Wednesday, May 27, 2009

WAWANCARA BERSAMA JURULATIH SENI SILAT GAYUNG MALAYSIA UPSI

WARTA KAMPUS
(Disiarkan pada Mei 2009)

PINGAT EMAS HARUMKAN NAMA UPSI DI PERINGKAT ANTARABANGSA
Jurulatih Sebagai Mentor Harumkan Nama UPSI dalam Acara Sukan Silat Olahraga Antara Universiti ASEAN


Oleh: Ismail Man

UPSI: Bertubuh sasa dan tidak pernah jemu dalam melatih pesilat daripada kalangan pelajar UPSI adalah antara kunci kejayaan mengharumkan nama Malaysia dalam acara Silat Olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA). Walaupun sibuk sebagai pensyarah Bahasa Inggeris (TESL) di Fakulti Bahasa, beliau sentiasa meluangkan masa untuk memberi dorongan dan kata-kata semangat kepada kejayaan pesilat negara Cik Wan Nurul Hidayu binti Abdul Razak yang merupakan pelajar semester empat program Pendidikan Sains Kejurulatihan dari Fakulti Sains Sukan UPSI. Sidang Editor Warta Kampus berkesempatan untuk mewawancara jurulatih Seni Silat Gayong Malaysia cawangan UPSI yang telah memberi tunjuk ajar sehingga Cik Wan Nurul Hidayu berjaya memperolehi pingat emas dalam acara sukan tersebut. Semoga wawancara ini akan memberi gambaran sebenar berhubung corak latihan yang dirangka dalam memastikan kemenangan dan melonjak nama UPSI di peringkat antarabangsa.

WK: Terima kasih pada Encik Nor Azman bin Abdul Aziz kerana sudi diwawancara untuk Warta Kampus. Apakah ulasan tuan selaku jurulatih seni silat berhubung kejayaan wakil negara Cik Wan Nurul Hidayu binti Abdul Razak yang telah berjaya memperolehi pingat emas dalam acara silat olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA)?

NAAA: Sebagai jurulatih saya amat berbangga dengan kejayaan Cik Wan Nurul Hidayu binti Abdul Razak yang berjaya memperolehi pingat emas dalam acara pertandingan silat olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA). Kejayaan ini hasil daripada pengembelingan yang mantap antara disiplin, kegigihan, pengalaman serta latihan yang cukup.

WK: Menyorot kembali kejohanan tersebut, apakah bentuk latihan yang dirangka untuk mempastikan pesilat tersebut benar-benar bersedia dari mental dan fizikal untuk menghadapi kejohanan di peringkat Universiti-Universiti ASEAN?

NAAA: Latihan teori, fizikal (latihtubi), latihan ‘sparring’ dan menyertai pertandingan-pertandingan untuk memastikan beliau benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi kejohanan di peringkat universiti-universiti ASEAN.

WK: Sejak bilakah bakat pesilat yang mewakili negara ini dapat dikesan?

NAAA: Cik Wan Nurul Hidayu memang sudah mempunyai bakat dan kemahiran yang tinggi sebelum menjadi pelajar UPSI. Beliau pernah mewakili Kelantan dalam SUKMA. Sebagai jurulatih saya hanya menambah sedikit sahaja ’perencah’ dalam bentuk nasihat dan dorongan agar beliau menjadi benar-benar hebat di gelanggang silat olahraga.

WK: Apakah nasihat tuan selaku jurulatih seni silat Gayong Malaysia cawangan UPSI agar kecemerlangan yang dipamerkan oleh Cik Wan Nurul Hidayu binti Abdul Razak dapat dicontohi oleh pelajar-pelajar lain di UPSI?

NAAA: Saya ingin menasihatkan pelajar-pelajar UPSI yang lain agar dapat mencontohi Cik Wan Nurul Hidayu dan mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan. Jadilah seorang yang benar-benar pakar dalam bidang yang diceburi. Jika ada yang memperlekehkan seni silat pada zaman moden ini janganlah cepat melatah kerana seni silat mempunyai banyak kelebihan tersendiri. Ingat pesanan saya iaitu biar kita menguasai silat dan jangan silat menguasai kita (ketawa)
WK: Apakah wawasan Encik Nor Azman bin Abdul Aziz sebagai jurulatih seni silat Gayong Malaysia cawangan UPSI untuk meningkatkan lagi imej UPSI sebagai sebuah universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan?

NAAA: Sebagai jurulatih Silat Seni Gayong Malaysia Cawangan UPSI dan juga pemegang Bengkung Pelangi Hitam Cula 6, saya bercita-cita untuk melahirkan lebih ramai juara di peringkat dalam negara dan antarabangsa. Biarlah tidak menang tetapi dapat memperkenalkan seni silat di mata luar. Dengan sedikit pengalaman saya dapat melahirkan juara dunia seperti Rozaidi Abdul Rahman, Khairi Ab Rahman, dan Mohd Rafie Yaacob. Ramai juga yang telah menjadi jurulatih di peringkat sekolah setelah tamat pengajian. Di peringkat antabangsa saya juga terlibat dengan penggambaran dokumentari History Channel-Human weapon pada 2 hingga 10 September 2007 (ditayangkan di saluran 555- History Channel ASTRO. Selain itu dalam National Geografic pada 27 hingga 31 Disember 2008 dan akan ditayangkan tidak lama lagi (ketawa).

WAWANCARA BERSAMA PEMENANG PINGAT EMAS

WARTA KAMPUS
(Disiarkan pada April 2009)

PINGAT EMAS HARUMKAN NAMA UPSI DI PERINGKAT ANTARA BANGSA
Pesilat Harumkan Nama UPSI dalam Acara Sukan Silat Olahraga Antara Universiti ASEAN


Oleh: Ismail Man
Juru Foto : Cik Nurul Hasniza Mohd Rashid

UPSI: Bertubuh kecil namun mempunyai semangat juang yang tinggi. Mewakili negara dan telah berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam acara Silat Olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA). Acara pertandingan silat olahraga tersebut yang telah diadakan di Universiti Malaya selaku tuan rumah kepada kejohanan tersebut bermula dari 11 Disember hingga 21 Disember 2008. Pencapaian siswi Pendidikan Sains Kejurulatihan dari Fakulti Sains Sukan cukup membanggakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Dalam kesibukan sebagai pelajar semester empat di UPSI, Wan Nurul Hidayu binti Wan Abdul Razak telah membuktikan kegiatan ko-kurikulum boleh memperkasakan jatidiri dan melonjak nama UPSI. Sidang Editor berkesempatan untuk mewawancara pemenang pingat emas dalam acara Silat Olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA). Semoga wawancara ini akan memberi lebih motivasi kepada semua staf dan juga para pelajar untuk mengharumkan nama UPSI di peringkat antarabangsa.

WK: Terima kasih pada Cik Wan Nurul Hidayu kerana sudi diwawancara untuk Warta Kampus. Semua warga dan para pelajar UPSI merasa bangga atas pencapaian pingat emas mewakili negara dalam acara silat olahraga Sukan Antara Universiti ASEAN (SUA). Apa ulasan saudari berhubung pencapaian tersebut?

WNHAR: Saya gembira sangat jika kejayaan saya ini dapat dikongsi bersama. Pada pertandingan akhir kejohanan tersebut saya telah menentang pesilat dari negara Vietnam untuk menentukan pingat emas. Dalam hati ada juga rasa gemuruh namun saya kuatkan azam untuk menyumbangkan pingat emas kepada negara. Alhamdulillah, saya dapat menewaskan pesilat tersebut dengan tiga kali jatuhan, tendangan tepat, tangkapan luar dan teknik sapuan depan. Pihak juri pertandingan tersebut telah memberi kemenangan kepada saya dengan kiraan mata 5-0.

WK: Apakah antara insentif yang telah diterima setelah memperolehi pingat emas dalam kejohanan tersebut?

WNHAR: Pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) telah meluluskan biasiswa Kelas Pertama (Athlet Senior Antarabangsa) berjumlah RM4,500.00 bagi satu semester dan RM1,000.00 sebulan bermula dari semester 3. Jumlah keseluruhan insentif yang diterima adalah RM10,500.00 bagi setiap semester. Alhamdulillah, dengan insentif yang diterima dari KPTM kini saya tiada lagi masalah kewangan untuk belajar di universiti ini (ketawa).

WK: Sejak usia berapa tahunkah Cik Wan Nurul Hidayu mula mempelajari seni persilatan Melayu? Siapakah tenaga pengajar di UPSI yang banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan sehingga mencapai kejayaan memperolehi pingat emas dalam kejohanan tersebut?

WNHAR: Saya mula menceburi bidang seni silat Gayong Malaysia sejak saya berusia 14 tahun semasa di Kelantan. Kini saya dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Encik Noor Azman bin Abdul Aziz yang juga pensyarah TESL dari Fakulti Bahasa. Nasihat dan dorongan serta corak latihan yang sistematik telah membantu saya untuk memantapkan lagi ilmu persilatan. Di bawah bimbingan beliau juga saya lebih berkeyakinan untuk mengharumkan nama UPSI dan negara dalam kejohanan tersebut. Alhamdulillah, saya berjaya menyumbangkan pingat emas kepada negara.

WK: Apakah nasihat Cik Wan Nurul Hidayu kepada para pelajar UPSI agar mereka melibatkan diri secara lebih aktif dalam aktiviti ko-kurikulum dan menjulang nama UPSI di peringkat ASEAN dan antarabangsa?

WNHAR: Nasihat saya pada rakan-rakan pelajar sekalian agar mereka lebih aktif dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum seperti seni silat Melayu yang amat berfaedah dalam membentuk jati diri. Selain itu seni silat juga dapat memupuk ketahanan jasmani, emosi, dan intelek agar menjadi pelajar yang lebih cemerlang. Seni silat juga dapat membentuk sikap penyabar, berdisiplin, berfikiran positif dan gigih berusaha seperti kata peribahasa Melayu “Alang-alang menyeluk pekasam biarlah ke pangkal lengan”. Paling penting ialah keyakinan diri untuk mencapai sesuatu kejayaan. Berusahalah dengan penuh iltizam untuk menjulang nama UPSI ke persada yang lebih gemilang.


WK: Apakah wawasan Cik Wan Nurul Hidayu sebagai seorang pelajar untuk meningkatkan lagi imej UPSI sebagai sebuah universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan?

WNHAR: Sebelum melanjutkan pengajian di UPSI, saya pernah dilantik sebagai jurulatih sambilan PLN negeri Kelantan selama dua tahun (2007 hingga 2008). Saya pernah melatih pesilat remaja untuk kejohanan Singapore Open Championship pada Februari 2007 dan pasukan negara telah memperolehi 12 pingat emas. Paling membanggakan saya ialah pesilat bawah bimbingan saya dari negeri Kelantan telah dipilih sebagai pesilat terbaik kejohanan bagi kategori lelaki.
Setelah diterima melanjutkan pengajian di UPSI saya telah menanam bercita-cita untuk menjadi seorang pendidik yang kompetan dan aktif bersukan. Selain itu saya juga ingin menjadi seorang jurulatih seni silat yang dapat melahirkan lebih ramai jaguh-jaguh silat bagi mewakili universiti dan negara ke peringkat antarabangsa. Saya pernah terlibat dalam pengendalian kursus Kepengadilan pada 12 hingga 15 Mac 2009 dan Kursus Kejurulatihan pada 19 hingga 23 Mac 2009. Saya juga sedang merancang beberapa program perlawanan persahabatan dan pertandingan antaranya Kejohanan IPT Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO), MASUM, SUPER 09 di mana UPSI terpilih sebagai tuan rumah kejohanan tersebut. Paling mencabar ialah untuk menganjurkan kejuaraan silat terbuka UPSI Piala Seri Bitara dan jemputan ASEAN pada semester hadapan (tersenyum).

WAWANCARA KHAS DENGAN PENDAFTAR UPSI UNTUK WARTA KAMPUS

(Disiarkan dalam Warta Kampus pada April 2009)

SEJARAH PENUBUHAN UPSI
Antara nostalgia dan Wawasan Pihak Pengurusan Universiti dari Perspektif Pendaftar

Oleh: Ismail Man

UPSI: Tanggal 2 Mei 1997 adalah tarikh bersejarah apabila Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) telah dinaikkan taraf menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Semenjak tarikh tersebut, UPSI telah menjadi sebuah universiti pendidikan yang satu-satunya dalam Malaysia yang memfokuskan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang pendidikan. Bermula dengan kemasukkan pertama para pelajarnya berjumlah 338 orang dan sehingga konvokesyen pada bulan Mac 2009, para pelajar berdaftar UPSI adalah seramai 14,339 orang. Menyorot kembali sejarah penubuhan UPSI, antara nostalgia dan wawasan pihak pengurusan universiti, sidang editor Warta Kampus sempat menemubual Pendaftar UPSI, Y.Bhg. Dato’ Haji Rusley bin Taib yang juga adalah antara pegawai terawal yang bertugas di UPSI.

WK: Terima kasih Y.Bhg. Dato’ kerana sudi diwawancara oleh Warta Kampus. Semua sedia maklum bahawa Y. Bhg Dato’ adalah antara pegawai terawal yang bertugas di universiti ini semasa penubuhannya pada 1997. Soalan saya ialah berapa ramaikah pegawai, dan kakitangan yang bertugas di UPSI ketika itu?

Pendaftar:
Pada awal penubuhan UPSI hanya terdapat enam orang pegawai dan lima orang kakitangan sokongan yang bertugas di universiti ini ketika itu.


WK: Boleh Y.Bhg. Dato’ sebutkan siapakah mereka itu?

Pendaftar:
Pegawai perintis UPSI ialah Naib Canselor yang Pertama, iaitu Datuk Dr Ashari bin Che Mat, Timbalan Naib Canselor (Akademik) Prof Dato’ Dr Abu Bakar bin Nordin, Pendaftar En Sayuti bin Sahlan, Bendahari Dato’ Yusof bin Semahil, saya sendiri dan Y.M Raja Kamal bin Talib. Manakala staf sokongan pula ialah Pembantu Khas Naib Canselor iaitu Pn Zainab binti Hussein, Pembantu Khas TNC(Akademik) Y.M Tengku Raudhah binti Tengku Razman, Pembantu Am Pejabat En Ahmad Daud bin Mohd Noor, Pemandu En Mohd Shuhaili bin Mohd Zain, En Dahari bin Abdul Rahman, dan Sayed Hamdan bin Saiyid Jamal (telah meletak jawatan).

WK: Apakah antara cabaran pihak pengurusan universiti di awal penubuhan UPSI?

Pendaftar:

Banyak cabarannya. Antaranya ialah kekurangan kemudahan asas khususnya bilik-bilik kuliah dan makmal kerana pada masa itu Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) masih beroperasi dan pengurusan UPSI terpaksa berkongsi segala kemudahan peralatan seperti komputer, telefon, dan faximili. Selain itu, pihak pengurusan juga perlu menggubal Perlembagaan UPSI, Peraturan Pentadbiran (Standard of Procedure) dan juga mendapatkan kakitangan akademik (pensyarah). Memandangkan bilangan jawatan yang terhad ketika itu, pihak UPSI terpaksa meminjam kakitangan akademik dari Kementerian Pendidikan Malaysia.


WK: Adakah Y.Bhg. Dato’ ingat siapakah antara kakitangan akademik yang terawal bertugas di UPSI pada 1997?

Pendaftar :
Antara kakitangan akademik terawal bertugas di UPSI pada 1997 adalah Prof Madya Haji Ibrahim bin Hassan, Prof Dr Nagendralingan Ratnavadivel, Prof Dr Mohammad bin Ibrahim, Prof Dr Othman bin Lebar, Prof Madya Zaharul Lailiddin bin Saidon, Dr Bakhtiar (IAB), Prof Madya Dr Maria binti Salleh, Cik Mai Shihah binti Haji Abdullah, Haji Redzuan bin Kadir (bersara), En Idris bin Mohd Radzi, Haji Hamzah (bersara), Dr Sri Lanang Jaya bin Haji Rohani, Dr Abdul Ghani bin Abu, Dr Goh Hock Seng, Pn Nurul Ashikin binti Idris, En Shahrizal bin Shamsudin, Dr Ahmad Suhaimi bin Mohd Noor, Pn Nurul Huda binti Abdul Rahman, En Nor Azman bin Razali, Zainal Abidin bin Shaari (Allahyarham), En Abd Ghani bin Sulaiman, Pn Asmayati binti Yahaya, Prof Madya Dr Nor Azmi bin Mostafa, En Abdul Malik (bersara), dan En Saedon (pensyarah muzik yang sudahpun bersara).


WK: Ramai antara para pelajar UPSI ingin tahu mengapakah universiti ini dinamakan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan bukannya Universiti Perguruan Sultan Idris?

Pendaftar:
Memang pada peringkat awal penubuhannya universiti ini dicadangkan nama Universiti Perguruan Sultan Idris namun selepas memorandum yang dihantar ke agensi pusat ianya telah dipinda kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris dan nama tersebut kekal hingga ke hari ini.


WK : Memandangkan universiti ini adalah Badan Berkanun Persekutuan yang ditubuhkan mengikut Akta UPSI, bolehkah Y.Bhg. Dato’ jelaskan apakah peranan sebenar Lembaga Pengarah Universiti (LPU)?

Pendaftar :
Lembaga Pengarah Universiti (LPU) amat luas peranannya dan peranan tersebut tidak mencakupi urusan yang berkaitan dengan senat universiti. Antara peranan LPU ialah boleh menubuhkan syarikat di bawah Akta 1965. Selain itu LPU juga boleh menubuhkan badan-badan pengendalian dan pengurusan harta universiti. LPU juga mempunyai kuasa untuk meminjam wang bagi keperluan universiti, mendapatkan dan memegang saham, membeli, menyewa, melabur dalam harta tanah dan harta diri, menggubal syarat dan terma lantikan kakitangan dan juga menubuhkan Jawatankuasa Pemilih bagi jawatan yang diwujudkan. LPU juga berkuasa atas semua hal-hal yang berkaitan tatatertib, hal-hal pelajaran, menggubal statut, kaedah dan peraturan universiti.


WK: Antara persoalan yang bermain di minda para pelajar dan kakitangan universiti ini ialah berhubung pembinaan kampus induk Sultan Azlan Shah di Behrang Ulu. Bilakah agaknya kampus induk UPSI akan disiapkan?

Pendaftar:

Untuk makluman semua, projek pembangunan kampus induk Fasa (A) dijangka akan disiapkan pada tahun 2010. Walau bagaimanapun prestasi pembangunan projek ini bergantung sepenuhnya kepada peruntukan bajet dalam Rancangan Malaysia Kesembilan yang diluluskan oleh pihak Kerajaan.


WK: Semua pihak menyedari bahawa pihak pengurusan universiti telah berusaha untuk menerapkan nilai BITARA UPSI sejak tahun 2006 lagi kepada kakitangan dan barisan Majlis Perwakilan pelajar (MPP). Bolehkah Y.Bhg Dato’ jelaskan sejauh manakah keberkesanan penghayatan nilai-nilai tersebut?

Pendaftar:
Agak sukar juga hendak diukur keberkesanannya. Walau bagaimanapun jika di soal kepada kakitangan universiti ini berhubung nilai-nilai BITARA tersebut saya yakin semua kakitangan yang telah menghadiri kursus tersebut akan dapat menjawab apakah dia enam nilai-nilai BITARA tersebut. Begitu juga dengan barisan kepimpinan MPP terdahulu juga telah menghadirinya. Harapan pihak pengurusan universiti ini ialah agar nilai-nilai murni tersebut akan diamalkan dalam tugas masing-masing.

WK: Apakah antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Jabatan Pendaftar untuk meningkatkan tadbir urus berkualiti khususnya di semua Pusat Tanggungjawab di UPSI?


Pendaftar:
Bahagian Sumber Manusia di bawah Jabatan Pendaftar sudah melaksanakan latihan kepada semua pegawai dan kakitangan khususnya yang terlibat secara langsung dalam pentadbiran dan pengurusan. Dokumen dan Standard of Procedure juga sudah disediakan selaras dengan kehendak MS ISO 9000. Walaupun begitu pemantauan dan khidmat nasihat dari masa ke semasa telah dibuat untuk memastikan tadbir urus berkualiti di laksanakan dengan berkesannya di semua Pusat Tanggungjawab di UPSI


WK: Apakah wawasan pihak pengurusan universiti dari perspektif Pendaftar yang boleh dikongsi bersama ke arah meningkatkan imej UPSI sebagai sebuah universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan berasaskan kegemilangan sejarah?

Pendaftar :
Wawasan Jabatan Pendaftar ialah untuk memastikan UPSI menjadi sebuah universiti yang bitara dalam pendidikan berdasarkan niche dan sumber dalaman yang sedia ada. Selain itu untuk memastikan agar UPSI menjadi sebagai tempat rujukan golongan pendidik berdasarkan kecemerlangan yang diwujudkan melalui sumber dalaman tersebut. Sehubungan itu, kerjasama semua pihak khususnya dari ahli akademik, kakitangan sokongan dan semua pelajar akan dapat membantu pihak pengurusan UPSI untuk meningkatkan nama dan imej UPSI di mata dunia.

BERITA DALAM WARTA KAMPUS

(Disiarkan dalam Warta Kampus pada Mei 2009)

WACANA ILMU

KAJIAN HUBUNGAN ETNIK DI KALANGAN PELAJAR IPTA DI MALAYSIA “PERSOALAN INTEGRASI NASIONAL”
Sejauhmanakah pelajar-pelajar IPTA dapat menghayati konsep tersebut?

Oleh: Ismail Man

KURSI TUN ABDUL GHAFAR BABA DAN PUSAT KAJIAN INTEGRASI NASIONAL – Wacana Ilmu Kajian Hubungan Etnik di kalangan pelajar IPTA di Malaysia “Persoalan integrasi Nasional” telah diadakan di Bilik Persidangan, Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki pada 29 April 2009. Seramai 43 orang pegawai telah menghadiri wacana ilmu tersebut anjuran Kursi Tun Abdul Ghafar Baba dan Pusat Kajian Integrasi Nasional.
Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba, Prof Dato’ Dr Zainal Kling, berkata objektif wacana ilmu tersebut adalah bagi menyebarkan pengetahuan berhubung hasil kajian hubungan etnik dan persoalan integrasi nasional daripada perspektif pelajar dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
”Wacana ilmu ini juga untuk memberi pengetahuan berhubung corak dan pola pergaulan di antara pelajar IPTA yang berlainan latar belakang penghidupan,” katanya.
Selain itu, katanya, wacana ilmu tersebut adalah untuk menyebarkan pengetahuan berhubung corak komunikasi budaya dan polarisasi kaum di kalangan pelajar IPTA.
”Wacana ilmu ini berhubung kajian hubungan etnik ”Persoalan Integrasi Nasional” adalah sebahagian daripada program Kursi Tun Aabdul Ghafar Baba dan Pusat Kajian Integrasi Nasional untuk membincangkan hasil daripada soal selidik ke atas para pelajar dari UPSI, UNIMAS dan UMS, ” katanya.
Antara ahli panel yang dijemput dalam wacana ilmu tersebut adalah Profesor Dr Fatimah@Hasnah Daud dari UIAM, Profesor Dr Mansor Mohd Noor dari UKM, manakala anggota kumpulan penyelidik dari UPSI diketuai oleh Dr Ibrahim Hashim, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Profesor Dato’ Dr Yaacob Harun, Prof Madya Dr Amir Hassan Dawi, Prof Madya Dr Stefan Bucher, dan Encik Samri Sainuddin. Pembantu penyelidik yang membantu menjayakan wacana ilmu tersebut adalah Encik Azmi bin Wahab. Moderator wacana ilmu adalah Prof Dato’ Dr Zainal Kling.
Wacana ilmu tersebut turut dihadiri oleh Naib Canselor UPSI Y.Bhg. Prof Dato’ Dr Aminah Ayob, Pendaftar Dato’ Haji Rusley Taib, Bendahari Puan Hajah Khadijah Hamdan, Ketua Pustakawan Cik Zahariah Mohamed Shaharoon, Pengarah Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda Ir Haji Damanhuri Othman, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Prof Madya Dr Rajendran, Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab, pensyarah-pensyarah yang mewakili fakulti, penolong-penolong pendaftar dari semua Pusat Tanggungjawab, dan pegawai-pegawai ikhtisas UPSI.
Sesi soaljawab telah diadakan antara para peserta dengan ahli-ahli panel di akhir sesi wacana ilmu. Prof Dato’ Dr Zainal Kling juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu menjayakan wacana ilmu tersebut.
”Adalah diharapkan wacana ilmu berhubung kajian hubungan etnik di kalangan pelajar IPTA di Malaysia ”Persoalan Integrasi Nasional,” ini akan mencetuskan kajian lain yang lebih mendalam berkaitan hubungan etnik dan integrasi nasional khususnya yang melibatkan para pelajar pelbagai etnik dari seluruh IPTA di Malaysia, katanya.

Tuesday, May 26, 2009

RENCANA DALAM AKHBAR KOSMO

(Disiarkan dalam akhbar KOSMO pada 19 Mei 2009)

SAMBUTAN HARI GURU DI UPSI

Oleh: Ismail Man

TANJONG MALIM – Hari Guru peringkat kebangsaan disambut lagi secara serentak tahun ini pada 16 Mei 2009 .
Guru Pembina Negara Bangsa adalah tema sambutan hari guru yang bertepatan dengan peranan UPSI sebagai sebuah universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan yang berasaskan kegemilangan sejarah. UPSI terus unggul dalam melahirkan guru-guru cemerlang sejak ditubuhkan pada 2 Mei 1997.

Menyebut tentang sumbangan guru, tidak dinafikan sejarah perguruan negara tercatat berasaskan kegemilangan zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang ditubuhkan pada 29 November 1922, kini tapak bersejarahnya menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) . UPSI ditubuhkan pada tahun 1997 apabila dinaiktaraf daripada Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) yang diwarisi dari Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI).
Antara tokoh guru terkenal yang pernah dilahirkan antara zaman SITC-UPSI termasuklah Ibrahim Yaacob, Tan Sri Zainal Abidin Ahmad yang dikenali sebagai Pendita Za’ba, Darmawijaya, Shahnon Ahmad, Aminurrashid, Tan Sri Awang Had Salleh, Tun Abdul Ghafar Baba ( Mantan Timbalan Perdana Menteri) , dan Tun Abdul Rahman Abbas (Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang). Objektif penubuhan SITC adalah untuk melatih guru-guru Melayu. Golongan pendidik ini telah berjasa dalam menyuntik semangat nasionalisme kepada rakyat ketika itu sehingga negara ini mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah pada 31 Ogos 1957.

Berasaskan kepada niche dalam bidang pendidikan, UPSI telah berjaya penawaran guru-guru yang terlatih untuk keperluan negara. Sehingga Istiadat Konvokesyen Kesepuluh UPSI pada Mac 2009, para pelajar berdaftar di universiti ini adalah seramai 14, 339 orang berbanding 338 orang pada awal penubuhannya pada 1997 dan guru-guru lepasan UPSI berkhidmat di seluruh negara untuk mendidik anak bangsa. .

Bagi membantu Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melahirkan tenaga guru , UPSI menggerakkan lapan fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Fakulti Seni dan Muzik, Fakulti Bahasa, Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Fakulti Sains Sukan dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang menawarkan program ijazah pertama, ijazah sarjana dan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan.

Naib Canselor UPSI Profesor Dato’ Dr Aminah Ayob berkata sambutan Hari Guru amat bermakna kepada semua guru sama ada yang UPSI juga akan menyambut hari guru serentak dengan sambutan hari guru di peringkat kebangsaan pada 16 Mei 2009. Sehubungan itu, para pelajar UPSI adalah diseru agar mengenang jasa guru-guru dan menghargai pengorbanan ibu bapa yang telah mengasuh mereka selama ini.

” Para pelajar juga perlu menghargai usaha Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan mengadakan pelbagai acara bagi meraikan hari guru di peringkat kebangsaan di Kuala Terengganu pada 16 Mei 2009, ” katanya.

Hari Guru, katanya, disambut sebagai mengenang segala pengorbanan dan titisan keringat guru di seluruh negara. Sebagai Naib Canselor di sebuah universiti yang melahirkan graduan pendidikan yang berbakti di serata pelusuk tanah air, Dr Aminah berterima kasih kepada semua guru yang memilih kerjaya mulia ini.

“ Guru tidak pernah sunyi menghidupkan ilmu bukan sahaja demi survival dirinya, tetapi memikirkan nasib generasi hari ini yang bakal memimpin pada hari esok, “ katanya.

Justeru, katanya, guru akan selalu prihatin terhadap masa depan anak didiknya. Kejayaan kita hari ini menjadi insan yang berjasa kepada masyarakat dan negara, adalah kebahagiaan di hati seorang guru yang menjadi ukiran sejarah hidupnya. Ketika kita berdiri di anjung kejayaan hidup ini, sesungguhnya budi guru menjadi bunga-bunga yang menghiasi halaman.
“ Bakti guru ibarat embun memberi dingin kepada wajah anak-anak bangsa yang menadah ilmunya dicurahkan, “ katanya.

Rosnani Sarewan, guru lepasan UPSI tahun 2007 yang sekarang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pekula Jaya, Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah ketika dihubungi menyatakan tugas seorang guru amat mencabar dalam mendidik anak bangsa. Beliau amat bersetuju dengan tema hari tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa.

”Saya mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor dan seluruh pensyarah UPSI khususnya dari Fakulti Sains dan Teknologi yang telah banyak memberi tunjuk ajar sehingga saya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana muda Pendidikan Matematik Kelas Dua Atas dengan kepujian dari universiti tersebut, ” katanya.

Tanpa bimbingan mereka, katanya, sudah tentu sukar menguasai kerjaya mulia berkenaan dan berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang menempatkan beliau di sekolah sekarang . Rosnani berazam untuk memberi perkhidmatan yang terbaik demi kemajuan negara bangsa,” katanya.

Rodziah Anuar, juga guru lepasan UPSI tahun 2005 yang sekarang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan Pahang ketika dihubungi berkata tugas guru pada masa kini begitu mencabar. Oleh itu pemilihan tema hari guru tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa amat kena pada masanya.

”Saya juga mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh golongan pendidik di dalam negara dan tidak lupa kepada Naib Canselor dan seluruh pensyarah UPSI khususnya dari Fakulti Sains dan Teknologi yang telah banyak memberi tunjuk ajar sehingga saya berjaya memperolehi Ijazah Sarjana muda Pendidikan Sains (Fizik) dengan kepujian dari UPSI. Saya juga masih menyambung pengajian di peringkat sarjana Sains (Fizik) secara hujung minggu di UPSI,” katanya.

Beliau yang bercita-cita menyambung pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang fizik dan menjadi pensyarah universiti satu hari nanti merakamkan penghargaan kepada engurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajah Kalsom, Kuantan Pahang kerana membimbingnya dalam tugasan harian .

” Saya berazam untuk memberi perkhidmatan yang terbaik demi membina negara bangsa, ” katanya.

Cikgu Ismail Abdul Rahman dari Institut Perguruan Malaysia Kampus Tuanku Bainun Pulau Pinang yang juga pelajar Program Ijazah Doktor Falsafah dari Fakulti Bahasa UPSI yang baru sahaja ’Viva’ bagi menamatkan pengajiannya di UPSI pada April 2009 yang lalu untuk dianugerahkan Ijazah Ph.D pada bulan Ogos 2009 nanti

”Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru tahun 2009 kepada seluruh pensyarah UPSI. Tidak lupa juga ucapan ini kepada seluruh golongan pendidik di dalam negara, ” katanya.

Menurut beliau lagi, ucapan penghargaan juga patut diberi kepada pesara-pesara guru yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak bangsa. Sehubungan itu pemilihan tema, Guru Pembina Negara Bangsa adalah bertepatan sekali dalam memperkasakan profesion perguruan dengan suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang kian mencabar pada masa kini.

Begitu juga di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menyambut Hari Guru saban tahun kerana universiti ini saban tahun melahirkan graduan yang bakal menjadi pendidik.

Tahun ini UPSI menyambut dan Bahagian Hubungan Korporat dan Antarabangsa (BHKA) bertanggungjawab merancang dan merealisasikan beberapa program bermakna. Antaranya Peraduan Mengarang Esei, Sajak dan Pantun yang berkaitan dengan tema hari guru tahun 2009 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa dan kemuncak sambutan pada 18 Julai 2009 nanti. Kemuncak sambutan hari guru di peringkat universiti adalah perhimpunan hari guru yang melibatkan para pelajar dan kakitangan UPSI serta penyampaian hadiah kepada para pemenang peraduan tersebut yang dijadualkan pada 18 Julai 2009.

Maklumat lanjut peraduan boleh menghubungi http://www.upsi.edu.my/

ARTIKEL KEPIMPINAN

(Artikel ini pernah tersiar dalam Buletin INTAN Wilayah Utara (Qalam INTURA 1998)

KEPIMPINAN

What you can do to improve your leadership?
There is no magic formula for effective leadership, but you can take several positive steps to improve your behavior. Be simple but not simplistic..

Benarkah pendapat yang mengatakan bahawa pemimpin tidak dapat dipisahkan dengan kepimpinan? Pemimpin dan kepimpinan adalah pelengkap antara satu sama lain. Pemimpin adalah individu manakala kepimpinan pula melambangkan kebolehan individu untuk melakukan sesuatu melalui orang lain. Tegasnya pemimpin tidak akan bermakna jika wawasannya tidak lagi dituruti atau dipatuhi oleh orang lain.

Siapakah Pemimpin?
Pemimpin adalah personaliti atau individu yang diberi tanggungjawab serta diamanahkan untuk memimpin kelompok individu, kumpulan, organisasi, negara ataupun sesuatu unit sosial (keluarga). Pemimpin juga boleh dilihat dari berbagai perspektif seperti pemimpin politik, pentadbiran, korporat, komuniti, agama dan sebagainya [1]. Wujud perbezaan pendapat samada pemimpin dibentuk atau dilahirkan. Dalam buku The Skill of Leadership menyatakan bahawa `Leaders are born not made’[2]. Dalam buku,`Leadership Dilemmas- Grid Solutions pula menyatakan bahawa wujudnya pelbagai persoalan berhubung dengan pemimpin seperti; “ we often hear the question, Are leaders made or is leadership something only a select few are born with?” [3]. Ciri-ciri pemimpin adalah meliputi sifat-sifat personaliti, gaya kepimpinannya, keadaan atau bentuk pekerjaannya, dan keperluan pengikut-pengikutnya[4] .

Apakah Ukuran Kejayaan Seseorang Pemimpin?
Secara umumnya, ukuran kejayaan seseorang pemimpin terletak kepada sejauhmanakah pemimpin tersebut berupaya mengikut serta memenuhi kehendak orang yang dipimpinnya [5]. Untuk memenuhi kehendak pengikutnya, seseorang pemimpin perlu kepada kuasa. Dari sudut sosiologi, manusia bersaing untuk mendapatkan sumber yang terhad dan juga cuba mengawal tingkahlaku orang lain. Hampir setiap perhubungan sosial adalah bercorak politik yang jelas menggambarkan terdapatnya pergelutan antara ahli untuk mendapatkan kuasa. Selain dari kuasa, terdapat dua konsep lain yang berkaitan dengan politik iaitu paksaan dan kewibawaan[6]. International Encylopedia of Social Sciences turut mengemukakan tiga perspektif yang berbeza tentang kepimpinan iaitu; kepimpinan sosiologi, kepimpinan psikologi dan kepimpinan politik[7]. Kepimpinan dilihat sebagai keupayaan mempengaruhi manusia (The act of influencing people) bagi mencapai sesuatu matlamat. Pengaruh ialah kebolehan seseorang untuk meyakinkan pendapatnya kepada sebilangan ahli yang besar. Pengaruh juga bergantung kepada pengetahuan yang ada pada seseorang dan pengetahuan tersebut dapat pula meyakinkan orang lain dalam masyarakat [8]. Dalam hubungan ini mantan Perdana Menteri Malaysia YAB Tun Dr. Mahathir Mohammad telah menggariskan kepimpinan cemerlang sebagai; “The complex interaction of many qualities”. Seseorang pemimpin juga perlulah berupaya untuk memberi panduarah, meningkatkan inspirasi dan memotivasikan pengikutnya bagi mencapai kecemerlangan. Dalam sesebuah organisasi, kepimpinan dapat dilihat sebagai satu proses yang dinamik, melibatkan personaliti, tanggungjawab dan keupayaan (abilities) pemimpin, interaksi pemimpin dengan pengikut (followers) yang ditujuarah kepada pencapaian sesuatu matlamat tertentu (stated goals).

Fungsi Sebenar Seorang Pemimpin
Krech & Crutchfield telah menyenaraikan 14 fungsi pemimpin dalam sesebuah kelompok tertentu seperti berikut:

Sebagai Eksekutif
Pemimpin berperanan sebagai pentadbir kelompok, organisasi atau masyarakat yang dipimpinnya. Umumnya, semua pemimpin akan menyelaraskan aktiviti-aktiviti kelompok supaya tidak terdapat sebarang percanggahan. Setengah-setengah tugas diberikan kepada orang bawahan dan langkah ini dipercayai dapat mengurangkan beban seseorang pemimpin. Kestabilan kepimpinan mungkin bergolak jika pemimpin tersebut enggan mewakilkan kuasa pada orang bawahannya.

Pemimpin Sebagai Perancang
Pemimpin harus bijak merancang dan berpandangan jauh. Disamping menentukan matlamat yang hendak dicapai oleh kelompok, pemimpin juga mesti merancang cara terbaik bagaimana kelompok yang dipimpinnya harus berperanan untuk mencapai sesuatu matlamat tertentu.

Sebagai Pembuat Dasar
Polisi atau dasar yang digubal menjadi panduan kepada kelompok atau organisasi tertentu untuk bertindak. Pemimpin pula berperanan sebagai pemangkin dalam menentukan sebarang tindakkan kelompok selaras dengan dasar yang sediaada. Walaupun begitu, wujud juga keadaan di mana pembentukan polisi bermula dari bawah dan pihak pengurusan mengesahkannya mengikut keadaan tertentu.

Sebagai Pakar
Kebiasannya pemimpin mempunyai kemahiran dalam bidang yang dipimpinnya. Jika pemimpin kurang arif, pemimpin tersebut masih boleh mendapatkan khidmat nasihat dari penasihat atau pakar-pakar tertentu.

Sebagai Jurucakap Kelompok
Dalam proses komunikasi dengan kelompok atau organisasi luar, pemimpin juga berperanan sebagai jurucakap bagi mewakili kelompok tertentu.

Sebagai Pengawal Hubungan Dalam
Pemimpin memainkan peranan penting dalam mengwujudkan hubungan antara anggota kelompok-kelompok dalam sesebuah organisasi tertentu. Jika pemimpin hanya mendekati beberapa orang tertentu dalam kelompok tersebut tindakkan ini akan melahirkan suasana yang kurang sihat dan boleh menghancurkan hubungan dalaman dalam sesebuah organisasi tertentu.

Sebagai Pemberi Ganjaran dan Denda
Pemimpin diberi kuasa untuk memberi ganjaran dan mengenakan denda kepada anggota-anggota kelompok yang dipimpinnya. Kuasa ini berperanan sebagai pengawal kepada ahli-ahli di dalam kelompok yang dipimpinnya. Dalam Kitab Aqdhiyah (Hukum-Hukum Pengadilan), seseorang pemimpin harus menghukum seseorang yang disabitkan kesalahan dengan hukum-hukum Allah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Hendaklah kamu menghukum antara mereka menurut peraturan yang diturunkan Allah”.
Al Maidah: 49

Sebagai Orang Tengah
Kelompok yang dinamik tidak dapat mengelakkan diri dari menghadapi konflik dalaman antara anggota-anggotanya. Dalam keadaan seperti ini, pemimpin perlu menjadi orang tengah atau hakim kepada pihak yang bertelagah. Pemimpin perlu bersikap adil dan tidak memihak dan perlu merujuk kepada dasar yang sediada.


Sebagai Teladan
Pemimpin perlulah mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang boleh dijadikan teladan atau model kepada anggota-anggota kelompok. Semua yang berkaitan dengan tingkahlaku dan sebagainya perlu yang terbaik agar ianya dapat dijadikan `role-model’ dan ikutan anggota-anggota di bawah kawalannya.

Sebagai Simbol Kelompok
Pemimpin juga perlu berperanan sebagai simbol bagi sesebuah organisasi tertentu. Misalnya pada suatu masa dahulu, orang boleh mengenali Universiti Malaya bila disebut Prof. Diraja Ungku Aziz, orang boleh mengenali Wawasan 2020 bila disebut YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan sebagainya.

Ganti Tanggungjawab Individu
Pemimpin memikul semua tanggungjawab organisasi berhubung dengan prestasi organisasi tersebut. Misalnya, jika berlaku kes-kes yang melibatkan kecuaian di sesebuah hospital yang menyebabkan kecederaan atau kematian kepada pesakit maka Pengarah Hospital tersebut akan bertanggungjawab terhadap kecuaian anggotanya.

Sebagai Ahli Idealogi
Pemimpin juga berperanan sebagai sumber inspirasi yang berkaitan dengan nilai dan norma anggota-anggota kelompok. Ideologi menggambarkan pemikiran, kepercayaan dan anutan pemimpin berkaitan dengan falsafah organisasi tertentu. Misalnya, Ideologi Komunisme dikaitkan dengan Karl Marx di mana perjuangan golongan ini adalah untuk menghapuskan golongan bourguis atau kapitalis yang didakwa melakukan penindasan dan membela golongan proletariat atau golongan pekerja yang sering ditindas.

Sebagai Tokoh Bapa
Pemimpin juga berperanan sebagai tempat mengadu oleh ahli-ahli dalam sesebuah kelompok tertentu. Pemimpin juga dianggap sebagai sepohon yang rimbun di mana dapat dijadikan tempat berteduh. Selain berperanan sebagai tempat mengadu dari segi material, pemimpin juga berperanan sebagai tempat khidmat nasihat (kaunseling) dan mententeramkan emosi yang dipimpin.

Sebagai Biri-biri Hitam
Oleh kerana Pemimpin berada di tengah-tengah anggota kelompok, pemimpin terpaksa menerima berbagai kritikan, sindiran, ugutan dan sebagainya berhubung dengan kepimpinannya. Pemimpin juga terpaksa menerima semua tuduhan walaupun kesilapan tersebut bukan berpunca darinya. Misalnya jika keputusan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) merosot berbanding prestasi tahun dahulu, pengetahuan selaku pemimpin bagi sekolah tersebut terpaksa menerima kritikan, sindiran atau tuduhan walaupun bukan beliau yang melakukan kesilapan tersebut. Mungkin yang melakukan kesilapan adalah guru-guru di bawah kawalannya atau pelajar-pelajar itu sendiri yang gopoh dan tidak berhati-hati sewaktu menjawab soalan peperiksaan tersebut.

KRITERIA KEPIMPINAN
Aristotle telah membahagikan kepimpinan kepada beberapa kriteria tertentu.
Kepimpinan Monarki
Berasal dari dua perkataan iaitu; Mono bermakna satu dan Cracy pula bermaksud pemerintahan. Monarki adalah sistem pemerintahan beraja, pemimpin bertindak sebagai ketua negara dan mewakili setiap rakyat. Raja mempunyai kuasa yang tertinggi. Pemerintah Monarki mendakwa mempunyai asalusul dari Tuhan dan mendakwa mempunyai keistimewaan tertentu.
Tiga Corak Monarki
i. Monarki Zaman Silam (Mutlak)
ii. Monarki Bercorak Tirani (Mempunyai Ciri-ciri Ketuhanan)
iii. Monarki yang disahkan oleh Golongan Gereja atau Agama.

Kepimpinan Autokrasi
Pemerintahan oleh seseorang pemimpin atau satu parti di mana kuasa mutlak berada di tangan pemimpin samada seorang, satu organisasi atau satu kumpulan kuasa[9]. Pemimpin autokrasi akan menggunakan sepenuh kuasanya untuk menekan segala tentangan terhadapnya. Di samping itu, pemimpin autokrasi akan bertindak untuk menghadkan tindakan-tindakan pihak tententu yang dirasakan mungkin mengancam kedudukan serta kepentingan pemerintah. Pemimpin autokrasi juga akan menghadkan penglibatan rakyat dalam politik di samping menghadkan perkembangan pertubuhan-pertubuhan yang dirasakan bercanggah dengan pemerintahannya. Parti pembangkang tidak dibenarkan kewujudannya dan dianggap sebagai tidak sah. Sistem pemerintahan autokrasi dikatakan sebagai corak pemerintahan diktator yang zalim dan mutlak. Contoh pemimpin autokrasi ialah semasa pemerintahan Stalin di Russia di mana rakyat Russia telah menderita dan sering berada dalam keadaan ketakutan. Pemimpin autokrasi juga sering menggunakan pertubuhan polis rahsia untuk menjaga kepentingan pemerintah dan mengawasi kegiatan rakyat supaya tidak bercanggah dengan dasar parti atau pemerintah. Di antara pertubuhan polis rahsia ialah GESTAPO, MVD dan KGB. Negara-negara yang mengamalkan pemerintahan autokrasi adalah seperti Russia, Republik Rakyat China, Yogoslavia, dan Jerman iaitu semasa pemerintahan Adolf Hitler dan uganda semasa pemerintahan Idi Amin[10].

Kepimpinan Demokrasi
Demokrasi merupakan corak pemerintahan yang berdasarkan kepada persetujuan dan kemahuan rakyat sendiri. Presiden Amerika Syarikat iaitu Abraham Lincoln dalam ucapannya di Gettuyburg menyifatkan demokrasi sebagai “Kerajaan bagi rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat”[11]. Rakyat memerlukan seorang wakil atau pemimpin yang dipilih untuk mewakili mereka dalam mentadbir negara. Wakil atau pemimpin tersebut haruslah arif dalam membuat keputusan dan boleh dipercayai. Di antara ciri-ciri demokrasi adalah seperti; pemilihan secara bebas, persamaan di kalangan rakyat, penyertaan di dalam politik, masyarakat yang homogen, mempunyai ciri rasionaliti dan penggubalan undang-undang yang menjurus kepada keadilan kepada rakyat [12] .
Kepimpinan Demokrasi Liberal
Demokrasi Liberal diamalkan oleh negara Amerika Syarikat yang juga mengamalkan sistem bercorak presidential yang mendakwa kononnya terdapat kebebasan yang `tidak terbatas’ dan menyeluruh.

Kepimpinan Demokrasi Proletar
Demokrasi Ploletar dilaksanakan di negara-negara yang menanuti sistem pemerintahan Komunis seperti Russia dan Republik Rakyat China atau ianya juga dianuti di negara yang mengamalkan pemerintahan totalitarian Ianya wujud selepas berlakunya revolusi. Sistem pilihanraya wujud dalam sistem ini dan calon yang bertanding adalah hanya dari parti pemerintah sahaja..

Kepimpinan Demokrasi Terpimpin
Demokrasi jenis ini diamalkan di negara-negara yang mana Tentera memainkan peranan penting dalam menentukan corak pemerintahan seperti di negara Myammar dan Indonesia. Pemerintah Tentera mendakwa bahawa suasana dalam negara-negara tersebut tidak cukup mantap untuk membolehkan pemimpin dari kalangan rakyat yang dipilih. Pilihanraya diadakan hanya untuk mengetahui pendapat rakyat.

Kepimpinan Demokrasi Afrika
Merupakan sistem yang diamalkan oleh suku kaum yang berpengaruh. Wujud parti pembangkang yang dikenali sebagai “Mankradd” yang menentang apa-apa keputusan yang dinyatakan oleh ketua parti. Dalam sistem ini terdapat sistem pusat iaitu parti yang memerintah. Apabila keputusan telah dibuat melalui undi majoriti dan menerusi perbincagan maka tidak perlu lagi mewujudkan berbagai-bagai parti politik. Demokrasi seperti ini diamalkan di Tanzania oleh Julius Nyerere dan di Ghana oleh Kwame Nkrumah.

Kepimpinan Demokrasi Pluralis
Kerajaan dianggap kurang berfungsi bagi menjalankan sebarang tindakan polisi yang berlandaskan “Clear-Out Party” yang bertanggungjawab ke atas segala tindakan dan tekanan dari rakyat. Dalam keadaan ini politik dianggap semacam proses tawar menawar, toleransi atau patuh kepada perjanjian di mana kerajaan hanya memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menjalankan polisi pihak-pihak yang berpengaruh yang memberi sokongan terhadapnya( Contohnya Britain).

Kepimpinan Demokrasi Partisipatif
Terdapat dua pendekatan dalam demokrasi partisipatif iaitu populisme klasik dan ekonomi populisme. Populisme klasik iaitu membesarkan peranan masyarakat setelah memindahkan keputusan-keputusan dari wakil yang dilantik kepada kerajaan. Wakil-wakil adalah perwakilan yang mengawal segala pilihanraya, mengawal kuasa yang diberi dan mengawal peraturan-peraturan atau mandat yang diberikan. Ekonomi populisme iaitu menyelidiki individu yang melibatkan diri dalam perkhidmatan awam dan juga turut menyelidiki segala keputusan-keputusan yang dibuat.

Demokrasi Berperlembagaan
Kuasa politik negara dibahagi samarata mengikut perlembagaan yang memerlukan kerjasama bagi memenuhi kehendak negara ( contohnya Britain dan Malaysia).

KEPIMPINAN PERSPEKTIF ISLAM
Fungsi utama kepimpinan dalam Islam ialah melaksanakan syariat Allah s.a.w. Islam mengakui kepentingan pemimpin kepada masyarakat dan dalam hubungan ini Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Apabila tiga orang keluar bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka sebagai ketua (amir)”
Abu Hurairah

Perlantikan pemimpin atau ketua dalam masyarakat Islam adalah wajib hukumnya. Menurut Ibn Taymiyyah. “Kepimpinan adalah sebesar-besar kewajipan dalam Islam”. Konsep kepimpinan dalam Islam adalah merujuk kepada sesiapa sahaja yang diberikan tanggungjawab menjaga orang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Tiap seorang daripada kamu adalah pemimpin (penjaga) dan kamu bertanggungjawab kepada pimpinan kamu (rakyat atau orang di bawah jagaannya), Imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, lelaki adalah pemimpin dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, perempuan adalah pemimpin dalam rumah suaminya dan bertanggungjawab kepada pimpinannya, hamba adalah pemimpin harta tuannya dan bertanggungjawab kepada pimpinannya dan setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab kepada pimpinan kamu”.
Bukhari dan Muslim

Khalifah yang bermaksud pengganti selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. adalah sebagai pemimpin tertinggi dalam masyarakat Islam. Dalam hubungan ini, Allah telah menjelaskan dalam Al-Quran ketikamana Nabi Adam hendak diutuskan ke dunia sebagai khalifah. Firma Allah s.w.t yang bermaksud:
“Bila Tuhanmu berfirman kepada para malaikat bahawa aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi, maka mereka pun berkata adakah hendak engkau jadikan khalifah di bumi itu orang yang akan merosakkan bumi dan menumpahkan darah sedangkan kami bertasbih memuji-memuji dan mensucikan engkau. Kata Tuhan aku lebih tau apa yang kamu semua tidak mengetahui”.
Al Baqarah: 30

Menurut Imam Al Ghazali, seseorang pemimpin Islam harus mempertimbangkan perkara-perkara berikut:
i) Dia harus membayangkan dirinya berada dalam kedudukan orang yang diperintah dan kedudukan rakyatnya dalam kedudukannya supaya dia tidak melakukan perkara yang tidak ingin dilakukannya kepada diri sendiri.

ii) Dia tidak harus menolak jika ada orang yang memerlukan datang ke rumahnya. Menolong orang Muslim adalah lebih baik daripada sembahyang (Sunat).

iii) Dia harus mendisiplinkan dirinya untuk hidup dengan cara sederhana dan menafikan diri (Tidak mementingkan diri)

iv) Dia harus cuba memuaskan semua pihak jika hal itu tidak melanggar hukum Allah.

v) Dia harus cuba memuaskan semua pihak jika hal itu tidak melanggar hukum Allah.

vi) Dia tidak harus menyenangkan hati seseorang sehingga mengorbankan hukum syarak.

vii) Dia harus sedar tanggungjawab besar jawatannya. Tidak ada kebaikan lebih daripada kuasa untuk menolong orang lain.

viii) Tidak ada dosa yang lebih besar daripada murtad. Oleh itu dia harus sentiasa suka bersahabat dengan sarjana yang warak dan mendengar arahan mereka dan mengelakkan diri dari sarjana yang tidak warak.

ix) Dia tidak sahaja harus mengawal dirinya, tetapi juga diri orang bawahanya dan tidak bertolak ansur dengan tingkahlaku bongkak mereka. Keadilkan bermakna bertindak mengikut akal dan bukan emosi.

x) Dia harus menembusi ke inti perkara, bukan hanya melihat pada bentuknya, kerana keadilan berakar dalam kebaikan[13] .


Dari perspektif yang lain pula, Al-Farabi juga telah mengemukakan dua belas sifat atau tingkahlaku yang mesti dimiliki oleh pemimpin Islam untuk mencapai kesempurnaan kepimpinan menurut perspektif Islam.

i) Sempurna tubuh badan dan bertenaga atau berkemampuan supaya dia dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.

ii) Baik kefahamannya serta dapat menggambarkan setiap sesuatu yang dilafazkan atau diucapkan serta tahu apa yang harus dibuat.

iii) Baik hafalan (ingatan) tentang sesuatu yang dia telah faham, lihat, dengan atau dapat. Dia juga bukanlah orang yang pelupa.

iv) Bijaksana dan cerdik bila mendengar sesuatu. Hanya dengan reaksi sahaja dia boleh memahami sesuatu perkara.

v) Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu ibarat.

vi) Sangat suka atau berminat dengan ilmu pengetahuan. Senang menerima ilmu, tidak merasa penat dalam menimba ilmu pengetahuan.

vii) Tidak bersikap buruk, lebih-lebih lagi dalam hal tentang makan minum dan hubungan kelamin dan menjauhkan diri daripada permainan yang hanya untuk bersukaan.

viii) Memiliki sifat cintakan kebenaran dan orang yang bersifat kebenaran. Bencikan pembohongan serta orang-orang yang bersifat demikian.

ix) Memiliki jika yang besar serta berhemah tinggi hingga dapat mengatasi perkara-perkara yang rendah dan remeh temeh.

x) Tidak berminat untuk mengumpul wang ringgit dan bentuk-bentuk kekayaan dunia yang lain.

xi) Bersikap prokeadilan dan anti kezaliman serta penindasan. Tidak mudah oleh perkara-perkara yang buruk sebaliknya mudah diseru kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.

xii) Mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap sesuatu hal yang dirasakan perlu dilakukan dan tidak lemah semangat.

Bersediakah pemimpin merenung kembali ciri-ciri kepimpinan dan berusaha memperbaikinya?
Kesediaan seseorang pemimpin untuk ‘bermuhasabah’ tentang kepimpinannya bergantung kepada nilaidiri pemimpin tersebut. Jika pemimpin tersebut memilih ‘cermin muka’ untuk melihat kepimpinannya pasti akan dapat melihat sepenuhnya ciri-ciri kepimpinan yang ada padanya. Sebaliknya, jika pemimpin tersebut memilih ‘cermin mata’ maka hanya akan melihat kebaikan diri dan keburukan orang lain dengan lebih jelas. Charles Horton Cooley menggunakan istilah ‘cermin melihat diri sendiri’ adalah bagi menghurai diri sebagai hasil interaksi dengan orang lain. Perasaan mengenal diri adalah bayangan idea mengenai diri pemimpin sepertimana dalam pemikiran orang lain. Terdapat tiga unsur dalam cermin melihat diri sendiri iaitu;
a) Apa yang kita fikirkan mengenai apa yang dilihat oleh orang lain,
b) Bagaimana pada pemikiran kita tentang reaksi orang lain kepada apa yang mereka lihat
c) Bagaimana reaksi kita kepada reaksi yang dilihat oleh orang lain.
Proses melihat kepada diri sendiri adalah satu peringkat interaksi.[14] Kesediaan seseorang pemimpin merenung kembali ciri-ciri kepimpinannya bergantung kepada personaliti pemimpin tersebut. Menurut Sigmund Freud, personaliti adalah umpama sebuah medan peperangan. Tiga konsep yang berkaitan dengan personaliti ialah id, ego dan superego. Seseorang pemimpin yang baik perlu mempunyai ego disamping berusaha menghindari perasaan id dan superego. Pemimpin juga perlu berusaha untuk menghapuskan rintangan budaya yang menjadi penghalang kepada pembentukan ciri-ciri kepimpinan yang berkualiti.
Ciri-ciri pemimpin yang baik haruslah mencakupi sifat-sifat personaliti yang terpuji, gaya kepimpinan, keadaan pekerjaan, dan keperluan pengikut-pengikutnya. Kejayaan seseorang pemimpin sebenarnya bergantung kepada sejauhmanakah pengaruhnya terhadap orang yang dipimpinnya. Kejayaan seseorang pemimpin juga sebenarnya bergantung kepada sejauhmanakah pemimpin tersebut dapat mengikut serta memenuhi kehendak orang yang dipimpinnya. Kepimpinan dilihat sebagai keupayaan seseorang pemimpin untuk mempengaruhi manusia (The art of influencing people) bagi mencapai sesuatu matlamat tertentu. Kewibawaan adalah penting bagi seseorang pemimpin kerana ianya akan menentukan bagaimanakah corak strategik kepimpinan seseorang pemimpin tersebut. Kuasa tanpa persetujuan rakyat akan mengakibatkan pemerintahannya dianggap sebagai tidak sah. Legitimasi misalnya adalah penting untuk mengwujudkan persefahaman diantara pemerintahan dan rakyat. Kepimpinan juga mencakupi kepimpinan bercorak monarki, autokrasi dan demokrasi. Bersediakah pemimpin masakini untuk merenung kembali ciri-ciri kepimpinan yang ada pada mereka disamping berusaha untuk memperbaikinya? “ What you can do to improve your leadership? There is no magic formula for effective leadership, but you can take several positive steps to improve your behavior. Be simple but not simplistic. Leadership behavior takes place in the midst of an amazing number of force fields, including the following organizational, technical, work units, individual and managerial. Perbincangan mengenai kepimpinan tidak akan sempurna jika tidak diberi ruang untuk meninjau dari perspektif Islam. Fungsi utama kepimpinan dalam Islam ialah melaksanakan syariat Allah S.W.T serta meninggalkan segala larangannya. Menurut Ibn Taymiyyah, “ Kepimpinan adalah sebesar-besar kewajipan dalam Islam”. Menurut Prof Hamka, “ Pemimpin perlu melengkapkan diri dengan tiga perkara iaitu; akal, ilmu dan mantik(lojik). Pemimpin juga perlu menjauhi enam perkara iaitu sempit hati, terburu-buru, hasad, hawa nafsu, bohong, dan meninggalkan mesyuarat”. Konsep kepimpinan menurut perspektif Islam yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan ijmak ulamak seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali dan Al-Farabi berhubung kepimpinan mencakupi maksud Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Sesungguhnya Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam” . ”. Persoalannya sekarang ialah bagaimanakah untuk melahirkan kepimpinan yang unggul dan sesuai dengan suasana persekitaran agar dapat menjamin kesejahteraan manusia masakini? Apakah masih wujud pemimpin yang benar-benar mempunyai ciri-ciri unggul sebagai seorang pemimpin?

Leadership is like riding a bicycle either you keep moving or you fall down.



BIBLIOGRAFI

Ahmad Atory Hussain, “Tingkahlaku Organisasi Dalam Pengurusan Moden”, DBP, K.L, 1986.
Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, “Beberapa Etos Pembangunan Negara”, INTAN, K.L, 1993.
Aminuddin Mohd. Yusof, “Kepimpinan”, DBP, K.L, 1990
Dr. Ahmad Atory Hussain, “Politik dan Dasar Awam Malaysia”, Utusan Publications& Distributors Sdn Bhd, K.L, 1996.
Dr. Halim Man, “Dinamik dan Infrastruktur Kepimpinan Menuju Alaf Baru”, INTAN Wilayah Utara, Sungai Petani, 1998.
Dr. K. Ramanathan, “Asas Sains Politik”, siri Ekonomi dan Politik Fajar Bakti, K.L, 1987.
Dorothy Pickles, “Penghantar Ilmu Politik”, Terjemahan Hussain Mohamed, D.B.P, K.L, 1988.
H. Sulaiman Rasjid, “Fiqh Islam”, Penerbit Attahiriyah, Jakarta, 1954.
James J. Cribbin,“Leadership-Strategies For Organizational Effectiveness”, A Division of American Management Associations, New York, U.S.A 1981.
John Adair, “The Skill of Leadership” , Gower Publishing Company Limited, Aldershot, Hants, England, 1984.
Muhammad Yasin Mazhar, “Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasulullah”, Terjemahan Khalil Mohd Zain dan Md Yunus Md Said, DBP, K.L, 1993.
Noran Fauziah Yaakub, “Pengantar Sosiolagi”, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1987.
Prof. Dr. Hj Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), “Falsafah Hidup”, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1980.
Robert R. Blake & Anne Adams McCanse, “Leadership Dilemmas-Grid Solutions”, Dulf Publishing Company, Houston, U.S.A, 1991.
Thomas R. Dye, “Understanding Public Policy”, Englewood Cliggs, New Jersey, Prentice Hall, U.S.A, 1972.
[1] Dr. Halim Man, “ Dinamik dan Infrastruktur. Kepimpinan menuju alaf baru”, INTURA, 1998, Hal. 1
[2] John Adair, “The Skill of Leadership” Gower Publishing Company Limited, Aldershot, Hants, England, 1984, M.S 5
[3] Robert R. Blake & Anne Adams McCanse, ` Leadership Dilemmas-Grid Solutions, Gulf Publishing Company, Texas USA, 1991, M.S 1
[4] Ahmad Atory Hussain, Tingkahlaku Organisasi Dalam Pengurusan Moden, DBP, K.L, 1986, M.S 133.

[5] Ahmad Atory Hussain, Tingkahlaku Organisasi Dalam Pengurusan Moden, DBP, K.L, 1986, m.s 133
[6] Noran Fauziah Yaakub, Pengantar Sosiologi, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1987, m.s 224.
[7] Aminuddin Mohd Yusof, Kepimpinan, DBP, K.L, 1990, ms. 2
[8] Op. Cit, m.s 255.
[9] Dr. K. Ramanathan, “Asas Sains Politik”,
Siri Ekonomi dan Politik Fajar Bakti, Petaling Jaya, 1987, m.s.45.
[10] Ibid. m.s. 309
[11] Ibid. m.s 311
[12] Ibid. m.s 313
[13] Amirudin Mohd. YusoF , “ Kepimpinan”, DBP, K.L, 1990 ms 69
[14] Noran Fauziah Yaakub, ‘ Pengantar Sosiologi’, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1987, m.s. 29.

CERPEN

MENANTI DETIK HUJAN TEDUH

Oleh: Ismail Man @ismailman@upsi.edu.my

Hujan mencurah dengan lebatnya. Angin berdesau kencang. Sesekali kilat sabung menyabung dan guruh berdentuman membelah angkasa Universiti Pendidikan Sultan Idris. Universiti keramat itu terletak di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan.
”Universiti keramat? Bukankah terlalu agung gelaran itu?” soal seorang siswi itu kepada temannya.
”Memang keramat!...Ramai tokoh pejuang semangat kebangsaan lahir dari Sultan Idris Training Collage (SITC) yang dibangunkan pada tahun 1922. Sejak itu, institusi ini telah berkembang dan dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti yang bitara dalam kepimpinan pendidikan di negara tercinta ini.” ujar temannya kembali.
”Alangkah besarnya pengorbanan guru-guru Melayu!” bisik siswi itu kembali dan ungkapan itu menggegarkan urat sarafnya. Jauh di sudut hatinya dia merasa bangga kerana dilahirkan sebagai bangsa Melayu yang bermaruah!
”Memang benar! Kita harus bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada pelajar universiti ini. Universiti ini banyak berjasa kepada dunia pendidikan dan pembentukan negara bangsa” siswi itu berkata penuh bersemangat. Dia tersenyum puas. Kuliahnya di Dewan Kuliah H baru sahaja berakhir. Kini dia menanti detik untuk pulang ke kolej kediaman. Namun hujan di luar sana masih terus mencurah.
”Bagaimana aku hendak balik? Entah berapa lama lagi hujan ini akan teduh? Terlupa pula hendak bawa payung” rungut siswi itu perlahan. Namun rungutan itu dihanyutkan angin berdesau kencang yang menerobos ke dalam bangunan di mana ramai siswa dan siswi masih berteduh. Siswi itu berbaju kurung kekuningan dengan bunga-bunga halus berwarna merah. Bertubuh tinggi lampai, berkulit putih gebu dan kini dalam semester lima program pendidikan matematik dari Fakulti Sains dan Teknologi.
Dia ingin segera pulang ke kolej kediaman di kolej Za’ba yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah tidak jauh dari Banjaran Titiwangsa. Di sebelah kolej tersebut terletak pula kompleks kilang kereta Proton di kawasan perindustrian Proton City yang mengeluarkan kereta nasional yang megah menyusur di jalanraya.
“Alangkah berbangganya kita sebagai rakyat Malaysia kerana industeri automotif negara setanding dengan negara-negara maju yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang cemerlang.” ujar Razali bin Ahmad Zabidi, siswa berkulit hitam manis, berkumis nipis pada suatu petang yang permai.
“Cemerlang? Apa kaitannya dengan kita?” siswi itu bertanya kembali. Wajah siswa itu dipandangnya.
”Tentulah! Bukankah kita bakal graduan cemerlang dari universiti keramat ini” siswa itu melirik wajah siswi itu dengan pandangan yang redup.
”Apakah indikator kecemerlangan?” siswi itu bertanya lagi. Wajah siswa itu dipandangnya secara menyeluruh.
”Cemerlang dalam akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan sahsiah diri” siswa berkata penuh semangat. Dia merasa kagum melihat gambar Cik Norasikin binti Fabil pensyarah dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi terpamer gambarnya di foyer Canselori setelah memenangi pingat emas dalam Information Visualization: An Innovation In The Visualizing The Sanad Of Hadith dalam Malaysia Technology Expo 2009.
Sebagai pemimpin pelajar dalam Majlis Perwakilan Pelajar dan pernah terlibat memimpin pelajar di peringkat kolej kediaman, pelbagai program pembangunan sahsiah pelajar pernah dirangka dan dimajukan untuk kelulusan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni. Mengingatkan itu dia tersenyum puas. Bayu dingin dari kemuncak Banjaran Titiwangsa berhembus lembut membelai wajah mereka yang sedang berjalan bergandingan di tepi tasek Proton di suatu petang yang cerah.
”Sue”
”Hmm..”
”Boleh I tanya you sesuatu?” siswa itu melirik wajah siswi itu yang nampak ayu. Siswi itu menoleh memandangnya.
”Boleh, apa dia?” soal siswi itu kembali. Mereka terus mengatur langkah di siar kaki di tepi tasek Proton yang indah pemandangannya itu. Sesekali siswa itu meraup rambutnya yang lurus dan terpamer senyuman di bibirnya.
”Did you have a someone special?” lembut soalan siswa itu. Dia tersenyum dan melirik wajah siswi itu, Suhaila Diana binti Ahmad Mokhtar. Pandangan mereka bertaut seketika. Lama siswa itu menunggu jawapan dari mulut siswi itu, namun siswi itu terus membisu.
Dentuman guruh di angkasa memutuskan kenangan Suhaila. Dia memalingkan badannya ke kanan dan terpandanglah poster di papan kenyataan di luar dewan kuliah berhubung minggu suaikenal awal semester lalu yang masih terpampang di situ. Suhaila tersenyum. Ingatannya mengimbau kembali kenangan lalu ketika mendaftarkan diri di universiti ini lima semester yang lalu.
Seakan ternampak di ruangan matanya bagaimana Encik Husni Hashim, Penolong Pendaftar Kanan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni mengendalikan sesi taklimat dengan bantuan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU).
”Masih terngiang-ngiang lagi ditelingaku suara siswa dan siswi baru yang berpakaian seragam berwarna merah hati itu bergemuruh menyanyikan lagu Ibu Kandung Suluh Budiman. Lagu itu memang hebat, bisik hatinya kembali. Benarlah kata kawan-kawannya lagu patriotik universiti ini mampu menerjah ke dalam jiwa, membakar semangat waja bakal pendidik dengan semangat kegemilangan UPSI sebagai sebuah Universiti yang Bitara dalam pendidikan.
“Bitara?...apa ke benda tu?” bisik seorang siswa kepada teman di sebelahnya. Temannya hanya menggelengkan kepalanya. Siswa itu berbisik pula pada rakan siswa lain di sebelah kirinya. Teman itu turut menggelengkan kepalanya.
“Entahlah akupun tidak tahu...”jawab siswa itu kembali. Dia memandang wajah sahabat yang baru dikenalinya itu dengan seribu persoalan.
“Bitara itu bermaksud tiada taranya atau tiada tandingannya. Universiti ini bitara dalam kepimpinan pendidikan. Hanya Universiti ini sahaja yang memfokuskan pelajaran dan pembelajaran kepada bidang pendidikan! Universiti lain tidak begitu” suara Encik Husni Hashim dari atas pentas SITC. Seakan dia mendengar apa yang dibisikkan oleh siswa-siswa tersebut. Siswa yang berbisik tadi kelihatan tercengang kehairanan. Begitu juga rakan di sebelahnya. Mereka berpandangan sesama sendiri.
“Agaknya Encik Husni ini ini bomoh tersohor kot? ” bisik siswa itu kembali. Encik Husni Hashim, pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang berpengalaman. Apa yang tersirat dalam minda kita dapat dibacanya. Siswa itu tersenyum melirik wajah temannya itu yang bercakap dalam loghat Kelantan
”Cepatnya masa berlalu, kini Suhaila hampir ke penghujung pengajian di Universiti ini. Hanya tinggal dua semester lagi aku di sini, bisik hatinya yang terapung bangga. Impiannya ialah untuk menjadi pendidik, kerjaya yang menjadi cita-citanya sejak dahulu. Malah dia berazam untuk tidak akan hampakan harapan UPSI demi negara tercinta.
“Setiap graduan dari UPSI perlu memahami Falsafah Pendidikan Negara sebelum mula melangkah ke alam pekerjaan” ujar Suhaila memberikan pendapatnya. Zuraini binti Haji Wanda, teman serumahnya tersenyum melirik ke wajahnya.
“Mudah sajalah Falsafah Pendidikan Negara” ujar Zuraini penuh yakin. Loghat Peraknya kedengaran masih pekat.
”Cubalah awak sebutkan” ujar Suhaila dan tersenyum melirik wajah Zuraini yang nampak berisi badannya itu. Rambut Zuraini ikal mayang lepas bebas di paras bahu.
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.” Zuraini berhujah dalam bahasa baku yang agak panjang lebar. Terpamer kepuasan di wajahnya.
“Fuyoo! Hebatlah awak, Zu!…Tidak sangka awak dapat menjawabnya. Awak hafal ke?” soal Suhaila dan ketawa.
Zuraini kembang kempis lubang hidungnya menerima pujian sebegitu. Dia menarik nafas dan tersengeh.
”Alamak terlupa pulalah!” Zuraini menggaru-garukan kepalanya. Matanya terkebil-kebil memandang siling apartment kediaman di kolej Za’ba.
“Lecehlah kau ini Zu!...Pantang dipuji sedikit, mulalah lupakan diri!” Suhaila berkata sinis. Zuraini terus menggaru-garukan kepalanya.
“Apa lagi sambungannya haa?..Aku betul-betul pelupa ni!” Zuraini terus menggaru-garukan kepalanya. Suhaila menggelengkan kepala melihat keletah sahabatnya itu.
“Ala Zu...Senang ajelah!...Falsafah ini adalah usaha bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab. Lebih penting lagi berkeupayaan untuk mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara”. Balas Suhaila dengan lancar.
“Haa…yang itulah yang aku nak sebut tadi…”
Lamunan Suhaila terhenti dipancung suara Zuraini yang baru habis kuliah dan kini sudah berada di sisinya. Hujan masih menderu di luar sana. Angin berdesau kencang.
“Bila hendak berhenti hujan ni haa? Aku sudah kebulur benar ni. Nanti kalau aku mampus kat sini, bagaimana?” becok mulut Zuraini. Suhaila menarik nafas seketika dan berpaling melirik wajah sahabatnya itu.
”Sesekali bagus juga hujan lebat begini” Suhaila bersuara lembut.
”Mengapa pula awak kata begitu?”
”Kalau hujan turun lebat begini dapat juga kita kurangkan makan” Suhaila tersenyum melirik wajah Zuraini yang berbadan agak berisi itu.
”Maksud kau diet ke? Aku sudah cuba amalkannya tetapi tidak berjaya?” Zuraini mengeluh. Ada nada kekesalan dalam nada suaranya kerana masih gagal menurunkan berat badannya itu. Apa yang dia risau ialah berat badannya semakin bertambah seperti tayar dipam angin.
”Boleh berjaya asalkan ada kesungguhan” ujar Suhaila dalam nada memujuk. Zuraini melirik wajah sahabatnya itu dan kemudian melontar kembali pandangannya ke luar jendela. Hujan masih menggila dan belum ada tanda akan teduhnya.
”Yalah, badan awak sedia langsing bolehlah cakap macam itu...tetapi aku ini? Sudah puas aku mencuba menahan, cuma sedikit bersisi aje” Suhaila cuba memujuk sahabatnya itu agar tidak terlalu menyalahkan diri sendiri.
”Sedikit berisi itulah yang aku bimbang ini. Ada ke cara lain untuk aku kelihatan langsing seperti awak?” Zuraini merengek manja. Suhaila ketawa memandang Zuraini.
”Apanya yang ketawa itu?” soal Zuraini kembali. Dia teringin benar untuk kelihatan langsing seperti sahabatnya, Suhaila. Personaliti Suhaila yang anggun ditambah pula wajahnya yang ayu memikat ramai siswa yang memandang wajahnya.
”Berjoginglah setiap hari, rencanakan kalori pemakanan, amalkan diet dengan sempurna, libatkan diri dalam olahraga di peringkat kolej, menahan godaan makan, elakkan makanan ringan yang diragui kandungannya, lebihkan makan buah-buahan dan sayuran dan jangan lupa banyakkan minum air suam” ujar Suhaila seperti pakar pemakanan dan kecantikan. Zuraini melopong seketika. Timbul rasa kagum dalam hatinya mendengar kata-kata sahabatnya itu.
”Patutlah personaliti Suhaila kelihatan anggun sekali” hatinya berdetik. Zuraini akui ada kebenaran pesanan Dato’ Naib Canselor UPSI yang mengatakan untuk menjadi guru cemerlang, penampilan diri bakal pendidik dari UPSI perlu dibentuk agar selari dengan kemerlangan akademik yang diperolehi. Nama baik UPSI perlu dijaga agar imej universiti ini terus dijulang.
” Hujan sudah teduh, marilah kita balik, nanti ada yang kebulur kalau lama di sini” Suhaila menggiat Zuraini.
”Kau sindir aku ye? Tapi tak mengapalah. Banyak juga pelajaran aku dapat dari pensyarah muda ini sementara menanti detik hujan teduh” ujar Zuraini menggiat Suhaila. Ketawa mereka berbaur bersama. Dari jauh kelihatan Razali, siswa berkulit hitam manis itu melambaikan tangannya ke arah mereka berdua. Mereka mula melangkah meninggalkan perkarangan dewan kuliah bersama siswa dan siswi yang lain. Di ufuk barat cahaya matahari mulai menerangi semula kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang tersohor namanya sejak berzaman.

Terbit dalam Warta Kampus
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Mei 2009

PUISI

ENGKAULAH CINTAKU

Isteriku
bernikah denganmu
umpama hamparan samudera nan membiru
debur ombak menggamit cintaku
lembut menghempas di pantai cintamu
dalam mengulit wajah manjamu di kembara itu
sempat engkau bisikan di telingaku
erti sebuah kesetiaan
di malam pernikahan itu

isteriku
bernikah denganmu
seperti berenang di lautan madu
setiap kali kuhirup gigi ombak itu
alangkah manisnya terasa
tutur bicaramu
memintaku memimpinmu
di kembara itu

isteriku
bernikah denganmu
adalah umpama melewati taman-taman syurga
yang tidak pernahku rasa jemu
menatap wajah sucimu
biarpun langkahku kian longlai
melewati puncak kasih itu
namun aku tidak pernah jemu
bercinta denganmu

Januari 2009

Monday, May 25, 2009

CERPEN

CERPEN


PARIT GUMPONG, DI DAERAHMU ADICITAKU TERAPUNG

Oleh: Ismail Man ( ismailman@upsi.edu.my)


Mat menyandarkan badannya pada kerusi. Jauh di sudut hatinya dia berasa puas. Pelajar-pelajarnya dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia bersama-sama barisan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI menggemblengkan tenaga melaksanakan tanggungjawab sosial kepada negara. Kutipan derma sudahpun diserahkan kepada pihak universiti yang kemudiannya akan diserahkan pula kepada Tabung Dana Kemanusiaan Palestin. Hatinya tersentuh dengan ucapan bersemangat Naib Canselor UPSI dalam perhimpunan aman membantah pembunuhan rakyat Palestin oleh regim Israel di Semenanjung Gaza. Tanpa disedari air matanya menitis melihat liputan media berhubung pembunuhan kejam rakyat Palestin yang tidak berdosa itu.
“Bagaimanakah nasib rakyat Palestin? Sampai bilakah rejim Israel akan terus mengganas? Bagaimanakah pula nasib anak-anak Palestin dalam pelajaran? Adakah mereka akan terus tercicir daripada sekolah seperti diriku suatu masa dahulu?” bisiknya dalam hati. Mat berdoa agar kekejaman regim Israel di Semenanjung Gaza akan segera berakhir.
Mat seakan-akan terdengar orang mengetuk pintu biliknya. Dia bangun dan berjalan ke arah pintu. Daun pintu dikuaknya namun tiada siapapun di luar.
“Siapa yang ketuk pintu? Ah! Mungkin hanya perasaan aku saja,” bisik hatinya.
Di luar bangunan, hujan mencurah lebat. Angin berdesau kencang. Sesekali kilat sabung-menyabung dan guruh berdentum membelah angkasa. Mat menutup kembali daun pintu itu dan kembali ke mejanya. Dengan tidak disengaja dia terlanggar hujung rak buku. Buku tebal berwarna biru tua meluncur jatuh. Mat tunduk mencapai buku itu. Kelihatan sekeping gambar terkeluar dari celah buku tersebut.
Mat menatapnya seketika. Dia tersenyum. Gambar itu gambar lama; barangkali dalam tahun 1975. Ketika itu dia dan kawannya sedang makan Wadai Kepeng, kenduri pindah rumah jirannya, Azhar di Parit Gumpong. Kampung sawah padi yang permai itu terletak empat kilometer dari pekan Kuala Kurau, Perak Darul Ridzuan. Hairan, bagaimanakah gambar lama itu tersisip di dalam buku yang jatuh tadi? Lama Mat menatap gambar tersebut. Kemudian bersenandunglah lagu lama di sudut memorinya.
Tajak yang tajam berkilat itu dihayunnya tinggi sebelum dihempaskan ke perdu menerung dalam petak sawah. Percikan air sawah yang keruh membasahi tubuhnya. Mat terus menghayunkan tajaknya. Rebah lagi batang-batang menerung di hadapannya. Kemudian, ditariknya batang menerung dengan tajak ke sisi. Keringatnya menitis berbaur air sawah yang keruh separas betis. Matahari terus terik di ubun kepala. Mat tidak menghiraukan itu semua. Dia terus menghayunkan tajaknya tinggi di angkasa. Leteran emak tirinya saban hari benar-benar membingitkan telinganya. Ayahnya yang sudah uzur itu hanya membisu. Namun baginya yang berusia 16 tahun ketika itu, leteran tersebut melemaskan hati yang sedia gulana.
“Sawah orang lain sudah hampir habis ditajak. Sawah kita belum lagi sudahnya. Mat memang penyegan! Mat balog liat!! Kalau macam inilah sampai kiamat pun menerung yang berceragah di sawah itu tidak akan habis ditajak,” terngiang-ngiang suara nyaring emak tirinya.
Mat lemas diasak leteran begitu. Memang sejak subuh lagi dia sudah meleterinya. Mat capai tajak di rasuk rumah dan melangkah longlai, berbekalkan air sejuk menuju sawah yang tidak jauh dari rumah. Dalam suasana pagi yang hening itu dia meredah lorong kecil ke sawah. Mat terkejut beruk apabila loceng basikal dibunyikan kuat di belakangnya. Zul menghulurkan sebungkus kuih yang masih panas kepada Mat. Mat menyambutnya dan mengangkat tangan kepada Zul dan adiknya Siti Rohani yang berunifom sekolah dan tersenyum memandangnya.
Mat cuma membalasnya dengan senyuman hambar. Dahulu dia bersama-sama mereka mengayuh basikal ke sekolah, namun kini tidak lagi. Kemiskinan tegar yang mencengkam keluarganya dijadikan alasan untuk memaksa Mat berhenti sekolah. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa luluh hatinya. Apalah dayanya! Sebagai anak dia taat dan patuh akan ayahnya. Pernah Cikgu Abdul Rahim Layang dan Cikgu Muhammad Abdullah menaiki vespa sprint datang ke rumah memujuk ayah agar mengizinkannya bersekolah semula, namun suara meninggi emak tirinya memeningkan kepala dua orang guru tersebut. Mat masih ingat suara ayahnya terketar-ketar meminta maaf atas kelakuan isterinya itu. Sejak itu tiada siapa lagi yang menghiraukan dirinya. Dia terus tercicir dari sekolah.
Mat mengesat air matanya yang tertumpah. Kelibat dua orang sahabatnya itu kian hilang di jalan besar. Dari pekan kecil Parit Gumpong, hanya Zul seorang sahaja yang berbasikal ke sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang, sementara adiknya Siti Rohani naik bas sekolah Haji Endik ke Sekolah Menengah Methodist di Parit Buntar, Perak Darul Ridzuan.
Mat terus menghayunkan tajaknya. Batang-batang menerung yang tinggi itu kian banyak rebah. Sesekali hatinya bangga kerana sudah luas juga petak sawah itu dikerjakan. Hatinya hairan, mengapakah masyarakat kampungnya susah benar untuk menerima pemodenan? Seingatnya pegawai pertanian Daerah Krian sudah banyak kali menyeru petani menggunakan jentera pertanian moden yang boleh disewa daripada Pertubuhan Peladang Kawasan. Namun banyak yang masih keliru. Mereka kurang faham tentang konsep pertanian moden. Mungkinkah mereka akan berubah jika penerangan diberikan oleh anak tempatan yang terpelajar.
“Tapi bagaimana? Aku sendiri disuruh berhenti sekolah dalam usia semuda ini? Bagaimanakah aku hendak mengubah sikap mereka?” soal Mat sendirian.
Dia menoleh ke belakang. Petak sawah itu dahulunya dipenuhi menerung kini sudah banyak yang rebah ke bumi. Setiap kali mata tajaknya menyentuh perdu menerung burung gelam, wak-wak, puyuh, dan sintar api kelihatan terbang rendah. Mat cukup geram melihat burung-burung itu. Dahulu dia, Zul, Din, Lee, Azhar, Latib, Mie Hanafi, Ishak, Manaf, Fuad, Bakar, Saad, dan Harun sering terhendap-hendap menyelinap masuk ke petak sawah yang dipenuhi menerung untuk mencekup burung dalam hujan lebat. Masing-masing ada sebatang kayu sebagai senjata. Kayu itu akan dibaling ke arah burung-burung tersebut. Dalam hujan lebat burung itu tidak akan mampu terbang jauh kerana sayapnya basah kuyup.
Mat dan kawan-kawan umpama askar di medan perang. Mereka akan menyusup dan mengejar burung-burung yang kesejukan dalam rumpun menerung. Mereka akan ketawa terkikik-kikik apabila berjaya mencekup beberapa ekor burung yang kesejukan itu. Burung-burung itu disembelih dan digoreng kunyit. Kecur air liurnya membayangkan kelazatan burung goreng rangup itu. Namun suasana itu sudah berlalu. Kawan-kawan sebayanya tekun bersekolah dan tidak seperti dirinya yang bergelumang selut di sawah. Hati Mat hiba mengenangkan keindahan alam persekolahannya dahulu.
Mat terus menebas batang menerung di petak sawah dengan gagahnya. Mat membayangkan dirinya umpama Kapten Hassan dari Rejimen askar Melayu Diraja dalam pakaian tempurnya menumbangkan ramai pengganas komunis yang hendak menggugat kedaulatan Malaysia, tanah air tercinta.
“Semoga arwah Kapten Hassan dan seluruh pahlawan negara dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan dihimpunkan bersama para syuhada,” doa Mat dalam hatinya. Mat tersenyum puas. Mat bangga menjadi anak petani Parit Gumpong yang saban waktu bergelumang dengan selut dan lumpur.
“Lepas habis menajak, Mat kenalah melonggok batang menerung itu pula. Selepas itu Mat perlu membawanya ke batas sawah. Anak semai padi yang diredih dahulu nampaknya sudah membesar. Sudah sesuai untuk ditanam secara berderau dengan orang kampung,” lembut suara ayahnya menyentuh gegendang telinga.
Mat tersenyum dan mengangguk tanda faham. Namun suasana ceria dua beranak itu mati dipancung emak tirinya dengan kata-kata sinis.
“Eloklah tu. Dah berhenti sekolah jangan dok berlagak pula. Kena kerja lagi rajin bantu keluarga. Jangan dok tahu mentedarah saja!” Suara itu tajam bagaikan sembilu. Hatinya terasa pedih dan berdarah. Biarpun begitu Mat tak pernah menjawab kutukan emak tirinya itu.
“Tak baik cakap macam tu, Bedah. Mat itu anak awak juga. Dia dah remaja. Kena jaga perasaannya,” suara ayahnya kedengaran perlahan dan bergetar.
Ayahnya terbatuk-batuk seketika. Minyak geliga cop keris dalam kotak merah itu digosoknya ke dada. Di tepi dinding ada botol tonik cop gajah yang sudah hampir kering. Mata layu ayahnya merenung wajah Mat yang duduk membatu di atas tikar mengkuang lusuh yang bergulung di hujungnya.
“Mat tu anak tiri Bedah. Ikut suka Bedahlah nak kata apa kat dia. Bukan boleh manjakan sangat budak penyegan dan balog liat macam tu! Nanti dia naik ketegag pula!” Suara emak tirinya kedengaran meninggi.
Mat hanya membisu dan memandang wajah ayahnya yang kian uzur. Badan ayahnya kian kurus menampakkan tulang rangkanya satu per satu. Sejak akhir-akhir ini ayahnya kerap sakit dan terbatuk-batuk. Kadangkala batuk ayahnya menjadi-jadi dan bertukar menjadi penat pula; berbeza pula dengan tubuh emak tirinya yang semakin hari semakin boyak terenyak-renyak!
Wajah emak tirinya itu sering kelihatan mencuka. Entah apa yang tidak kena Mat pun kurang pasti. Mat sedar, selepas emaknya meninggal dunia dahulu, dialah yang mencadangkan agar ayahnya berkahwin lagi. Namun selepas empat bulan berkahwin perangai emak tirinya mulai bengis macam singa betina kehilangan anak. Pernah suatu malam Mat dengar emak tirinya menghasut ayahnya agar memberhentikan persekolahannya supaya bekerja di sawah. Mulanya Mat ingin membantah, namun terpaksa akur arahan ayahnya.
“Abang tak mahu sambung sekolah lagi ke?” lembut suara Siti Rohani anak Haji Shaari, Imam Kampung Parit Gumpong. Mat mengeluh mengenang nasib dirinya. Lama Siti Rohani menunggu jawapan dari mulutnya, namun Mat terus membisu.
“Siti kesian lihat abang. Sudahlah terpaksa berhenti sekolah, dipaksa pula turun ke sawah awal-awal pagi. Kadang-kadang dipaksa pula ke kepala tanah untuk mengait kelapa. Makcik Bedah senang-lenang mengarah itu dan ini dari atas rumah,” Siti Rohani mendengus.
Wajah Siti Rohani yang dalam tingkatan dua itu dipandangnya. Tiada perkataan terhambur daripada mulut Mat. Bagi Mat hanya Siti dan Zul yang memahami isi hatinya. Mereka kawan rapatnya. Semua masalah dikongsi bersama. Tiada rahsia antara mereka. Mat senang dapat bersama-sama Siti. Ayah dan emak Siti juga seperti merestui persahabatan mereka.
Mat memperlahankan hayunan tajaknya. Dia sudah keletihan. Lambat-lambat Mat meninggalkan tajaknya seketika dan berjalan mendapatkan batu asah yang ditinggalkan di tepi batas sawah. Seekor ikan haruan sederhana besarnya mati terkena tajaknya yang tajam berkilat itu. Sempat Mat meneguk air sejuk yang di bawanya dan mengunyah kuih kalakatar berintikan kelapa muda yang diberikan oleh Zul tadi.
“Ahh! Adakah aku tetap begini sehingga tua? Bergelumang lumpur sawah? Tak dapat bersekolah semula? Aku ingin jadi pensyarah universiti. Bolehkah? Atau aku hanya bermimpi di siang hari?” soal Mat dalam hati.
Setelah perutnya diisi, Mat berjalan semula menuju ke arah tajak yang ditinggalkannya. Dia melabuhkan punggungnya di atas batang menerung yang sudah tumbang itu sambil mengasah tajak beralaskan pelepah kelapa agar kembali tajam berkilat. Bunyi batu asah yang berdesir menjadi irama merdu yang sering menghiburkan hati laranya. Mat tekun mengasah mata tajaknya hingga kembali tajam berkilat.
Minggu lepas Mat mengait kelapa di hujung tanah sawahnya. Ada lebih kurang 20 batang pokok kelapa yang ditanam datuknya. Semuanya sudah tinggi menjulang. Mat gunakan galah buluh yang disambung di tengahnya. Zul dan Siti menolongnya menghimpun buah kelapa yang sudah dikait. Kemudian Mat akan kopek kelapa dengan besi tajam yang dipanggil cop.
Becok mulut Siti berebut kumboi kelapa dengan abangnya, Zul. Mat hanya ketawa melihat kaletah dua beradik itu. Mat hadiahkan mereka buah kepala muda. Mereka ketawa terkikik-kikik melihat perut Mat yang membuncit dipenuhi air kepala muda. Mat tidak kisah diketawakan Siti.
Pak Mail Kambing datang dengan basikal berjenama Hirocules membawa kelapa yang sudah dibelah ke kedai abangnya Ishak Itek. Petangnya, Mat dan Zul ke kedai Ishak Itek, pemborong kelapa untuk mengambil wang jualan. Mat ketawa terkikik-kikik menerima wang jualan kelapa walaupun Ishak Itek ada memberitahunya harga kelapa mulai merudum dalam pasaran. Mat juga tak kisah jika Ishak Itek kata jumlah kelapa yang dijual dipotong sebiji bagi ’basi’ setiap sepuluh biji buah kelapa yang dijualnya.
Duit jualan kelapa diserahkan semua kepada ayahnya. Kemudian ayahnya menyerah wang itu kepada emak tirinya untuk disimpan. Mat terkebil-kebil menerima hanya dua ringgit sebagai upah mengait dan menjual kelapa. Walaupun begitu Mat terima juga dengan hati yang reda.
Mat bangun dan mengeliat seketika. Dia tertinjau-tinjau ke arah jalan memerhati sesuatu. Dari jauh kelihatan Siti Rohani mengayuh basikal Raleigh hitam brek hup kembali dari sekolah. Kelibat Zul tidak kelihatan. Mungkin Zul masih mengayuh basikal dari sekolahnya yang sejauh 10 kilometer itu. Memang memenatkan apabila mengayuh basikal dalam jarak begitu. Namun jauh di sudut hatinya Mat berazam untuk menyambung semula persekolahannya yang terhenti.
Mungkin ayahnya mengizinkan, tetapi bagaimanakah pula dengan emak tirinya? Mat menimbang-nimbang di dalam hati. Apabila terbayang wajah emak tiri yang menyingga itu semangat Mat untuk bersekolah kembali mengendur. Mat bagaikan boleh mengaggak kata-kata yang bakal dihamburkankan emak tirinya. Mat mengeluh lagi. Kakinya terasa longlai melangkah petak sawah untuk pulang ke rumah.
“Buat apa tu, Mat?” sapa Zul dari atas basikal. Keringatnya membasahi uniform sekolah. Zul memberhentikan basikal jenama Robin Hood berwarna hijau tua itu dan memandang wajah Mat yang iras pelakon Mustafa Maarof. Zul tersenyum memandang Mat yang sedang menggagau ikan sepat di bawah kapar pokok kangkung yang tumbuh menjalar di tepi parit. Dua tiga ekor ikan sepat benua yang putih kehijauan itu terlompat-lompat dicampak oleh Mat ke atas jalan. Zul juga lihat ada seekor ikan haruan yang sederhana besarnya sudah mati terluka badannya mungkin terkena tajak agaknya. Zul faham tanggungjawab kawannya itu amat berat.
Zul hanya menggeleng-gelengkan kepala tanda simpati akan nasib kawan baiknya itu. Seekor lagi ikan sepat benua dilontar Mat dari dalam parit. Ikan itu terlompat-lompat di atas jalan. Bila melihat ikan sepat itu teringat Zul pada musim buang air dari sawah. Pagi-pagi lagi kelihatan ramai orang kampung turun ke parit itu dengan dawai putih yang digigit di mulut. Masing-masing menggagau ikan dalam air yang mulai kering itu. Ikan sepat yang berjaya ditangkap dengan tangan akan dicucuk mata pada hujung dawai yang digigit ke mulut. Masing-masing ketawa terbahak-bahak bila membawa naik ikan dari dalam parit yang berjaya ditangkap. Tidak kurang pula yang menimba telaga untuk menangkap ikan yang lebih banyak untuk dijual pada perais yang menanti.
“Macam inilah, lepas habis menajak aku kena tangkap ikan sepat pula untuk lauk tengah hari. Kalau tidak berdesing lagilah telinga ini. Rimas aku mendengarnya” ujar Mat dan ketawa pahit. Dari mata Mat, Zul tahu kawannya itu masih ingin bersekolah seperti dirinya.
“Mat jomlah bersekolah semula. Semua cikgu bertanyakan awak”
“Siapa?” soal Mat kembali. Bola matanya kelihatan bersinar.
“Cikgu Mahzam Bee Ibrahim, Cikgu Azizah Hussin, Cikgu Salmiah, Cikgu Hussin Kamdi, Cikgu Che Pa Hashim, dan Cikgu Hussin Harun selalu bertanyakan awak. Mereka kata sayang, awak terpaksa berhenti sekolah di usia muda begini.” Zul berkata penuh emosi. Mat terlompong mendengar ramai nama cikgu yang masih ingat akan dia.
“Aku sedar itu. Namun, ayah minta aku berhenti. Aku terpaksa akur walaupun sudah puas merayu,” ujar Mat perlahan.
“Awak pujuklah dia sekali lagi. Mencuba lebih baik daripada mendiamkan diri. Ini masa depan awak, awak kena ingat Mat!” ujar Zul memberi semangat.
“Entahlah. Dulu cikgu Rahim Layang dan Cikgu Mad Dollah dah pujuk ayah aku, tapi emak tiri aku tak bagi. Mungkin nasib aku kot, hanya sekolah setakat tingkatan satu sahaja,” ujar Mat kembali dan menggelengkan kepalanya.
“Awak tak sekolah rasa tak seronoklah. Saya seorang-seorang kayuh basikal ke sekolah. Bosan betul!” ujar Zul kembali. Mat terdiam seketika.
“Awak kena ingat Mat! Ikan sepat yang dicucuk matanya dengan dawai dan dilurut ke belakang umpama nasib bangsa kita jika terus ketinggalan dalam pelajaran. Ini masa depan bangsa kita Mat!” Zul cuba membakar semangat kawannya itu. Mat terkedu mendengar ungkapan kawannya itu.
“Aku memang ingin bersekolah semula. Tapi aku kena berhenti untuk membantu keluarga. Bolehkah aku dibenarkan belajar semula?” soal Mat sedih.
Setitis air matanya tertumpah di pipi. Mat berhenti menggagau ikan. Dia mula membersihkan diri. Zul hanya memandang wajah sugul kawannya itu sambil tersenyum. Terdetik rasa simpati dalam hatinya. Baru dia teringat berita yang dimaklumkan oleh Zainab Abdul Aziz dan Salmah Kassim, teman sekolahnya pagi tadi. Berita baik itu ingin dikongsi bersama-sama Mat kawan baiknya itu.
“Saya dengar Sekolah Agama Rakyat Al-Falah di Parit Tok Ngah Tanjung Piandang sudah diberi kebenaran oleh Pejabat Pelajaran Krian untuk mengambil pelajar-pelajar tercicir untuk peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mulai tahun ini. Kalau awak lulus SRP boleh ambil SPM dan STP. Manalah tahu, kalau boleh masuk ke universiti pula. Awak siap, nanti petang kita pergi tanya di sekolah itu. Manalah tahu kalau-kalau mereka masih boleh menerima awak.” Kata-kata Zul itu memberikan harapan untuk Mat belajar semula. Segera dia mengangguk tanda setuju.
Selepas makan tengah hari, Mat meluahkan hajat hatinya. Seperti yang dijangka emak tirinya menghamburkan kata-kata sinis yang menggigit perasaannya.
“Tok sah dok gatai! Dah berhenti sekolah buatlah cara berhenti. Tok sah nak sambung balik! Sawah bendang sapa nak buat? Mengarut!” suara emak tirinya meninggi dan menyakitkan hati.
“Biarlah Bedah. Mat dah janji tak akan minta duit awak. Dia janji akan ke sawah sebelah pagi dan bersekolah sebelah petang. Abang pun rasa bersalah bagi dia berhenti sekolah dulu,” lembut suara ayah. Asap dari dapur kayu masih berkepul memedihkan mata. Namun hati Mat lebih pedih ketika diberhentikan sekolah dua tahun dahulu.
“Tok sah mengarut! Tok sah bergradon! Mat bukan budak pandai. Mat budak bengap! Mat bodoh piang! Tak sampai ke mana pun kalau bagi dia sambung balik sekolah! Percayalah cakap Bedah bang oii!” Suara emak tirinya meninggi.
“Tapi mak ....” Suara Mat tersekat di kerongkong. Matanya liar memerhati wajah ayah yang layu dan wajah emak tirinya yang merah menyinga itu.
“Tak dak tapi tapi. Tak reti bahasa kot budak bodoh ni?” jerkah emak tirinya. Tangan kiri emak tirinya yang besar itu menepuk ke lantai. Rumah kayu beratapkan nipah itu bergegar seketika. Serentak. sebutir pinggan kaca melayang laju. Mat tidak sempat mengelak. Birai pinggan kaca itu menghentam keningnya. Pandangan Mat terasa gelap. Pinggan itu pecah berkecai di atas lantai.
“Apa salah Mat? Mengapa emak begitu bencikan Mat?” soal Mat sebak.
Terasa pedih bahagian atas keningnya. Darah merah membasahi wajahnya dan menitik ke lantai. Tindakan emak tirinya sudah melampau. Mat bingkas bangun menahan emosi marahnya dan turun ke tanah. Selama ini dia tidak pernah sekalipun melawan cakap emak tirinya. Dia dididik supaya jangan derhaka kepada orang tua oleh arwah emaknya.
Serentak itu emak tirinya mengejar dari belakang dengan rambut mengerbang..
“Gedebap!”
Tanpa diduga, belakang badan Mat dihentam benda keras. Pedih ngilu tidak tertahan dan Mat jatuh tertiarap. Belum pun sempat Mat bangun, kepalanya pula cuba dihentam. Mujur Mat sempat mengelak. Mat berlari kencang ke dalam belukar tidak jauh dari rumahnya. Dari jauh Mat dengar suara ayahnya tengelam timbul memarahi emak tirinya. Namun suara ayahnya yang terbatuk-batuk itu diselang seli suara meninggi dari emak tirinya yang membela diri. Kecoh benar bunyinya mereka bertengkar. Mat tidak faham mengapa emak tirinya boleh naik angin sebegitu.
Mat memegang dahinya. Luka di atas keningnya masih berdarah dan berdenyut-denyut. Setelah agak lama, Mat berjalan longlai ke tepi telaga tidak jauh dari rumah Siti Rohani. Dia bertenggek di atas perdu pokok mempelam telor yang condong ke tengah telaga. Kelihatan dua ekor itik air berenang-renang di permukaannya. Lama Mat termenung di tepi telaga. Orang kampung yang lalu lalang di jalan kampung itu tidak dihiraukannya. Mat terkejut apabila bahunya disentuh seseorang.
“Bersabarlah Mat. Pak Aji dah tahu Mat nak bersekolah semula. Siti yang bagi tahu. Baguslah, Mat ada semangat begitu. Kerja sawah bila-bilapun ada. Peluang untuk belajar datang hanya sekali sahaja,” lembut suara Pak Imam menusuk hatinya.
Siti mengesat darah di kening Mat dengan kain tudung kepalanya. Mat biarkan sahaja walaupun di hadapan ayahnya. Dalam hati dia bersukur kerana masih ada yang menyayanginya. Wajah Siti Rohani yang jelita itu dipandangnya dengan mata berkaca-kaca.
“Mat memang hendak belajar semula Pak Aji, tetapi ...” suara Mat tersekat di kerongkong.
“Beginilah Mat. Pak Aji akan cakap dengan ayah dan emak kamu. Soal belanja persekolahan biar Pak Aji yang tanggung sepenuhnya. Insya-Allah, niat suci kamu itu akan dimakbulkan,” lembut suara Pak Imam memujuk.
“Terima kasih banyak Pak Aji. Jika ayah dan emak izinkan, Mat janji akan sambung semula persekolahan. Mat akan belajar bersungguh-sungguh hingga ke universiti,” ujar Mat penuh semangat.
Baguslah kamu berazam begitu. Sekarang tahun 1975 dan kamu masih ada banyak masa. Belajarlah bersungguh-sungguh hingga ke liang lahat. Kalau boleh jadilah seorang berilmu seperti pendeta Za’ba. Jadilah seperti Tun Abdul Razak yang membela nasib bangsa Melayu. Paling tidakpun jadilah guru cemerlang seperti guru lepasan MPSI dari Tanjung Malim. Mungkin suatu hari nanti akan terbina sebuah universiti tersohor di sana,” lembut tutur Pak Imam yang juga bekas penuntut SITC.
Siti tersenyum mendengar kata-kata ayahnya. Dia melirik ke wajah Mat. Mat membalas pandangan Siti. Ada getaran yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
“Insya-Allah, Pak Aji,” suara Mat tersekat di kerongkong. Matanya kembali bersinar. Harapannya yang layu kembali bersinar. Gambaran suasana belajar di sekolah indah terbayang-bayang di ruang matanya.
Dulu, abang kata nak belajar sampai dapat Ph.D. Bukankah cita-cita abang nak jadi pensyarah universiti?” ujar Siti sambil tersenyum mempamerkan lesung pipit di pipi kanannya yang menggoda. Mat tersipu malu.
“Baguslah begitu Mat. Anggaplah usaha kamu untuk menyambung pelajaran seumpama mengasah tajak di sawah. Untuk berjaya, berusahalah agar tajak kamu itu sentiasa tajam,” ujar Pak Imam sambil menggenggam erat tangan Mat.
Mat mulai ceria bersemangat. Dari jauh kelihatan Zul berbasikal ke arahnya untuk menemaninya ke sekolah agama Al-Falah. Mat tersenyum dalam mata yang masih berkaca-kaca. Segera dia bangun dan berlari ke arah Zul. Segera dia membonceng basikal menuju ke Sekolah Agama Al- Falah di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang.
Dentuman guruh di langit memutus kenangannya. Mat mengesat air matanya. Gambar yang berada ditangannya dikucup lama. Mat begitu rindu suasana kampungnya yang indah permai. Telefon bimbitnya berdering beberapa kali dan Mat bercakap seketika dengan pemanggilnya. Terpamer senyuman di wajahnya. Mat melangkah keluar dari biliknya di tingkat tiga bangunan itu pada pukul 6.30 petang. Dia menoleh sebentar memandang papan tanda di pintu biliknya. Tertera namanya, Profesor Dr. Ahmad bin Zainal. Mat tersenyum puas.
“Alhamdulillah, tajakku masih tajam. Terima kasih Pak Imam, terima kasih Parit Gumpong, di daerahmu adicitaku terapung,” bisik hati Mat penuh syukur. Janjinya pada Haji Shaari, imam Parit Gumpong suatu masa dahulu sudah pun ditunaikannya.

Terbit dalam Warta Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 16 Februari 2009

PUISI

ANAK BANGSAKU

lalu ku siramkan salju itu
pada anak bangsaku yang terlena
di atas pembaringan itu
tilamnya api
bantalnya bara

bangunlah anak bangsaku
usah terlena lagi
di pembaringan itu
ayuhlah berlari
kejarlah adicita
demi maruah negara bangsa

anak bangsaku
andainya melewati daerah sejarah ini
ayuhlah bersama Sang Adi Putra
kita julang kembali maruah bangsa
kita gilap kembali
warisan Za’ba itu
di Universiti ini yang bitara

Ismail Man
Berita Minggu 24 Disember 2006

PUISI

KEMBARA DI DADA MALAM

Dalam kembara ini
kita rapati pelabuhan itu
yang tadinya nampak berbalam
bening dan suram

dalam kembara ini
kita kian keletihan
dilambung gelora samudra
dan sang badai
yang ganas menggila

dalam kembara ini
kita bertatih untuk berdiri
dalam kudrat yang kian lesu
dan mata bersaga
kepedihan

dalam kembara ini
kita jinjing bekalan ibadah
lalu berjujuk kita melangkahi
tebing pelabuhan itu
yang kian suram
di dada malam

Ismail Man
Mac 2009