong. Pandangan matanya menjadi kabur. Air matanya kelihatan bergenang. Gadis muda itu tergamam seketika.
”Ha’a...Nama saya Azureen Liyana” suara gadis muda itu tersekat-sekat. Dia menutup kembali hijab di wajahnya.
”Benar Aiman..Wajahnya mirip wajah arwah Azureen Diana isteri kamu” ujar Mama Shidah. Dia tersenyum memandang Aiman yang masih terpinga-pinga. Mata Aiman masih kelihatan berkaca-kaca. Bagaikan dia tidak percaya wajah gadis muda yang berada dihadapannya itu adalah bayangan wajah arwah Azureen Diana, isterinya yang paling dicintai itu. Dia merasakan bagaikan isterinya melangkah pulang ke rumah dan kini sudah berada di hadapannya.
”Ahh! Tidak mungkin!” bisik Aiman kembali. Dia bangun dan berdiri mengadap potret isterinya. Perasaan rindu yang mendalam terhadap arwah isterinya itu menyebabkan dia terlupa gadis muda yang berada di hadapannya itu adalah sepupu arwah isterinya.
”Err..Maafkan Aiman. Fikiran Aiman bercelaru..” ujarnya dengan suara bergetar. Haji Ahmad Tajuddeen dan Mama Shidah tersenyum. Sesekali Aiman meraup rambutnya yang berserabai.
”Bersabarlah Aiman. Setiap yang hidup akan mati. Kita yang masih hidup ini perlu tabah menempuh dugaan hidup yang masih panjang ini” nasihat Mama Shidah dalam suara tersekat. Entah mengapa dia menjadi sebak bila terpandangkan wajah menantunya yang tidak terurus begitu. Di dinding ruang tamu, terpamer gambar-gambar arwah Azureen Diana yang tersenyum manis. Di luar hujan mulai teduh. Angin malam yang dingin selepas hujan menerobosi ruang tamu melalui daun jendela yang masih terbuka.
Tiba-tiba tubuh Aiman menjadi longlai. Dia terjelepok atas lantai di ruang tamu. Dadanya terasa sakit. Nafasnya seakan tersekat. Dia tercungap-cungap. Denyutan jantungnya seakan terhenti. Matanya kelihatan memutih memandang ke atas. Dalam keadaan cemas begitu Haji Ahmad Tajuddeen dan Mama Shidah meluru mendapatkan menantunya yang rebah di atas lantai. Haji Ahmad Tajuddeen memapah tubuh menantunya itu ke atas sofa di ruang tamu. Haji Ahmad Tajuddeen mengipas wajah menantunya dengan surat khabar yang dicapainya dari atas meja. Mama Shidah lincah menggosok-gosok dada menantunya dengan dibantu gadis muda itu. Tubuh Aiman kian sejuk dan matanya terpejam rapat. Setitis air mata jernih mengalir perlahan menuruni pipinya yang cekung yang ditumbuhi jambang yang meliar. Haji Ahmad Tajuddeen masih bercakap sesuatu dengan nada cemas dengan seseorang melalui telefon bimbitnya.
Mama Shidah terus menggosok dada menantunya. Wajahnya masih kelihatan cemas. Dia mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana nafas Aiman yang seakan terhenti sudah kembali normal. Namun Aiman masih belum sedar. Matanya masih lagi terpejam. Mama Shidah menarik nafas lega. Anak saudaranya, Azureen Liyana masih membantunya. Sesekali Mama Shidah menoleh memandang suaminya yang masih bercakap-cakap dengan seseorang melalui telefon bimbitnya. Pandangan Mama Shidah kembali ke gambar arwah Azureen Diana yang tersusun rapi di atas meja di ruang tamu. Azureen Diana adalah satu-satunya anak perempuannya yang sudah meninggalkannya untuk selamanya. Air mata Mama Shidah mulai bergenang di kelopak mata.
Ambulan tiba tidak lama kemudian dan terus membawa Aiman yang masih belum sedarkan diri ke hospital. Haji Ahmad Tajuddeen, isterinya dan gadis muda itu mengekori ambulan dengan menaiki kereta dari belakang.
Aiman ditempatkan di wad kecemasan. Doktor dan jururawat yang berada di wad kecemasan kelihatan sibuk memberi rawatan kecemasan. Tidak lama kemudian seorang doktor keluar bercakap sesuatu dengan Haji Ahmad Tajuddeen. Mama Shidah dan Azureen Liyana hanya mendengar dari jauh. Tidak lama kemudian doktor masuk semula ke dalam wad kecemasan. Haji Ahmad Tajuddeen datang memaklumkan apa yang diceritakan doktor kepada isterinya. Menurut keterangan doktor bertugas, keadaan Aiman masih lemah dan mereka sedang memberi rawatan.
Aiman masih belum sedarkan diri. Dia terbaring kaku di dalam wad kecemasan. Dia merasakan dirinya bagaikan berada dalam majlis akad nikah di Masjid Al Taqwa, Parit Sakom, Batu Pahat, Johor beberapa tahun dahulu. Aiman bagaikan ternampak dia sudah diijabkabulkan dan diminta untuk majlis membatalkan air sembahyang. Aiman bangun dan berjalan ke arah pengantin perempuan yang duduk bersimpuh di bahagian kiri masjid. Lensa kamera bergemerlapan merakamkan peristiwa membatalkan air sembahyang. Betapa berserinya wajah pengantin baru, Aiman bin Haji Zainuddin dengan pasangannya Azureen Diana binti Ahmad Tajuddeen yang dimahkotakan sebagai raja sehari. Wajah pengantin baru itu berseri-seri dalam baju sedondon putih mutiara. Wajah Aiman kelihatan segak dalam pakaian raja sehari dan begitu juga Azureen Diana yang kelihatan ayu dalam pakaian pengantin.
”Assalamualaikum Azu isteriku, ” suara Aiman kedengaran bergetar. Kipas angin berputar ligat di atas kepala. Permaidani biru terhampar luas di lantai masjid.
”Waalaikumussalam abang” jawab Azureen Diana dan tunduk mencium tangan Aiman yang sudah menjadi suaminya. Setitis air mata kegembiraan membasahi pipinya. Aiman tunduk mencium dahi Azureen Diana untuk pertama kalinya. Mata Azureen Diana kelihatan berkaca-kaca dalam senyuman kebahgiaan.
”Azu sayangku, abang sayang padamu sepenuh hati” bisik Aiman perlahan ke telinga isterinya. Azureen Diana tersenyum mempamerkan lesung pipit di pipi kanannya yang nampak menggoda.
”Abang...Cinta Azu kepada abang terlalu mulus” balas Azureen Diana perlahan. Matanya kelihatan berkaca-kaca.
”Inilah bukti cinta dan kasih sayang yang abang sering ungkapkan dahulu” bisik Aiman dan memandang jauh ke dalam bola mata isterinya. Ada nyalaan api di dalamnya.
”Di ruang tengah masjid kelihatan tuan kadhi sedang menulis sesuatu di dalam buku yang dibawanya sementara pak imam dan beberapa orang saksi pernikahan kelihatan berbual-bual dengan beberapa orang yang diduduk di sisi.
”Azu, isteriku. Cintaku adalah suci. Cintaku adalah seindah cinta yang bitara. Izinkanku melayari bahtera cinta mu” Aiman berbisik dan tersenyum. Cubitan Azureen Diana singgah di rusuk Aiman. Aiman ketawa tertahan. Dalam hatinya merasa bahagia melirik wajah isterinya yang ayu dalam pakaian pengantin yang indah berseri. Kemudian Aiman bersama Azureen Diana bangun dan bersalaman dengan emak, abah dan seluruh tetamu yang hadir. Semua yang berada di masjid itu tersenyum dan memberi restu kepada pengantin remaja itu.
Rombongan pengantin baru diarak ke rumah pengantin perempuan dengan iringan paluan kompang. Bergemuruh bunyinya. Deejay majlis membuat pengumuman ketibaan pengantin baru. Para hadirin dan sanak saudara yang menanti di halaman rumah bangun bertepuk tangan tanda gembira. Seterusnya Deejay majlis memainkan lagu ‘Selamat Pengantin Baru’ nyanyian penyanyi popular Anita Sarawak tambah memeriahkan lagi suasana. Azureen Diana diduduki dahulu di kerusi pelamin yang dihias indah kemudian barulah Aiman diduduki disebelahnya. Wajah pengantin perempuan kelihatan ayu dalam suasana hari yang cerah. Berkedipan cahaya kamera dan rakaman video merakam wajah pengantin baru yang nampak berseri-seri di atas pelamin yang dihias indah. Ketika inilah Azureen Diana teringat sajak yang pernah dibacanya dulu bersama sahabatnya rapatnya bernama Dina Shahida.
”Azu!..Jangan lupa hayati bait sajak Lautan di Waktu Subuh!” Dina Shahida membisikkan ke telinga Azureen Diana. Dia ketawa bila Azureen Diana menjeling ke arahnya. Mungkinkah Azureen Diana memahami apa yang ingin disampaikannya.
”Lautan apa pula ni Dina?” Sazlin bertanya kepada sahabatnya. Kemudian Sazlin memandang ke arah Azureen Diana, pengantin baru yang nampak berseri di atas pelamin. Dina Shahida tidak menjawab pertanyaan Sazlin. Dia hanya ketawa. Azureen Diana hanya tersenyum dari atas pelamin sambil matanya menjeling ke arah Dina Shahida yang tersenyum yang membawa seribu makna. Azureen Diana menjeling sekali lagi memandang wajah Aiman, suaminya yang segak umpama raja negeri yang sedang bersemayam di mahligai yang terapung di langit Ketujuh! Aiman membalas senyuman Azureen Diana. Namun Azureen tahu, suaminya tidak memahami apa yang sedang bermain di fikirannya. Bagaikan terngiang-ngiang di telinganya bait-bait sajak Lautan Di Waktu Subuh hasil nukilan Zaihasra yang sungguh menyentuh kalbu. Sebagai pengantin baru, Azureen Diana mulai merasa debaran bila mengingati kata-kata suaminya di dalam masjid tadi yang memohon izin untuk melayari bahtera cintanya. Azureen Diana kian berdebar untuk menempuhi detik malam pertama sebagai pengantin baru dengan hatinya yang kian bergetar!

Saturday, February 27, 2010

CERPEN- DI DADA LAUT KUALA BAGAN TIANG

Angin yang berdesau membawa titik-titik hujan. Sesekali kilat sabung menyabung dan guruh berdentuman menggegarkan angkasa. Bangunan sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar tetap teguh, seteguh semangat tenaga pendidiknya yang bertugas demi kemajuan pendidikan negara bangsa.
Jam di dinding menunjukkan pukul 6.50 petang. Pelajar-pelajar sekolah sesi petang sudah lama meninggalkan bilik darjah. Lampu-lampu sudah dipadamkan kecuali lampu di bilik guru masih terang benderang. Guru-guru sesi petang mulai meninggalkan perkarangan sekolah namun tidak bagi guru lelaki itu. Dia masih tekun menulis laporan berhubung kes pelajar sekolah yang ditangkapnya tadi kerana ponteng untuk diserahkan kepada pengetua.
”Cikgu, datang cepat! Ada pelajar ponteng sekolah dalam belukar tepi ladang kelapa sawit” bergema suara seseorang di hujung telefon bimbitnya. Guru lelaki itu bergegas meninggalkan sekolah dengan keretanya jam 2.15 petang menuju ke tempat yang dinyatakan sebentar tadi. Dia berjaya menangkap lima orang pelajar lelaki tingkatan dua dan empat yang ponteng sekolah. Dengan bersusah payah dia membawa semua pelajar yang ditangkapnya kembali semula ke sekolah. Dia terus membawa pelajar-pelajar tersebut ke sebuah bilik yang sering digunakannya untuk kaunseling pelajar. Sebagai guru disiplin sekolah, masalah disiplin pelajar benar-benar merisaukan guru tersebut. Semua pelajar di sekolah itu tahu guru itu amat tegas dalam masalah disiplin pelajar, Malah dia amat pantang jika dimaklumkan ada pelajar ponteng ataupun sengaja lewat sampai di sekolah. Lebih membuatkan dia 'terbakar' jika ada antara pelajar datang ke sekolah dengan rambut panjang berserabai dan kasut comot berlumpur.
”Apa alasan kamu semua ponteng sekolah? Adakah kamu hendak bagi tahu saya rumah kamu jauh dari sekolah? Atau kamu hendak kata kamu terpaksa meredah jalan berlumpur untuk ke sekolah setiap hari?” soal cikgu itu dengan nada keras. Pelajar-pelajar yang ditangkap itu menikus dan menundukkan kepala. Mereka tidak berani bertentang mata dengan guru tersebut. Guru disiplin itu merasa seakan lemas dalam lautan bila lima pelajar yang ditangkapnya itu adalah dari sekolahnya. Lebih menyedihkan bila kedua daripada murid itu masih dalam tingkatan empat sains dan menjadi harapan negara untuk menjulang maruah anak bangsa di mata dunia.
”Kita mahu lebih ramai warga Malaysia seperti angkasawan negara Dr Sheikh Muzaffar Shukur dan Mejar Dr Faiz Khalid. Kita mahu lebih ramai mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa” suara nyaring pengetua sekolah itu kedengaran membakar semangat dalam perhimpunan pagi itu masih lagi terngiang-ngiang di telinganya. Cikgu lelaki itu menarik nafas. Tangannya menyapu kepalanya yang separuh botak dan nampak berkilat itu.
”Apa nak jadi dengan pelajar sekarang tak tahulah. Mereka bagaikan layang-layang putus tali. Mereka sudah hilang jatidiri. Bagaimanakah anak bangsa kita hendak bangun seperti bangsa Jepun yang telah melonjak kembali maruah bangsa selepas kalah teruk dalam Peperangan Dunia Kedua?” soal cikgu itu kepada kawannya Cikgu Ismail Abdul Rahman yang baru masuk ke bilik guru. Cikgu Ismail menggeleng-gelengkan kepalanya apabila dimaklumkan beberapa orang pelajar ditangkap kerana ponteng sekolah. Di tangan cikgu Ismail kelihatan fail pertandingan debat anjuran pihak Kementerian Pelajaran.
”Mungkin pelajar sekarang merasa selesa dalam kehidupan dan manja dengan persekitaran pembelajaran. Mereka tidak seperti kita dahulu, cikgu Dali” ujar Cikgu Ismail kembali. Dia membuka fail dan memasukkan data-data yang baru di-access dari internet. Hati cikgu Ismail mekar membunga untuk dia mengulangi detik-detik manis bila diumumkan sebagai johan debat peringkat kementerian tahun lalu. Jauh di sudut hatinya terdetik hasrat untuk menjulang kembali piala debat yang pernah dimenanginya itu. Namun imbauan guru itu yang bakal menggenggam segulung ijazah Ph.D dari UPSI terhenti dipancung kata-kata guru disiplin.
”Kita akan tetap berusaha untuk kemajuan anak bangsa. Okeylah Cikgu Ismail, saya balik dulu” ujar cikgu Dali dan menyapu kepalanya yang nampak berkilat itu dengan tapak tangannya. Dia keluar dari bilik guru menuju ke parkir kereta di hujung bangunan. Matanya terasa letih dan berat. Beban tugas sebagai guru disiplin sekolah amat memenatkan. Dua tiga kali dia menguap keletihan. Cikgu Dali memandu keretanya dalam hujan renyai-renyai meninggalkan perkarangan sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang yang sudah lengang itu. Seperti biasa, dialah antara guru terakhir yang meninggalkan perkarangan sekolah pada petang Jumaat itu.
”Jauh di sudut hati, aku merasa puas. Semua tugas yang aku lakukan adalah iklas demi mendidik anak bangsa” bisik hatinya terapung bangga. Dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Trans Krian, cikgu Dali menguap beberapa kali.
Selepas Solat Isyak berjemaah di Masjid dan makan malam, Cikgu Dali melangkahkan kaki menuju ke dalam bilik tidur utama yang berhawa dingin itu. Matanya terasa amat berat sekali. Pertanyaan isterinya yang sedang mengemas meja makan didengarnya jauh dan sayup. Isterinya tidak merasa kecil hati biarpun suaminya tidak menjawab apa yang ditanya. Dia faham suaminya keletihan dan ingin berehat. Dalam bilik, Cikgu Dali membaringkan tubuhnya yang kepenatan. Matanya kian berat dan akhirnya terlelap di pembaringan yang bertilam empuk.
Dali merasa dirinya bagaikan dibuai alunan ombak laut Selat Melaka. Bajunya yang comot berlumpur itu tidak diendahkannya. Bunyi enjin motorboat yang menikam gegendang telinga tidak pernah dihiraukannya. Dia sudah lali dengan bunyi bising begitu. Angin malam terasa dingin menggigit tubuhnya yang kurus itu. Tadinya, dia masih nyenyak tidur di serambi rumah dan dikejutkan suara Rabi, abang tengahnya untuk bersama turun ke laut. Dali menggosok-gosok mata dan menguap tanda masih mengantuk. Namun sebagai anak nelayan di Kuala Bagan Tiang, Dali bangun juga dalam keterpaksaan dia berjalan terhoyong hayang menuju ke arah dapur rumah untuk membasuh muka. Dali mengesat wajah dengan tuala lusuh yang tersidai di beranda. Rabi sudah membelah kegelapan malam. Dia menjinjing bakul berisi bekal ala kadar dengan tong plastik bewarna hitam. Dali bergegas membuntut abangnya yang sudah jauh di hadapan. Jalan agak becak diredahinya seperti biasa. Dalam dinihari itu Dali menguap lagi cuba melawan rasa mengantuk yang kian menjadi-jadi.
”Hoi Dali!...Cepatlah! Nanti bising pula Pek Heng!” suara Rabi kedengaran sayup di hadapan menikam gegendang telinganya. Dali berlari anak mendapatkan abangnya yang tidak lagi menoleh ke belakang. Tong plastik bewarna biru dijinjingnya di atas kepala.
”Abang Bee! Jangan laju sangat jalan tu! Tunggulah!...” jerit Dali yang masih terus berlari anak. Suaranya bergema dalam hutan jeruju yang berduri dan memagari pokok-pokok kedabu dan berembang yang berbuah lebat di kiri kanan jalan batas ban yang dilaluinya itu. Entah apa malangnya, kaki Dali tergeleceh ke dalam becak dan dia tersungkur jatuh ke tanah yang basah.
”Gedebab! ” bunyi benda berat jatuh ke dalam lumpur. Rabi yang tadinya kencang melangkah menoleh sebentar ke adiknya di belakang. Kedengaran suaranya menyumpah-yumpah adiknya. Dali yang sudah comot berlumpur itu bangun gopoh gapah mencapai tong plastik yang terpelanting ke sisi.
”Apa lu lambat ini hari? Nanti motorboat terkandas atas beting. Air laut sudah mula surut!” suara keras Pek Heng dalam pelat cina yang masih pekat. Rabi tidak menjawab. Wajahnya merah ditengking begitu. Dia menjeling adiknya yang tercungap-cungap berlari dengan berwajah comot berlumpur. Pek Heng hanya menjeling pemuda berusia 18 tahun itu. Rabi memberi isyarat kepada awak-awak agar tali yang menambat motorboat itu di buka. Seketika kemudian, enjin motorboat dihidupkan. Bunyi enjin motorboat itu memecah keheningan dinihari. Memang suatu kelaziman bagi Pek Heng, peraih ikan dan tuanpunya motorboat itu akan datang bawa tong berisi diesel dan menyerahkan kepada Rabi, yang sudah lama bekerja sebagai tekong motorboat itu. Rabi memeriksa bilangan awak-awak yang sudah berada dalam motorboat yang kelihatan sudah uzur itu.
Bunyi enjin motormotorboat itu memekakkan anak telinga. Gemanya umpama tembakan mesingun German dalam peperangan Dunia Kedua. Bunyi motorboat itu menerjah dan menerobosi hutan bakau dan kayu api-api di tebing sungai menuju ke kuala Bagan Tiang untuk ke laut lepas. Sebagai tekong berpengalaman, Rabi sedar dia perlu segera keluar dari kuala sungai itu. Jika terlewat, motorboat itu akan terkandas di atas beting lumpur. Hatinya masih menyumpah adiknya yang tadinya berjalan terhegeh-hegeh menyebabkan Pek Heng sudah memarahinya. Rabi faham kemarahan Pek Heng adalah suatu bencana. Jika kerap dimarahi, mungkin menjejaskan upahnya sebagai tekong motorboat. Rabi tidak pernah menjawab jika dimarahi Pek Heng. Pek Heng adalah majikannya. Melawan majikan buruk padah yang menimpa! Rabi memahami hakikat hubungan antara tuan dan pekerja. Rabi amat patuh pada apa sahaja arahan yang diberikan Pek Heng.
”Kenapa pula abang takut dimarahi Pek Heng? Apa nak ditakutkan? Rezeki kita bukan di tangannya!” Dali mengusek abangnya pada suatu malam di rumahnya selepas makan malam.
”Awak cakap senanglah! Aku yang selalu kena marah dengan Pek Heng, awak apa tahu?” suara Rabi kedengaran meninggi. Radzi, abang sulung dan masih bujang itu terkikih-kikih ketawa memandang Rabi yang mencuka wajahnya. Pak Hassan, ayah mereka masih belum pulang dari surau Haji Shaari kerana ada majlis bacaan Surah Yassin dan doa selamat Wa Sin, jiran sekampung akan ke tanah suci pada minggu hadapan.
”Haa..Tuang petrol lagi ke dalam bara api!. Biar api itu menyambar dan membakar diri!” sinis kata-kata abang sulungnya dan ketawa terkikik-kikik. Dia bangun berjalan ke muka pintu dan turun ke halaman rumah serta hilang dalam kegelapan malam. Mungkin juga Radzi ke rumah bapa saudaranya Mat Tabu tidak jauh dari situ atau ke rumah Babu untuk berbual kosong bersama Piee, Lee Indu, atau Mat Amen yang cekap menangkap ketam batu dalam lubang di dalam hutan jeruju.
Rabi tersentak dari lamunannya. Bunyi enjin motorboat itu masih memekakkan gegendang telinga. Suasana alam kelihatan mulai cerah dan pemandangan laut waktu subuh memang mempersonakan. Rabi teringat adiknya, Dali adalah pelajar Institut Iqbal dalam tingkatan enam atas di Bandar Bahru, Kedah. Dali sering membacakan sajak lautan di waktu subuh karya Zaihasra sehingga timbul minatnya ingin tahu. Bila ditanya, adiknya itu hanya berkata "Biarlah rahsia!..." Rabi terdiam tidak bertanya lagi. Dia tidak pernah rasa kecil hati atas sikap adiknya itu. Dia hanya mahukan adiknya itu memenuhi harapan keluarga dan menyambung pengajian ke peringkat universiti.
”Ini kerja jadi nelayan hanya hobi di hujung minggu. Nanti bila keluar universiti aku nak jadi pendidik yang hebat. Jika dapat, aku hendak jadi guru besar suatu masa nanti” suara Dali kedengaran memecah keheningan malam dalam rumah papan beratapkan daun nipah itu.
”Kalau dah jadi guru besar janganlah lupakan anak bangsa pula” usek Radzi, abang sulungnya. Tangannya memegang "cuban" alatan yang diperbuat daripada buluh untuk menjahit pukat udang yang tercarik. Memang Radzi tidak suka bekerja di bawah Pek Heng, tidak seperti adiknya, Rabi. Radzi tidak mahu dikongkong oleh orang tengah bangsa asing. "Pantang!" katanya. Dia lebih senang bekerja sendiri menjaring udang sirin untuk dibuat belacan. Pernah beberapa kali dia mengajak adiknya Rabi untuk bekerja bersamanya, namun Rabi tetap menolak. Rabi lebih senang bekerja sebagai tekong di bawah Pek Heng.
”Jangan esok saya sudah jadi guru besar, abang Bee masih jadi kuli Pek Heng lagi. Tak ada hasrat untuk merdekakan diri ke? Sampai ke tualah jadi kuli orang!..hahaha!..” Dali ketawa berdekah-dekah.
”Ala!...Masa awak dah jadi guru besar nanti, aku sudah jadi usahawan yang berjaya. Aku akan eksport hasil laut ke luar negara!” balas Rabi penuh bersemangat. Radzi, ketawa berdekah-dekah dan menggelengkan kepalanya.
”Nak jadi usahawan apa ke benda? Untuk jadi usahawan tidak cukup hanya dengan berangan-angan kosong. Perlu ada ilmu dan kesungguhan. Kapal angkasa "Challengger" Amerika Syarikat tidak akan meluncur naik ke angkasa hanya dengan angan-angan kosong!” sindir abang sulungnya. Wajah Rabi kelihatan merah padam menahan emosi. Radzi ketawa berdekah-dekah geli hati. Dia sedar adik tengahnya hanya berangan-angan kosong. Dia tahu benar perangai Rabi seorang yang pemboros. Upah yang diterima sebagai tekong motorboat dibelanjakan dengan menonton wayang gambar di panggung Kapitol atau Cathay di Parit Buntar. Kalau panggung wayang itu penuh, Rabi dengan kawan-kawannya seperti Mat Kambing, Adam, Grodiang, Said Man Tehmiang, Pakcik, Mat Belacak, Saad buntal, Lee Bek Bek dan Mat Raja Indu akan menyeberangi Sungai Krian untuk menonton wayang gambar Hindi di panggung wayang Li Wha di Bandar Bahru. Baliknya dari Parit Buntar dengan bas merah terakhir dan singgah makan mee rebus Haji Saad di Bagan Tiang. Imbauan nostalgia Rabi terputus. Motorboat yang dipandunya itu gagah membelah ombak menuju destinasi berhampiran kuala Sungai Udang. Di bahagian hadapan beberapa orang awak-awak sudah bangun tidur dengan wajah manyau. Ada yang membasuh muka dan ada yang mula mengunyah bekal yang di bawa.
”Hoi Dali!..Apa nak jadi ni? Asyek dok menegreloh lagi?...bangunlah! Hari dah pagi!” suara garau itu mengejutkan Dali yang terlelap. Dali membuka matanya memandang ke arah kawannya yang bersuarau garau.
”Apalah Albert!...kacau orang nak tidur la! Ingatkan orang kaya macam awak dah tak mahu jadi nelayan lagi” suara Dali menyindir Jamil Don kawannya yang masih belajar di Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang. Jamil Don sudah lali dipanggil dengan gelaran "Albert de Souza" itu sudah melekat dengan namanya semenjak dia di sekolah teknik Pulau Pinang tetapi cabut balik ke kampung tak sampai seminggu belajar di sekolah itu!
“Tak tahan!...Hari-hari kena cakap bahasa orang putih. Aku mana faham? Verb tak faham! Past tense dan future tense masih teraba-raba! Sebab itulah aku digelar Albert De Souza oleh kawan-kawan aku di sana” ujar Jamil Don berjenaka. Awak-awak yang mengunyah bekal yang dibawa ketawa terkikik-kikik. Ada juga yang terlupa bawa bekal, terpaksalah membeli secara berhutang daripada Pak Chin Bongkok yang menjaja kueh dan nasi lemak pada nelayan-nelayan yang akan turun ke laut.
”Apa apa susahnya bahasa Inggeris? Past tense bagi yang dah lepas, present tense bagi perkara semasa dan future tense bagi akan datang. Kacanglah!” ujar Dali dan ketawa terkikik-kikik. Angin laut yang segar itu bagaikan menerbangkan rambutnya ke belakang. Sesekali dia menguap melepaskan rasa mengantuk yang masih menyelubungi diri. Dali bangun dan berjalan terhoyong hayang ke belakang mototboat membuang air kecil ke dalam laut. Namun air laut sudah sedia masin walaupun tanpa pertambahan air seninya. Dali mengelepar kegelian seketika. Rabi yang masih memegang kayu kemudi tidak menghiraukan kelakuan adiknya itu. Setelah membersihkan diri, Dali berjalan semula ke bahagian hadapan motorboat mendapatkan Jamil Don yang masih tersengeh memandang wajah Dali seiras wajah Os pelawak terkenal.
”Macamana? Betul ke apa yang aku cakap tadi?” soal Dali dengan agak kuat. Namun suaranya dihanyutkan angin laut ke belakang.
”Awak cakap senanglah, aku ni yang tension!” Jamil "Albert De Souza" cuba membela diri. Rambutnya yang lurus itu terbuai-buai diterbangkan angin. Di ufuk timur, kelihatan cahaya mentari pagi mulai menampakan diri dan melimpahkan cahayanya yang gemilang!
“Kalau awak tak sanggup hadapi cabaran macam mana bangsa Melayu hendak maju? Bahasa Inggeris amat penting untuk perhubungan antarabangsa. Melalui bahasa Inggeris kita gali ilmu mereka. Kita bukan hendak jadi mereka. Ilmu yang kita tuntut akan dapat memajukan negara kita ikut budaya kita sendiri. Orang Jepun maju kerana mengambil ilmu dari barat dan membuat inovasi. Sekarang orang asing terpaksa datang belajar bahasa Jepun jika mahu belajar dan maju seperti mereka” ujar Dali bersemangat. Pak Kadi, Yeh Pak Non, Fuad Mat Tok Leh, Asin Maktam, Zul Tok Cop, Mat Wa Rakyah, Mail Ndak Som, Halim Pain, Mit Gelong, Daud Harun, Ali Man Pendek, Fuad Don, Pa Pain, Cop Puru dan Cin Kodot terlompong mulutnya mendengar Dali bercerita.
”Haa..dengarlah temberang si Dali tu!...Dia baru nak ambil STP hujung tahun ini. Entah lulus entah kantoi!” Sindir abang Dollah Cheche dari belakang. Semua orang ketawa mendengar sindiran lelaki berusia awal 40an itu.
”Apalah abang Dollah...Saya cuma nak bagi semangat pada adik-adik ini yang masih muda usianya. Hanya dengan pelajaran sahaja bangsa Melayu kita boleh maju” ujar Dali bersemangat. Enjin Motorboat sudah dimatikan dan sudah melabuhkan sauhnya. Angin laut yang berhembus terasa segar menyelinap ke dalam rongga paru-paru. Dali bangun dan mengeliat seketika. Matanya memandang perahu nelayan pantai yang bertaburan di dada laut menebarkan pukat untuk mencari rezeki buat keluarga.
”Bangsa kita susah hendak maju. Ramai yang masih dengki mendengki!" ujar abang Dollah sambil menghembus asap rokok daun di bibirnya yang kelihatan kehitaman.
"Kita buangkan hasat dan dengki! Kita majukan bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah!.." ujar Dali dengan penuh semangat. Terasa urat sarafnya bergegar bila membicarakan nasib anak bangsa.
"Orang muda yang terpelajar macam awaklah boleh beri semangat kepada anak-anak muda bangsa kita untuk tidak terlalai terhadap masa depan negara! Bukan begitu Rabi?” soal abang Dollah bersemangat. Rabi hanya tersengeh bila abang Dollah menandang wajahnya.
”Semangat sahaja tidak cukup, abang Dollah! Kita perlukan ilmu dan teknologi agar bangsa kita boleh maju dan disegani masyarakat antarabangsa suatu hari nanti” ujar Dali lebih bersemangat. Dia meraup rambutnya yang separuh kerinting itu. Bayu laut yang nyaman itu lembut membelai wajah remajanya.
”Cakap orang nelayan macam kita ini siapalah yang hendak dengar? Kita ibarat melukut di tepi gantang. Bertambah tidak kurang tak terasa” sinis suara abang Dollah.
”Kita tak boleh anggap begitu abang Dollah...Semua kita ada peranannya dalam pertumbuhan ekonomi negara” ujar Dali berjenaka.
”Pandailah awak!. Memang layak kalau awak masuk universiti suatu hari nanti. Kami doa moga awak berjaya dalam mengejar cita-cita. Awaklah wakil kami nanti dalam memperjuangkan nasib nelayan” ujar abang Dollah kembali. Matanya kelihatan bercahaya, mengharap nasib nelayan seperti dirinya akan terbela.
”Golongan nelayan macam kita kena bersatu di bawah Persatuan Nelayan. Baru nasib kita akan terbela” ujar Dali bersemangat.
“Persatuan nelayan memerlukan pemimpin macam awak Dali. Kena ada pelajaran tidaklah kita berada di bawah orang tengah yang menindas macam Pek Heng” balas abang Dollah ketawa. Matanya melirik ke wajah Rabi.
“Jangan kutuk Pek Heng...Nanti ada orang marah pula” usek Jamil "Albert De Souza" dan ketawa. Semua awak-awak ketawa dan mata mereka memandang ke arah Rabi.
“Oii...Kalau tak sindir aku tak senang duduk ke? Aku campak ke laut baru tahu!” jerit Rabi dari belakang motorboat. Semua ketawa terbahak-bahak.
”Awak harus terima kenyataan Rabi. Memang betul apa yang dicakap mereka. Takkan selamanya awak bergantung hidup di bawah Pek Heng? Mana jati diri kita sebagai bangsa yang merdeka?” ujar abang Dollah sinis. Rabi secara berseloroh meluru ke arah mereka. Tolak menolak berlaku dan ramai yang akhirnya terjatuh ke dalam laut. Ketawa mereka berbaur bersama.
Dali dan awak-awak sudah berada di dada laut. Masing-masing dengan tong plastik yang diikat di pinggang. Mereka leka mencari siput pahat bewarna putih dan mahal harganya dalam pasaran. Kulitnya yang tajam boleh melukakan jari jemari jika tidak memakai sarung tangan. Dali duduk di atas sekeping papan dan kakinya melonjak ke belakang dan tangannya lincah mencari siput pahat dan siput itu bagaikan berterbangan masuk dalam tong plastik tersebut. Memang Dali mempunyai kemahiran begitu yang sukar ditandingi sesiapa!
”Banyak dapat?” soal Dali kepada Jamil "Albert De Souza". Jamil "Albert De Souza" hanya tersengeh memandangnya. Dada laut kelihatan sedikit bergelombang dan air laut kian surut. Burung-burung camar terbang rendah di atas dada laut menangkap anak-anak udang yang melompat.
”Adalah sikit-sikit” balas Jamil "Albert De Souza" dengan suara bergetar. Mungkin dia sedikit kesejukan berada di dalam laut yang airnya separas dada semasa duduk di atas sekeping papan.
”Nanti awak buatlah cerpen bertajuk menangkap siput pahat di laut” ujar Dali dan ketawa. Jamil "Albert De Souza" turut ketawa. Ketawa mereka berbaur bersama. Di hujung sana kelihatan Mit Gelong menciluk siput pahat rakannya Mail Ndak Som yang menoleh sebentar ke arah Dali dan Jamil "Albert De Souza" yang sedang ketawa. Mail Ndak Som menuduh Mit Gelong menciluk siput pahatnya. Riuh dan gamat bunyinya pertengkaran dua sahabat itu.
”Siapa nak baca cerpen itu? Menangkap siput pahat di laut apalah nilai komersialnya?” soal Jamil "Albert De Souza". Dali yang bertopi rumput itu tersengeh memandang wajah rakannya itu yang mulai kemerahan dipanah sinaran mentari yang kian meninggi.
”Awak jangan lupa pula! Catatkan kerja nelayan macam kita ini sebagai kerja yang mulia. Walaupun kita hanya tangkap siput pahat tetapi kita tetap berusaha mencari rezeki yang halal! Kita tidak mencuri atau menipu orang” balas abang Dollah dari sebelah kiri mereka dan ketawa.
”Betul apa yang dikatakan abang Dollah. Jamil, awak jangan lupa. Catatan amat penting dalam membina maruah bangsa. Lihatlah tamadun China. Semua peristiwa penting dicatat oleh pencatat yang dilantik oleh Maharaja. Kini catatan itu telah menjadi bahan kajian sejarah negara tersebut.” balas Dali bersemangat. Tangannya lincah memasukkan siput pahat ke dalam tong plastik bewarna biru.
”Benar kata awak tu. Selain Ma Huan, Ibn Batutta, dan Vasco da Gama juga mencatatkan penemuan yang ditemui semasa singgah dalam pelayaran. Jika ada catatan sejarah berhubung sesuatu peristiwa dalam negara hubungilah Jabatan Arkib Negara agar manuskrip yang berharga akan terus terpelihara” ujar Dali dan ketawa terkikik.
“Abang! Bangun! Mengapa ketawa dalam tidur ni? Abang mengigau ke?” soal isterinya dengan suara serak. Dali yang terjaga dari tidurnya mengurut dadanya seketika.
”Abang mimpi nostalgia di dada laut Kuala Bagan Tiang rupanya...” bergema suara parau guru itu.
”Itulah abang, tidur tak cuci kaki” rengek suara isterinya. Dali bangun menuju ke bilik air mengangkat wudu’ untuk solat tahajut. Di luar angin malam terus berhembus umpama angin laut Kuala Bagan Tiang yang masih menderu kerinduan pada Dali bin Hassan, anak nelayan yang pernah kembara di dadanya dan kini berjaya sebagai pendidik cemerlang dalam mendidik anak bangsa di negara tercinta!

Tuesday, February 9, 2010

CERPEN- MERISIK KHABAR DIRIMU SUHAIDA

Malam kian larut melabuhkan tirainya. Titisan embun jantan kian galak menitis dan membasahi dedaun yang merimbun di sudut halaman. Dedaun rambutan gading yang kekuningan berdesiran gugur menyembah ke bumi. Dentingan jam antik di dinding rumah itu kedengaran menandakan pukul 3 pagi. Namun mata Suhairi masih belum juga mahu lena. Walaupun puas mencuba untuk melelapkan matanya namun bayangan wajah seseorang kian meruntun rindunya yang masih membara. Suhairi bangun dan berteleku seketika di birai katil. Matanya memandang ke sisi mencari seseorang namun semuanya kosong seperti jiwanya yang ketandusan di persada cinta.
”Cinta? Ahh! Apalah ertinya cintaku ini? Bukankah dia sudah meninggalkan aku untuk bersama kekasih barunya? Walaupun berat hatiku untuk melepaskannya namun aku tidak terdaya mempertahankan ikatan pernikahan yang dibina atas dasar cinta. Ahh! Biarkanlah! Biarkanlah dia terus memburu bayangan rindu. Walaupun dia sudah tidak setia pada ungkapan cinta namun aku tetap setia padanya hingga ke akhir hayat” suara Suhairi kedengaran bergema. Di luar kedengaran angin malam kian menderu. Titis-titis kasar air hujan menimpa bumbung rumah satu persatu. Suhairi mengatur langkah ke arah jendela. Daun jendela itu dikuaknya perlahan. Angin malam yang membawa titis-titis air hujan menerobos masuk ke dalam bilik dan menampar keras wajahnya yang tidak terurus itu. Jambang dan kumisnya tidak lagi dicukur rapi seperti dahulu. Malah, makan minumnya tidak lagi menentu. Wajahnya kian cengkung dan badannya kian kurus merangka. Matanya memerhati ke luar jendela yang hitam pekat dan langit tidak berbintang. Kegelapan malam itu samalah seperti gelapnya harapan untuk melihat Suhaida, bekas isterinya itu sudi merujuk semula kepadanya.
”Ahh!...tergamak kau meninggalkan diriku? Bukankah aku selalu memuja dirimu? Bukankah cintaku begitu mulus terhadap mu?” soal Suhairi seolah-olah bekas isterinya itu berada di hadapannya. Namun Suhairi tersedar kembali, dia hanya bercakap seorang diri. Di luar, bunyi sang kodok kian bersahutan. Hujan kian menderu. Suhairi menutup kembali daun jendela. Dia meraup rambutnya yang berserabai. Dengan longlai dia melangkah semula ke arah katilnya yang terletak di penjuru bilik. Hujan kian menderu dan sesekali cahaya kilat menerangi angkasa dan diikuti dentuman guruh membelah angkasa. Mata kuyu Suhairi tidak lepas memandang gambar persandingannya yang terpamer di atas meja berhampiran katil. Alangkah bahagianya dia pada saat itu. Suhaida begitu manja padanya. Tutur katanya begitu manis umpama madu. Malah ada di kalangan kawan-kawan sering memuji, kononnya merekalah umpama sepasang merpati sejoli yang terbang bersama dan hinggap di dahan meranti. Tiap detik yang berlalu bagaikan tidak pernah terasa jemu. Sinar kebahagiaan rumah tangga yang baru dibina atas dasar cinta benar cinta kian melimpahi diri. Tutur kata dan gurau senda pasangan yang baru melayari bahtera rumah tangga terasa lembut menyelinap ke dalam kalbu. Ahh! ”Alangkah bahagianya pada saat itu” bisik Suhairi dan tersenyum. Wajahnya yang ceria itu bertukar menjadi mendung kelabu. Kemesraan suami isteri itu tidak lama. Suhaida sudah mula berubah hati. Suhaida kini bukan Suhaida yang manja seperti dahulu lagi. Suhaida kini sudah mulai membenci Suhairi. Biarpun pelbagai usaha dan perbincangan keluarga kedua belah pihak pernah diusahakan Suhairi namun Suhaida tetap membenci Suhairi . Malah, Suhaida telah nekad lari dari rumah. Mulai detik itu tinggallah Suhairi sendirian di rumah itu yang ibarat syurga suatu masa dahulu. Hidupnya kini tidak lagi menentu. Dia termenung berpanjangan kerana kehilangan tempat bermanja. Biarpun puas dipujuk rayu namun Suhaida tetap enggan kembali ke sisinya. Suhairi menjerit memanggil nama Suhaida berkali-kali. Namun Suhaida masih tiada di sisi. Suhairi menghempaskan diri ke atas katil. Dia terkapar-kapar dalam kelemasan umpama di lambung ombak kerinduan terhadap Suhaida, bekas isterinya yang paling dicintainya itu. Namun dia tidak terdaya menghalang perpisahan yang dipinta. Perpisahan itu menjadikan dirinya kian tidak menentu. Dia sering diburu mimpi sedih di dalam tidur dan juga di dalam jaga. Prestasi kerjanya sebagai pegawai pemasaran juga kian merosot. Banyak projek terlepas kepada syarikat lain. Laporan pemasaran gagal disiapkannya. Oleh itu tidak hairanlah mengapa Suhairi sering ditegur oleh ketua pegawai eksekutifnya dalam menyuarat pengurusan syarikat.
”Encik Suhairi ada di mana? Laporan pemasaran sudah siap ke? Datuk hendak jumpa Encik Suhairi sekarang juga!” bergema suara Tengku Safinaz, Pembantu Khas kepada Datuk Helmi, Pengarah Urusan Gumpong Holding Sdn Bhd.
”Katakan pada Datuk, saya kurang sihat. Saya ambil emergency leave hari ini” suara Suhairi kedengaran bergetar di hujung telefon bimbit. Suhairi terus mematikan telefon bimbitnya. Wajah Datuk Helmi yang perus itu menjelma di ruang matanya menyebabkan jantungnya berdegup kencang. Suhairi bagaikan ingin lari jauh dari situ namun rindunya pada Suhaida menghalang niatnya itu. Rindunya pada Suhaida terasa kian mencengkam jiwanya yang bercelaru.
”Rindu Sue pada abang umpama sekawan lebah yang hinggap di dahan meranti” lembut suara Suhaida pada pendengaran Suhairi. Suhairi melirik ke wajah isterinya yang ayu itu.
”Benarkah begitu Sue?” soal Suhairi dengan suara bergetar.
”Sue rela menghambakan diri ini hanya untuk abang tersayang. Sue benar-benar rindukan abang” terngiang-ngiang suara Suhaida di cuping telinga Suhairi pada suatu malam yang sunyi. Suhairi terasa bagaikan berenang di lautan madu. Setiap tutur kata Suhaida itu umpama ombak bermadu dan alangkah manisnya terasa tutur kata isterinya itu yang lembut menyelinap ke dalam kalbu.
”Tidaklah lebah itu akan terbang mencari dahan yang lebih rendang?” soal Suhairi sambil melirik ke dalam bola mata isterinya mencari segugus jawapan.
”Abang! Lebah ini lebah yang setia. Sekali lebah itu hinggap dia akan terus di situ untuk selamanya”
”Benarkah begitu?”
”Abang! Bukankah Sue sudah cakapkan berkali-kali. Cinta Sue hanya untuk abang seorang. Bukankah Sue ini isteri abang? Mengapa pula Sue harus meninggalkan abang? Bukankah rumah tangga ini kita bina atas dasar cinta di langit ke tujuh? Apa abang masih meragui kesetiaan Sue selama ini?” soal Suhaida dalam nada manja. Suhairi terasa dia tenggelam lagi ke dasar lautan madu. Kata-kata Suhaida yang lembut itu bagaikan suatu hamparan samudera yang membiru. Debur ombaknya menghempas lembut di pantai cintanya saban waktu. Namun itu hanyalah nostalgia indah yang tidak mungkin akan berulang lagi. Suhaida kini bukan Suhaida yang dahulu lagi. Suhaida yang dirinduinya tiada lagi di sisi. Suhairi mengeluh dan meraup rambutnya yang tidak terurus itu. Dia mengatur langkah menyusuri siar kaki di tepi tasek Proton yang permai itu hanya untuk mencari kedamaian di hati. Di tengah tasek kelihatan airnya berombak kecil ditiup sang bayu. Keadaan itu samalah seperti jiwanya yang bergelora semenjak berlakunya perpisahan dengan bekas isterinya itu. Perpisahan itu menjadikan keadaan Suhairi menjadi tidak menentu dalam menempuhi jalan hidupnya yang kian berliku.
”Lupakan apa yang berlaku. Tidak guna awak kesalkan lagi. Perpisahan sudahpun berlaku” nasihat Zuraini Haji Wanda, teman rapat Suhairi pada suatu petang di bawah wakaf di tepi tasek Proton yang permai. Zuraini sering menemani Suhairi ketika lelaki ini memerlukan seorang teman untuk berkongsi masalah yang mencengkam diri. Perkenalan mereka sudah terjalin agak lama malah Zuraini juga sering mendengar masalah Suhaida yang juga sahabatnya. Suhaida pernah menceritakan kepadanya yang dia pernah terlanjur bersama kekasihnya itu. Sebab itulah dia meminta agar dirinya dilepaskan dari ikatan pernikahan beberapa bulan yang lalu. Puas sudah Zuraini menasihati Suhaida agar bertaubat dan mempertahankan rumah tangganya namun Suhaida masih berkeras mahu juga berpisah dengan suaminya.
”Apa Sue tidak pernah bertanyakan tentang diriku? Tiadakah salam tiadakah pesan? Tahukah dia sehingga kini aku masih lagi merindui dirinya?” soal Suhairi dengan suara tersekat di kerongkong. Wajah Zuraini yang iras pelakon Rita Rudaini itu dipandangnya mencari jawapan. Namun Zuraini hanya menjungkitkan bahunya. Suhairi mengeluh dan menggelengkan kepalanya. Di siar kaki kelihatan beberapa orang siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris sedang berjoging dan ada yang berbual-bual di bawah wakaf di tepi tasek yang indah pemandangannya. Di ufuk barat mentari bersaga mulai bersembunyi di sebalik awan kelabu yang berarak ke arah kemuncak banjaran Titiwangsa yang membiru.
”Aku masih mencintai Suhaida sepenuh hatiku. Wajahnya tetap bermain di ruang mataku ini setiap waktu” bergetar suara Suhairi ketika melafaskan kata-kata itu. Zuraini menggelengkan kepalanya. Dia tahu Suhairi menyesal kerana melepaskan talak terhadap Suhaida. Namun sebagai lelaki tentu Suhairi merasa dayus jika tidak melepaskan isterinya yang sudah terlanjur dan bersungguh-sungguh benar meminta agar dirinya dilepaskan untuk hidup di samping kekasih barunya. Kisah keretakan rumah tangga sahabatnya itu bermula apabila Suhaida berkenalan dan jatuh cinta pada seorang lelaki yang dikenalinya melalui internet. Walaupun pada peringkat awal perkenalan, Suhaida menganggap lelaki itu sebagai kenalan biasa namun hari demi hari perhubungan mereka bertukar menjadi sepasang kekasih yang tidak dapat dipisahkan lagi. Sering juga lelaki itu datang ke tempat kerja Suhaida di Bill Properties Sdn Bhd. Ada kalanya lelaki itu menjemput Suhaida keluar makan tengahari bersama. Tidak sekadar itu, banyak pemberian yang mahal dihadiahkan kepada Suhaida, kononnya sebagai tanda ingatan atas dasar persahabatan. Akhirnya persahabatan Suhaida bersama lelaki itu telah bertukar menjadi sepasang kekasih. Kisah percintaan ini sampai juga pada pengetahuan Suhairi dan sudahpun menasihati isterinya agar memutuskan perhubungan sulit tersebut namun isterinya itu masih berkeras ingin meneruskan perhubungan dengan lelaki itu.
”Abang tidak boleh mengongkong Sue begini! Abang tidak boleh menyekat kebebasan Sue hendak berkawan dengan siapa. Kerja Sue memerlukan Sue melayan setiap pelanggan syarikat. Adakalanya Sue perlu keluar makan dengan pelanggan demi untuk kejayaan syarikat. Sue buat semua ini untuk kerjaya Sue! Kalau nak harapkan Abang Hmm...entahlah!” sinis nada suara Suhaida. Tiada lagi kelembutan dalam nada percakannya.
”Apa wang yang abang bagi selama ini tidak cukup, Sue?” soal Suhairi dengan suara bergetar.
”Berapalah sangat yang abang bagi? Nak beli lipstik pun tak cukup!” sinis ungkapan isterinya dengan congah.
”Sue cakap saja berapa yang Sue perlukan. Abang janji abang boleh beri. Tolonglah jangan rapat sangat dengan pemuda itu. Abang sayang pada Sue” Suhairi seakan merayu simpati. Wajah isterinya yang kemerahan menahan emosi itu dipandangnya.
”Abang jangan memfitnah Sue ya! Suka hati Sue lah nak berkawan dengan siapa! Abang jangan mengongkong kebebasan sue pula! Bosanlah kalau begini!” nyaring suara Suhaida dan kedengaran bergema dalam bilik tidur utama. Dia mencapai kunci kereta dan menderumkan keretanya dari rumah itu. Sejak kejadian itu Suhaida tidak lagi kembali ke rumah. Puas juga Suhairi menghubungi Suhaida melalui tetefon bimbit namun gagal. Suhairi mencari di merata tempat namun tidak bertemu. Malah, Zuraini, teman sepejabat isterinya menyatakan Suhaida sudah tidak lagi masuk bertugas lebih seminggu. Suhairi menjadi buntu!
Akhirnya Suhairi menerima sms daripada Suhaida. Suhaida meminta agar dia dilepaskan dari ikatan pernikahan. Suhairi pada mulanya tidak mahu memenuhi permintaan isterinya namun tewas juga apabila didesak berkali-kali.
”Cubalah awak lupakan Sue. Tiada gunanya awak mencintai dirinya lagi. Bukankah dia sudah awak ceraikan? Biarkan dia mabuk berkasih dengan kekasih barunya dari Kelantan” balas Zuraini setelah agak lama Suhairi membisu. Suhairi menoleh memandang wajah Zuraini dengan pandangan mata yang berkaca-kaca.
”Aku tidak terdaya untuk melupakan Sue. Biarpun terjadi perpisahan antara aku dengan dia namun bayangan wajahnya masih menjelma di ruangan mataku tiap waktu” balas Suhairi sambil mengesat air matanya yang tertumpah. Hati Zuraini tersentuh melihat lelaki kacak itu mengalirkan air mata yang membasahi pipinya yang kian cengkung itu. Zuraini faham jiwa Suhairi benar-benar tersiksa kerana terpaksa berpisah dengan Suhaida, isterinya yang paling dicintainya itu.
”Setiap malam aku sukar melelapkan mata. Setiap detik aku berada dalam kegelisahan yang berpanjangan. Aku bagaikan tercari-cari di mana bayangan wajah Sue...Aku benar-benar gelisah! Aku bagaikan tercari-cari ke mana hilangnya harga diri ini kerana masih mencintai dan mengharapkan Sue kembali semula ke sisiku ini. Aku sedar Sue sudahpun melupakan diriku ini. Sue sudah mungkir janji akan setia pada ku hingga ke hujung nyawa” serak suara Suhairi meluahkan isi hati yang terbuku selama ini. Zuraini terdiam. Wajah lelaki yang iras wajah penyanyi terkenal Faizal Tahir dipandangnya secara menyeluruh. Terdetik juga rasa simpati pada duda muda yang juga teman rapatnya sekian lama. Malah dialah yang menjadi pengapit ketika Suhaida yang berasal dari Johor Bahru itu berkahwin dengan Suhairi beberapa tahun yang lalu. Walaupun dia pernah menaruh hati terhadap Suhairi namun dia mengalah bila mengetahui Suhairi telah memilih Suhaida sebagai pasangan hidupnya.
”Bagaimana keadaan Sue sekarang? Dia sihat?” soal Suhairi yang menyentuh tangan Zuraini yang ketika itu sedang mengelamun jauh. Zuraini terperanjat bila Suhairi menyentuh tangannya.
”Err...Apa yang awak tanya tadi?” soal Zuraini kembali. Degup jantungnya bertambah kencang bila tangannya disentuhi lelaki yang pernah dicintai. Bola mata Suhairi dipandangnya dan pandangan mereka bertaut seketika. Suhairi tersenyum memandang wajah Zuraini yang ayu dalam rembang petang.
”Awak mengelamun ke? Aku tanya tadi bagaimana keadaan Sue? Dia sihat ke?” soal Suhairi dengan nada perlahan. Entah mengapa bayangan wajah Suhaida, bekas isterinya yang mirip wajah pelakon terkenal Fasha Sandha berada di mana-mana. Dia akui cintanya terhadap Suhaida terlalu mendalam umpama dalamnya lautan samudera yang terhampar membiru.
”Merisik khabar Sue rupanya! Sue sihat dan dia ceria. Khabarnya dia sibuk buat persiapan untuk pernikahan dengan kekasihnya itu. Mungkin awak juga akan dijemputnya nanti.
“Apa? Jadi juga mereka kahwin? Awak cakap biar betul Zu!” suara Suhairi tersekat-sekat dan bergetar.
“Betul! Sue akan kahwin tak lama lagi. Walau apapun tabahkan hati awak dalam menempuh dugaan ini. Semua yang berlaku adalah ketentuan Allah” ujar Zuraini dengan nada perlahan. Suhairi memandang ke dalam bola mata Zuraini. Ada api cinta yang masih menyala di dalamnya. Suhairi tahu Zuraini ada menaruh hati kepadanya. Namun bagi Suhairi, api cinta untuk perempuan lain tidak mungkin akan menyala lagi dalam dirinya. Dia hanya mencintai Suhaida untuk selamanya. Itulah ketetapan hatinya yang tidak boleh dirungkaikan lagi. Entah mengapa hatinya yang gundah menjadi ceria semula bila mendengar khabar tentang Suhaida. Bagi Suhairi, Suhaida adalah penawar rindunya biarpun hatinya masih luka dan berdarah.
“Zu!...Terima kasih kerana awak sudi menjadi pendengar setia masalah yang aku hadapi ini. Aku jadi tidak menentu kerana Suhaida! Malamku suram, kasihku gelap, aku kegelisahan mencari-cari ke mana perginya harga diri ini! Aku tewas juga dalam mempertahankan mahligai cinta yang dibina di langit ke tujuh” terucap juga kalimat itu dari bibirnya. Zuraini sebak mendengar kata-kata Suhairi. Jika boleh ingin dia membaluti luka di hati Suhairi yang masih berdarah. Zuraini tunduk mengesat air matanya yang mulai tertumpah. Matanya kelihatan merah dan berkaca-kaca.
“Zu!..Hanya melalui awaklah aku dapat merisik khabar tentang Suhaida, insan yang paling aku cintai...Terus terang aku katakan aku hampiri diri Suhaida setiap hari bersama luka di hati” balas Suhairi dengan suara bergetar. Dia kemudiannya bangun dari bawah wakaf di tepi tasek Proton dan melangkah ke arah siar kaki. Zuraini juga bangun dan mengikutinya dari belakang. Suhairi menghadapkan wajahnya ke arah puncak banjaran Titiwangsa yang nampak berbalam pada cuaca petang yang kian suram.