Sunday, March 28, 2010

CERPEN- BENIH TERTUMPAH DI KUTAN SUNGAI

Perkampungan Kutan Sungai bagaikan tersenyum menerima fajar pagi yang gemilang. Air sungai yang jernih bertukar menjadi berkeladak selepas hujan lebat malam tadi. Lopak-lopak air kelihatan bergenang di atas tanah merah yang lembab. Keheningan pagi yang damai itu tergganggu dek sang kodok yang bersahutan di dalam semak di tebing sungai. Buah-buah pauh yang masih muda lebat bergantungan di tebing sungai. Titisan embun menitis lembut di hujung dedaun yang menghijau. Pohon rambutan gading dan jambu air yang berbuah lebat nampak mencelah di sebalik dedaun yang merimbun. Kicauan beburung menceriakan lagi suasana pagi yang gemilang. Sesekali kedengaran kokokan ayam jantan nyaring dan bersahutan. Pokok-pokok kelapa berjajaran di tebing sungai dan dedaunnya melambai-lambai ditiup sang bayu begitu indah menaungi perkampungan Kutan Sungai dalam daerah Wakaf Bharu yang permai.
Siti Esah, ibu muda kepada seorang orang anak perempuan baru sahaja menyediakan sarapan pagi untuk suaminya. Namun suaminya masih lagi belum bangun walaupun sudah berkali-kali dikejutkan. Dia faham benar akan perangai suaminya yang pantang benar jika dikejutkan di awal pagi begitu. Wan Suwarni, anak sulungnya yang hampir berusia dua tahun masih nyenyak tidur. Suaminya yang berbadan sasa masih lagi dalam dengkur nipis mungkin kepenatan oleh tugasnya sebagai tukang rumah. Sejak akhir-akhir ini tempahan untuk mendirikan rumah di kampung seberang begitu banyak sekali. Kadang-kadang sampai tidak menang tangan, kata suaminya. Sesekali Siti Esah membelai perutnya yang memboyot. Dia sedar kandungannya sudah cukup bulan namun belum ada lagi tandanya untuk dia melahirkan anak keduanya.
”Ojak sudah bangun, Esah?” soal mertuanya yang sudah berada di halaman. Wajah mertuanya, Wan Besah binti Wan Sulaiman nampak bersih dalam cuaca pagi yang gemilang. Rumah mertuanya hanya bersebelahan sahaja dengan rumahnya di perkampungan yang permai.
”Belum lagi. Selepas solat subuh tadi abang Ojak tertidur balik” ujarnya dengan mesra. Dia tersenyum menerima kunjungan mertuanya yang melabuhkan punggungnya pada kerusi di bawah pokok pauh yang berbuah lebat.
”Ojak tak kerjakah hari ini?” soal mertuanya kembali. Kerisauan tergambar di wajahnya. Daun-daun pokok pauh berserakan dipukul ribut pada malam tadi. Siti Esah melangkah menuruni anak tangga dan berjalan mendapatkan mertuanya. Terbit rasa simpati di dalam hati mertuanya melihat keadaan perut menantunya yang memboyot. Seekor ayam kampung kelihatan mencakar-cakar tanah dan anak-anak ayam berdecit di kaki ibunya.
”Mana ayah, Ma? Esah tak nampakpun kelibat ayah sejak subuh tadi?” soal Siti Esah kembali. Dia melabuhkan punggungnya pada kerusi di sisi mertuanya.
”Ayah kamu? Hmm...Subuh pagi lagi dia sudah keluar menghantar barang yang dipesan orang kampung seberang” balas mertuanya kembali. Siti Esah menggosok-gosok perutnya yang memboyot. Jauh di sudut hatinya, Siti Esah akui ayah mertuanya, Wan Sulaiman bin Wan Salleh atau lebih di kenali sebagai Tok We Sleme Keto Tolok memang rajin orangnya. Gelaran yang diberikan oleh penduduk kampung itu adalah kerana ayah mertuanya itu rajin bekerja sebagai penghantar perabut yang ditempah di sekitar kawasan kampung dengan menggunakan kereta sorong bertayar dua yang direkanya sendiri. Mengingatkan betapa kreatif ayah mertuanya, Siti Esah tersenyum sendirian.
”Mengapa kamu ini Esah? Ma lihat kamu senyum sorang-sorang! Tak baik orang perempuan yang sedang sarat mengandung tersenyum sendirian tanpa sebab!” nasihat mertuanya dengan wajah kebimbangan. Bayu pagi lembut berhembus dan membelai wajah mereka berdua.
”Tak ada apalah Ma. Esah cuma tersenyum bila terdengar orang kampung gelar ayah Tok We Sleme Keto Tolok” balas Siti Esah kembali dalam loghat Kelantan. Terpamer senyuman di wajahnya yang ayu.
”Biarlah apa orang kampung nak gelar ayah kamu. Bukannya boleh jatuh miskin kalau dia digelar begitu! Ayah kamu itu rajin bekerja orangnya. Semua orang kampung suka berkawan dengan dia. Dia pula tidak panas baran” balas mertuanya sambil ketawa. Di wajahnya tergambar sinar kasih sayang sebagai seorang isteri yang setia. Siti Esah tersenyum memandang wajah mertuanya yang berseri.
”Abang Ojak pun begitu juga Ma. Selama ini dialah yang bersusah payah bekerja untuk menyara kami anak beranak” balas Siti Esah kembali. Matanya kelihatan berkaca-kaca. Tangan kanannya masih menggosok-gosok perutnya yang memboyot. Kadang-kadang dia terasa ngilu bila bayi yang dikandungannya itu menendang-nendang perutnya. Suaminya hanya ketawa bila dia mengadu hal itu beberapa hari yang lalu.
”Mungkin bayi kita nanti akan menjadi seorang pahlawan pembela bangsa” bisik suaminya kembali.
”Bagaimana pula jika bayi perempuan?” soal Siti Esah dengan suara manja. Matanya galak melirik ke wajah suaminya yang berkulit hitam manis.
”Jika perempuan abang nak namakan bayi tersebut Wan Nurul Hidayu. Semoga dia akan menjadi sri kandi pembela bangsa dan mengharumkan nama negara” ujar suaminya kembali dalam ketawanya yang berdekah-dekah. Siti Esah tersenyum bila suara suaminya masih terngiang-ngiang lagi di telinganya. Melihat dia senyum sendirian, mertuanya bangun dan mencium pipi menantunya.
“Baguslah begitu. Ma selalu mendoakan agar hidup kamu sekeluarga akan bahagia sehingga ke akhir hayat” ujar mertuanya dengan lembut. Kata-kata mertuanya menyentuh ke dalam kalbu. Siti Esah bangun dan memeluk mertuanya. Air matanya tidak dapat ditahan lagi. Dia menangis teresak-esak di bahu mertuanya. Mertuanya hanya menggosok-gosok belakang menantunya itu dengan penuh kasih sayang. Mertuanya hanya menggelengkan kepala bila memikirkan hati menantunya itu begitu mudah tersentuh lebih-lebih lagi dalam keadaan perutnya yang memboyot begitu.
Mertuanya mengesat air mata Siti Esah yang tertumpah dengan kain maduwarah di kepalanya. Siti Esah sempat menoleh ke muka pintu rumahnya. Kelihatan suaminya yang berbadan sasa itu berdiri sambil menggosok-gosokkan matanya. Suaminya menguap seketika. Mungkin dia masih terasa mengantuk lagi di pagi yang bening itu. Dia hanya memerhati isteri dan emaknya itu yang masih berbual di halaman. Namun tiada sepatah perkataanpun yang terbit dari mulutnya. Suaminya mencapai sehelai tuala yang tergantung di dinding rumah dan turun ke tanah untuk mandi di perigi yang terletak hanya beberapa ela di belakang rumah. Setelah kelibat suaminya tidak lagi kelihatan, Siti Esah menoleh semula ke arah mertuanya yang bersuara dalam loghat Kelantan dengan nada kebimbangan.
“Barang-barang untuk bersalin sudah kamu disediakan?” soal mertuanya dalam nada kerisauan.
”Tak apalah Ma. Abang Ojak kata nanti dia beli apa yang patut. Barang keperluan bersalin dahulu masih boleh diguna” balas Siti Esah dengan suara serak. Entah mengapa hatinya tersentuh dengan pertanyaan tersebut. Cepat-cepat Siti Esah mengesat air mata yang tertumpah dengan kain madu warah. Dia menoleh ke arah suaminya yang sedang mandi di perigi.
Air perigi yang dingin itu disiramkan ke tubuhnya. Razak merasa segar kembali bila air perigi yang jernih itu menyirami tubuhnya beberapa kali. Dia mencapai sabun mandi dan menggosok ke seluruh tubuhnya yang kelihatan sasa. Sang Kodok masih kedengaran bersahutan tidak jauh dari perigi. Sesekali kedengaran kokokan ayam yang nyaring dalam cuaca pagi yang hening. Langit yang membiru itu mulai kelihatan cerah dengan sinar mentari pagi mulai menampakkan diri. Razak melangkah menuju ke rumah. Hari ini dia perlu awal ke kampung seberang. Tempahan untuk menyiapkan rumah banyak yang diterimanya. Dia tersenyum puas. Mungkin ini adalah rezeki Tuhan kepadanya. Lebih-lebih lagi isterinya yang berwajah ayu itu kini sedang sarat mengandung anak kedua.
“Abang balik makan tengahari ini?” soal isterinya dengan mesra. Razak masih menyudu meehoon goreng dan menghirup kopi hitam pekat yang ditumbuk sendiri.
”Mungkin tak balik. Banyak kerja yang hendak disiapkan. Kalau lewat tuan rumah bising pula!” Razak bersuara dengan suara garau. Sesekali dia menjeling keadaan perut isterinya yang memboyot. Terdetik rasa simpati di dalam hatinya.
”Barang-barang dapur banyak dah habis. Nanti masa hendak balik abang beli ya?” balas Siti Esah dengan suara serak.
”Ha’a..Nanti abang belikan. Ada apa-apa lagi yang hendak dipesan?” soal Razak kembali. Suaranya kedengaran bergema dalam rumah.
”Kalau ada jeruk buah kedondong muda abang belikanlah. Teringin pula Esah nak rasa” ujarnya mesra. Terasa kecur air liornya membayangkan enaknya rasa jeruk kedondong muda.
”Hai! Sudah hampir nak bersalin pun masih mengidam lagi ke?” gurau suaminya kembali. Suara ketawa mereka berdua memecah kesunyian pagi. Wan Suwarni, anak sulong mereka yang hampir berusia dua tahun itu masih nyenyak tidur di atas tilam. Nampak botol susu yang sudah kering masih berada di sisinya. Razak bangun dan berjalan merapati anak sulongnya yang masih nyenyak. Dia tunduk dan mencium lembut pipi anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Di dinding bilik terpamer foto Razak dalam pakaian hitam persatuan Seni Silat Gayung Patani.
”Mudah-mudahan anak kita ini akan menjadi Sri Kandi pahlawan bangsa” ujar Razak penuh semangat. Terasa darah pahlawan menggegar urat sarafnya. Siti Esah melirik wajah suaminya yang berkumis tebal.
”Bagaimana jika anak yang bakal lahir perempuan juga?” bergetar suara Siti Esah. Telapak tangan kanannya menggosok perutnya yang memboyot. Razak tersenyum melirik wajah isterinya.
”Biar lelaki atau perempuan akan abang perturunkan segala ilmu persilatan untuk menjadikan mereka pendekar terbilang dan mengharumkan nama negara” bergema suara Razak penuh semangat.
”Amin! Moga benih yang tertumpah di Kutan Sungai akan menjadi Srikandi bangsa yang banyak berjasa” ujar Siti Esah sambil meraup tangannya ke wajah. Razak sempat membisekkan sesuatu ke telinga isterinya. Siti Esah sedikit terteranjat dan sepantas kilat jari jemarinya sempat mencubit rusuk suaminya. Razak melolong kesakitan dengan suara tertahan. Siti Esah ketawa dan ketawa mereka berbaur bersama. Razak mencium pipi isterinya dan melangkah menuruni anak tangga. Sempat dia menyalakan api rokok dan menyedut asap dalam-dalam. Asap rokok berkepul keluar melalui lubang hidungnya. Dia berjalan menuju ke arah emaknya yang masih duduk di kerusi di bawah pokok pauh yang berbuah lebat itu. Mereka bercakap-cakap seketika dalam loghat Kelantan. Beberapa orang kampung yang lalu di situ mengangkat tangan kepadanya. Dia membalas lambaian mereka dengan wajah ceria. Kemudian dia mencapai motorsikal dan bergerak perlahan di jalan kampung itu menuju ke kampung seberang. Pokok-pokok kayu yang tinggi masih memayungi perkampungan itu. Di ufuk timur matahari pagi mula memancarkan cahayanya yang gemilang menyirami perkampungan Kutan Sungai yang permai.

No comments:

Post a Comment