Tuesday, August 18, 2009

CERPEN- KUNTUM-KUNTUM MAWAR MERAH DI PAGAR CINTA

Hujan renyai-renyai kini bertukar menjadi lebat. Cuaca panas yang pengap di dalam bilik itu kini bertukar menjadi lembab. Tempiasan air hujan dari cucur atap rumah teres tiga bilik di Taman Sentosa Tanjung Malim itu kian galak menerjah ke wajahnya yang kelihatan masih muda. Namun tempiasan air hujan itu tidak langsung dihiraukannya. Dia masih terus berteleku di jendela. Fikirannya menerawang jauh melepasi lapisan langit ketujuh!
”Ibu, tutup jendela! hujan lebat!” jerit anak lelakinya yang berusia tujuh tahun. Jeritan Haidar membuatkan Shareena tersedar dari lamunannya. Dengan spontan daun jendela itu ditutupnya. Shareena menoleh memandang anak sulongnya yang masih berunifom sekolah. Entah bila bas sekolah yang di naiki anaknya itu melewati hadapan rumahnya, dia sendiri tidak pasti.
”Ibu tidak sedar hujan turun?” soal Haidar penuh kehairanan. Shareena tersenyum memandang wajah anak sulongnya. Tangannya meraup rambut anaknya ke belakang membuang titisan air hujan. Dia mencapai tuala bersih di sisi katil dan mengesat rambut anaknya. Shareena tersenyum memandang wajah anak sulongnya. Jauh di sudut hati dia merasa amat bahagia mempunyai anak seperti Haidar yang petah berkata-kata walaupun usianya masih muda menjagung.
”Haidar pergi tukar baju, mandi dan pakai pakaian kering yang ada dalam almari pakaian. Nanti boleh makan bersama ibu” perintah Shareena. Dia melangkah ke arah ruangan dapur. Sempat juga dia menjengah sebentar ke dalam bilik belakang. Hatinya merasa lega bila melihat dua orang lagi anaknya masih nyenyak tidur. Hairey berusia empat tahun sudah disuapkan nasi sementara Haimey yang berusia lapan bulan sudahpun menyusu. Shareena menyendukkan nasi yang masih panas ke dalam pinggan. Aroma ayam masak kicap yang dimasaknya memenuhi ruangan dapur. Itulah menu kegemaran anaknya, Haidar. Malah, itulah juga menu kegemaran bekas suaminya suatu masa dahulu.
”Bekas suami? Ahh!..Biarkanlah! Buat apa aku masih ingatkan dia? Buat rengat sahaja! Bukankah dia sudah meninggalkan aku beberapa bulan yang lalu? ” bisik hati Shareena dengan wajah mencuka. Air matanya sudah banyak tertumpah dalam mempertahankan mahligai rumah tangga yang dibina atas pilihan keluarga. Kini segalanya sudah mumur. Dia yang sudah disahkan sebagai ibu tunggal oleh Mahkamah Syariah, malah sudah melangkaui tempoh edah tiga kali suci. Walaupun begitu, belum lagi terlintas di hatinya untuk mencari pengganti. Dia juga berjanji pada diri sendiri untuk tidak menangis lagi.
”Abang...Sha minta abang ubah perangai yang kerap keluar malam. Abang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Kesian pada Haidar, dia selalu bertanya abang pergi ke mana setiap malam?” Shareena cuba memberi nasihat pada suaminya pada suatu malam. Namun suaminya yang sudah siap berpakaian terus membisu. Malah, kehadirannya di dalam bilik utama rumah itu seolah-olah tidak pernah dirasai kewujudannya. Tanpa menjawab dan memandang ke wajah Shareena, suaminya mencapai kunci kereta dan mula melangkah ke arah pintu.
”Abang!..Kalau abang sudah bosan pada Sha, cakaplah! Janganlah anak-anak yang tidak berdosa itu dihukum!” suara Shareena kedengaran bergema. Suaminya yang mula melangkah ke arah pintu terhenti. Wajahnya mulai merah menyinga. Bola matanya tersembul meratahi wajah Shareena yang gobar itu.
”Awak boleh tidak tolong diam? Bingit telinga aku! Ikut suka akulah hendak ke mana!. Awak tidak ada hak mengongkong aku, faham!” jerkah suaminya dengan congah. wajahnya kelihatan merah padam.
”Sha bukan berniat mengongkong abang...Setiap malam abang keluar rumah dan baliknya dinihari. Sha minta abang fikirlah, Abang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak. Kalau abang sudah tidak sayangkan Sha lagi, Sha boleh terima hakikat tersebut. Cuma Sha minta abang fikirkanlah masa depan anak-anak kita yang masih kecil itu” suara Shareena kedengaran bergetar. Wajahnya mulai kemerahan menahan emosi.
”Sha! Bukankah aku sudah cakap tadi! Jangan mengongkong kebebasan aku! Aku hendak keluar ke mana? keluar dengan siapa? Balik jam berapa? Tolong jangan ambil tahu, boleh?” jerkah suaminya yang perus. Serentak itu satu hayunan penampar hinggap di pipi kiri Shareena. Haidar dan Hairey meluru memeluk ibunya yang tersungkur di lantai. Kedua anak yang masih kecil itu menangis ketakutan.
”Sampai hati abang memukul Sha begini! Kalau abang sudah ada perempuan lain cakaplah bang! Jangan menghukum Sha begini!” suara Shareena tersekat di kerongkong. Suaminya melangkah keluar dengan dentuman daun pintu yang ditarik kuat. Terasa bagaikan gugur jantung Shareena. Dia yang masih terjelepok di atas lantai dengan linangan air mata. Darah merah dari mulutnya menitis ke lantai. Sejak peristiwa malam itu, suaminya tidak pulang lagi ke rumah. Puas sudah dia cuba menghubung telefon bimbit suaminya namun tidak mendapat jawapan. Betapa luluh hatinya dua minggu selepas peristiwa itu bila menerima mesej dari suaminya melalui sistem pesanan ringkas (sms); dia telah ceraikan dengan talak satu!
”Sedapnya Ibu!” Haidar berkata dengan girangnya. Shareena tersedar dari lamunannya. Dia tersenyum menyembunyikan luka di hatinya yang berdarah.
”Makan perlahan-lahan. Jangan gelojoh!” ujar Shareena berwajah ceria. Seboleh mungkin perasaan anak-anaknya perlu dijaga. Dia tidak mahu anak-anaknya yang masih muda menjagung itu tahu betapa deritanya dia dalam menempuhi saat-saat perpisahan begini. Kalau boleh dia hendak sentiasa tersenyum dan ketawa biarpun batinnya terseksa.
”Lepas makan, jangan lupa pergi mengaji” Shareena memberi arahan. Haidar terus menyuap nasi ke mulut dengan begitu berselera sekali. Dua kali tambah nasinya. Shareena tersenyum puas!
”Ibu, tadi ustaz di sekolah ajar cara-cara bersembahyang berjemaah. Haidar teringin sangat hendak sembahyang berjemaah di masjid dengan Papa. Kalau Papa ada, tentu boleh bawa Haidar ke masjid macam Azim dan Mirul” Haidar berkata dalam nada ceria. Namun keriangan di wajahnya itu tidak lama. Senyuman di wajahnya bertukar menjadi mendung. Suapannya terhenti. Haidar membasuh tangan dan berlari ke dalam bilik. Daun pintu bilik dikunci dari dalam. Shareena terpingga-pingga seketika. Segera dia membasuh tangan dan meluru ke arah pintu bilik anak sulongnya. Shareena mengetuk daun pintu.
”Haidar! Mengapa tidak habiskan nasi di atas meja? Mari keluar sayang. Tak baik tau membiarkan rezeki begitu!” Shareena terus memujuk. Namun tiada kedengaran suara Haidar. Shareena terus memujuk anak sulongnya. Namun Haidar terus membisu.
”Nanti Haidar keluar makan ya? Jangan bazirkan makanan begitu, Tuhan marah!” Shareena terus memujuk. Tidak lama selepas itu Haidar keluar dari dalam bilik. Matanya kelihatan merah berkaca-kaca. Shareena memeluk tubuh anak sulongnya. Air mata Haidar membasahi pipi.
”Maafkan Haidar, Ibu. Haidar nak jadi macam kawan-kawan. Ramai bersembahyang berjemaah dengan abah mereka di masjid. Mengapa Papa tinggalkan kita, Ibu?” soalan Haidar bagaikan sembilu menusuk kalbu. Air mata Shareena kian membasahi pipinya yang kian cengkung itu.
“Sabarlah sayang. Nanti Papa bawa Haidar bersembahyang di masjid” pujuk Shareena dengan suara bergetar. Tangannya terus mengusap rambut anak sulongnya itu.
“Papa bukan ada di sini! Papa sudah tidak sayangkan Haidar lagi!” Haidar bersuara dalam sendu. Air matanya terus membasahi pipi.
”Siapa cakap Papa tidak sayangkan Haidar? Papa masih sayang Haidar, Papa sayangkan Hairey, Papa sayangkan Haimey” pujuk Shareena dengan suara lunak. Matanya kelihatan berkaca-kaca. Tangannya masih mengusap rambut anak sulongnya dengan belaian mesra.
”Ibu bohong! Kalau Papa sayangkan Haidar, mengapa Papa tidak balik ke rumah? Mengapa Papa pukul Ibu? Haidar lihat Ibu selalu menangis waktu malam. Papa jahat!” Haidar bercakap dengan nada kuat dan bergema. Shareena terkedu mendengar Haidar berkata begitu. Bola mata Haidar dipandangnya lama. Ada keiklasan dalam ungkapan anaknya itu. Shareena sedar Haidar sudah membesar dan sudah faham apa yang berlaku berhubung keretakan rumah tangga yang dialaminya.
”Haidar, Ibu dengan Papa tidak boleh tinggal serumah macam dulu lagi. Papa sudah ceraikan Ibu” Shareena bercakap dalam nada tersekat-sekat. Dia sedar, Haidar sudah besar dan sudah mengerti apa yang sedang ditanggunginya. Dia lebih suka berterus terang dengan anak sulongnya, biarpun usia anaknya masih muda menjagung.
”Haidar benci Papa! Haidar boleh hidup tanpa Papa! Haidar nak belajar jadi orang pandai! Haidar nak masuk universiti! Haidar akan jaga Ibu sampai hari kiamat!” jerit Haidar dan memeluk Ibunya. Shareena merangkul tubuh Haidar. Pecahlah tangisan dua beranak itu umpama pecahnya empangan Ma’arif yang memusnahkan kerajaan Saba’yang masyhur pada zaman Nabi Sulaiman dahulu.
Di luar, terdengar ada orang mengetuk daun pintu. Shareena merungkai pelukkannya. Dia mengesat air matanya dengan kertas tisu. Kemudian dia meluru ke pintu. Seorang pekerja syarikat penghantaran cepat sudah tercegat di pintu. Di tangannya ada satu jambangan bunga. Shareena menandatangani slip penghantaran. Jambangan bunga itu di sambutnya. Shareena tersenyum tawar memandang tulisan pada sekeping kad yang kerap diterimanya di pejabat. Malah, kawan-kawan sepejabat terutama Zuraidah yang curiah selalu menyindirnya.
Tulisan pada kad jambangan bunga masih bergema dalam kepalanya. ”Sha, Yus tahu Sha sedang bercuti. Terimalah jambangan bunga ini sebagai tanda ingatan yang mulus dari Yus”. Shareena meletakkan jambangan bunga di atas meja ruang tamu. Haidar membelek-belek jambangan bunga di atas meja.
”Siapa kirim jambangan bunga ini Ibu?” soal Haidar ingin tahu. Matanya masih lekat pada jambangan bunga di atas meja.
”Entahlah Haidar. Biarlah di situ!.. Ibu tidak pernah minta semua pemberian ini” balas Shareena perlahan. Dalam kepalanya sudah terbayang wajah Encik Yusri, Pegawai Perhubungan Pelanggan yang juga bertugas sepejabat dengannya. Encik Yusri, berkulit putih, kacak dan berusia di awal empat puluhan. Malahan Encik Yusri jugalah yang sering memberi pelbagai cendera hati dan mengambil berat tentang dirinya.
”Mungkin Encik Yus itu benar-benar cintakan awak, Sha” Zuraida memberikan pendapatnya semasa keluar makan tengahari bersama Shareena di Gerai Kak Pah di Medan Selera Tanjung Malim.
”Tiada maknanya, Zu! Bukankah Encik Yus itu sudah berkeluarga dan sudah mempunyai anak?” soal Shareena dalam nada meninggi. Zuraida tersenyum. Dia melirik wajah Shareena yang mulai kemerahan menahan emosi.
”Apa salahnya jika niatnya baik?” balas Zuraida menduga hati sahabatnya itu. Shareena mencebekkan wajahnya.
”Ahh! Aku rasa dugal. Orang lelaki semuanya sama sahaja! Lembut gigi daripada lidah jika belum dapat. Jika sudah dapat, lain pula ayatnya...”jawab Shareena sinis.
”Benar kata awak. Orang lelaki, mana kira itu semua? Jika hati sudah cinta, status dirinya mudah terlupa! Giang!” balas Zuraidah sinis. Pelayan Gerai Kak Pah membawa makanan yang dipesan; nasi campur berlaukkan ikan kembung dan ikan keli bakar, air asam, masak tempoyak ikan patin, masak lemak nenas ikan masin dan pajeri terung. Tidak lupa sambal belacan dan sayur periya goreng ikan bilis. Rasanya begitu menyelerakan! Sebab itulah Gerai Kak Pah begitu popular bagi penggemar nasi campur di Pekan Tanjung Malim.
”Aku akui Encik Yus itu memang baik. Wajahnya juga kacak. Malah dia sering mengambil berat tentang diri aku. Tapi susahlah Zu! Aku tidak sanggup bermadu dan melukakan hati kaum sejenis. Ayat-ayat cinta yang diungkapkan Encik Yus benar-benar membuatkan aku menjadi buntu!” suara Shareena tersekat di kerongkong.
”Awak ni ada-ada sahaja alasan. Kalau sudah jatuh cinta terima sahajalah Encik Yus sebagai pengganti!” usek Zuraidah dan ketawa.
Di meja sebelah, kelihatan Dr Joelati bersama Dr Roskam, pensyarah Jabatan Seni UPSI sedang menjamah kuew-tiaw kerang special. Sesekali sempat juga Dr Joelati mengusek dan mengenyitkan matanya pada Shareena yang berwajah ayu itu.
”Hai Dr Joe, lebih afdal jika Dr Joe kenyit mata pada isteri di rumah” balas Shareena dengan sinis. Dr Joelati terbatuk-batuk. Dr Roskam menggelengkan kepalanya melihat gelagat kawannya itu yang berkumis menggoda dan sudah mula bertukar warna. Seketika kemudian berderailah ketawa dua orang pensyarah itu. Shareena dan Zuraidah turut ketawa dan ketawa mereka berbaur bersama.
”Entahlah Zu!...Hati aku ini masih tertutup lagi untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki dalam hidup ini. Mungkin esok atau lusa hati aku akan terbuka, siapa tahu?” balas Shareena dalam nada perlahan. Zuraidah terus menyudu nasi campur ke mulutnya.
”Aku dengar bukan sahaja Encik Yus jatuh cinta pada awak, malah ramai lagi yang ingin masuk melamar, termasuklah seorang anggota keselamatan. Betulkah begitu, Sha?” soal Zuraidah dalam nada mengusek.
”Mana ada! Macamlah aku ini artis popular yang menjadi rebutan ramai. Merapeklah awak ini Zu!” balas Shareena dan ketawa. Nostalgia indah itu terputus bila telefon bimbit Shareena yang terletak di atas meja berdetik beberapa kali. Shareena membaca sms yang tertera.
”Sha sayang, Abang menyesal kerana mengabaikan Sha dan anak-anak. Abang mengaku abang deder. Maafkanlah abang. Abang sedang dalam perjalanan balik ke rumah. Kita ke Mahkamah Syariah untuk proses nikah semula. I miss you so much”. Shareena tergamam. Imbasan wajah bekas suaminya yang perus itu tenggelam timbul berselang seli wajah kacak Encik Yusri. Kepalanya menjadi pengeng secara tiba-tiba. Dia benar-benar berada di persimpangan jalan yang berliku. Pandangan matanya menjadi berpinar.
Di pintu pagar, terdengar hon kereta dibunyikan. Haidar meluru ke arah pintu. Seorang lelaki di usia awal empat puluhan melangkah keluar dari dalam kereta. Penampilannya begitu bergaya. Lelaki itu tersenyum memandang Shareena yang berdiri di hadapan pintu. Di tangan kanannya ada sekuntum mawar merah lalu dihulurkan kepada Shareena.
”Encik Yus? Err...Apa ertinya pemberian ini?” soal Shareena dengan suara bergetar. Di seberang jalan kelihatan bekas suami Shareena baru sahaja sampai dan melangkah turun dari kereta. Dia juga turut melambaikan tangannya ke arah Shareena. Di tangannya juga kelihatan sekuntum mawar merah. Pandangan mata Shareena menjadi gelap. Dia terjelepok di hadapan pintu. Di dada langit, mentari bersaga mulai dilitupi mendung kelabu yang berarak perlahan dihembusi sang bayu.


GLOSARI

Afdal - Terbaik
Berpinar -penglihatan mata berkunang-kunang
Congah- Angkuh
Curiah- Peramah
Deder- Lalai
Dugal- Rasa loya
Giang- lelaki yang miang
Gobar – Sedih hati
Mulus- Tulus iklas
Mumur- Hancur lebur
Pengap- menyesakkan nafas
Pengeng-Berasa pening kepala yang amat sangat
Rengat- Sakit hati
Perus- bengis dan kasar
Teleku- Bertelekan dengan siku

1 comment:

  1. u memang pandai bercerita bagus tu .... teruskan lg. syabas from zai taiping

    ReplyDelete